Penggunaan Peralatan Elektrik Di Kolej Kediaman Jati

  • Uploaded by: fairus
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Penggunaan Peralatan Elektrik Di Kolej Kediaman Jati as PDF for free.

More details

  • Words: 2,233
  • Pages: 7
PENGGUNAAN PERALATAN ELEKTRIK DI KOLEJ KEDIAMAN: KAJIAN KES DI KOLEJ JATI Ab Malik Marwan Aliab, Hamdani Abu Hassana, Mohd Hafiz Mohd Hanafiaha, Rosli Ahmada, Abdul Khatab Mudaa dan Fairus Muhamad Darusb a

Kolej Jati, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

b

[email protected] Abstrak Pelajar yang menginap di kolej kediaman lazimnya membawa pelbagai peralatan untuk kegunaan peribadi dan pembelajaran. Peralatan elektrik adalah antara peralatan yang kerap dibawa oleh pelajar ketika menginap di kolej kediaman. Kertas kerja ini merupakan kajian rintis untuk mengetahui jenis peralatan elektrik yang lazimnya digunakan oleh pelajar semasa menginap di kolej kediaman. Hasil kajian ini mendapati 42% pelajar memiliki pengecas bateri telefon bimbit, 45%; komputer riba, 23%; cerek air elektrik, 13%; saterika, 10%; dan pelbagai jenis peralatan elektrik yang lain. Setiap peralatan elektrik pelajar yang digunakan di kolej kediaman dimestikan untuk didaftar dan dikenakan bayaran pendaftaran. Seramai 36% pelajar menyatakan sangat tidak setuju, 29% menyatakan tidak setuju dan 26% menyatakan kurang setuju dengan prosedur pendaftaran peralaran elektrik ini. Hasil kajian ini juga dapat mengumpul maklumat dan cadangan daripada pelajar berkaitan dengan peralatan elektrik yang sewajarnya disediakan oleh pihak pengurusan kolej kediaman. Kata kunci: Peralatan Elektrik, Kolej Jati, Universiti Teknologi MARA

1. Pengenalan Kolej Jati merupakan salah sebuah di antara 11 buah kolej kediaman yang terdapat di kampus Unversiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kolej ini berbeza dengan kolej-kolej kediaman yang sedia ada di kampus UiTM. Kolej Jati terletak di luar kawasan kampus iaitu di Seksyen 3 berdekatan dengan Bulatan Bestari. Kolej ini juga bersebelahan dengan Kolej Meranti dan berdekatan dengan bangunan perniagaan dan gerai makanan di Seksyen 2. Rajah 1 menunjukan lokasi Kolej Jati.

Kolej Jati

Rajah 1: Lokasi Kolej Jati di Seksyen 3, berhampiran dengan kampus UiTM, Shah Alam

Mengimbas kembali sejarah, Kolej Jati pada asalnya ialah bangunan kediaman pangsa kos rendah yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Pada tahun 1980, UiTM (pada ketika itu disebut ITM) telah menyewa dua buah kawasan kediaman kos rendah ini untuk dijadikan kolej kediaman iaitu Kolej Jati dan Kolej Meranti (Fairus, 2008). Oleh kerana tempoh menggunaan yang lama, maka pihak pengurusan telah membuat keputusan untuk membeli terus bangunan ini dan menjadikan ianya sebagai bangunan UiTM. Kolej Jati terdiri daripada enam buah blok bangunan kediaman pangsa lima tingkat dan mempunyai 296 unit kediaman. Setiap kediaman mempunyai 3 bilik atau 2 bilik lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik air/tandas, katil, tilam, almari, meja, kerusi dan kipas angin. Setiap kediaman didiami seramai enam orang siswa dan jumlah keseluruhan yang boleh ditampung di Kolej Jati adalah seramai 1072 orang. Kolej Jati diurus tadbir oleh sekumpulan pentadbir yang diketuai oleh Pengetua Kolej (staf akademik) dan dibantu oleh Pengurus Asrama, Penolong Pengurus Asrama serta staf sokongan yang lain. Perbezaan reka bentuk bangunan di Kolej Jati menjadikan tadbir urusnya sedikit berbeza khususnya dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada para penghuninya. Penggunaan peralatan elektrik peribadi di Kolej Jati atau mana-mana kolej kediaman di UiTM merupakan satu kemudahan yang diberikan kepada penghuni kolej secara bersyarat atau terkawal. Penghuni yang ingin menggunakan sebarang peralatan elektrik di bilik atau kediaman mereka perlu mendaftarkan terlebih dahulu peralatan tersebut dengan dikenakan bayaran sebanyak RM 10 bagi setiap unit bagi tempoh penggunaan satu semester. Rajah 2 menunjukan carta alir proses pendaftaran penggunaan peralatan elektrik di kolej kediaman.

Pelajar membawa peralatan elektrik di pejabat kolej untuk tujuan pemeriksaan dan kebenaran mendaftar

Setelah mendapat kebenaran, pelajar mengisi borang pendaftaran penggunaan peralatan elektrik dan membuat bayaran di pejabat kewangan (bendahari)

Setelah membuat pembayaran, salinan resit diserahkan ke pejabat kolej untuk mendapatkan pelekat ‘daftar barang elektrik’

Pelekat yang diterima hendaklah ditampal pada peralatan elektrik di bahagian yang mudah dilihat

Rajah 2: Carta alir proses pendaftaran penggunaan peralatan elektrik di kolej kediaman

Bilangan unit peralatan elektrik peribadi yang dibenarkan untuk digunakan dibilik atau kediaman pelajar berbeza-beza antara satu kolej dengan kolej kediaman yang lain kerana ia bergantung kepada bilangan penghuni yang boleh ditampung di dalam sesebuah bilik atau kediaman. Yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik ini mula dikenakan kepada penghuni semenjak tahun 2002 dengan tujuan untuk mengawal selia peralatan elektrik yang dibawa dan digunakan dalam bilik atau kediaman pelajar. Kertas kerja ini membincangkan tentang jenis-jenis peralatan elektrik peribadi yang digunakan oleh pelajar khususnya di Kolej Jati dan mengupas permasalahan dan cadangan daripada para pelajar berkaitan dengan pendaftaran penggunaan peralatan elektrik.

2. METODOLOGI 2.1 Kaedah persampelan Kajian ini melibatkan hanya melibatkan penghuni Kolej Jati yang menginap pada sesi disember 2008 dan Julai 2009. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan borang inventori kendiri bagi mengetahui jenis peralatan elektrik peribadi yang digunakan di Kolej Jati. Pemilihan responden dibuat secara rawak melalui kunjungan ke bilik atau kediaman pelajar oleh Pengawai Pembangunan Pelajar (PPP) dan juga Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK). 2.2 Kaedah analisa data Analisa kajian ini dilakukan secara deskriptif untuk mengetahui peratusan jenis-jenis peralatan elektrik peribadi yang digunakan oleh pelajar di Kolej Jati. Analisa juga dibuat terhadap cadangan atau ulasan yang diberikan oleh pelajar.

3. PENEMUAN DAN PERBINCANGAN 3.1 Latar belakang responden Kajian ini melibatkan seramai 296 orang pelajar siswa yang menginap di Kolej Jati. Lima puluh lima peratus daripada responden dalam kajian ini adalah pelajar di dalam jurusan penganjian sains dan teknolgi, manakala 45% pula adalah daripada pengajian sains sosial. Rajah 3 menunjukkan pecahan peratusan bilangan responden mengikut semester pengajian. Didapati majoriti daripada penghuni Kolej Jati terdiri daripada pelajar di tahun pengajian pertama iaitu yang sedang belajar di semester satu dan dua. Perkara sebegini adalah lumrah bagi kolej kediaman siswa kerana bilangan kolej yang boleh menampung pelajar-pelajar adalah sangat terhad. Justeru itu, keutamaan diberi kepada pelajar-pelajar baru untuk menginap di kolej kediaman.

Rajah 3: Pecahan peratusan responden mengikut semester pengajian

3.2 Jenis Penggunaan Peralatan Elektrik Peribadi Berdasarkan borang inventori kendiri yang diisi sendiri oleh pelajar menunjukkan sebanyak 11 jenis peralatan elektrik yang menjadi kelaziman pelajar siswa guna di Kolej Jati. Rajah 4 menunjukkan jenis-jenis peralatan elektrik peribadi yang ada di dalam bilik atau kediaman pelajar di Kolej Jati. Berdasarkan rajah tersebut didapati peratusan tertinggi peralatan elektrik yang kerap digunakan di kolej kediaman ialah telefon bimbit (45%) iaitu melibatkan pengecas bateri telefon bimbit. Corak kehidupan para pelajar di universiti pada masa kini menunjukkan keperluan memiliki telefon bimbit sebagai satu keperluan peribadi. Namun ramai pelajar yang

tidak mendaftarkan pengecas bateri sebagai peralatan elektrik kerana peralatan ini mudah disimpan atau disorok jika pemeriksaan ke bilik dilakukan oleh Pengawai Pembangunan Pelajar.

Rajah 4: Jenis-jenis peralatan elektrik yang digunakan oleh pelajar di Kolej Jati. Peralatan elektrik kedua yang kerap digunakan di Kolej Jati oleh para pelajar ialah komputer riba (23%) atau ‘labtop’. Peralatan elektrik ini merupakan peralatan yang kerap digunakan untuk pembelajaran seperti menyiapkan tugasan, melayari internet dan juga digunakan untuk berhibur seperti menontot video dan mendengar lagu. Komputer riba menjadi pilihan pelajar kerana ianya mudah dibawa ke mana-mana dan ianya juga tidak memerlukan ruang yang banyak berbanding dengan komputer meja atau ‘Desktop’ komputer. Cerek air elektrik (13%) merupakan peralatan elektrik ketiga yang banyak digunakan oleh penghuni di Kolej Jati selepas pengecas bateri telefon bimbit dan komputer riba. Cerek air elektrik digunakan oleh pelajar untuk menyediakan air minuman dan juga untuk menikmati makanan segera yang memerlukan air panas. Lazimnya penggunaan cerek air elektrik ini dikongsi bersama oleh pemiliknya dengan rakan-rakan sebilik atau serumah. Satu lagi peralatan yang lazimnya dikongsi bersama oleh pemilik dengan rakan-rakan sebilik atau serumah ialah seterika atau peralatan pengosok baju (10%) . Peralatan ini digunakan oleh pelajar untuk mengosok pakaian kameja yang diwajibkan oleh pihak pengurusan universiti untuk dipakai setiap hari isnin. Lain-lain peralatan elektrik yang digunakan oleh pelajar dalam peratusan yang kecil ialah Pencetak atau printer (3%), komputer maja atau komputer ‘desktop’ (1%), lampu meja (1%), pembesar suara komputer (1%), pemain MP3 (1%) dan kipas (1%). 3.3 Bilangan unit peralatan elektri peribadi Dalam kajian ringkas ini, responden diminta juga menyatakan bilangan unit peralatan elekrik peribadi yang mereka miliki. Rajah 5 menunjukkan pecahan peratusan mengikut bilangan unit peralatan elektrik bagi setiap pelajar. Pelajar yang menggunakan satu unit peralatan elektrik peribadi di Kolej Jati adalah seramai 65%, diikuti dengan 18% menggunakan 2 unit peralatan elektrik peribadi. Manakala 13% pelajar menyatakan mereka menggunakan 3 unit peralatan elektrik peribadi. Hanya 3% dan 1% pelajar di Kolej Jati menggunakan peralatan elekterik peribadi sebanyak 4 unit dan 5 unit. Terdapat sebahagian kolej kediaman melaksanakan polisi mengehadkan bilangan unit peralatan elektrik peribadi yang boleh digunakan di kolej mereka. Lazimnya, had ini dikenakan kepada peralatan yang boleh dikongsi bersama seperti seterika, pengering rambut dan sebagainya. Tujuan mengehadkan bilangan unit peralatan elektrik bertujuan untuk mengelakkan beban menggunakan tenaga elektrik di waktu puncak. Walau bagaimanapun, di Kolej Jati bilangan unit peralatan elektrik peribadi yang dibenarkan adalah berdasarkan budi bicara pengurusan kolej.

Rajah 5: Pecahan peratusan bilangan pelajar yang membawa peralatan elektrik peribadi mengikut bilangan unit di Kolej Jati

3.4 Yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik Yuran yang dikenakan bagi setiap pendaftaran penggunaan peralatan elektrik peribadi di Kolej Jati ialah RM 10 bagi setiap unit. Pada peringkat awal apabila yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik diperkenalkan pada sesi Julai 2002, ramai di kalangan pelajar yang membantah. Meskipun, pelaksanaan yuran peralatan elektrik bukanlah sesuatu yang baru di kolej-kolej kediaman universiti tempatan. Malahan, pelaksanaanya yuran ini di UiTM adalah antara yang paling lewat dilaksanakan berbanding dengan universiti-universiti yang lain di Malaysia. Dalam kajian ringkas ini, responden diminta memberi cadangan jumlah yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik peribadi yang wajar dikenakan kepada pelajar bagi setiap semester. Rajah 6 menunjukkan peratusan bilangan pelajar yang mencadangan jumlah yuran yang wajar dikenakan untuk pendaftaran penggunaan peralatan elektrik peribadi di kolej kediaman.

Rajah 6: Cadangan yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik peribadi di kolek kediaman

Seramai 49% pelajar mencadangan tiada sebarang bayaran dikenakan ke atas penggunaan peralatan elektrik peribadi di kolej kediaman. Manakala 18% pula mencadangan hanya RM 1 sahaja dikenakan bagi setiap unit peralatan yang digunakan. Bagi yuran pendaftaran RM 2 hanya 12% pelajar yang bersetuju. Begitu juga yuran

pendaftaran RM 5 hanya 10% sahaja yang bersetuju. Bagi yuran pendaftaran RM 10 iaitu jumlah yang dikenakan pada ketika ini hanya 4% sahaja yang bersetuju. Hasil dapatan kajian ini mendapati hampir 90% daripada penghuni Kolej Jati tidak bersetuju dengan yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik peribadi sebanyak RM 10 yang sedang dilaksanakan pada masa kini. 3.5 Cadangan berkaitan kemudahan dan perkhidmatan peralatan elektrik di Kolej Jati Dalam kajian ini responden diberi peluang untuk member saranan dan cadangan untuk penambah baikan tadbir urus pengurusan kolej kediaman khususnya berkaitan dengan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan dengan peralata elektrik di Kolej Jati. Antara cadangan yang kerap dikemukakan oleh responden ialah cadangan memansurkan yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik di kolej kediaman. Mereka berpendapat bahawa pemansuhan yuran ini akan meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka. Terdapat juga cadangan memohon untuk pihak pengurusan kolej untuk mempertimbangan pengurangan yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik. Cadangan yang kedua yang kerap diutarakan dalam maklum balas kajian ini ialah cadangan memohon pihak pengurusan kolej menyediakan peralatan elektrik yang boleh digunakan bersama oleh penghuni kolej seperti cerek air elektrik dan seterika serta lampu meja untuk belajar.Dengan penyediaan peralatan ini penghuni tidak perlu membawa peralatan elektrik sendiri dan seterusnya tidak perlu membayar yuran pendaftarannya. Selain itu juga, penghuni kolej memohon pihak pengurusan kolej untuk menambah bilangan soket yang sedia ada di bilik atau kediaman mereka di Kolej Jati. Bilangan soket yang terhad menyebabkan pelajar terpaksa menggunakan sambung soket untuk mengguna peralatan elektrik peribadi mereka. 3.6 Implikasi kajian Kajian ringkas ini dapat memberi gambaran tentang reaksi penghuni Kolej Jati terhadap pelaksanaan tadbir urus berkaitan penggunaan peralatan elektrik peribadi di kolej kediaman. Dengan mengetahui jenis-jenis peralatan elektrik yang kerap dibawa dan digunakan oleh pelajar membolehkan pihak pengurusan kolej merancangan dan memenuhi keperluan infrastruktur bagi menampung kegunaan peralatan elektrik di kolej kediaman. Sebagai contohnya, berdasarkan dapatan kajian ini didapati bilangan soket yang sedia ada di dalam kediaman pelajar perlu dikaji semula. Cadangan oleh pelajar untuk menambah soket adalah wajar untuk dipertimbangkan. Ini jelas dapat dilihat dengan penggunaan sambungan soket yang digunakan oleh pelajar bagi mengatasi masalah kekurangan soket di bilik mereka. Cadangan untuk memansuhkan atau mengurangkan yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik mungkin sukar dilaksanakan diperingkat kolej kerana ianya diluar bidang kuasa pihak pengurusan kolej. Langkah yang boleh diambil ialah dengan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak pengurusan atasan untuk dipertimbangkan.

4. KESIMPULAN Kajian penggunaan peralatan elektrik di kolej kediaman dalam konteks di Kolej Jati ini merupakan satu kajian rintis bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang kemudahan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan peralatan elektrik di kolej kediaman. Kajian ringkas telah dapat menyenaraikan peralatan elektrik peribadi yang digunakan di kalangan penghuni di Kolej Jai. Selain itu juga, maklum balas penghuni terhadap kadar yuran pendaftaran penggunaan peralatan elektrik telah memberi petunjuk tentang jumlah wang yang dianggap tinggi oleh pelajar untuk membayar yuran pendaftaran tersebut. Faktor ini boleh dijadikan sebab kenapa sebahagian daripada penghuni enggan untuk mendaftar peralatan elektrik mereka.

Penghargaan Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada semua Pengurus Asrama dan kakitangan Kolej Jati dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta Jawatankuasa Perwakilan Blok Kolej Jati yang terlibat di dalam menjayakan kajian ini. Sekalung penghargaan juga kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM kerana memberi sokongan dan dorongan untuk merealisasikan kajian rintis ini.

Rujukan Fairus Muhamad Darus. (2008). Memperkasakan tadbir urus kemudahan kediaman pelajar menuj kecemerlangan hari esok. Dlm. Syed Yusainee Syed Yahya, Fairus Muhamad Darus dan Adnan Omar. Prosiding Seminar Tadbir Urus Kemudahan Kediaman Pelajar. UPENA UiTM. Shah Alam

Ab Malik Marwan Ali, Hamdani Abu Hassan, Mohd Hafiz Mohd Hanafiah, Rosli Ahmad, Abdul Khatab Muda dan Fairus Muhamad Darus. 2009. Penggunaan Peralatan Elektrik Di Kolej Kediaman: Kajian Kes Di Kolej Jati. 1st Regional Residential Officers’ Convention: Towards Students’ Holistic Development. 7 – 8 October 2009. Intekma Resort & Convention Center, Shah Alam. ISBN: 978-967-305-421-5

Related Documents


More Documents from "fairus"