Persepsi Pelajar Terhadap Aktiviti Kolej Kediaman

  • Uploaded by: fairus
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Persepsi Pelajar Terhadap Aktiviti Kolej Kediaman as PDF for free.

More details

  • Words: 2,900
  • Pages: 7
PERSEPSI PELAJAR TERHADAP AKTIVITI DI KOLEJ, BENARKAH PELAJAR TIDAK BERMINAT? Zaiton Endota, Fairus Muhamad Darusb dan Ramlah A Rahamaha a

Kolej Delima, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

b

Abstrak Kolej kediaman juga memainkan peranan di dalam proses pembentukan diri dan keperibadian mahasiswa di dalam aktiviti pembangunan dan kepimpinan diri. Pelbagai aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa dirangka dan dilaksanakan di kolej kediaman demi untuk mengasahkan dan memantapkan kemahiran generik di kalangan mahasiswa. Kajian mengenai persepsi mahasiswa terhadap aktivti di kolej kediaman dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang memberi impak terhadap penglibatan mahasiswa dengan aktiviti di kolej kediaman. Kajian rintis ini menggunakan borang soal selidik melibatkan empat buah kolej kediaman yang terdapat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Hasil kajian mendapati faktor yang mendorong mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti di kolej kediaman boleh dibahagikan kepada tiga iaitu faktor mendapatkan kemudahan kolej kediaman, pembangunan diri dan interaksi sosial. Manakala faktor kegiatan akademik pula menjadikan mahasiswa kurang terlibat dengan aktivti di kolej kediaman. Rumusan kajian ini mendapati bahawa aktiviti-aktiviti di kolej kediaman perlu disesuaikan dengan latar belakang penghuninya terutama berdasarkan program pengajian yang diambil oleh mahasiswa di kolej tersebut. Kata kunci: Mahasiswa, Kolej Kediaman, Aktiviti, Persepsi, Universiti Teknologi MARA

1. Pengenalan Asrama merupakan tempat menyediakan tempat tinggal atau penginapan kepada mahasiswa yang belajar di Instituti Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Terdapat pelbagai istilah yang digunakan untuk penginapan mahasiswa seperti kolej kediaman, mahallah dan desasiswa di IPTA-IPTA yang lain. Di dalam konteks UiTM istilah Kolej digunakan untuk kemudahan penginapan yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Peranan kolej kediaman bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penginapan yang memberi khidmat sokongan, kemudahan dan apa jua keperluan untuk menjadikan kemajuan akademik meningkat serta proses pembelajaran berkesan. Kolej kediaman merupakan khidmat kemudahan yang penting selepas fakulti yang digunakan oleh mahasiswa sepanjang menuntut di universiti (Mohd Sabri, 2003). Kolej kediaman juga memainkan peranan di dalam proses pembentukan diri dan keperibadian mahasiswa di dalam aktiviti pembangunan dan kepimpinan diri. Hal ini sama juga di universiti-universiti lain seperti mana yang dinyatakan oleh Jamaludin (2005), antara matlamat mengadakan kolej kediaman adalah seperti berikut: 1. 2. 3. 4.

Menyediakan pengalaman yang menyeronokkan dan berfaedah bagi memangkin kejayaan akademik Memberi hak mahasiswa untuk “privacy”, keselamatan diri dan harta peribadi semasa berada di universiti Mewujudkan persekitaran yang bersesuaian untuk keperluan peribadi bagi mencapai prestasi diri yang baik Melahirkan generasi mahasiswa yang bertanggungjawab, berbudaya ilmu, pintar bermasyarakat, berkepimpinan tinggi, mampu bersaing di peringkat antarabangsa, berakhlak mulia dan berbudaya bangsa.

Sebahagian masa mahasiswa banyak digunakan di kolej kediaman selain daripada di fakulti. Justeru itu, banyak aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa diatur dan dilaksanakan kepada mahasiswa untuk memberi input kemahiran generik (soft skill), kemahiran kepimpinan, kemahiran kerja berkumpulan dan lain-

lain kemahiran (Mazura et. al., 2006). Jadual 1 menunjukkan kategori aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di kolej-kolej kediaman di UiTM Shah Alam. Jadual 1: Kategori dan contoh aktiviti mahasiswa di kolej-kolej kediaman di UiTM Shah Alam Kategori / Jenis Aktiviti Kebudayaan



Contoh aktiviti Malam Aspirasi Seni

Sukan dan Rekreasi

• •

Ekspedisi Mendaki Gunung, Sukan Antara Blok

Inovasi



Pertandingan Mereka Cipta Produk Dari Bahan Terpakai

Sosial / Kemasyarakatan

• •

Program Khidmat Masyarakat Di Desa Malam Pra Graduan

Kerohanian

• •

Kuliah Mahgrib Forum Perdana Islam

Kepimpinan

• •

Kem Bina Kumpulan Kem Kepimpinan

Patriotik



Membina Bendera Malaysia Yang Terpanjang

Keusahawanan

• •

Minggu Usahawan Minggu Kolej Kediaman

Akademik



Pertandingan Debat

Pengantarabangsaan



Lawatan Sambil Belajar Ke Jepun

Perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman melibatkan empat kumpulan iaitu Pentadbir, Penasihat dan pemantau, Pelaksana dan Golongan Sasaran (Fairus, 2008). Jadual 2.0 menerangkan peranan dan tanggungjawab setiap kumpulan yang terbabit. Jadual 2.0: Pihak yang terlibat di dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman.



Pihak yang terlibat Pihak Pengurusan Kolej

Peranan dan tanggungjawab - Pentadbir : bertanggungjawab meluluskan sesuatu perancangan aktiviti



Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP)

- Penasihat dan pemantau : bertanggungjawab sebagai tempat rujukan dan memastikan pelaksanaan aktiviti adalah mengikut perancangan



Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK)

- Pelaksana : bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang telah dirancang dengan jayanya



Penghuni Kolej

- Golongan sasaran : bertanggungjawab untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti yang dilaksana

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK) merupakan sebuah badan tertinggi peringkat mahasiswa yang bertanggungjawab di dalam menjaga kebajikan dan melaksankan aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan di kolej kediaman. Jawatankuasa ini terdiri daripada mahasiswa yang menginap di kolej tersebut dan dipilih untuk mewakili penghuni lain di kolej tersebut. Peranan JPK ini adalah menjadi perantaraan antara pihak pengurusan pejabat dan penghuni kolej. Pada masa yang sama juga JPK bertindak sebagai sebuah organisasi yang melaksanakan segala aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa dengan dibantu oleh Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) sebagai penasihat atau pemantau (Fairus, 2008). Rajah 1 menunjukkan contoh carta struktur organisasi JPK di kolej kediaman.

Timb. Pengarah HEP / Pengetua

Ketua PPP

Yang Dipertua

Naib Yang Dipertua

Exco Kebajikan & Keselamatan

Exco Kerohanian

Exco Informasi

Setiausaha

Exco Sukan & Rekreasi

Exco Tugas-tugas Khas

Naib Setiausaha

Exco Akademik

Exco Kepimpinan

Bendahari

Exco Perhubungan Dalaman

Exco Pengantarabangsaan

Naib Bendahari

Exco Kebudayaan

Exco Keusahawanan

Rajah 1: Contoh struktur organisasi Jawatankuasa Kolej Kediaman Pelbagai usaha dan penglibatan pelbagai pihak di dalam menyediakan aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa kepada penghuni kolej kediaman, namun usaha ini tidak akan membawa makna jika golongan sasaran (penghuni kolej kediaman) tidak mengambil bahagian secara aktif. Kertas kerja ini merupakan kajian rintis untuk mengetahui secara kualitatif dan kuantitatif berkaitan persepsi mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman terhadap aktivti-aktiviti di kolej kediaman. Maklumat yang diperolehi melalui kajian ini penting sebagai asas untuk mengetahui bagaimana penghuni kolej kediaman memberi maklum balas terhadap aktivitiaktiviti di kolej kediaman.

2. METODOLOGI 2.1 Kaedah persampelan Kajian ini melibatkan empat buah kolej kediaman yang dipilih secara rawak iaitu Kolej Seroja, Kolej Delima, Kolej Meranti dan Kolej Perindu. Persampelan dilakukan menggunakan borang soal selidik yang mengandungi item pengukuran sebanyak .Pemilihan responden dikeempat-empat buak kolej kediaman juga dibuat secara rawak. 2.2 Kaedah analisa data Analisa kajian ini dilakukan secara deskriptif untuk mengetahui persepsi mahasiswa terhadap aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman. Borang soal selidik direka bentuk dengan menyediakan item latar belakang responden serta 25 item berkaitan dengan aktiviti di kolej kediaman. Lima Skala Likert digunakan dalam kajian ini iaitu bermula dengan sangat tidak setuju, tidak setuju, kurang setuju, setuju dan sangat setuju. Ujian kebolehpercayaan kriterion dalaman instrument atau borang soal selidik memperolehi nilai ‘cronbach alpha’ iaitu 0.72.

3. PENEMUAN DAN PERBINCANGAN 3.1 Latar belakang responden Seramai 100 orang mahasiswa terlibat menjayakan kajian rintis ini di mana 52% daripada jumlah tersebut adalah mahasiswi dan 48% adalah mahasiswa. Sebanyak 77% responden adalah mahasiswa yang sedang mengambil pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, manakala manakala 4% adalah peringkat Diploma dan 19% pula peringkat Pra-Ijazah. Ijazah. Rajah 2 menunjukkan pecahan peratusan responden berdasarkan tempoh mahasiswa tersebut menginap di kolej kediaman. Secara umumnya hanya sebahagian mahasiswa (42%) sahaja yang mendapat peluang untuk terus menginap di kolej kediaman bagi tempoh melebihi tiga semester sahaja. Bilangan kemudahan kolej kediaman yang terhad berbanding dengan pertambahan bilangan mahasiswa setiap semester menyebabkan mahasiswa tidak member berpeluang kepada semua mahasiswa untuk terus menginap di kolej kediaman sehingga tamat pengajian. pengajian Mobiliti mahasiswa iaitu pendaftaran masuk dan keluar di kolej kediaman yang aktif berdasarkan pengambilan kemasukan mahasiswa ke UiTM berlangsung dua kali setahun turut memberi kesan kepada mahasiswa senior untuk terus menginap di kolej kediaman (Fairus, 2006) melebihi lima semester 16%

empat semester 26%

tiga semester 7%

satu semester 33%

dua semester 18%

Rajah 2:: Tempoh mahasiswa penginap di kolej kediaman berdasarkan bilangan semester

3.2 Persepsi mahasiswa terhadap aktiviti kolej kediaman Tujuan utama pihak pengurusan san kolej kediaman di UiTM menyediakan pelbagai aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman adalah bagi memberi peluang kepada mahasiswa menimba, menambah pengalaman, dan memupuk minat serta mencukil bakat yang ada pada setiap mahasisw mahasiswa. Di samping itu, aktiviti di kolej kediaman adalah meneruskan kesinambungan ilmu yang diperolehi di fakulti untuk menjadikan mahasiswa itu sebagai insan yang serba boleh serta mempunyai kemahiran yang holistik berdasarkan Model Graduan UiTM (Mazura et. al., 2006). 3.2.1 Menyertai aktiviti untuk mendapatkan kemudahan penginapan di kolej kediaman Hasil kajian rintis ini mendapati 83% mahasiswa menyertai aktiviti di kolej kediaman dengan tujuan untuk memastikan mereka mendapat tempat atau peluang untuk terus menginap di kolej kediaman pada semester yang akan datang (skor = 4.18). Hasil kajian ini juga disokong dengan dapatan kajian yang menunjukkan 79% mahasiswa menyertai aktiviti di kolej kediaman untuk mengumpul ‘kupon aktiviti’ yang bakal digunakan di dalam m pengiraan sistem merit permohonan kolej kediaman (skor = 4.07). Hubungan korelasi antara tujuan mendapat tempat atau peluang menginap di kolej kediaman dengan tujuan mengumpul ‘kupon aktiviti’ menunjukkan hubungan yang signifikan dengan nilai 0.79 pada aras kebolehpercayaan 0.01. Hasrat UiTM untuk meningkatkan bilangan keseluruhan mahasiswanya daripada 100,000 kepada 200,000 orang demi memenuhi kehendak kerajaan dan tanggungjawab sosial yang disasarkan seawal-awalnya seawal awalnya 2010 atau paling lewat 2015 menjadikan kolej kediaman sebagai satu sat kemudahan yang sangat terbatas (Wan Wan Zawiyah dan Fairus, 2006). Justeru itu, pemilihan mahasiswa yang layak mendapat khidmat kemudahan kolej kediaman terpaksa dilakulan berdasar sistem merit. Perkara yang dinilai di dalam sistem merit ini ialah berdasarka berdasarkan pendapatan

keluarga, bilangan tanggungan keluarga, pencapaian akademik dan penglibatan di dalam aktiviti atau kegiatan mahasiswa di kolej kediaman serta persatuan atau kelab di universiti. Kemudahan kolej kediaman yang terhad serta bilangan mahasiswa yang ramai menyebabkan berlaku persaingan di kalangan penghuni kolej untuk mendapatkan tempat di kolej kediaman. Oleh itu, majoriti mahasiswa yang menyertai aktiviti di kolej kediaman mempunyai motif utamanya ialah berusaha mendapat merit yang tinggi melalui ‘kupon aktiviti’ dan seterusnya mencerahkan peluang untuk mendapat tempat di kolej kediaman pada semester yang akan datang. 3.2.2 Menyertai aktiviti untuk pembangunan diri Penyertaan mahasiswa terhadap aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman dapat meningkatkan kemahiran generik di kalangan mereka. Hasil kajian ini menunjukkan 89% mahasiswa menyertai aktiviti di kolej kediaman degan hasrat untuk memajukan diri mereka (skor = 4.13). Hasil kajian ini juga menunjukkan 78% mahasiswa menyertai aktiviti di kolej kediaman kerana ingin belajar menjadi pemimpin (skor = 3.94). Seramai 87% mahasiswa yang menyertai aktiviti di kolej kediaman turut menyatakan mereka menyertainya kerana sukakan cabaran yang ada di dalam aktiviti-aktiviti tersebut (skor = 4.03). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa aktiviti di kolej kediaman memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengembang dan mengukuhkan kemahiran generik mereka sepenjang tempoh mereka menginap di kolej kediaman. Seperti mana yang dinyatakan oleh Jamaludin (2005) bahawa kolej kediaman berperanan mewujudkan persekitaran yang bersesuaian untuk keperluan peribadi mahasiswa bagi mencapai prestasi diri yang baik. Kepelbagaian jenis aktiviti di kolej kediaman turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah pelbagai elemen kemahiran generik (Ruslin & Tajul Ariffin, 2008). 3.2.3 Menyertai aktiviti untuk bersosial Pelaksanaan aktiviti di kolej kediaman turut memberi peluang kepada penghuninya untuk berinteraksi, bersosial dan dapat mengurangkan tekanan atau stres akibat beban akademik. Hasil kajian rintis ini mendapati 92% mahasiswa menyatakan melalui aktiviti di kolej kediaman, mereka dapat menggunakan peluang yang ada untuk bertukar-tukar fikiran (skor = 4.08). Selain itu, 87% menyatakan melalui aktiviti di kolej kediaman mereka berpeluang untuk berkawan dengan penghuni yang lain (skor = 4.06). Bagi mengurangkan stres, seramai 79% menyatakan melalui penyertaan aktiviti di kolej kediaman dapat membantu mengurangkan stres mereka (skor = 3.90). Aktiviti-aktiviti di kolej kediaman seperti pertandingan sukan atau keceriaan blok lazimnya dilaksanakan berdasarkan blok atau aras kediaman di mana mahasiswa itu menginap. Dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti ini ianya memberi peluang kepada penghuni di sesuatu blok atau aras mengenali rakan-rakan baru sama ada yang menginap di blok yang sama atau blok yang lain. Aktiviti yang bersifat pertandingan juga mengerat hubungan dan menaikkan semangat kekitaan di kalangan penghuni tidak terhad kepada rakan sebilik sahaja, malahan merangkumi rakan seblok atau sekolej. Interaksi sesama mahasiswa ketika pelaksanan sesuatu aktiviti boleh bertindak sebagai satu terapi untuk mengurangkan stres. Aktiviti berbentuk kerohanian yang dilaksanakan di kolej kediaman juga turut membantu dalam pengurus stres di kalangan mahasiswa yang menginap di kolej kediaman. 3.2.4 Sebab tidak menyertai aktiviti di kolej kediaman Pelaksanaan aktiviti pembangunan dan kepimpinan pelajar di kolej kediaman memberi banyak manfaat kepada mahasiswa yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Namun ada juga di kalangan mereka yang tidak mahu menyertai atau terlibat sama di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pengurusan kolej kediaman. Kajian rintis ini juga ingin mengetahui sebab atau faktor yang menyumbang kepada keengganan mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti di kolej kediaman. Dapatan kajian ini mendapati skor tertinggi kenapa mahasiswa tidak terlibat dengan aktiviti di kolej adalah berpunca daripada pertindihan antara aktiviti di kolej dan aktiviti sama ada akademik atau bukan akademik di fakulti (skor = 3.77). Hasil kajian mendapati 46% menyatakan berlaku pertindihan pelaksanaan aktiviti di kolej dengan jadual kuliah mereka (skor = 3.37). Manakala 49% menyatakan jadual kuliah yang padat menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk menyertai aktiviti di kolej kediaman (skor = 3.28).

Pertindihan waktu pelaksanaan aktiviti di kolej dan jadual pembelajaran mahasiswa khususnya di waktu malam sememangnya tidak dapat dielakkan kerana bilangan mahasiswa yang semakin bertambah dari masa ke semasa dan jumlah bilik kuliah dan makmal yang terhad menyebabkan sesetengah kegiatan akademik terpaksa dilakukan selepas jam lima petang hingga ke sebelah malam. Jenis program pengajian yang diambil oleh mahasiswa turut mempengaruhi kepadatan aktiviti akademik mereka dan turut mempengaruhi penglibatan mereka di dalam aktiviti di kolej kediaman. Sebagai perbandingan, mahasiswa pengajian perubatan mempunyai jadual kuliah yang lebih padat berbanding mahasiswa pengajian biologi. Begitu juga dengan jenis tugasan akademik yang dihadapi oleh mahasiswa turut mempengaruhi penglibatan mereka dengan aktiviti di kolej kediaman. Mahasiswa yang mempunyai kerja-kerja makmal atau studio serta kerja lapangan terpaksa menggunakan masa senggang mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberi berbanding mahasiswa yang hanya melaksanakan tugasan akademik yang biasa seperti menyiapkan esei. Faktor-faktor seperti ini dijadikan alasan oleh mahasiswa untuk tidak terlibat dengan aktiviti di kolej kediaman. Selain daripada faktor akademik, hasil kajian ini mendapati 32% mahasiswa menyatakan bahawa penyertaan mereka terhadap aktiviti persatuan / kelab di universiti telah membataskan masa mereka untuk terlibat dengan aktiviti di kolej kediaman (skor = 2.95). Begitu juga dengan aktiviti peribadi, seramai 30% mahasiswa menyatakan tidak menyertai aktiviti di kolej kediaman kerana mempunyai urusan peribadi (skor = 2.82). Manakala, seramai 28% mahasiswa pula menyatakan bahawa mereka tidak menyertai aktiviti di kolej kediaman kerana ingin berehat khusus pada waktu hujung minggu (skor = 2.73). Terdapat juga mahasiswa menyatakan bahawa mereka tidak menyertai aktiviti di kolej kediaman pada hujung minggu kerana mereka tiada di kampus atau di kolej pada ketika masa tersebut. Hasil kajian rintis ini jelas menunjukkan terdapat kelompok mahasiswa yang tidak berminat terhadap aktivitiaktiviti di kolej kediaman kerana mereka lebih memberi keutamaan terhadap aktiviti akademik dan urusan peribadi. Kelompok seperti ini lazimnya tidak berminat untuk terus menginap di kolej kediaman, justeru itu mereka tidak bersungguh-sunguh untuk mengumpul ‘kupon aktiviti’ dan seterusnya bersaing mendapat kolej kediaman pada semester akan datang. Kelompok ini menyedari bahawa tempat yang disediakan untuk mereka menginap terus di semester hadapan adalah terhad. Lazimnya, kelompok sebegini telah membuat perancangan awal untuk mencari kediaman sewa diluar kampus.

4. KESIMPULAN Hasrat pihak pengurusan universiti khususnya di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan pihak pengurusan kolej kediaman menjadikan aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa sebagai wadah untuk mengembang dan memantapkan kemahiran generik di kalangan mahasiswa. Namun, pencapaiannya terhadap objektif penganjuran aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa bergantung kepada penglibatan mahasiswa itu sendiri. Kajian rintis ini memberi gambaran awal terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi penglibatan mahasiswa dalam aktiviti pembangunan dan kepimpinan pelajar di kolej kediaman. Selain daripada mengenalpasti faktor pendorong, kajian ini juga telah mengenal pasti faktor penolakan terhadap penglibatan mahasiswa di dalam aktiviti-aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman. Kajian lanjutan perlu dilakukan untuk mengetahui sejauhmanakah keberkesanannya aktiviti pembangunan dan kepimpinan mahasiswa di kolej kediaman dapat mengembang dan memantapkan kemahiran generik di kalangan mahasiswa yang menginap di kolej kediaman tersebut.

Penghargaan Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada semua Pengurus Asrama dan kakitangan kolej kediaman yang terlibat di dalam menjayakan kajian ini. Sekalung penghargaan juga kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM kerana memberi sokongan dan dorongan untuk merealisasikan kajian rintis ini.

Rujukan Fairus Muhamad Darus. (2008). Peranan Kepimpinan Mahasiswa di Kolej Kediaman dalam Memperkasakan Kemahian Insaniah (Soft skills). ESTEEM Academic Journal UiTM Pulau Pinang. 4(2): 199 – 207 Fairus Muhamad Darus. (2006). Budaya Penyelenggaraan Kemudahan Kolej di Kalangan Mahasiswa: Kajian Kes di Kolej Melati, UiTM, Shah Alam. Persidangan Kebangsaan Pembangunan Pelajar . Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, 8 – 9 Ogos 2006. Jamaludin Mohaiadin. (2005). Kampus Universiti sebagai Institusi “Living-Environment”. Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Nasional (SPARK). Hotel Century Mahkota, Melaka. 27 – 30 November 2005. Mazura Anuar, Fairus Muhamad Darus dan Syed Yusainee Syed Yahya. (2006). Memperkasakan Modal Insan: Peranan dan Cabaran Kolej Kediaman di Univesiti Teknologi MARA, Shah Alam. Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2006 (NASDEC2006). Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. 8 – 9 Ogos 2006. Mohd Sabri Mohd Amin. (2003). Peranan Kolej Kediaman Dalam Pembentukan Peribadi Siswa. Kursus Biro Tata Negara: Pengawai Pembangunan Pelajar & Pengurus Asrama. Kem Bina Negara Meru, Klang. 19 – 21 Jun 2003. Ruslin Amir dan Tajul Ariffin Mohamad. (2008). Kolej Kediaman Entiti Pembinaan Kemahiran Generik: Tinjauan Awal di UKM. Dlm. Syed Yusainee Syed Yahya, Fairus Muhamad Darus dan Adnan Omar. Prosiding Seminar Tadbir Urus Kemudahan Kediaman Pelajar. UPENA UiTM. Shah Alam

Wan Zawiyah Wan Abdullah dan Fairus Muhamad Darus. 2006. Tadbir Urus Kolej Kediaman Menjelang 2010. Seminar Tadbir Urus Kolej Kediaman Zon Timur. 23-25 Jun 2006. Universiti Teknologi MARA Terengganu.

Zaiton Endot, Fairus Muhamad Darus & Ramlah A Rahamah. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Aktiviti Kolej, Benarkah Pelajar Tidak Berminat? 1st Regional Residential Officers’ Convention: Towards Students’ Holistic Development. 7 – 8 October 2009. Intekma Resort & Convention Center, Shah Alam. ISBN: 978-967-305-421-5

Related Documents


More Documents from "Suffian"