Penentangan di Kelantan Pengenalan Melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909, kuasa Kelantan telah dipindahkan oleh Siam kepada Kerajaan British. James Scott Mason dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Kelantan pada Julai 1909. Pada tahun 1910, British secara rasmi menguasai hubungan luar negeri Kelantan melalui Perjanjain Inggeris-Kelantan. Perjanjian ini juga menegakkan hak British untuk melantik seorang Penasihat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV. Baginda mesti mematuhi nasihat Penasihat British dalam semua perkara kecuali yang berkaitan dengan agama dan adat resam orang Melayu. Perubahan sosio ekonomi yang dibawa oleh British telah mengakibatkan pemberontakan di daerah Pasir Putih pada 29 April 1915.
British di Kelantan sebelum 1909 Kebangkitan menentang bermula sejak termeterainya Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902. Menurutnya, seorang Penasihat berbangsa Inggeris bernama William Amstrong Graham dilantik sebagai Penasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada Julai 1903. Pada tahun 1904, W.A. Graham telah memperkenalkan beberapa perkara baru dalam pentadbiran Kelantan. Pengenalan peraturan-peraturan baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Antaranya ialah: a. Penubuhan beberapa jajahan baru seperti Kota Bahru, Hulu Kelantan dan Pasir Putih. Tiap-tiap jajahan ini ditadbir oleh seorang Ketua Jajahan. Sebuah balai polis juga didirikan di setiap jajahan. Sebagai contohnya, Encik Ibrahim menjadi Ketua Jajahan dan Sarjan Che Wan menjadi Ketua Balai Polis di jajahan Pasir Putih. Ketua Jajahan dibantu oleh 2 orang yang bergelar Tok Kweng atau Penggawa dan Tok Nebeng atau Penghulu. Tok Nebeng bertugas menjaga keamanan dan memungut hasil dalam kampung masing-masing. b. Pada tahun 1905, Undang-undang Hasil Padi diluluskan. Menurutnya, semua pemilik tanah perlu memberi maklumat yang tepat tentang kawasan tanah, hasil dan kedudukan tanah kepada Tok Kweng. Perubahan-perubahan ini menjejaskan hak kuasa pembesar ke atas daerah masingmasing. Malah, kuasa Engku Besar Jeram dan Pasir Putih semakin berkurangan. Kebangkitan menentang British di Kelantan semakin hebat selepas tahun 1909. Pada tahun 1909, Kelantan dipindahkan daripada pemerintahan Siam kepada Inggeris menurut Perjanjian Inggeris-Siam (Bangkok) 1909. Ekoran ini, British melantik seorang penasihat di Kelantan untuk menasihati Sultan Muhammad IV dalam semua perkara, kecuali adat-istiadat dan agama Islam. Penglibatan British dalam pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati. Mulai tahun 1910, perubahan yang agak radikal telah diperkenalkan oleh Penasihat British kepada sistem pentadbiran Kelantan. Malah pihak British menggunakan pegawaipegawai Melayu dari luar negeri Kelantan untuk melaksanakan peraturan-peraturan tersebut. Tindakan ini telah mencetuskan kebangkitan di daerah Pasir Putih, Kelantan pada tahun 1915 semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Kebangkitan ini dipimpin oleh
Haji Mat Hassan bin Munas, lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Pembesar-pembesar lain yang menyertai pemberontakan ini ialah Engku Besar Tun Ahmad Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak Merbol.
Sebab-sebab penentangan di Kelantan 1.
2.
Ketidakpuas hati Engku Besar Jeram Engku Besar Tun Ahmad dan penduduk kawasan Jeram tidak puas hati dengan campur tangan British di jajahan Pasir Putih. Engku Besar adalah pembesar di daerah Jeram. British campur tangan dalam pentadbiran Jeram dengan menasihati Sultan Muhammad IV supaya membina sebuah pondok polis di Pasir Putih. Kerajaan British juga campur tangan dengan melantik seorang Pegawai Daerah untuk mentadbir jajahan Pasir Putih yang dahulunya diletakkan di bawah Engku Besar Jeram. Perlantikan pegawai daerah ini menyebabkan Engku Besar Jeram kehilangan hak yang diwarisi turun-temurun sejak abad ke-18. Engku Besar Jeram seterusnya kehilangan kuasa, wibawa dan keistimewaan. Engku Besar Tun Ahmad hanya berkuasa sebagai Tok Kweng Muda, iaitu kedudukannya lebih rendah daripada Tok Kweng (penggawa). Sebelum perubahan ini, Tok Kweng adalah di bawah kuasa Engku Besar Jeram. Engku Besar juga telah kehilangan hak memungut cukai’ sebaliknya, beliau terpaksa membayar cukai ke atas tanah yang menjadi hak miliknya seperti rakyat biasa. Engku Besar Jeram yang tidak puas hati dengan sistem pentadbiran British lalu menghasut pengikutnya Tok Janggut atau Haji Mat Hassan supaya bangun menentang dan mengusir British dari Pasir Putih. Tok Janggut dikatakan lebih lama menyimpan dendam dalam hati kerana ayahnya, iaitu Panglima Munas dan abangnya Mat Tahir sebelum itu telah dibunuh atas perintah Sultan. Pengenalan sistem cukai baru Pentadbiran British telah memperkenalkan sistem pentadbiran dan peraturan baru yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan. Sebelum pengenalan peraturan baru, cukai atau hasil di Pasir Putih berdasarkan kepada jumlah hasil tahunan. Sekiranya jumlah hasil adalah sangat sedikit, dikecualikan daripada cukai. Tanah yang tidak dikerjakan atau diusahakan tidak dikenakan cukai, misalnya pokok pinang kurang daripada 10 batang dikecualikan daripada cukai. Peraturan baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran British tidak ada pengecualian. Pokok buah-buahan dikenakan cukai 12 ½ sen setahun, sirih dikenakan 5 sen sejunjung, lembu dan kerbau dikenakan 20 sen seekor, pokok-pokok kayu seperti temberu, mendung dan kapur yang hendak ditebang dikenakan cukai $1 sebatang, tanah pula 60 sen seekar. Menurut undang-undang baru itu, cukai dikenakan ke atas tanah dan bukannya ke atas hasil tanah seperti dahulu. Sebelum itu, peraturan tanah padi tahun 1905 amat longgar, iaitu hanya mewajibkan satu penjuru bersamaan 400 depa tanah padi dikenakan cukai 30 sen setahun. Kurang daripada 200 depa dikecualikan cukai. Selain itu, penduduk Pasir Putih dikehendaki melaporkan keluasan dan tempat tanah yang mereka miliki kepada Tok Kweng. Dengan demikian, rakyat telah dibebankan dengan bermacam-macam jenis cukai yang diperkenalkan melalui sistem pentadbiran baru. Cukai tanah yang diperkenalkan oleh pihak British merupakan suatu yang baru bagi penduduk Kelantan. Cukai tanah yang dikuatkuasakan oleh
3.
4.
pihak British adalah tetap. Cukai harus dibayar walaupun tanah tidak dikerjakan. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan didenda. Penduduk menghadapi kerumitan dalam pembayaran cukai kerana pejabat bayaran cukai hanya diwujudkan di daerah tertentu dan pejabat itu terletak agak jauh. Bayaran hanya boleh dibuat dalam waktu tertentu. Rakyat menghadapi masalah untuk membayar dalam masa yang ditentukan. Pegawai-pegawai yang bertugas tidak cekap. Rakyat terpaksa datang ke pejabat beberapa kali untuk membayar cukai, misalnya, Tok Janggut telah datang beberapa kali untuk membayar cukai tetapi gagal membayar dalam masa yang ditetapkan. Pegawai yang bertugas kadang-kala bersikap kasar kepada penduduk. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kerana mereka berasakan perlaksanaan undnag-undang baru membebankan mereka berbanding dengan peraturan sebelum ini. Engku Besar kemudiannya mengarahkan Tok Janggut menjalankan kempen agar penduduk Jeram dan seluruh jajahan Pasir Putih jangan membayar cukai. Dalam kempen ini, Tok Janggut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak Merbol. Sikap pegawai British Daerah Jajahan Pasir Putih Pada tahun 1912, British menggantikan Encik Salleh, seorang Melayu tempatan dengan Encik Latiff yang berasal dari Singapura sebagai Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih. Beliau telah melaksanakan pelbagai cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai kepala, cukai buah kelapa dan cukai pokok buah-buahan. Encik Latiff merupakan seorang pegawai yang jujur dalam tugasnya. Beliau telah bertindak dengan tegas untuk melaksanakan undang-undang cukai yang baru diperkenalkan oleh British. Pegawai Daerah dan kakitangannya bersikap kasar terhadap penduduk di Pasir Putih. Mereka yang enggan atau lewat membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Ada kalanya, rakyat yang lewat membayar cukai dimaki dan dicaci oleh pegawai-pegawai. Perbuatan yang kurang ajar ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Perasaan tidak puas hati semakin bertambah apabila Encik Latiff telah menawarkan kontrak bagi mengutip telur penyu dan kercut. Langkah ini mendapat tentangan hebat daripada orang ramai yang sebelumnya boleh mendapatnya secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran. Pengaruh luar Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British. Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya, kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah sebagaimana sebelumnya.
Proses penentangan Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan sokongan oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru dan British.
Pada 28 April 1915, Encik Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat berita Tok Janggut dan pengikutnya di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Encik Latiff. Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis ini tiba di Kampung Kelubi, mereka diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Latiff bersama kakitangannya berundur ke Kota Bahru dengan bot melalui Kuala Semerak. Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan 3 penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira 4 petang pada 29 April 1915 dan mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat kerajaan, menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar dilantik sebagai Raja Jeram dan Tok Janggut menjadi Perdana Menteri kerajaan sementara. Penasihat Inggeris, W. Longham-Carter menerima berita serangan ke atas Pasir Putih pada 30 April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan Kota Bahru. Penasihat British meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei 1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow. Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said dibakar. Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini memaksa Major Borton bersama 50 orang anggota polis Sikh dan 7 orang Eropah datang ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya. Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Pupuh akhirnya bertempur dengan pasukan British. Dalam pertempuran ini, beberapa orang terbunuh, termasuklah Tok Janggut. Engku Besar Jeram Tun Ahmad yang cedera diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman, Thai. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bahru. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bahru selama satu jam sebelum dimakamkan di Pasir Putih. Kebangkitan di Pasir Putih di bawah pimpinan Tok Janggut berjaya buat sementara mengundurkan kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Bahru. Namun, kebangkitan ini telah gagal untuk mempertahankan kejayaannya. Pasukan British bertindak bebas dengan cepat dan berjaya mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut sendiri terkorban dalam pertempuran. oleh SP Star
Penentangan di Terengganu Pengenalan Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit menentang British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu adalah pelaksanaan sistem pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukaicukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk membuka tanah dan mengambil hasil hutan. Pemimpin ulama penentangan ini ialah seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Penentangan ini bertumpu di Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor Limbat dan Tersat.
Kebangkitan tahun 1922 dan 1925 Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan ini bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan British. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam. Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang undang-undang British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang telah membersihkan tanah kawasan Kuala Telemong untuk bercucuk tanam. Tanah itu adalah kepunyaan Tengku Haji Nik (200 ekar) dan tanah kerajaan yang terbiar (400 ekar). Mereka membersihkan tanah itu tanpa meminta pas kebenaran daripada kerajaan kerana Tengku Haji Nik sendiri yang meminta mereka mengerjakan tanah itu. Kebangkitan ini mendapat sokongan yang kuat daripada ramai rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.
Kebangkitan tahun 1928 Peristiwa-peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong pada tahun 1922 dan 1925 telah menambahkan kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang. Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam (Telemong), Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pas kebenaran dari pihak British. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Menurut buku “Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu”, karangan Timah Hamzah, kira-kira 1000 orang penduduk berkumpul di Tersat, Hulu Telemong pada 21 Mei 1928 dengan tujuan untuk memulakan peperangan terhadap orang kafir. Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menduduki pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai British di Kuala Berang terpaksa berundur ke Kuala Terengganu.
Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan British telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Dato’ Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis itu telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Dato’ Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan tidak menghiraukan amaran tersebut. Akibatnya, pasukan polis telah melepaskan tembakan. Dengan bantuan polis tambahan dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British dapat memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu. Semua pemimpin yang terlibat ditangkap dan dipenjarakan iaitu Haji Zakaria 7 tahun; Abu Bakar Chinting 10 tahun; Abdullah Jurukka 10 tahun; Mat Tok Pitas 5 tahun dan Lebai Hassan 5 tahun. Penghulu Salleh Pasir Nyior pula telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong juga didapati bersalah tetapi beliau tidak dihukum penjara. Beliau dibuang negeri ke Makkah. Sebab Haji Abdul Rahman Limbong tidak dipenjarakan ialah beliau dianggap sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh dan kehadirannya akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan terhadap British. Selain itu, British juga tidak mahu menimbulkan lagi kemarahan penyokong-penyokong beliau sekiranya beliau dihukum penjara. Beliau dihantar ke Makkah juga disebabkan beliau berhasrat pergi ke tanah suci untuk mendalami dan mengajar agama Islam. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia di Makkah pada 16 November 1929. oleh SP Star
TOK JANGGUT INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan. Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara. Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini. Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan
pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan