ecer hapus kemiskinan di kelantan written by utusan online monday, 24 september 2007 kota bharu 23 sept. – pelan pembangunan wilayah ekonomi pantai timur (ecer) yang akan dilancarkan oleh perdana menteri, datuk seri abdullah ahmad badawi akhir bulan depan dijangka menumpukan kepada program agropolitan lembaga kemajuan pertanian kemubu (kada) untuk membasmi kemiskinan di negeri ini. pengerusi majlis kemajuan kelantan (mkk), datuk seri annuar musa berkata, pembangunan tanah pertanian secara bersepadu itu akan menyaksikan pelaksanaan beberapa projek tanaman baru bersifat mesra alam dan pengenalan sistem pertanian secara komersial menggunakan bioteknologi. menurut beliau, sebelum ini penubuhan badan seperti lembaga kemajuan kelantan selatan (kesedar) telah merubah kehidupan rakyat di sekitar jajahan gua musang dan kuala krai. katanya, kesedar telah berjaya memenuhi kemudahan prasarana fizikal, ekonomi dan pembangunan modal insan di jajahan-jajahan itu. ‘‘kita kini memerlukan beberapa projek pembangunan dalam ecer bagi memastikan rakyat di jajahan-jajahan lain turut mendapat manfaat daripada pelan ini khususnya untuk mengatasi masalah pengangguran di kalangan generasi muda,’’ katanya. annuar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran rakan muda ramadan peringkat negeri kelantan di masjid kem desa pahlawan, kok lanas, ketereh di sini malam tadi. majlis anjuran jabatan belia dan sukan negeri itu dirasmikan oleh panglima medan tentera darat, jeneral datuk zulkifli mat zain dan turut dihadiri kira-kira 2,500 ahli kelab rakan muda kawasan ketereh. kelmarin, media melaporkan sejumlah rm112 bilion akan dilaburkan untuk membangunkan ecer meliputi kelantan, terengganu, pahang dan daerah mersing di johor. pengerusi dan presiden petronas, tan sri mohd. hassan marican dilaporkan berkata, jumlah itu adalah peruntukan dalam tiga rancangan malaysia dengan 40 peratus daripadanya akan digunakan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan asas dan kemudahan asas.