Kelantan terbukti cemerlang di bawah PAS
Dilulus terbit oleh Webmaster pada Friday, November 17 @ 07:31:52 MYT
ROSLAN SMS Dalam sibuk Umno menjalankan perhimpunannya di PWTC di Kelantan, Dewan Undangan Negeri nya sedang bersidang bagi sessi Belanjawan 2007. Hari in adalah hari terakhir dan sebentar tadi saya sempat mengikuti sessi penggulungan pihak kerajaan negeri melalui Kelantan TV di http://www.kelantan.tv/ sehinggalah siarannya terganggu. Apa yang ingin saya kongsi di sini adalah pencapaian kerajaan negeri Kelantan di bawah kerajaan PAS yang sangat membanggakan kita. Menurut Dato Hj Husam Musa EXCO Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, kerajaan Kelantan telah berjaya memperolehi pencapaian yang baik bagi tahun kewangan 2005. Menurut laporan, kerajaan Kelantan menjangkakan ianya akan memperolehi defisit bagi tahun 2005 sebanyak RM35juta, akan tetapi hasil dari perbelanjaan dan kutipan hasil yang berhemah ia telah berjaya memperolehi lebihan ataupun surplus sebanyak RM170,000 (walaupun nampak kecil tapi jarang-jarang ada kerajaan negeri yang memperolehi surplus sebegini)
Manakala dalam belanjawannya untuk tahun 2005 ia menjangkakan akan berjaya mengutip hasil sebanyak RM276.82 juta akan tetapi hasil dari kesungguhan kerajaan negeri sebanyak RM318.06 juta telah berjaya dipungut. Ini merupakan satu pencapaian yang besar yang saya kira antara negeri yang terbaik di Malaysia dan sudah pasti kerajaan negeri ini juga adalah yang terbaik bagi Kelantan sejak Merdeka. Kelantan selama ini dianak-tirikkan oleh semua pihak khasnya kerajaan Persekutuan yang dikuasai Umno/BN atas alasan ianya adalah kerajaan pembangkang. Semalam pun kita mendengar wakil Umno dari Kelantan berucap di PWTC bahawa PAS adalah musuh mereka nombor satu. Tiba-tiba parti yang dikatakan tiada pengalaman, parti tok lebai, parti yang tak boleh bawa kemajuan dan pembangunan, parti pemecah-belah masyarakat rupa-rupanya begitu beramanah dan menguruskan wang rakyat dengan begitu berhemah dan cemerlang! PAS Kelantan telah berjaya membuktikan bahawa dasar Membangun Bersama Islam mereka berjaya membawa kejayaan bagi negeri tersebut. Saya kira sudah tiba masanya masyarakat Malaysia khasnya masyarakat Melayu/Islam melihat perkembangan ini dan membuat perbandingan ikhlas dengan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh Umno/BN. Kalau dalam keadaan terkekang dan tertekan, kerajaan negeri PAS Kelantan boleh memperolehi kejayaan cemerlang seperti ini bayangkanlah kalau mereka menguasai negeri-negeri lain dan menyumbang pula dalam kerajaan persekutuan yang baru! Umno di PWTC sedang bergelut dengan masalah perpecahan, rasuah, dasar ekonomi dan pencapaian Bumiputera, berbuih mulut mengulangi perkara yang sama dari tahun ke tahun. Tetapi di Kelantan kita melihat sekelompok bangsa Melayu/Islam lain yang lebih kecil dari Umno, tetapi berjaya mengurus rakyat dan negeri yang diamanahkan kepada mereka dengan cermat, baik dan berjaya.