Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ PENCEGAHAN JENAYAH JUVANA ” (20 Mac 2009 / 23 Rabiul Awal 1430)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Pada hari ini mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “PENCEGAHAN JENAYAH JUVANA”. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia melibatkan dosa 1
besar. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai kesan tertentu dari segi hukuman. Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Tambahan pula kes-kes jenayah juvana kian meningkat di negara kita banyak melibatkan pelajar. Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja. Apa yang menyedihkan, purata umur kes-kes juvana ini antara umur 7 hingga 18 tahun adalah sangat muda berbanding dengan usia jenayah yang dilakukan. Sehingga ini kelompok umur 16 hingga 18 tahun antara yang tertinggi iaitu 5,146 orang di mana melibatkan kes curi motosikal, mencuri, pecah rumah, rogol, dan samun. Berdasarkan peningkatan kes ini, pelbagai pihak antaranya para pemimpin, ahli-ahli akademik, tokoh pendidikan dan aktivis masyarakat telah menyuarakan pandangan masing-masing tentang faktor yang mendorong golongan pesalah juvana ini melakukan jenayah. Antara faktor juvana terlibat jenayah ialah: Pertama : Ibu bapa kurang kemahiran dalam mendidik anak-anak, Kedua :
Persekitaran hidup yang di kelilingi unsur-unsur pergaulan bebas dan pendedahan unsur-unsur seks, dan
Ketiga :
Kurang didikan agama.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang banyak yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. Antaranya ialah mendidik mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia ini, terutama sekali dalam suasana masyarakat yang sangat materialistik. Ini memberi 2
cabaran kepada ibu bapa kerana Allah s.w.t mempertanggungjawabkan mereka supaya mendidik anak-anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam dan selamat dari seksa api neraka. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu.” Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka sedang menyediakan generasi baru. Ibu bapa perlu sedar bahawa anak dalam dukungan mereka kelak akan menjadi insan yang mempunyai tanggungjawab, dan tata kelakuan mereka akan mempunyai kesan terhadap insan lain. Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa akan mempengaruhi tarbiyah atau pendidikan anak-anak. Anak-anak akan melakukan apa yang mereka lihat dan akan mengingatinya untuk di contohi. Apa yang nyata, anak yang melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur. Anak yang mempunyai ibu bapa yang ganas dan lasak, tidak akan membesar menjadi seorang yang mempunyai sifat kasih sayang. Merujuk kepada kisah-kisah tauladan Rasulullah s.a.w., memang terdapat banyak riwayat mengenai cara Rasulullah s.a.w. mentadbir dan menguruskan rumahtangganya. Antaranya: i.
Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumahtangga.
ii.
Mewujudkan persekitaran dan suasana keluarga yang sihat.
iii.
Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut, dan kasih sayang.
iv.
Memahami
tahap-tahap
keperluan
pembesarannya.
3
anak-anak
mengikut
proses
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Hakikatnya pencegahan kes-kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Walau bagaimanapun kita jangan lupa sumbangan penting Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan besar dalam mengawal pencegahan kes-kes jenayah di seluruh Malaysia. Sumbangan besar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman damai. Oleh itu, mimbar mengingatkan bahawa kerjasama orang ramai dan rakyat seluruhnya amat penting dalam membantu keberkesanan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Sempena Peringatan Hari Polis ke-202 pada 25 Mac 2009 ini, mimbar merakamkan tahniah dan terima kasih di atas sumbangan warga PDRM dalam menjaga keselamatan di negara ini. Semoga sifat amanah, ikhlas, integriti, dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tanggungjawab terus memperkukuhkan imej PDRM di mata dunia. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 27:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanahamanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
4