PANTUN KUIH TRADISIONAL
Demah seminit jari yang luka, Menangis dinda emak bersuara, Jamah sedikit kuih seri muka, Manis ada lemak bersira.
Dihempap pening tertekan gusi, pasti telentang serik sendiri, Karipap pusing makanan tradisi, Berinti kentang, keledek dan kari.
Mangga dipetik mencari delima, Pasu dilanggar begini jadinya, Telinga lembek diberi nama, Baru kudengar ini ceritanya.
Harum setanggi malam seinci, Menanti siapa harus tidaknya, Minum pagi bersulam kuih koci, Berinti kelapa dikukus masaknya.
Sirih direbus meresap diloyang, Mengapa dipetik melati di taman, Kuih ros merangkap kuih goyang, Rupa cantik seperti kuntuman.
Negara membangun terkedek-kedek, Serba maju tidak ketinggalan, Kuih baulu tradisi nenek, Dicuba satu hendak Sembilan
Putaran dunia semakin cepat, Maklumat diterima sekelip mata; Lemang, rendang, nasi himpit, ketupat, Selera warisan budaya kita. Ke Teluk Intan pergi bersantai, Pergi bersama teman dan rakan; Tempeyek dan putu kegemaran ramai. Menjadi hidangan sepanjang zaman. Kuih bangkit putih warnanya, Dihidang sama kuih baulu; Marilah cuba resepi lama, Kekalkan warisan orang dahulu. Seminggu sekali pergi ke pekan, Pergi ke pekan menaiki kereta; Rasanya lazat enak dimakan, Itulah pukulan tempoyak kita. Segaknya gadis berbaju kebaya, Sungguh anggun jelas kelihatan; Dodol dan lontong pembuka selera, Apa agaknya katamu tuan?