Isu semasa dan cabaran masa kini.
Wujud kekeliruan berhubung isu kelonggaran syarat lulus BM - Hilmi HILMI YAHYA membawa Obor Sukan SEA semasa mengambil bahagian dalam HILMI YAHYA membawa Obor Sukan SEA semasa mengambil bahagian dalam Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sempena Kejohanan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan peringkat negeri di Jalan Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - BERNAMA 04 Julai 2017 4:43 PM BALIK PULAU 4 Julai - Kementerian Kesihatan menyifatkan wujud kekeliruan berhubung isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu(BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 sehingga ia menjadi kontroversi. Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sebenarnya keputusan itu adalah inisiatif Kementerian Kesihatan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, berbanding syarat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini yang tidak mewajibkan syarat lulus Bahasa Melayu bagi lantikan tetap pegawai perubatan sejak 2003.
"Sebenarnya ia bukan melonggarkan (syarat lulus Bahasa Melayu) tapi meningkatkan lagi syarat itu kepada perlu lulus Bahasa Melayu untuk menjadi pegawai perubatan kerana sejak tahun 2003, JPA benarkan mereka (pegawai perubatan) dilantik walaupun tidak lulus (Bahasa Melayu) kerana waktu itu negara kekurangan doktor dan terpaksa import (doktor) daripada luar. "Doktor luar ketika itu memang tidak mengambil Bahasa Melayu peringkat SPM dan boleh diserap bekerja dengan Kementerian Kesihatan tapi sekarang kami tambah baik serta telah berbincang dengan JPA untuk tingkatkan syarat perlu lulus BM lagipun jumlah graduan perubatan tempatan semakin ramai, sebab itu kita boleh tetapkan syarat itu," katanya kepada pemberita selepas pelepasan Larian Obor Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rusa, peringkat Parlimen Balik Pulau di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa JPA telah memberi persetujuan untuk melonggarkan syarat pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan pada 23 Februari lepas.
Noor Hisham dilapor berkata, kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek berkenaan di peringkat SPM atas pelbagai sebab. Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelulusan Bahasa Melayu menduduki peperiksaan hanya subjek BM peringkat SPM berbanding enam subjek. "Graduan perubatan yang sedang menjalani latihan di hospital tidak perlu lulus Bahasa Melayu tetapi jika mahu menjadi pegawai perubatan UD41, mereka perlu lulus subjek itu dalam SPM dan kami akan berbincang hal ini dengan KPM supaya hanya ambil subjek itu sahaja dan bukan sekurang-kurangnya enam subjek seperti biasa. "Jadi mereka ada masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk lulus dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM kerana menjalani latihan sebagai doktor pelatih selama tempoh itu jika memilih untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan tetapi jika ingin bekerja di hospital swasta atau membuka klinik sendiri, mereka tidak perlu berbuat demikian (lulus Bahasa Melayu)," katanya. Beliau berkata, jumlah graduan perubatan yang menjalani latihan dengan hospital kerajaan dan tidak mengambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM ketika ini adalah sedikit iaitu tidak sampai satu peratus. Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) Bahasa Melayu dan pihak yang keliru berhubung isu berkenaan bagi memberi penjelasan sebenar berhubung perkara itu hujung minggu ini. - BERNAMA
Isu Sistem Bahasa dalam Pendidikan Bahasa Melayu
Dr. Awang Sariyan Oleh DR. AWANG SARIYAN Isu yang hingga kini masih menyelubungi minda sejumlah pendidik bahasa Melayu berkaitan dengan isu sistem bahasa, ialah kemantapan beberapa aspek bahasa yang menyentuh tatabahasa, kosa kata, ejaan dan sebutan. Isu yang lebih besar daripada itu ialah kurang jelasnya sebilangan pendidik tentang diglosia yang seharusnya menjadi kayu ukur dalam penentuan ketepatan berbahasa menurut konteks. Percampurbauran antara bentuk bahasa yang rasmi dengan yang basahan, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa dan sebutan masih menjadi fenomena yang agak nyata. Pada saat kita memperkatakan bahasa yang baik, timbul polemik tentang bahasa yang alamiah yang kononnya tidak perlu tertakluk pada rumus-rumus bahasa, yang malangnya kadang-kadang dikaitkan dengan tohmahan bahawa rumus-rumus bahasa itu dikhayalkan oleh ahli bahasa, bukan daripada realiti penggunaan bahasa. Masalah yang dihadapi oleh sesetengah pendidik dan pelajar ialah tidak dapat membuat garis pemisah yang jelas antara bentuk bahasa yang rasmi dengan bahasa yang basahan atau tidak rasmi. Tentulah dalam konteks bahasa yang basahan, seperti dalam perbualan, tidak terterap sepenuhnya segala rumus bahasa seperti tatabahasa dan sebutan baku. Namun dalam bidang-bidang yang rasmi, profesional, ilmiah dan berkaitan dengan budaya tinggi, kod bahasa yang patut dipilih ialah yang mewakili kod “bahasa terbina”, bukan kod “bahasa terhad” (daripada istilah “elaborated code” dan “restricted code” yang diperkenalkan oleh Bernstein seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian yang lebih awal). Maka itu, kedengaran di sana sini orang yang masih mempersoalkan rumus tatabahasa yang berkaitan dengan binaan ayat aktif, ayat pasif, ayat majmuk dan sebagainya. Masih banyak ayat yang tidak keruan binaannya oleh subjek dan predikatnya tidak padu, seperti ayat yang berbunyi “Menurut Kementerian Sains dan Alam Sekitar menyatakan bahawa banyak sungai yang telah tercemar”. Masih terdapat di sana sini penggunaan ayat pasif yang bercampur aduk antara yang menerapkan rumus ayat pasif diri pertama dan diri kedua dengan rumus ayat pasif diri ketiga. Ayat pasif diri ketiga seperti “Perkara yang mereka bincangkan mendapat sambutan penonton.” seakan-akan tidak dapat dikesan kesilapan rumus sintaksisnya sebagaimana masih agak leluasa juga orang mengungkapkan ayat pasif diri pertama seperti “Buku yang dibincangkan oleh kami itu penting sebagai asas pegangan hidup.” yang jelas tidak memenuhi rumus sintaksis bahasa Melayu baku. Masih juga nyaring suara tentang kekeliruan penggunaan imbuhan yang betul, seperti dalam hal imbuhan apitan “me-…-kan” dan “me-…-i” dan yang lain. Masih ada yang tidak dapat membedakan makna “mengirimkan” daripada “mengirimi”, “menghadiahkan” daripada “menghadiahi” dan contoh-contoh lain yang sejenis dengannya. Masih nyata kekeliruan bilakah akhiran “-kan” perlu atau tidak perlu digunakan dalam contoh seperti “isikan borang ini” atau “isi borang ini”, “tuliskan ringkasan karangan” atau “tulis ringkasan karangan”, “berikan pendapat” atau “beri pendapat”. Dalam hal penggunaan kata berimbuhan yang lain, masih agak nyata kekeliruan tentang penggunaan variasi awalan “me-”, iaitu sama ada “me-”, “mem-”, “men-”, “meng-” atau “menge-”. Maka berterusan isu kekeliruan adakah bentuk yang betul “memastikan atau “mempastikan”, “mencintai” atau “menyintai”, “mewujudkan” atau “mengwujudkan”, “meyakinkan” atau “menyakinkan” dan sekian banyak yang lain lagi. Apabila dijelaskan bahawa bentuk kata terbitan yang betul ialah “berbahaya”, bukan “merbahaya” (kerana tiada awalan “mer-” yang diimbuhkan pada kata “bahaya”), masih banyak orang yang ragu dan tidak faham akan alasannya. Tidak kurang juga yang terus keliru dengan mengatakan bahawa
bentuk kata “pemelajaran” menyalahi rumus morfofonem bahasa Melayu kerana bunyi /b/ dalam kata “belajar” tidak patut dan tidak pernah dilenyapkan apabila menerima awalan “pe-”, walhal kata “pemelajaran” terbit daripada kata kerja “mempelajari” yang sama sahaja polanya dengan bentuk “pemerhatian” (daripada kata kerja “memperhatikan”), “pemersatuan” (daripada kata kerja “mempersatukan”), “pemerolehan” (daripada kata kerja “memperoleh”) dan beberapa patah kata lain yang menerima awalan rangkap “pemeR-”, sebagai kata nama terbitan daripada kata kerja berawalan rangkap “mempeR-”. Ketiadaan atau kurang sedarnya sesetengah orang tentang konsep bahasa rasmi dan bahasa basahan turut menyebabkan timbul perbalahan tentang sebutan baku. Orang yang tidak melihat bahasa sebagai sistem yang bertatatingkat, iaitu menganggap bahasa setara belaka dalam semua hal, berasa pelik bin ajaib apabila diberi penegasan tentang perlunya sebutan baku digunakan. Seakan-akan tidak disedarinya bahawa sebutan baku itu ditegaskan penggunaannya dalam laras bahasa yang rasmi, bukan dalam perbualan, hatta dalam mimpi. Semua bahasa yang maju memiliki ragam sebutan formalnya, yang memang tidak sama betul dengan ragam sebutan bahasa sehari-hari. Demikian juga, apabila ditekankan penggunaan kosa kata yang terpilih, sesuai dengan konteks rasmi, ada sesetengah kalangan yang beranggapan bahawa saran itu sama sekali tidak alamiah dan tidak praktis kerana kata-kata yang ‘terlarang’ itu lazim digunakan dalam perbualan sehari-hari. Maka ada orang yang mengatakan bahawa larangan penggunaan kata seperti “bikin” bagi “buat” sebagai perbuatan orang yang mengada-ngada. Orang seperti itu ternyata tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana kamus dalam semua bahasa besar menetapkan, atau sekurang-kurangnya memberikan panduan tentang penggunaan kata yang rasmi, yang baku, yang basahan, yang larangan dan sebagainya. Dalam kamus bahasa Inggeris, hal sebegitu ternyata cukup diberi perhatian. Demkian juga dalam kamus bahasa Melayu yang baik. Dalam pada itu, tetap saya akui bahawa memang ada beberapa aspek khusus yang belum mencapai tahap kebakuan yang tinggi. Hal ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu sahaja, misalnya dalam hal kosa kata dan beberapa bentuk binaan kata terbitan dengan menggunakan imbuhan. Tentang kosa kata, memang mudah kita terjebak oleh fahaman sama ada bersikap tulen melulu atau terbuka melulu. Pada dasarnya kita perlu mengutamakan kosa kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu, atau melakukan inovasi dengan menggunakan sistem morfologi bahasa Melayu. Bagi kata yang tiada padanan dalam bahasa Melayu, dibolehkan kita mencipta bentuk yang baru dengan mengambil bentuk asal kata itu tetapi diubahsuaikan menurut sistem sebutan dan morfologi bahasa Melayu. Oleh sebab adanya beberapa aspek sistem bahasa Melayu yang belum mantap betul dan masih memerlukan ijtihad ahli-ahli bahasa, lalu terdapatlah pandangan yang berbeda dalam kalangan ahli bahasa, maka dibesar-besarkan orang perihal isu mazhab yang kononnya menyukarkan guru mengajar dan murid belajar bahasa. Dalam buku kecil “Penjelasan Isu Mazhab dalam Bahasa” (1996), saya telah membuktikan bahawa peratusan aspek bahasa yang belum seragam betul itu tidaklah besar dan dalam sesetengah aspek, seperti ejaan di bawah 0.1%. Ada pula yang mengatakan bahawa perubahan daripada tatabahasa Za`ba menjadikan bahasa Melayu terlalu moden dan oleh itu sukar dipelajari dan diajarkan. Telah saya tunjukkan juga dalam beberapa banyak tulisan saya bahawa rumus bahasa yang dikemukakan oleh Za`ba sebahagian besarnya masih dipertahankan, tetapi mungkin dengan istilah yang berlainan, misalnya “ayat bangun membuat” menjadi “ayat aktif”, “ayat bangun kena buat” menjadi “ayat pasif”. Perubahan istilah itu sama sekali tidak mengubah rumus atau aturan yang dikemukakan oleh Za`ba. Sebilangan orang yang membesar-besarkan isu itu rupanya tidak pula mematuhi rumus bahasa Za`ba dan hanya memainkan sentimen bergantung pada nama besar beliau, tetapi sebaliknya menyimpang daripada tatabahasa susunan Za’ba. Maka itu, amat penting para pendidik mempunyai kekuatan penguasaan sistem bahasa untuk diterapkan dalam pengajaran bahasa kepada anak didik. Sesudah lebih setengah abad sistem pendidikan kita berlangsung di negara yang merdeka, sewajarnya aspek-aspek asas sistem bahasa
telah mantap. Tidak sewajarnya timbul lagi ajaran sesat di sesetengah sekolah seperti “Kata ‘kerana’, ‘dengan’, ‘untuk’ dan sebagainya tidak boleh digunakan di pangkal ayat”. Dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tidak timbul masalah salah faham yang sedemikian berat sehingga mengatakan kata tugas seperti “with, to, because” dan lain-lain menyalahi tatabahasa. Demikian juga, anak didik perlu dimantapkan penguasaan sistem bahasanya dan perlu senantiasa disedarkan tentang pentingnya menguasai ragam bahasa rasmi di sisi ragam bahasa basahan supaya mereka dapat menggunakan bahasa yang sesuai menurut konteks.
Cabaran dan masa depan bahasa Melayu
M. Jasni Majed
PENASIHAT Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim antara lain menjelaskan bahawa pada masa ini orang Melayu sudah hilang budaya dan warisannya. Tambah beliau, orang Melayu sudah hilang bahasanya. Mereka juga sudah hilang pelbagai aspek dalam budaya dan menjadi pak turut budaya barat. Isu tentang bahasa dan kecelaruan berbahasa yang dialami di negara ini ternyata bukan mudah untuk diselesaikan. Ia berkait rapat dengan osmosis budaya, keyakinan dan kerapuhan jati diri dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama golongan muda yang menganggap isu bahasa sangat remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan, sedangkan ia amat bermakna untuk mengangkat martabat bahasa, budaya dan nama negara.
Seorang penulis, Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam Pelita Bahasa antara lain pernah menyebut dalam rencananya ‘Bahasa SMS menconteng bahasa standard’ bahawa keghairahan masyarakat kini terutamanya golongan remaja telah mengikis keupayaan bahasa rasmi negara untuk berada di tahap yang sepatutnya.
Kegilaan remaja dengan bahasa SMS, bertutur bercampur aduk antara bahasa sendiri dengan bahasa asing memburukkan keadaan dan menjejaskan imej bahasa sendiri. Malah, dalam rancangan-rancangan realiti televisyen yang berbahasa Melayu juga mengalami nasib yang sama seolah-olah bahasa Melayu tidak berperanan langsung. Penulis yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu selama 30 tahun dapat menyaksikan pelbagai ragam anak-anak murid dan bekas anak-anak murid apabila bertemu semula dengan penulis. Walaupun mendapat pangkat A dalam subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu masa dahulu, jika bertemu semula dan bertutur dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu mereka sudah mula tunggang-langgang, bercampur-aduk dengan istilah asing dan sebagainya. Sikap pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Melayu hanya untuk mendapat seke-ping sijil sahaja tambah memburukkan keadaan. Selepas lulus atau mencapai kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu, mereka mengabaikan bahasa Melayu. Pernah berlaku seorang juri rancangan realiti televi-syen memberitahu penonton bahawa beliau menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi komen kerana rancangan itu bukan hanya disaksikan oleh orang Melayu tetapi turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia. Alasan ini tidak kukuh kerana semua bangsa boleh bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini kerana subjek Bahasa Melayu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan 15 April nanti dijangka dapat merungkai pelbagai permasalahan tentang bahasa dan budaya di negara ini yang sedang meruncing. Perbincangan mesti dilakukan untuk mencapai kata sepakat bagaimana mahu mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dalam arus pemodenan yang pesat, disertai kemasukan pelbagai teknologi dari luar, pertembungan budaya, bahasa dan sebagainya. Usaha-usaha juga mesti dilakukan untuk melindungi budaya yang diwariskan sejak-temurun tanpa menolak kemasukan budaya luar. Pengaruh budaya luar dapat ditangkis dengan kemantapan jati diri dan budaya tempatan yang sudah lama berakar umbi dalam diri masyarakat negara ini. Guru-guru turut memainkan peranan penting menaikkan imej bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sejak di tadika sampailah ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Tugas ini bukan hanya terletak di bahu guru subjek Bahasa Melayu sahaja, tetapi semua guru yang sewajarnya memahami kedudukan bahasa kita yang semakin terpinggir. Masa depan bahasa Melayu bergantung kepada pengamal dan penuturnya. Bahasa Melayu akan mantap bukan sahaja kerana wujud pertuturan atau komunikasi dalam kalangan masyarakat, tetapi kualiti berbahasa itu lebih penting.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-dan-masa-depan-bahasa-melayu-1.463536#ixzz 4qT90IJqs © Utusan Melayu (M) Bhd
Mendaulatkan bahasa kebangsaan
Setiap tahun, kita meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia adalah satu kesinambungan dari Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sejak 1999. Sepuluh tahun selepas itu, lahirlah Bulan Bahasa Kebangsaan. Matlamatnya sebagaimana yang diperihalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Tahun ini kita meraikannya lagi. Apakah kedudukan bahasa kebangsaan masih di tahap yang sama atau sudah berubah sejak pengenalan Bulan Bahasa Kebangsaan ini? Atau masih bersifat retorik dalam kalang-an pihak berwajib yang barangkali sedar kepentingannya hanya pada Oktober setiap tahun. Wajarkah usa-ha memartabatkan bahasa Melayu dilakukan semata-mata kerana ia menjadi agenda perayaan Oktober!
Mengambil kira apa yang disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP baru-baru ini, Datuk Dr. Awang Sariyan, beliau kecewa kerana penggunaan bahasa Melayu belum mencapai tahap sewajarnya dan masih jauh daripada matlamat untuk diangkat sebagai bahasa rasmi negara. Ia bukan bertujuan mengabaikan bahasa Inggeris tetapi memartabatkan bahasa Melayu seiring dengan amalan negara maju lain yang sama sekali melihat bahasa adalah jati diri dan wajah nasio-nalisme negara bangsa. Sepatutnya kementerian dan agensi kerajaan mahupun sektor swasta wajar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap urusan rasmi kerana termaktub dalam Perlembagaan negara. Perlembagaan mesti dijadikan sebagai nota kaki dalam perbincangan mengenai bahasa Melayu. Kedudukan Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia adalah bahasa Melayu yang tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan jangan diragui tetapi berprasangkalah kepada kumpulan yang tiada keazaman atau keberanian politik untuk mempertahan dan sete-rusnya mengikat kedaulatan bahasa kebangsaan di kedudukan yang terluhur. Laporan Jawatankuasa Pelajar-an Razak 1956 dan Laporan Jawat-ankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960 serta Akta Pelajaran 1961 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) jelas menempatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Misalnya, di dalam PPPM; kemahiran dwibahasa ditekankan dengan penguasaan ke atas bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Yang ketara, bahasa Malaysia adalah bahasa perpaduan; bahasa yang mampu menyatukan pelbagai kumpulan etnik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ada juga yang menjadi gusar bilamana ada pihak menukar penggunaan perkataan bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu walaupun ia adalah sinonim walhal yang perlu dirungkai adalah tahap penghormatan yang diberikan kepada bahasa kebangsaan ini. Ini kerana ramai yang lebih mengampu perkara remeh daripada perkara sebenar iaitu ‘pengiktirafan’ kerana meskipun isu ini sudah berpanjangan untuk sekian lamanya, tidak ada sebarang pembaharuan atau penambahbaikan untuk memperkasa atau memartabatkan bahasa kebangsaan di bumi sendiri. Kelangsungan bahasa kebangsaan banyak bergantung kepada warganya untuk menjadi kumpulan pendesak kepada pihak berwajib agar tidak mengabaikan atau mengambil pendekatan ‘hidup segan, mati tak mahu’ ke atas kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Agak merimaskan bila warga asing lebih mudah berkomunikasi dalam bahasa Melayu walhal masyarakat tempatan sepatutnya mempertahan dan memastikan kedaulatannya tidak tergugat. Kita sering berbangga bilamana warga asing bertutur dan boleh berdebat dalam bahasa Melayu dengan cemerlang tetapi tidak pernah mengendahkan kemampuan dan kebolehan warga sendiri dalam
memastikan ia tidak dicacatkan atau luntur dari amalan seharian. Malahan, jika tidak berupaya me-nguasai bahasa Inggeris, ramai yang mencaci dan mengkritik tetapi suara yang sama senyap bila bahasa Melayu diperlekehkan oleh kita se-olah-olah dibiarkan layu dan gugur dalam lembayung sendiri. Di manakah peranan pihak berwajib kerana kekecewaan DBP jelas walaupun pelbagai usaha berterus-an dibuat untuk memastikan martabat bahasa Melayu diangkat namun disebabkan oleh faktor atau unsur tertentu mahupun tangan ghaib; ia kekal begitu sahaja. Apakah pe-ranan Jawatankuasa bahasa Melayu di peringkat agensi; institusi dan luaran. Manakah Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu? Apakah sekadar penyertaan orang luar dalam program bahasa Melayu menunjukkan bahasa ini sedang berkembang? Tahun lalu di ruangan ini, saya ada menyatakan bahawa ‘.....perencanaan martabat bahasa Melayu perlu dilakukan dengan rapi dan kemas. Polemik yang berterusan perlu dihentikan jika ada usaha tegas menjadikannya sebagai bahasa ilmu yang bergantung kepada pengiktirafan dan pelaksanaan. Pengukuhan kedudukan bahasa Melayu selaras dengan intipati dan kedudukan dalam Perlembagaan tidak bermakna kepentingan bahasa lain diketepikan. Realiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa dominan, bahasa jati diri perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa lambang bangsa warga Malaysia mesti ditempatkan dalam kedudukan yang dihormati supaya mutu dan tarafnya disanjung tinggi’ Saya juga menekankan bahawa ‘...Majlis Mendaulatkan Bahasa Melayu’ perlu ditubuhkan secara langsung di bawah Pejabat Perdana Menteri supaya lambang keagungan tanah air ini tidak diragut maruahnya. Jangan biar ia tergantung tanpa tali seolah-olah segala usaha hanya bersifat retorik. Kita tidak memerlukan undang-undang baharu kerana sudah pun wujud ketinggian kedudukan bahasa di bawah Perlembagaan serta beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan serta Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini perlu diberi imuniti untuk mendaulat, memperkasa, mengangkat, memelihara, membimbing dan melatih jiwa bangsa Malaysia melalui bahasa kebangsaan’. Setahun berlalu, sedih melihat bahasa Melayu masih di takuk sama. Ayuh, kita perlu bersama menjunjung ketertinggian bahasa ini kerana ia bahasa perpaduan; bahasa yang ada jiwa; bahasa yang melambangkan keutuhan jati diri; bahasa maruah bangsa; bahasa kebangsaan kerana hanya ada satu bahasa negara iaitu bahasa Melayu yang juga adalah bahasa Malaysia. Selamat menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Dr. Sivamurugan Pandian
Profesor Madya di Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/mendaulatkan-bahasa-kebangsaan-1.146617#ixzz4qT9g RmBC © Utusan Melayu (M) Bhd
Isu dan Cabaran Bahasa Kebangsaan dalam Iklan
SEBAGAI rakyat Malaysia, kita maklum bahawa negara kita mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini semua media komunikasi termasuk iklan tidak terkecuali. Justeru, sewajarnya iklan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Namun yang sebaliknya berlaku, apabila terdapat lambakan iklan berbahasa Inggeris sama ada yang sepenuhnya berbahasa Inggeris atau “bahasa rojak” yang masih berlaku dari dahulu sehingga sekarang? Kebebasan berkreativiti dalam mengiklankan produk terus dijadikan alasan oleh pengiklan mahupun agensi pengiklanan untuk terus meminggirkan bahasa kebangsaan. Untuk membincangkan dan mencari penyelesaian bagi isu ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A’s) mengadakan dialog bertajuk “Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Pengiklanan” pada 26 Mei lalu, di Dewan Seminar, Menara DBP. Dialog ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, dan dihadiri oleh seramai 150 orang peserta daripada agensi pengiklanan, wakil kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan, pengawal media, pengamal media dan para wartawan. Turut hadir ialah Ahli Majlis Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A’s), Encik Gary Tay, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abd. Ghani, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Salehuddin Abg. Shokeran. Taklimat dialog tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengiklanan telah dibentangkan oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Haji Md. Johari Hasan. Dialog bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman tentang penggunaan bahasa dalam iklan, meningkatkan kefahaman tentang dasar bahasa negara dalam bidang pengiklanan dan untuk menegaskan peranan DBP dan agensi pengiklanan terhadap bahasa kebangsaan. Dialog diadakan secara bersiri dan berterusan bagi mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan tentang penggunaan bahasa kebangsaan. Sebanyak tiga dialog telah diadakan sebelum ini, iaitu dialog dengan pemilik papan iklan luar, syarikat konsesi lebuh raya dan penggiat industri sektor perdagangan dan kepenggunaan. Kalangan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapat maklum bahawa penyemakan bahasa bagi semua iklan untuk papan iklan luar khasnya di kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hendaklah mendapat pengesahan penggunaan bahasa kebangsaan daripada pihak DBP. Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus memantau penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan untuk paparan tempat awam termasuk iklan dalam media elekronik (televisyen dan radio) dan media cetak (akhbar dan majalah). Dari segi tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengiklanan, pemantauan DBP mendapati iklan dalam media cetak (akhbar dan majalah) pada tahap yang memuaskan tetapi iklan dalam media elektronik (televisyen dan radio) serta papan iklan luar masih belum memuaskan. Dapatan daripada pemantauan tahap pematuhan tatabahasa pula mendapati iklan pada papan iklan luar, akhbar dan televisyen (sebutan) berada pada tahap yang memuaskan manakala iklan majalah, radio dan televisyen kurang memuaskan.
Dalam sesi soal jawab pada majlis tersebut, peserta menyarankan agar DBP harus lebih prolifik menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan khasnya di tempat awam. Umum perlu memahami bahawa kuasa penguatkuasaan sebenar terletak pada Pihak
Berkuasa Tempatan melalui Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Pemasangan Papan Iklan Luar 2009. Wakil pengiklanan turut mempersoalkan beberapa isu menarik, antaranya sejauh manakah laras bahasa percakapan dibenarkan untuk khalayak? Dalam hal ini, laras bahasa percakapan boleh digunakan tetapi bukan bahasa pasar atau bahasa kolokial apatah lagi slanga. Hal ini kerana laras bahasa percakapan masih tidak mencampurkan dua atau lebih bahasa, tidak seperti bahasa rojak, cuma pemilihan perbendaharaan katanya bukan untuk kegunaan rasmi. Penggunaan dialek turut dibenarkan dalam pengiklanan. Menyentuh dakwaan bahawa agensi pengiklanan dan pihak DBP mempunyai takrifan yang berbeza bagi “kreativiti” dalam pengiklanan, Dato’ Haji Termuzi berkata terjemahan secara langsung tidak boleh dikategorikan sebagai suatu kreativiti. Menurutnya, kreativiti sebenar adalah apabila pengiklan berjaya menghasilkan iklan yang mempunyai makna yang sama dengan iklan asal seperti iklan berbahasa Inggeris tetapi menggunakan bahasa Melayu. Formula mudah yang harus diingat oleh pengiklan adalah pengiklan tidak akan dapat menghasilkan iklan berbahasa Melayu yang betul, baik dan menarik jika mereka berfikir dalam bahasa lain, ujarnya. Selain itu, penggunaan bahasa dalam iklan harus tepat mesejnya kepada sasaran. Para pengiklan dan agensi pengiklanan bimbang jika mereka tidak menggunakan laras bahasa yang digunakan oleh golongan sasaran itu, maksud iklan tidak sampai kepada sasaran. Jika itu asasnya, wajarkah penggunaan slanga dalam iklan digunakan untuk iklan produk golongan remaja? Hal ini sewajarnya tidak berlaku kerana agensi pengiklanan mempunyai tanggungjawab sosial untuk turut mendidik pelbagai peringkat khalayak termasuk golongan remaja melalui iklan yang dihasilkan agar mereka menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul tanpa mementingkan keuntungan semata-mata. Isu iklan berbahasa Inggeris atau iklan berbahasa Melayu yang tidak betul dan baik dalam pengiklanan adalah tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak agensi pengiklanan kerana terbukti terdapat penulis iklan yang berkebolehan dan tanpa jemu berusaha menghasilkan iklan yang menarik hati khalayak dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan berkesan walaupun golongan ini cuma segelintir sahaja. Taklimat dan Tunjuk Cara Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KPBDBP) secara dalam talian turut diberikan kepada kira-kira 40 agensi pengiklanan yang menghadiri dialog ini.
Lulus BM dilonggar, elak ratusan graduan perubatan disia-siakan MMA KUALA LUMPUR: Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred 1 mampu mengelak negara hilang kepakaran ratusan graduan perubatan setiap tahun.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ravindran R. Naidu berkata melalui langkah itu, kira-kira 300 hingga 400 graduan perubatan termasuk yang menjalani persekolahan di luar negara dan menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa dapat menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib dua tahun di Kementerian Kesihatan.
Katanya, ini membolehkan mereka layak mendapatkan sijil pengamal perubatan dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sekaligus mengekalkan modal insan dalam bidang perubatan di negara ini.
"Jika mereka tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib berkenaan, mereka tidak dapat menjadi seorang doktor dan ini akan merugikan negara.
"Mereka (graduan perubatan) tidak boleh bekerja di klinik swasta dan farmasi sekalipun, jika tidak mempunyai sijil pengamal perubatan, jadi adakah mereka perlu menjadi pemandu teksi atau konduktor bas?" katanya kepada Bernama hari ini.
Pada ketika ini nisbah doktor di Malaysia ialah 1:600 pesakit, berbanding sasaran 1:400 menjelang 2020.
Dr Ravindran mengulas keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi graduan perubatan itu pada 23 Feb lalu bagi pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.
BACA: Kelonggaran syarat lulus BM peringkat SPM mudahkan lantikan pegawai perubatan kontrak gred UD41
BACA: Kelonggaran syarat BM: 'Wujud risiko silap rawat jika doktor tidak faham pesakit'
BACA: Entulu dan Subramaniam akan diminta jelaskan kelonggaran syarat lulus BM
Bagaimanapun, langkah memberikan kelonggaran syarat lulus BM itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang khuatir bahawa bahasa kebangsaan dipandang remeh selain akan timbul masalah komunikasi antara pegawai perubatan dan pesakit kelak.
Mengenai kebimbangan bahawa kelonggaran akan membelakangkan kepentingan BM sebagai bahasa kebangsaan, Dr Ravindran berpendapat itu bukan isu besar kerana graduan berkenaan tetap perlu memenuhi syarat lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.
"Jadi isu tidak memartabatkan BM itu tidak timbul," katanya.
Mengenai anggapan masalah komunikasi antara pegawai perubatan dan pesakit, beliau berkata masalah itu tidak timbul kerana graduan perubatan berkenaan merupakan warga Malaysia dan diyakini mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Kelonggaran syarat BM: 'Wujud risiko silap rawat jika doktor tidak faham pesakit' KUALA LUMPUR: Terdapat risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit,
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan merujuk kepada keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melonggarkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu untuk lantikan kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.
Beliau juga mempersoalkan kemampuan doktor untuk beri rawatan yang berkesan kepada pesakit yang tidak menguasai Bahasa lain selain Bahasa Melayu.
“Bagaimanakah seorang doktor boleh memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi di mana pesakit tidak mempunyai penguasaan yang baik di dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu? Terdapat juga risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Dalam kenyataan itu, Shahril turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat berkenaan.
“Sewajarnya keputusan yang melibatkan kepentingan awam ini dijelaskan rasionalnya kerana kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67. Kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan hanya akan memberi gambaran bahawa Bahasa Melayu boleh dipandang enteng oleh rakyat Malaysia.”
BACA: Kelonggaran syarat lulus BM peringkat SPM mudahkan lantikan pegawai perubatan kontrak gred UD41
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.
“Sehubungan dengan itu, semua graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun adalah diberi kelonggaran kepada syarat Lulus BM ini,” jelas Noor Hisham.
Kerajaan tarik balik kelonggaran syarat lulus BM PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan tiada kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata Mesyuarat Kabinet memutuskan kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 ditarik balik.
Beliau juga menjelaskan semua lantikan kontrak baharu bagi Pegawai Perubatan Gred UD41 tanpa mempunyai kelulusan Bahasa Melayu (BM) SPM boleh menduduki kertas BM secara tunggal bermula November ini yang mana peperiksaan itu akan dikendalikan Kementerian Pendidikan pada setiap Jun dan November.
Katanya lagi, Akta Perubatan 1972 akan dipinda untuk mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat latihan amali perubatan dan memasukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu.
"Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan.
"Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang antaranya membincangkan isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu dalam lantikan kontrak Pegawai Perubatan yang menimbulkan polemik dan bantahan umum.
Sebelum ini, isu kelonggaran syarat kelayakan BM di peringkat SPM untuk pengambilan pegawai perubatan Gred UD41 secara kontrak hangat diperdebatkan, selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengenainya.
Tolak usaha letakkan BM sebagai bahasa kelas kedua - Najmil
NAJMIL: Kerajaan perlu menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua. - Gambar fail KUALA TERENGGANU: Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan perlu menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua di negara ini.
Sehubungan itu menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengkaji semula keputusan mereka untuk memberikan kelonggaran berhubung syarat kelulusan Bahasa Melayu bagi graduan perubatan.
Jelasnya, keputusan tersebut dilihat dapat memberi kesan kepada usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pertuturan utama di negara ini.
“Saya rasa KKM perlu kaji semula keputusan untuk memberikan kelonggaran syarat lulus Bahasa Malaysia untuk graduan perubatan. Keputusan ini selain akan menyebabkan berlaku salah faham dan sebagainya antara doktor dan pesakit, ia juga akan memberi kesan kepada usaha untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia, sebagai bahasa kebangsaan negara.
“Saya juga agak musykil dengan keputusan KKM ini. Adakah perkara ini telah dibincangkan di dalam Kabinet? Atau bolehkah KKM secara suka-suka membuat keputusan sendiri, sedangkan memartabarkan bahasa kebangsaan ialah salah satu daripada agenda negara.
“Saya kira dalam isu ini, KKM sebagai salah sebuah agensi kerajaan sepatutnya menjadi juara dan terkehadapan dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Bukannya membuat satu keputusan yang boleh menyebabkan bahasa kebangsaan lambat laun tidak dipandang tinggi dan seolah-olah menjadi bahasa kelas kedua,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
BACA: Isu lulus BM: Doktor Inggeris dahulu pun cakap Melayu - Rais
BACA: Lulus BM dilonggar, elak ratusan graduan perubatan disia-siakan - MMA
Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk menidakkan atau meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kelas kedua di negara ini patut ditolak oleh kerajaan.
“Bahasa Melayu bukan sebuah bahasa baru muncul. Ianya telah menjadi bahasa yang dipertuturkan oleh penduduk dunia sejak 1,000 tahun dulu. Bahasa Melayu juga adalah lingua franca yang dipertuturkan lebih daripada 300 juta penduduk di dunia. Di dalam dunia pula, ia menjadi bahasa keempat yang menjadi medium komunikasi utama bagi penduduk dunia.
“Justeru itu, saya agak pelik apabila melihat sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya mendokong usaha untuk mendaulat bahasa Melayu bertindak sebaliknya.
“Saya harap agar KKM mengkaji semula keputusan tersebut dan dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga perlu campur tangan agar hasrat KKM mahu melonggarkan syarat kelulusan Bahasa Melayu ini tidak terus dilaksanakan,” tegasnya.
Isu lulus BM: Doktor Inggeris dahulu pun cakap Melayu - Rais
RAIS: Kerajaan dinasihatkan tidak bersetuju dengan pengecualian dan kelonggaran syarat kelayakan lulus BM SPM bagi lantikan kontrak PP Gred 1. - Gambar fail KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihatkan tidak bersetuju dengan pengecualian dan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred 1.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia sekali gus bertentangan dengan undang-undang perkhidmatan awam dan dasar negara selama ini.
"Alasan bahawa pengecualian diberi kerana para doktor dan kakitangan kontrak tidak munasabah.
"Kalau tidak boleh cakap Melayu, macam mana hendak rawat orang Melayu dan anggota masyarakat yang lain?
"Doktor Inggeris dahulu pun belajar cakap Melayu. Kenapa doktor kontrak tidak boleh belajar cakap Melayu?" soalnya di status terbaharu di laman Facebook miliknya.
BACA: Lulus BM dilonggar, elak ratusan graduan perubatan disia-siakan - MMA
BACA: Kelonggaran syarat BM: 'Wujud risiko silap rawat jika doktor tidak faham pesakit'
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi graduan perubatan itu pada 23 Feb lalu bagi pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.
Dalam pada itu tegas Rais, syarat yang dilonggarkan itu akan menjadi seperti pepatah amalan jarum lulus kelindan yang memberi maksud apabila pekerjaan yang pertama berhasil dilakukan maka yang berikutnya juga akan berhasil juga.
"Ia suatu penurunan yang menghina dasar kebangsaan.
"Kalau doktor boleh mengingat dan belajar ribuan terma perubatan apakah masalahnya mengingati ayat dan terma BM, 'Apa sakit? Mana sakit?'.
"Mereka itu boleh belajar BM dalam satu bulan. Pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga boleh adakan sukatan pelajaran bahasa yang mudah dan praktikal," ujarnya.
Rais turut memberi peringatan kepada pegawai Melayu agar tidak menggadaikan maruah negara bangsa.
"Sudah terlalu banyak pemesongan dasar BM sebagai bahasa kebangsaan.
"Tindakan mengecualikan BM itu wajib ditarik balik," tegasnya.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam akan diminta memberi penjelasan berhubung kelonggaran syarat lulus BM di SPM.
Tegasnya, kedua-dua menteri berkenaan akan diminta berbuat demikian pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Tarik balik kelonggaran syarat lulus BM adalah tindakan tepat
PADANG TERAP: Keputusan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 oleh kerajaan dilihat sebagai tindakan yang tepat.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu menepati polisi dan dasar kerajaan yang diguna pakai selama ini iaitu pelajar diwajibkan lulus dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi melayakkan mereka untuk menerima sijil SPM.
"Dari segi dasar ia memenuhi keperluan dan keputusan itu tepat kerana ia bertetapan dengan dasar dan pelaksanaan kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan," katanya ketika diminta mengulas berkaitan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka dan Kenduri Kesyukuran sempena perkahwinan anaknya di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini, pada Khamis.
Semalam, Dr Ahmad Zahid mengumumkan Kabinet telah memutuskan tiada kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.
Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata bekas pelajar yang belajar di Sekolah Antarabangsa perlu memenuhi syarat kelayakan termasuk lulus Bahasa Melayu sekiranya ingin menyertai sektor awam di negara ini.
"Sekolah Antarabangsa tidak mengikut kokurikulum kebangsaan, jadi syarat lulus Bahasa Melayu itu tidak dikenakan terhadap mereka. Tetapi, sekiranya mereka ingin berkerja dalam sektor awam di Malaysia, mereka perlu lulus Bahasa Melayu.
Itu adalah syarat yang perlu mereka ikut. Kalau ingin sertai sektor awam, mereka boleh menduduki kertas subjek Bahasa Melayu SPM secara tunggal yang dijalankan dua kali setahun iaitu pada bulan Jun dan November oleh Kementerian Pendidikan," katanya.
Mahdzir berkata bagi pelajar yang belajar di sekolah swasta, syarat lulus Bahasa Melayu itu tidak menjadi masalah kerana setiap sekolah mempunyai guru Bahasa Melayu yang bertauliah.
"Semua sekolah swasta, sekolah jenis kebangsaan Cina dan India ada guru Bahasa Melayu sendiri dan syarat lulus subjek Bahasa Melayu memang wajib kerana ia mengikut kokurikulum kebangsaan ," katanya.
-- BERNAMA
CABARAN BAHASA MELAYU CABARAN BAHASA MELAYU DALAM MENGHADAPI ABAD KE-21 Rozali bin Rajab Abstrak Pada masa ini, Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sengit terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara iaitu perkara 152 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang diperkasakan dan dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, tumpuan kertas kerja ini ialah membincangkan cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu. Jadi, pelbagai seminar atau pembentangan telah dijalankan, kegusaran bahasa Melayu terus membimbangkan pada setiap insan yang mencintai bahasa Melayu. Melalui kertas kerja ini, perbincangan akan ditumpukan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21 supaya cabaran-cabaran tersebut tidak membantut perkembangan bahasa Melayu pada masa akan datang. Justeru, cabaran- cabaran ini tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan di Malaysia pada abad ke-21. Isu-isu akan dibincangkan secara satu persatu supaya jelas tentang cabaran-cabaran tersebut. PENDAHULUAN Sebelum mengorak melangkah untuk membicarakan cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21, penulis ingin mengajak sekalian dahulu berkenaan bahasa Melayu. Menurut Prof. Dato’ Awang Had Salleh, dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia
menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ibunda kepada orang-orang keturunan Melayu. Jadi, Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan ini hendaklah digunakan di dalam urusan rasmi dalam semua bidang. Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan Bahasa Kebangsaan tetap berjalan dengan lancar. Untuk memenuhi kehendak tersebut, pada peringkat awal, Bahasa Kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah rendah atau menengah, khususnya sekolah yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu.. Pada peringkat yang terkemudian, apabila kedudukan Bahasa Kebangsaan ini sudah cukup matang dan stabil, barulah wujud pula keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk keperibadian Malaysia, maka istilah Bahasa Malaysia telah digunakan. Manakala cabaran pula ialah sesuatu iaitu unsur, atau faktor yang mencabar,menguji, kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Oleh itu cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju abad ke-21 atau dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai era globalisasi merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Persoalannya, apakah cabaran bahasa Melayu mempunyai kemampuan dalam abad ke-21. Adakah cabaran-cabaran itu menidakkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini? Oleh yang demikian, harapan kita terhadap bahasa Melayu terlalu besar. Bahasa Melayu harus berupaya menggambarkan kelahiran fikiran, kreativiti dan aktiviti besar bangsa Malaysia. Cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21, perlu ditangani dengan berhati-hati supaya bahasa Melayu terus hidup dan mampu bersaing di peringkat antara bangsa. Kajian ini akan membincangkan cabaran dalam memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan perbincangan tertumpu kepada cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penutur cabaran bahasa Melayu dalam penggunaannya. Skop perbincangan kertas kerja ini menumpukan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21. Oleh yang demikian, penulisan kertas kerja ini membataskan tentang cabaran bahasa Melayu dalam menghadapi abad ke-21. CABARAN BAHASA MELAYU DALAM MENGHADAPI ABAD KE-21 Untuk memastikan kesinambungan kewujudannya dan kegemilangannya di persada dunia dalam abad ke-21 , bahasa Melayu terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam konteks nasional atau antarabangsa. Cabaran-cabaran ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu iaitu bahasa Melayu dalam sejarahnya telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa sejak zaman Empayar Srivijaya pada abad ke-7 Masihi sehingga abad ke-19 Masihi. apabila bahasa Melayu menjadi lingua franca dirantau ini. Malahan bahasa Melayu telah menjadi bahasa perdagangan dan bahasa perhubungan antarabangsa. Kegemilangan bahasa Melayu telah menjadi kenyataan pada masa itu apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa persuratan bagi pusat- pusat pemerintahan seluruh rantau berkenaan. Namun, permulaan abad ke-20 merupakan era penjajahan Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo,Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa,selatan Borneo,Sulawesi ,Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina.[Prof.Dr.Hashim Hj. Musa,2009].Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan lingua franca di rantau ini. Setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Keadaan belum reda, satu cabaran telah muncul iaitu pada tahun 2003, penggunaan bahasa Inggeris bagi semua matematik dan sains dalam semua peringkat. Namun, pejuang-pejuang bahasa bersatu tenaga untuk
memastikan bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara, Perkara 152. Akhirnya, tahun 2012 penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik dihapuskan. Munculnya abad ke-21, telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat persaingan sengit atau cabaran daripada bahasa Inggeris. Jadi, dalam kertas kerja ini membincangkan empat cabaran yang bahasa Melayu hadapi pada abad ke-21. Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Oleh yang demikian, pemerkasaan bermaksud menjadikan sesuatu itu berwibawa, dominan, kuat, hebat, terkenal, berdaulat, dominan, dan sebagainya.[Kamus Dewan Edisi Ke-4,2005] Justeru, pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia ; hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan penggunaannya, nilai ekonominya dan keterbacaannya.[Prof,Dr, Hashim Hj.Musa,2009] Pada masa ini, sistem pendidikan negara berpengantarkan bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam abad ke-21, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran apabila pada tahun 2003, sains dan matematik dalam semua peringkat diajar dalam bahasa Inggeris. Senario ini telah memberi impak kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Pejuang-pejuang bahasa telah bersatu hati untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu, Seminar-seminar, pembentangan kertas kerja dan sebagainya telah diadakan bukan sahaja di dalam negara malahan di luar negara. Tidak cukup dengan itu, badan NGO dan bukan NGO turut bersama-sama untuk memastikan bahasa Melayu perlu dikembalikan dalam mata pelajaran sains dan matematik. Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa. Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada yang menganggap bahawa orang Melayu atau negara ini tidak akan maju jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan dan banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang. Pemerkasaan bahasa ibunda mereka, telah menjadikan negara mereka maju malah lebih maju daripada negara barat. Selain itu, masyarakat sudah mula menunjukkan pentingnya peneguhan dan penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya bahasa Melayu dan kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan mahir menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr. Nik Safiah Karim[1993], Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat dari perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita boleh berbangga dengan kejayaan tersebut. Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu dalam bentuk penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan untuk melestarikan (mengekalkan atau menetapkan) sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar cabaran abad ke-21 tidak meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem pendidikan atau pentadbiran. Cabaran Bahasa Melayu Dalam Kemajuan Teknologi Maklumat Pada masa ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari. Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani,[2007;50] bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam
semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia,Mandarin dan lain-lain turut disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan televisyen dan lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya. Oleh yang demikian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan Internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Adakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama. Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah penggiat-penggiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu? Sebagai satu pandangan umum, masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi ‘muda’ atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini, kita percaya perkembangan bahasa Melayu akan terus bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu. Secara langsung, bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, dalam buku Sosiolinguistik Lanjutan, [ 2009; 61]bahawa penguasaan ilmu, sains dan teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat jelata itu sendiri. Oleh yang demikian, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat, bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini disebabkan, pelbagai maklumat yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu ini, benar-benar sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu, dan teknologi maklumat itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting canggih, cekap dan pantas untuk tujuan tersebut. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya perlu bersaing dengan teknologi maklumat, sebaliknya ia patut bersepadunya dengannya. Dengan cara ini, bahasa Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini. Cabaran Bahasa Melayu Terhadap Sikap Penuturnya Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam penggunaan bahasa
ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda, sudah pasti bahasa ibunda akan terkubur. Oleh yang demikian, bagi bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Jadi , abad ke-21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka yang tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Begitulah apabila ada seminar atau pembentangan walaupun di dalam dewan ada seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati pada abad ke-21 agar bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan, bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingan dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Jadi, yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingannya dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Abad ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris tetapi tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Oleh yang demikian sikap rakyat Malaysia mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Kemudian sesuaikan dengan keadaan apabila hendak menggunakan bahasa Inggeris. Ironisnya, langkah ini tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu tergugat oleh bahasa Inggeris. Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi. Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu. Memang tidak dapat dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Mengikut Nik Safiah Karim, [2004], ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli ,iaitu satu ayat dalam satu bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Sebagai contoh ialah “ Saya mengambil keputusan untuk pergi, then I thought I should consult my father.” Begitulah dengan penggunaan perkataan yang lain iaitu “ Dalam hal ini you paling best.” “How are you today..harap OKlah.”Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau program televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu memberi impak atau cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa
kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya. KESIMPULAN Mampukah bahasa Melayu menghadapi cabaran pada abad ke-21? Daripada perbincangan di atas, kita telah membincangkan cabaran bahasa Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan secara ringkas.. Pada peringkat ini, bahasa Melayu terus berkembang tanpa menghadapi masalah. Namun, semasa penjajahan Inggeris perkembangan bahasa Melayu terus malap dan tidak bermaya. Pejuang-pejuang bahasa yang mencintai bahasa, terus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti. Walau bagaimanapun pada abad ke-21, bahasa Melayu mula dipersoalkan dan ada pihak-pihak tertentu ingin mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di negara ini. Oleh yang demikian, cabaran-cabaran seperti cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat , cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu menjadi isu perbincangan dalam abad ke-21. Cabaran-cabaran ini terpaksa dilalui secara berhati-hati agar permasalahan yang sedikit akan memberi impak yang besar terhadap bahasa Melayu. Pada masa ini, pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat dan dikenali sebagai bahasa antarabangsa.Untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Justeru, jalan terbaik untuk menghadapi cabaran ini ialah sikap kita terhadap bahasa Melayu. Walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran, bahasa kedua perlu kita pelajari. Sebab saya berkata demikian, bahasa Inggeris amat diperlukan untuk kita berhubung di peringkat antarabangsa. Namun , tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa berdaulat seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara. Paling penting rakyat Malaysia mempunyai sikap atau jati diri yang betul terhadap bahasa kebangsaan. Seandainya rakyat Malaysia mempunyai perasaan bangga terhadap bahasanya, jikalau rakyat Malaysia tahu bila hendak menggunakan bahasa Inggeris dan bilakah pula keadaan penggunaan bahasa kebangsaannya, maka tidak akan timbul persaingan dan tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu dalam dilema itu, kita mesti mengetahui tempat penggunaannya supaya permasalahan tidak timbul. Dengan langkah yang sedemikian, nescaya permasalahan dan cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 dapat diatasi. Paling penting, masyarakat Malaysia perlu mempunyai sikap bangga diri terhadap bahasa ibunda kerana pada suatu masa dahulu bahasa Melayu merupakan bahasa yang telah diterima di peringkat antarabangsa iaitu zaman Empayar Srivijaya. Pada hari ini, bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang dianggarkan hampir 250 juta dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi untuk empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura. Hal ini ditambah lagi bahawa bahasa Melayu pernah berkumandang buat kali pertama di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].Oleh itu, semangat dan jiwa seumpama ini perlu diikuti,dicontohi dan diteladani oleh masyarakat Malaysia, pemimpin-pemimpin dan ilmuwan. Saya percaya dengan langkah yang sedemikian, membolehkan bahasa Melayu menongkah arus pada abad ke-21 dan martabat bahasa Melayu akan kembali di landasan yang kita ingini. BIBLIOGRAFI Awang Sariyan. [Penyelenggara]. (2004). Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Darwis Harahap[ Penyelenggara] (2004) . Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Rosnah Haji Ahmad. (2001). Bahasa Melayu An Introduction To Malay Language And Culture, Kuala Lumpur: Golden Books Centre. Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing. David, Wade. (1999). “Vanishing Culture” dalam National Geographic Jil.196 , No.2 hlm 62-89, Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1982). Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa Di Malaysia. Kuala Lumpur: Deawan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan [Penyusun] (2002). Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Had Salleh. (1981). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putra Malaysia..
MASA DEPAN DAN CABARAN BAHASA MELAYU PENGENALAN Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu mula-mula disarankan dalam Laporan Razak 1956 dan kemudian diperkukuh dalam Laporan Abdul Rahman Talib 1960. Terbukti kini bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu apabila digunakan sepenuhnya di institut pengajian tinggi awam di Malaysia. Apakah dengan pencapaian tersebut mencerminkan masa depan yang gemilang bagi Bahasa Melayu? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak, bergantung kepada persepsi individu yang melihat persoalan ini.
Terkadangnya kedengaran suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu. Pada hakikatnya orang itu sendiri yang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sebaliknya. Bahasa yang canggih dikatakan bahasa ilmu, bahasa bagi budaya tinggi, dan lebih tegas lagi bahasa bagi sains dan teknologi. Peningkatan ilmu dan profesionalisme dalam sesuatu bidang itu haruslah seiring dengan peningkatan ketrampilan wahana itu sendiri, yakni bahasa. Banyak orang berfikir bahasa itu jatuhnya di tempat kedua dan pertamanya ilmu itu. Persepsi ini perlu diubah. Bahasa itu juga satu ilmu dan sejarah membuktikan banyak ahli yang melahirkan pemikiran dan ciptaan baru menguasai ilmu dan bahasa sebagai satu entiti yang terpadu. Kita sebenarnya memiliki bahasa yang berkembang dan dinamis dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal datang. Seharusnya tidak timbul lagi krisis kepercayaan terhadap Bahasa Melayu. Perbincangan topik ini akan menumpukan kepada persoalan cabaran yang dihadapi
oleh Bahasa Melayu, iaitu: kewujudan masyarakat yang dwibahasa; Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Negara; Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat dan komunikasi; dan akhirnya Bahasa Melayu dalam era globalisasi.
5.1 KEDWIBAHASAAN Kedwibahasaan berlaku dalam kalangan masyarakat yang menggunakan banyak bahasa. Kedwibahasaan atau bilingualisme ialah penguasaan dua bahasa seperti penutur bahasa asli. Penggunanya menggunakannya sebagai bahasa komunikasi, yakni menggunakan satu bahasa rasmi untuk berkomunikasi, dan bahasa ibunda untuk hubungan lain misalnya orang Cina dan India yang menggunakan Bahasa Melayu untuk komunikasi rasmi tetapi bahasa ibunda di rumah. Kedwibahasaan yang sempurna ialah penguasaan sepenuhnya dua bahasa oleh penutur. Kedwibahasaan sepenuhnya jarang berlaku kerana jarang sekali seseorang individu dapat menguasai lebih dari satu bahasa dengan baik. Terdapat negara yang mempunyai dua bahasa atau lebih (bilingual atau multilingual) sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Negara Kanada dan Belgium misalnya mengamalkan bilingual, manakala Switzerland pula mengamalkan multilingual. Sesebuah negara itu tidak dapat dikatakan bilingual kecuali sebahagian besar daripada rakyatnya bertutur dalam dwibahasa. Menurut Mario Pei pula, kedwibahasaan ialah kualiti atau kebolehan seseorang bertutur dalam dua bahasa. Kedwibahasaan majmuk ialah individu yang memperoleh dua bahasa semasa kecil. Kedwibahasaan kordinat pula berlaku apabila individu tersebut memperoleh salah satu bahasa tersebut sebagai bahasa pertama dan bahasa kedua pula diperoleh kemudian. Kedua-dua sistem tersebut disepadukan dan disimpan secara berasingan.
Kedwibahasaan lahir dalam masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, etnik, agama, bangsa, kaum dan lain-lain. Hubungan budaya dengan budaya asing biasanya berlaku di bandar-bandar besar dan pusat perdagangan yang mempunyai pelbagai ragam manusia dan budaya. Penjajahan juga membawa masuk unsur budaya baru dan bangsa asing yang menggunakan dan memaksa rakyat pribumi menggunakan bahasa mereka dalam sistem pemerintahan, khususnya pendidikan dan ekonomi misalnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Hartmann (1976) mengatakan bahawa kedwibahasaan melibatkan penggunaan dua bahasa oleh penutur atau masyarakat pengguna bahasa. Penutur dwibahasa tidak semestinya penterjemah yang baik sebab kemahiran menukar kod dari satu bahasa ke bahasa yang lain diperoleh secara berasingan dan individu tersebut mestilah mahir dalam perbualan kedua-dua bahasa dalam semua keadaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang multibahasa dan terdapat individu yang dapat memahami dua bahasa atau lebih, sama ada Melayu-Inggeris, Cina-Melayu-Inggeris, atau India-Melayu-Inggeris, dan sebagainya. Individu yang berpengetahuan dalam kedua-dua bahasa tetapi yang satu lagi tidak pernah dilahirkan dalam bentuk ujaran atau tulisan, bahkan cuba disembunyikan atas sebab-sebab tertentu dinamakan covert bilingual atau dwibahasa terlindung. Individu dwibahasa tidak akan mempunyai pengetahuan kedua-dua bahasa yang sama baik. Kadang-kadang individu tersebut hanya memahami sahaja tetapi tidak boleh menulis atau bertutur dengan baik.
Kedwibahasaan wujud di negara-negara yang menjadikan dialek sebagai bahasa rasmi seperti di Perancis. Keadaan dwibahasa yang memperlihatkan penutur mengamalkan dialek masing-masing dalam kehidupan seharian tetapi menggunakan dialek utama yang telah dijadikan bahasa rasmi. Sama juga halnya dengan Malaysia yang menggunakan dialek Melayu-Johor sebagai bahasa rasmi tetapi menggunakan
dialek masing-masing di rumah misalnya dialek Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan sebagainya. Kedwibahasaan berlaku akibat bahasa tempatan dijadikan bahasa rasmi tetapi bahasa lain digunakan sebagai bahasa penyatuan. Di Rusia misalnya, bahasa Rusia dijadikan bahasa penyatuan tetapi rakyat tempatan boleh menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi seperti bahasa Ukraine dan Estonia. Kedwibahasaan juga berlaku akibat berpegang kepada idea bahawa penggunaan satu bahasa asing yang dipupuk di samping bahasa ibunda terus digalakkan dalam pembelajaran untuk tujuan mendapat pengiktirafan setaraf dengan bangsa lain. Mengikut ideologi ini, pembelajaran satu bahasa asing dalam keadaan tertentu akan membentuk individu yang mempunyai cara pemikiran baru untuk menghapuskan permusuhan dalam kalangan rakyat misalnya di Singapura.
Perdagangan memainkan peranan utama apabila bahasa merupakan wahana untuk berkomunikasi dan berinteraksi untuk urusan jual-beli. Penerokaan dunia baru juga memerlukan individu memahami dunia yang dilawati untuk memahami budaya bangsa merentasi pelbagai negara. Pengembangan agama oleh mubaligh Kristian dan Islam membawa masuk bahasa asing ke alam Melayu, iaiatu Bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan Arab. Dasar pendidikan sesebuah negara mencerminkan masyarakat yang lahir misalnya Malaysia yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara akan melahirkan penutur dwibahasa. Dasar bahasa negara juga melahirkan penutur dwibahasa. Malaysia telah menetapkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua; manakala Brunei Darussalam menetapkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Satu lagi unsur yang mewujudkan kedwibahasaan ialah perkahwinan campur dalam masyarakat majmuk yang melahirkan kanak-kanak yang berdwibahasa sejak dari lahir lagi. Pemerolehan dua bahasa serentak berlaku apabila kedua ibu dan bapa menggunakan kedua-dua bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.
Kesan yang paling ketara akibat kedwibahasaan ini ialah berlakunya penukaran kod atau pertukaran kod yang dikenali sebagai code switching. Berlakunya penukaran daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain disebabkan oleh perubahan tajuk atau pertukaran siapa yang disapa. Fenomena ini begitu meluas dalam kalangan penutur di Malaysia. Misalnya pelajar Melayu berbahasa Inggeris dengan kawan berbangsa Cina tetapi menukar kodnya semula ke dalam Bahasa Melayu apabila bercakap dengan ibunya yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Kesan yang selanjutnya ialah percampuran kod atau code mixing. Ini berlaku apabila seseorang menukarkan kod apabila berbicara secara berganti-ganti untuk satu tajuk yang sama dalam ujaran mereka. Misalnya seorang pelajar bangsa Melayu bercakap dalam Bahasa Inggeris untuk membincangkan sesuatu tajuk tetapi kemudiannya mencampuradukkan dengan Bahasa Melayu kerana sesuatu hal seperti tidak tahu perbendaharaan kata yang sesuai digunakan atau sebagainya. Fenomena percampuran kod menggambarkan keadaan bahasa sebenar dalam tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Namun begitu, dengan berlakunya peredaran masa dan penambahan perbendaharaan kata, ciri ini mungkin luput apabila kanak-kanak berupaya menggunakan kata dalam bahasa kedua untuk menyampaikan maksud. Namun demikian, di Malaysia dengan latar pendidikan dwibahasa yang diamalkan di sekolah-sekolah dan luar persekitaran yang
didedahkan dengan Bahasa Inggeris seperti media elektronik, kanak-kanak telah didedahkan dalam situasi dwibahasa pada peringkat awal lagi. Malah, percampuran kod bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Pemindahan bahasa juga berlaku akibat kedwibahasaan. Ini berlaku apabila terdapat penggunaan unsur-unsur bahasa pertama dalam bahasa kedua. Terdapat dua jenis pemindahan bahasa, iaitu pemindahan negatif atau gangguan dan kedua, pemindahan positif. Pemindahan negatif melibatkan pola bahasa natif yang menyebabkan kesilapan dalam bahasa sasaran. Pemindahan positif pula melibatkan pemindahan yang memudahkan pembelajaran dan berlaku dalam kedua-dua bahasa natif dan bahasa sasaran yang mempunyai unsur persamaan.
Kita juga dapat melihat bentuk pengasimilasian bahasa berlaku dalam kedwibahasaan. Proses ini melibatkan penerimaan bahasa secara beransur-ansur oleh generasi kedua sehingga akhirnya tidak menggunakan bahasa ibunda mereka. Kesan lain ialah kelahiran bahasa pijin dan bahasa kreol. Bahasa pijin memperlihatkan unsur kedua-dua bahasa bercampur sehingga melahirkan bahasa baru, namun tidak boleh diklasifikasikan sebagai bahasa asal. Bahasa kreol pula ialah bahasa pijin yang menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama masyarakat penuturnya akibat pertembungan dua bahasa.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu ialah pelajar yang berbangsa Melayu beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan yang biasa dilakukan. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.
Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Kedai Jahit Wanita, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah, dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu DBP sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.
Selain itu, pengaruh bahasa sms juga menyebabkan masalah ini semakin buruk. Parapelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa smsmemang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti, sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, danwatpe.
Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.
Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau sebab kesalahan yang telah dilakukan. Mereka menganggap perkataan atau ayat yang biasa digunakan oleh mereka atau media massa itu betul dan tidak mengetahui sebab kesalahan terebut. Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan, seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan guru-guru, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.
Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi, automatik, dan sebagainya. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa terutamanya pelajar, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan. Kita sepatutnya membiasakan sebutan yang betul dan membetulkan sebutan yang biasa digunakan tetapi sebenarnya tidak betul.
ABARAN BAHASA MELAYU DALAM MENGHADAPI ABAD KE-21 Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah mengecapi zaman kegemilangannya suatu masa dahulu apabila telah menjadi bahasa antarabangsa sejak zaman Empayar Srivijaya pada abad ke-7 Masihi sehingga abad ke-19 Masihi. Pada zaman tersebut, bahasa Melayu telah diangkat menjadi lingua franca di rantau ini. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa perhubungan antarabangsa dan telah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa persuratan bagi pusat-pusat pemerintahan seluruh rantau pada masa itu. Namun, menjelang abad ke-20 yang merupakan era penjajahan Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo, Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa, selatan Borneo, Sulawesi, Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina. [Prof.Dr.Hashim Hj. Musa,2009]. Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Bahasa asing yang dibawa oleh penjajah telah mengugat dan merampas kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada ketika itu. Dalam tempoh tersebut, beberapa usaha untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu telah dilakukan dan menjelang Kemerdekaan Tanah Melayu, barulah kedudukan bahasa Melayu dapat diangkat semula menjadi bahasa rasmi negara. Walau bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan telah menghadapi cabaran apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Menjelang tahun 2003, kedudukan bahasa Melayu semakin tergugat apabila kerajaan meluluskan penggunaan bahasa Inggeris bagi semua matematik dan sains dalam semua peringkat. Program PPSMI sangat memberi impak yang besar terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di negara kita. Namun begitu, akibat desakan dari pelbagai pihak khususnya pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa yang utama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Perkara 152, akhirnya pada tahun 2012, penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik dihapuskan secara berperingkat. Munculnya abad ke-21, bahasa Melayu terus menghadapi cabaran dalam memastikan bahasa Melayu terus gemilang pada kedudukannya yang tersendiri
Kenapa tidak berucap dalam Bahasa Malaysia di PBB?
Ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menerima kutukan banyak pihak. Termasuklah mereka yang tidak kurang menggigil apabila diajak berbual dalam bahasa Inggeris.
Kata mereka, Ahmad Zahid telah memalukan negara dengan tahap kemahiran bahasa Inggeris yang sangat lemah. Memang tidak boleh diterima apabila orang nombor dua dalam kerajaan, dan telah berpengalaman luas berurusan dengan wakil-wakil antarabangsa, malah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, tidak mahir berbahasa Inggeris.
Dahulu, sewaktu belum bermesra dengan PAS, antara kritik paling jahat juak-juak UMNO terhadap Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ialah presiden parti Islam itu tidak mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris.
‘Macam mana nak jadi Perdana Menteri, nak berucap di PBB?’ kata mereka. Sekarang mereka tak berapa boleh nak kutuk sangat.
Apa-apa pun Zahid Hamidi patut sudah cukup berlatih sepanjang kerjaya politiknya untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Malah teks ucapannya itu pun sepatutnya boleh dilatih sehingga mahir.
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dahulu tidak pandai cakap orang putih. Setelah dilatih, bukan setakat mahir, beliau malah boleh memberi syarahan akademik juga.
Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang, juga baru beberapa tahun ini sahaja lancar pertuturan Inggerisnya. Chin Tong sebelum zaman berpergian ke Australia, tidak begitu fasih bercakap bahasa orang putih.
Maka Zahid Hamidi tidak ada alasan untuk tidak memperbaiki kemahiran berbahasanya. Demi kebaikan diri sendiri.
Namun persoalan yang lebih besar sebenarnya ialah, kenapa bukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang pergi berucap di PBB? Kenapa beliau tidak berada di situ mewakili negara? Bukankah Najib Razak pemimpin ulung yang sudah terbiasa bermain golf dengan Presiden Barack Obama? Pastilah kemahiran berbahasa Inggerisnya jauh lebih baik berbanding Ahmad Zahid?
Barangkali memang sengaja Zahid Hamidi dihantar ke PBB untuk berucap dalam keadaan paling rentan; dengan diketahui kurang fasih berbahasa Inggeris agar dia dimalukan dan memadam cita-cita menjadi calon ganti Perdana Menteri.
Ini pastikan akan memberi jalan selesa kepada sepupu Najib Razak sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang semalam dikhabarkan Institut Darul Ehsan lebih popular berbanding Zahid, sebagai calon pengganti Perdana Menteri. Hisham pastinya juga lebih fasih bercakap bahasa orang putih.
Sebenarnya Zahid patut lebih tahu dan sedar, jika ada sebarang langkah politik jahat untuk mengaibkannya di pentas dunia.
Malah Zahid sewajarnya bertindak berucap di pentas PBB dalam bahasa ibunda. Bukan setiap minggu beliau berpeluang untuk berucap di pentas antarabangsa. Apalah salahnya jika beliau menggunakan Bahasa Malaysia, bahasa leluhurnya sendiri sambil diselit beberapa kerat pantun dan peribahasa. Bukankah itu kekayaan budaya yang wajar kita banggakan?
‘Strategi Samudera Biru’ seperti cadangan penulis tersohor Faisal Tehrani, bukankah jauh lebih indah berbanding ‘blu osen’? – Roketkini.com
KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu terdapat undang-undang seperti Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang juga dikenali sebagai Akta 32 bagi memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan. Namun, undang-undang yang ada seolah-olah cuma di atas kertas tetapi tidak dipatuhi dan dikuatkuasakan. Peminggiran bahasa Melayu berlaku begitu ketara terutama pada papan tanda dan iklan serta nama kawasan kediaman dan komersial yang banyak menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini bukan baharu. Isu peminggiran bahasa Melayu termasuk pengurangan fungsinya di negara ini ibarat cerita yang tidak berkesudahan. Rungutan dan kritikan yang dilemparkan oleh pejuang-pejuang bahasa ibarat mencurah air ke atas daun keladi.
Pada 5 Oktober lalu, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG berkata, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara tetapi fungsinya sekarang ibarat melukut di tepi gantang di tanah air sendiri kerana diabaikan oleh anak watannya sendiri. Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZULKARNAIN OTHMAN, beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tidak dinafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris tetapi janganlah sampai hilang jati diri untuk melestarikan bahasa Melayu. “Tidak salah kita bersifat global tetapi pada waktu sama kita harus bersifat lokal. Ada satu istilah gabungan global dan lokal iaitu glokal. Kalau boleh kita pupuk semangat glokal ini dalam kalangan anak-anak muda dan masyarakat umum,” katanya ketika ditemui di pejabat KITA pada Jumaat lalu. MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang semakin terhakis? TEO: Bagi saya ini satu kebimbangan yang benar dan akan terjadi kalau kita tidak pandai mengurus bahasa Melayu. Bagi saya, walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa negara tetapi bahasa Melayu berada dalam keadaan boleh dikata sebagai melukut di tepi gantang. Lebih malang lagi, melukut di tepi gantang di tanah watannya sendiri kerana diabaikan oleh anak watannya sendiri. Kalau kita lihat kepada titah Sultan Nazrin, baginda menyasarkan kepada orang Melayu kali ini. Saya kira tanggungjawab orang Melayu itu cukup besar dalam melestarikan martabat bahasa Melayu. Tetapi malangnya, kita dapati rata-rata orang Melayu bukan sahaja kurang cakna kepada bahasa Melayu tetapi tidak prihatin, tidak bangga, tidak sayang dan tidak setia kepada bahasa mereka sendiri. Sebahagian orang Melayu yang sudah berjaya dan anak-anak muda di bandar sekarang banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Apakah ini disebabkan kurangnya jati diri? TEO: Saya boleh bersetuju ini disebabkan kurang sangat jati diri. Anak-anak muda sekarang lebih ghairah dengan benda-benda global. Tidak salah kita bersifat global tetapi pada waktu sama kita harus bersifat lokal. Ada satu istilah gabungan global dan lokal iaitu glokal.
Kalau boleh kita pupuk semangat glokal ini dalam kalangan anak-anak muda dan masyarakat umum. Dalam kita ingin bersifat global kerana kita tahu bahasa Inggeris itu bahasa antarabangsa yang penting, kita juga perlu ada jati diri untuk kita terus melestarikan bahasa sendiri. Bahasa kita juga bukan bahasa yang kecil. Secara khususnya bahasa Melayu adalah yang kelima terbesar di dunia dari segi jumlah penutur. Jadi, bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sangat besar dan mempunyai nilai keantarabangsaan yang tinggi. Buktinya, bahasa Melayu diajar di lebih 100 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh dunia. Setiap tahun kita tengok ada pidato antarabangsa bahasa Melayu. Warga dunia dapat lihat nilai keantarabangsaan dan diajar sebagai bahasa asing walaupun ia bukan lagi bahasa antarabangsa. Tetapi sayangnya ia melukut di tepi gantang di negaranya sendiri. Di mana silapnya? Apakah kurangnya jati diri ini disebabkan sistem pendidikan atau perubahan gaya hidup yang lebih moden? TEO: Dari pengamatan saya, orang Melayu ini didapati mengabaikan bahasa Melayu sudah lama. Ini diperkatakan oleh Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah. Dia ada sebut dan kritik dengan tajam. Dalam buku Hikayat Abdullah yang diterbitkan pada 1840, disebutkan di sini: “Orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, ia tinggal dalam bodohnya oleh sebab tiada mahu belajar bahasanya sendiri.” Jadi Abdullah Munsyi dalam bukunya itu, beliau telah mendapati orang Melayu tidak prihatin kepada bahasanya sendiri. Itu abad ke-19. Abad ke-20, abad ke-21 dan saya boleh jangka abad ke-22 pun, masih beginilah. Saya dapati salah satu sebab kenapa orang Melayu tidak cakna, tidak prihatin, tidak bangga dan tidak setia kepada bahasanya sendiri kerana orang Melayu bukan kelompok etno-linguistik. Oleh sebab orang Melayu bukan kelompok etno-linguistik, mereka tidak peduli semua ini. Ini berbeza dengan orang Cina di Malaysia yang merupakan kelompok etno-linguistik. Kita tengok macam mana orang Cina di Malaysia melindungi bahasa Cina sehinggakan mereka terlebih melindungi bahasa Cina sehingga melanggar resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Mereka sayang sangat kepada bahasa Cina kerana mereka tahu nilai bahasa Cina kepada bangsa Cina. Kalau ikutkan, orang Cina Malaysia tidak perlu begitu sangat pun sebab bahasa Cina akan mantap kerana dilindungi di China, Hong Kong dan Taiwan. Tetapi kalau bangsa Melayu di Malaysia tidak lindungi bahasa Melayu, siapa di dunia hendak melindungi bahasa itu. Apakah orang Melayu tidak boleh maju dengan acuan bahasa sendiri? TEO: Maju dalam acuan dengan menggunakan bahasa sendiri ini terbukti di dunia. Kita tengok Rusia menggunakan bahasa sendiri untuk memandaikan anak bangsa dan membina tamadun. Mereka disegani di dunia dan menakluki dunia dalam bidang sains dan angkasa lepas. Sesiapa hendak ke bulan, boleh dikatakan wajib ke Moscow untuk belajar ilmu naik ke bulan. Jerman guna bahasa sendiri untuk bina tamadun dan melalui bahasa Jerman, mereka pandai dan cipta kenderaan-kenderaan berjenama di dunia seperti Mercedes Benz, Audi, Volkswagen, dan BMW. Kita tengok Finland, sebuah negara kecil yang menggunakan bahasa sendiri membina tamadun dan menakluki dunia pada satu waktu dahulu melalui telefon Nokia. Korea Selatan hari ini menawan dunia menerusi barangan budaya mereka seperti K-pop dan sebagainya. Mereka ada jati diri. Kita kurang jati diri dan saya rasa masanya tepat untuk baginda menyasarkan bangsa Melayu. Kita boleh jadi moden dan kita patut pun menguasai bahasa Inggeris dengan sebaik mungkin tetapi pada waktu yang sama kita perlu ada jati diri yang kental. Itu penting sebab di Malaysia ini kalau orang Melayu sendiri tidak yakin dengan bahasa Melayu, bagaimana dengan bangsa lain yang selama ini tak begitu menerima bahasa Melayu pun.
Bangsa lain sekarang begitu berani mempertikaikan kemampuan bahasa Melayu kerana mereka melihat orang Melayu sendiri memperlekehkan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris kini banyak digunakan dalam papan tanda dan iklan serta nama kawasan dan bangunan. Apakah yang sudah berlaku? TEO: PBT ada kuasa dalam penamaan dan boleh menukar nama yang ada sebelum adanya akta itu lagi. Bila kita sebut PBT, Akta Kerajaan Tempatan 1976, dibaca sekali dengan Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 2002. Ia dikuat kuasa pada 15 Julai 2002. Maksudnya PBT ada kuasa dari segi nama dan iklan. Iklan itu mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Maknanya huruf bahasa Melayu itu mesti besar, kedudukan bahasa Melayu mesti terserlah dan warna yang digunakan mesti garang, tidak boleh pucat. Dibenarkan penggunaan bahasa-bahasa lain tetapi saiznya kecil. Kalau itu tidak dipatuhi, tidak boleh didirikan iklan yang besar di tepi jalan tetapi kita dapat lihat iklan besar menggunakan bahasa lain dan di bawah iklan itu ada kelulusan oleh Majlis Perbandaran tertentu dan ada logo lagi. Dari segi nama syarikat pula, Akta Pendaftar Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pertubuhan 1966 tidak ada menyekat penggunaan nama Cina atau Inggeris. Nama syarikat tidak apa dalam bahasa lain tetapi maklumat umum syarikat perlu dalam bahasa Melayu tapi kita dapat lihat segala-galanya dalam bahasa Inggeris. Inilah masalah PBT. Apakah sikap pejam mata PBT ini kerana mungkin wujud ketirisan dalam agensi kerajaan itu? TEO: Saya berani kata ada ketirisan di dalam PBT. Maksudnya ada perkara tidak kena. Undang-undang kata kalau iklan itu tidak memperlihat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bagaimana iklan yang menggunakan semua dalam bahasa Inggeris boleh dinaikkan. Saya rasa syarikat tidak berani buat begitu jika tidak ada kelulusan daripada orang dalam kerana modal buat iklan adalah besar. Syarikat tahu iklan itu salah, boleh dihukum dan untuk menurunkan iklan itu ada kos pula. Jadi, di sini ternyata sekali di mana peranan PBT sehingga berleluasa penggunaan bahasa lain dalam iklan dan papan tanda. Undang-undang ada tapi penguatkuasaan cukup lemah. Ini sudah jadi penyakit sekarang. Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sekarang nampak cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam program yang dianjurkan. Apakah tidak ada peraturan yang mengawal perkara ini? TEO: Bagi sektor kerajaan ada dua pekeliling. Yang pertama Surat Pekeliling Bilangan 1 2006 Langkah-Langkah Memperkasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam dan kedua, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 2001 Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam bagi menunjukkan pentingnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam perkhidmatan awam. Tapi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggunakan tema Our Food Our Future pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016), umpama bahasa Melayu ini daif. Tengok Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kenapa boleh ada program Fit Malaysia dan Fun Run? Tak bolehkah guna Sihat Malaysia dan Larian Ceria? Model-model awal kereta Proton dahulu diberi nama Melayu tetapi bermula dengan model GEN.2 pada 2004, kereta-kereta Proton tidak lagi menggunakan nama Melayu. Savvy bukan perkataan Melayu kerana bahasa Melayu tidak ada penggunaan huruf v. Model Persona bukan kagum tapi personality. Sekarang Iriz, perkataan Melayu tidak ada yang berakhir dengan huruf z. Perodua pun sama dahulu mula dengan nama Melayu seperti Kancil, Kelisa, Kenari dan Kembara tapi model-model baharu seperti Myvi (Malaysia Vehicle), Viva, Alza dan Axia guna bahasa asing. Semua
ini adalah GLC yang diterajui oleh orang Melayu. Baginda menegur kerana GLC diterajui orang Melayu. Sekarang pun, orang sudah tidak mahu guna tempoh tapi durasi. Kesimpulan ditukar kepada konklusi, penyelesaian jadi solusi dan di hospital pula, posternya darah tinggi ditukar kepada hipertensi. Majlis perkahwinan ditukar kepada resepsi, hiasan menjadi dekorasi. Baginda cakap dunia sudah terbalik. Dahulu, kita tukar jalan nama Inggeris kepada nama Melayu tetapi sekarang kita tukar jalan nama Melayu kepada Inggeris. RTM buat rancangan Tribute P. Ramlee, kenapa tidak ganti dengan Mengenang P. Ramlee? Jika kita tidak gunakan bahasa Melayu sebagai jati diri, lama-kelamaan nanti orang tidak faham bahasa Melayu. Kalau kita banyak sangat menggunakan bahasa Inggeris, pertama hilang jati diri, kedua hilang kemahiran untuk berbahasa Melayu dengan cepat dan mudah. Indonesia merupakan contoh terdekat bagaimana negara itu mampu memartabatkan bahasanya. Kenapa Indonesia boleh tetapi kita masih terkial-kial? TEO: Kita memilih integrasi sebagai prinsip membentuk negara dan kita benarkan setiap puak dan kaum terus hidup seperti yang asal. Hanya Malaysia menggunakan integrasi manakala negara-negara lain di rantau ini menggunakan asimilasi di mana budaya dan bahasa yang bukan asal perlu menjadi asal. Dengan itu orang Cina di Indonesia dan Thailand tidak boleh terus hidup sebagai Cina tetapi mereka perlu menjadi orang tempatan. Singapura memilih integrasi tetapi menggunakan asimilasi dalam pendidikan. Dari segi teori sosiologi, negara yang hanya membenarkan penggunaan satu bahasa sebagai bahasa utama negara itu didapati lebih senang menyatukan rakyat. Kita lihat perpaduan rakyat Indonesia. Dari satu segi kita megah dan beritahu dunia bahawa kita memberi peluang kepada rakyat untuk memilih sekolah mana yang mereka hendak belajar, kononnya kita demokratik tapi demokratik kita memakan kita balik. Tidak ada negara lain dalam dunia yang membenarkan sistem persekolahan yang pelbagai. Di Singapura kita dapat lihat, sistem persekolahan satu aliran mewujudkan anak Singapura yang mendokong identiti diri yang serupa. Kita tengok menteri sendiri seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan tak pernah berbahasa Melayu. Sepatutnya, untuk diangkat menjadi ahli kepimpimpinan negara, sekurang-kurangnya boleh berbahasa Melayu dengan sederhana baik. Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tetap cuba berbahasa Melayu walaupun orang gelak tetapi menteri sekarang langsung tidak cuba. Orang mungkin tidak percaya bahasa Melayu akan pupus. Benar, tetapi kepupusan itu harus dinilai dari segi aspek yang kompleks dan beralih daripada kedudukan bahasa yang besar kepada bahasa yang kecil. Bahasa Melayu mungkin hanya digunakan untuk mengajar mata pelajaran yang tidak penting di sekolah dan sekarang pun nama bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam menamakan kenderaan nasional. Tag Berkaitan Bahasa
Rencana
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/akibat-memperlekeh-bahasa-melayu-1.392485#ixzz4qT KeG05N © Utusan Melayu (M) Bhd
Cabaran Bahasa Melayu
SENARAI
KANDUNGAN
BIL TAJUK HALAMAN
1.0 4-5
PENGENALAN
2.0 5-8
DEFINISI /KONSEP DIALEK SOSIAL
3.0
CABARAN BAHASA MELAYU DARI PERSPEKTIF PENGGUNAAN
8- 11
BAHASA MELAYU
4.0
RUMUSAN DAN SARANAN MENGEKALKAN IDENTITI BAHASA MELAYU
11-16
BIBLIOGRAFI 21
PENGHARGAAN
PENGHARGAAN ملسال مكيلع ةمحرو ال ىالعت هتاكربو
Alhamdulillah hirrabbil’alamin, kami merafakkan sepenuh kesyukuran kehadrat ilahi dengan limpah dan kurnianya, dapat saya menyelesaikan tugasan kerja khusus ini dengan penuh jayanya. Kami menjulang sepenuh penghargaan kepada Pn.Senpagam a/p Gurusamy Pensyarah Pendidikan Bahasa (HBML34033) Linguistik dan Sosiolinguistik. Beliau juga banyak membantu kami sepanjang proses pembentukan tugasan ini berlaku. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya secara langsung atau tidak langsung sepanjang proses merealisasikan tugasan ini berjalan. Pelbagai ilmu yang dapat saya rungkai sepanjang kami menyiapkan tugasan ini. Sejajar dengan anjakan paradigma dalam era globalisasi ini, begitulah dominannya peranan mahasiswa khususnya bakal pendidik di negara ini untuk merungkai pelbagai ilmu pendidikan di muka bumi ini. Pada dewasa kini, pelbagai pembangunan dari segenap sudut begitu pesat terbina, begitulah jugaa pembangunan dalam bidang pendidikan. Justeru itu haruslah mahasiswa ini tergolong dalam orang yang sentiasa menyaingi peradaban zaman yang begitu hebat. Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap mutiara kata dari saya sebagai renung-renungan dan selamat beramal.
"Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya racun. Tetapi adakalanya lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus"
PENGENALAN Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan pengkajian (research) yang mengabungkan dua disiplin,iaitu sosiologi dan linguistik.Sosiolinguistik juga didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik disiplin yang meneliti bahasa. Salah satu perkara yang dihadapi oleh
ahli-ahli bahasa ialah masalah bahasa itu sendiri. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa.. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain, sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian antara bahasa dan masyarakat. Nik Safiah Karim (1992) Bahasa ialah cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran,perasaan dan hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan secara sukarela.
Dimensi masyarakat bukan hanya memberi ‘makna’kepada bahasa tetapi menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. De Saussure (1961) telah menghuraikan konsep sosiolingustik ini dengan menyebutkan bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan,pewarisan harta peninggalan dan sebagainya. (Noriah Mohamed, 2003) Ragam-ragam bahasa ini bukan hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga memberi indikasi tentang situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa.
Sosiolinguistik merupakan sebahagian daripada kajian bahasa. Wackey (1982) pula berpandangan bahawa sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik,pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata,laras bahasa dan jenis bahasa. Hudson (1980) mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang perhubungan antara bahasa dengan masyarakat.
Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai bahan sosiobudaya yang berhubung dengan aspek linguistik seperti perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa, dialek dan bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983).Walaupun demikian , sosiolinguistik bukan sekadar berkisar tentang disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza yang disebabkan oleh perbezaan status individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam sosiolinguistik ialah bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu.
Definisi Dan Konsep Dialek Sosial.
Dialek merupakan variasi bagi sesuatu bahasa. Variasi sesuatu bahasa berlaku akibat geografi, sosial, atau mungkin daripada tekanan sosial atau tekanan pemerintah .Variasi wujud bagi semua bahasa,tidak kira bahasa yang mempunyai kod atau yang tidak mempunyai kod; yang lisan sahaja atau yang lisan dan bertulis. Seperti mana seseorang penutur bahasa yang menggunakan dialek untuk berkomunikasi dan bersosial,bahasa mempunyai variasi tertentu dan penutur yang berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain akan menggunakan dialek tertentu. Mereka berada dalam zon selesa pada ketika itu..Bahasa Melayu mempunyai beberapa variasi atau dialek tersendiri dan dialek-dialek ini dituturkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan di serata Nusantara.Dialek boleh dibahagi kepada tiga pecahan seperti berikut:
1)
Dialek Sosial ((Bahasa Jawa)
Dialek sosial juga dikenali sebagai sosiolek.Ia digunakan oleh kumpulan penutur mengikut kelas sosial.
2)
Dialek Daerah,( (Dialek Utara, Kelantan, Negeri Sembilan)
Dialek daerah ialah dialek yang dituturkan dalam satu-satu kawasan geografi.Misalnya,dialek Kelantan dan dialek Perak.
3) Dialek Seketika. (Dialek zaman, seperti Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik, Bahasa Melayu moden dan sebagainya) Dilihat dari sudut zaman.Penggunaan dialek mengikut perkembangan zaman adalah bahasa Melayu Kuno,bahasa Melayu Klasik,bahasa Melayu zaman Melaka,bahasa Melayu zaman Johor Lama,bahasa Melayu zaman pramoden dan bahasa Melayu zaman moden.
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, dialek merupakan bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard meliputi loghat, pelat daerah .Dialek sosial kenali juga sebagai sosiolek. Dialek ini digunakan oleh sesuatu daerah atau kumpulan-kumpulan penutur mengikut kelas sosial dan kelainan bahasa yang dituturkan oleh ahli sesuatu kumpulan atau lapisan masyarakat. Contohnya, dalam masyarakat melayu wujudnya susun lapis sosial akan memberi maklumat tentang kedudukan seseorang. Sosial adalah segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan.
Dialek sosial boleh didefinisikan juga sebagai bahasa yang terhasil berdasarkan aspek penggunaan. Contohnya, bahasa baku, bahasa formal, bahasa tidak formal, bahasa halus, bahasa kasar, bahasa istana, bahasa pasar dan bahasa slanga. Bahasa Pasar ialah bentuk bahasa campuran yang berkait dengan bahasa pijin, iaitu bahasa yang dipermudah untuk proses komunikasi. Bahasa slanga pula adalah bahasa yang dipertuturkan golongan tertentu, khususnya remaja. Bahasa ini tidak rasmi, tidak baku, tidak kekal, istilah pupus setelah beberapa waktu, variasi rendah taraf daripada bahasa standard, kosa kata ada makna sendiri yang difahami golongan tertentu.
Seterusnya, sosiolinguistik boleh dijadikan panduan dalam berkomunikasi dan berinteraksi. Sosiolinguistik akan memberikan pedoman kepada kita dalam berkomunikasi dengan menunjukkan bahasa , ragam bahasa atau gaya bahasa apa yang harus kita gunakan semasa berbicara dengan orang tertentu.Contohnya, jika kita adalah anak dalam suatu keluarga, kita harus menggunakan ragam bahasa yang berbeza jika bercakap dengan ayah, ibu, kakak atau adik.Sosiolinguistik juga akan menunjukkan baga imana kita harus berbicara bila kita berada dalam masjid, ruang perpustakaan atau di pasar.
Konsep Dialek
Berdasarkan kajian Abdul Hamid Mahmood dalam karyanya yang bertajuk Dialek Terengganu: satu tinjauan ringkas, memetik Ayatrohaedi, 1979:1 menyatakan istilah dialek berasal daripada Yunani iaitu dialektos yang pada mulanya digunakan dalam hubungan dengan keadaan bahasa di tempat itu Sementara di Yunani terdapat perbezaan -perbezaan kecil di dalam bahasa yang digunakan oleh penduduknya masing -masing, tetapi sedemikian jauh hal tersebut tidak sampai menyebabkan mereka merasa mempunyai bahasa yang berbeza . Di samping itu Kamus Dewan ( 2005:348) mendefiniskan dialek sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat negeri dan lain -lain.Seterusnya Nik Safiah Karim ( 1993:27) menerusi Monograf Simposium Dialek mentakrifkan dialek sebagai variasi bahasa yang dibezakan mengikut penggunanya.Tiap-tiap dialek dialek mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan dialek -dialek yang lain.
Dialek sosial disebut juga sebagai laras bahasa (register) iaitu variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaan bahasa berkenaan. Faktor-faktor yang menentukan pemilihan dan penggunaan sesuatu dialek sosial: 1)
Taraf Pendidikan Orang yang berpendidikan tinggi menggunakan laras bahasa yang berbeza dengan orang yang berpendidikan rendah
2)
Kedudukan Sosial Pada amnya bahasa Melayu terbahagi kepada dua kelas sosial iaitu bahasa istana dan bahasa luar istana. Perbezaan wujud dari segi perbendaharaan kata.
Sementara aspek morfologi, sintaksis dan fonologi tidak banyak perbezaan. 1)
Cara Penyampaian
Sesuatu situasi akan membezakan laras bahasa yang digunakan. Misalnya bahasa yang digunakan semasa ucapan dan pidato berbeza daripada bahasa yang digunakan dalam perbualan suami isteri atau rakan sebaya.
2)
Sikap Penutur
Peribadi seseorang dapat mempengaruhi cara pertuturan dan bentuk bahasa yang digunakannya. Seseorang yang angkuh dan kasar menggunakan bahasa yang berbeza dengan orang yang tenang dan sabar sifatnya.
3)
Gangguan
Gangguan bahasa yang dimaksudkan ialah gangguan daripada bahasa ibunda dan dialek daerah. Laras bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Cina berbeza dengan laras bahasa yang dituturkan oleh orang India kerana pengaruh bahasa ibunda mereka. Begitu juga laras bahasa Melayu standard yang diucapkan oleh orang Perak berbeza dengan laras bahasa Melayu standard yang diucapkan oleh orang Johor. Dengan ini kita dapat mengesan dialek daerah yang dikuasai oleh mereka.
4)
Latar Belakang Keluarga dan Tempat Tinggal
Latar belakang sosioekonomi dan kawasan tempat tinggal seseorang mempengaruhi cara pertuturannya. Misalnya pertuturan orang kaya berbeza dengan orang miskin dan pertuturan orang bandar berbeza dengan pertuturan orang yang tinggal di kampung.
5)
Fungsi-fungsi Sosial Perlakuan Bahasa
Perlakuan-perlakuan bahasa diperlukan kerana bahasa ialah sebahagian daripada perlakuan sosial. Dalam tiap-tiap situasi sosial terdapat penggunaan bahasa yang berlainan hasil interaksi orang-orang yang terlibat dalam perbualan dan peranan situasi-situasi tersebut dalam masyarakat. Misalnya terdapat kelainan bahasa untuk menghasilkan sesuatu maksud atau perasaan, memberi arahan, meminta dan sebagainya.
6)
Hubungan Sosial dan Peribadi
Berbagai-bagai jenis perhubungan peribadi wujud daripada yang paling mesra seperti hubungan antara kaum keluarga hingga kepada yang formal seperti hubungan antara pekerja dan majikan. Hubungan yang tidak bersifat peribadi pula berbeza seperti penulis buku dengan pembaca buku. Hubungan yang seperti ini menghasilkan laras yang berbeza.
7)
Bahan yang diperkatakan
Setiap bahan yang hendak diperkatakan menggunakan bahasa yang berlainan bergantung kepada isi yang hendak disampaikan. Aspek isi meliputi perkara-perkara biasa dalam kehidupan sehari-hari sehinggalah kepada bidang-bidang khusus yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu seperti bidang sains dan teknologi.
8)
Aspek Linguistik Dialek sosial juga dipengaruhi oleh aspek-aspek linguistik seperti tatabahasa dan kosa kata. Walaupun begitu perbezaan antara laras-laras bahasa itu tidak terlalu jauh hingga boleh menimbulkan ketidak fahaman antara penutur-penuturnya.
Menurut Nik Safiah Karim (1992), setiap individu mempunyai cara tersendiri; jenis bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dipanggil idioleknya (parolenya). Idiolek berlaku kerana ada perbezaan pada alat sebutan antara individu dengan individu hingga ujaran yang sama, tetapi tidak serupa bunyinya. Sungguhpun dalam peredaran masa yang panjang dan penyebaran daerah yang luas, akan timbul perbezaan yang lebih nyata pada satu-satu bahasa, iaitu dari segi perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebutan. Perbezaan ini mempunyai kaitan dengan daerah atau wilayah sehingga menimbulkan jenis-jenis bahasa yang tidak lagi bersifat sama atau variasi bahasa itu dikenali sebagai dialek.
Kenyataan ini bersesuaian dengan pendapat Za’ba (1951), dialek ialah keadaan sesuatu bahasa yang berlainan tentang bunyi sebutannya dan gaya suara menyebutnya dan terkadang ada juga tentang perkataannya, dan resaman bahasa dalam percakapannya, iaitu mengikut berlainan tempatan dan negeri, bukan lain-lain. Misalnya, daerah A menyebut [a] sementara daerah B menggunakan [é] bagi bunyi yang sama. Sehubungan dengan itu, David Crystal berpendapat bahawa "dialect is subdivisions of languages". Hal ini membawa maksud bahawa dialek adalah cabang daripada bahasa dan dialek juga berbeza dengan bahasa. Bahasa pula merupakan satu bentuk yang tegas dan mempunyai sistem atau peraturan yang ditetapkan oleh satu-satu masyarakat. Walaupun terdapat perbezaan antara dialek dan bahasa rasmi tetapi masih tidak tersimpang jauh antara dialek-dialek dalam sesuatu bahasa. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, setiap penutur bahasa Melayu bertutur dalam dialek atau kelainan bahasa yang diperolehi sejak dia mulai belajar bertutur dan bahasa itu akan menjadi bahasa ibundanya atau bahasa pertama. Dengan ini, kita membuat hipotesis bahawa sekitaran geografi adalah faktor penentu bagi jenis dialek bagi seseorang penutur. Bagaimanapun, ada faktor penentu yang lain, iaitu faktor sekitaran.
Antara satu dialek dengan dialek lain seolah-olah terdapat satu sempadan atau garis pemisah kawasan yang membezakan antara satu dialek dengan yang lain dan garisan itu dikenali sebagai isoglos. Isoglos atau garis sempadan linguistik ialah garis pemisah antara satu dialek dengan dialek yang lain dalam satu bahasa. Garis pemisah tersebut tidak dapat ditentukan dengan jelas kerana wujud perhubungan yang berterusan antara pengguna bahasa yang tinggal bersempadan. Tambahan pula, batas kawasan dialek yang sedia ada tidaklah menetap buat selama-lamanya kerana kawasan itu boleh menyempit atau meluas berdasarkan hubungan perjiranannya dengan dialek-dialek atau bahasa-bahasa lain. Oleh itu, kajian ini menjelaskan penentuan kawasan-kawasan dialek yang ada di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Penentuan kawasan-kawasan itu boleh didasarkan pada ciri-ciri persamaan dan perbezaan antara dialek-dialek itu..Menurut Asmah Hj. Omar (1985), dialek-dialek bahasa Melayu terbahagi kepada tujuh kumpulan dialek.
CABARAN BAHASA MELAYU DARI PERSPEKTIF PENGGUNAAN BAHASA MELAYU MASA KINI.
Manakala cabaran pula ialah sesuatu iaitu unsur, atau faktor yang mencabar,menguji, kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Oleh itu cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju abad ke-21 atau dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai era globalisasi merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama kedudukan bahasa Melayu di negara ini.Dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan keistimewaannya berbanding bahasa lain dilindungi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Banyak fungsi dan peranan bahasa ini dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat Malaysia. Selain daripada menjadi bahasa rasmi dan bahasa perantaraan, bahasa Melayu juga menjadi faktor penyumbang utama ke arah perpaduan sejagat dan menjadi bahasa ilmu dalam bidang pendidikan. Seperti yang dapat dilihat sekarang, Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat Malaysia dan mempunyai kemampunan untuk menyatukan pemikiran seluruh rakyat. Walaupun bahasa telah menyumbangkan banyak kebaikan kepada negara, namun beberapa halangan timbul dalam usaha untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan ini.
Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi Abad ke 21
Namun, permulaan abad ke-20 merupakan era penjajahan Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo,Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa,selatan Borneo,Sulawesi ,Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina.[Prof.Dr.Hashim Hj. Musa,2009].Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan lingua franca di rantau ini
Menurut A. Azizi Deraman dalam makalahnya Bahasa Melayu Dan Cabaran Globalisasi, Dewan Bahasa 2007 menegaskan bahawa cabaran utama bahasa Melayu sebagai bahasa nasional adalah lemahnya sokongan, jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Tambah beliau lagi, wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan atau cara sesebuah negara memilih bahasa dan bahasa Inggeris dianggap mampu membawa kemajuan negara telah memusnahkan kemajuan dan keupayaan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu agung dengan sejarah yang dilakarnya bak sekian lama sehinggakan penjajah yang datang mengaut segala keuntungan tanah Melayu telah mematikan kagungan bahasa Melayu dengan membawa bahasanya. Untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu yang kini semakin diheyak-henyak dari pelbagai penjuru. Justeru penulis tinggalkan sidang pembaca sekalian dengan beberapa persoalan berdasarkan pandangan Aziz Deraman: (1)
Orang Melayu sendiri kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu.
(2)
Rakyat bukan Melayu belum semunya menjiwai bahasa Melayu.
(3)
Bahasa Inggeris terus dianggap superior.
(4) Penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian yang mencetuskan tanggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap bahasa sangat unggul itu.
Antara halangan utama yang dilihat pada hari ini adalah persepsi masyarakat yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak maju dan tidak berdaya saing. Mereka sentiasa memandang enteng kepentingan bahasa ini dan lebih cenderung untuk menghormati penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai penanda aras kehebatan sesebuah negara. Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa penting dan banyak kebaikannya terutama dalam hal komunikasi dan perhubungan luar serta pendidikan tinggi. Akan tetapi jika kita melihatnya dalam konteks dalam negara, bahasa Melayu ternyata mempunyai kepentingan yang lebih tinggi memandangkan ia adalah bahasa rasmi negara dan penggunaannya sentiasa diutamakan.
Bagi sesetengah institusi kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Universiti Islam Antarabangsa disebabkan kepentingan lain yang boleh menyumbang kepada kemenjadian pelajar dan sumbangan terhadap negara. Mana-mana pihak yang fasih berbahasa asing tetapi tidak arif berbahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan keadaan diri mereka kerana bahasa Melayu merupakan identiti penting bagi seorang warganegara sebagaimana yang sering kita katakan sebagai bahasa jiwa bangsa. Tuntasnya, setiap usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu memandang aspek masyarakat ini kerana segala usaha tersebut tidak akan mencapai kejayaan jika masyarakat masih memandang bahasa Melayu menurut perspektif yang rendah.
Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi
Pihak kerajaan semestinya memastikan kedudukan bahasa Melayu itu jelas-sejelasnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebarang dasar yang ingin diperkenalkan perlulah dikaji dengan lebih teliti sebelum diputuskan. Tidak dinafikan, kedudukan bahasa Melayu hari ini sudah terjejas, namun masih belum terlambat rasanya untuk pihak kerajaan mengukuhkannya kembali. Antara lain kerajaan haruslah memberi peluang kepada bahasa Melayu menjalankan fungsinya sebagai bahasa ilmu secara holistik. Tidak ada rugi sekiranya bahasa Melayu digunakan secara sepenuhnya dalam bidang ilmu di negara kita. Sejarah lampau membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dengan melahirkan pelbagai teknokrat dalam pelbagai bidang.
Kemuncak kepada keraguan bahasa Melayu ini direalisasikan dengan terlaksananya sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Pelaksanaan dasar ini yang mula dilaksanakan pada 2003 adalah sesuatu peristiwa yang cukup mengguris hati-hati para pejuang bahasa. Pelaksanaan PPSMI adalah output daripada polemik-polemik yang sekian lama membelenggu yang mana perasaan ketidakyakinan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa keilmuan dan bahasa sains teknologi tercerna melalui pelaksanaan PPSMI. Namun, pandangan ini lantas disanggah oleh Prof. Dr James T. Collins dengan memberi penegasan bahawa kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah digunakan berpuluh tahun di Malaysia dan juga Indonesia tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah beliau menambah, sejak 140 tahun bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa ilmu bukan sahaja orang Melayu malah orang asing.
Cabaran Bahasa Melayu Dalam Kemajuan Teknologi Maklumat
Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari. dakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama.
Cabaran Bahasa Melayu Terhadap Sikap Penuturnya
Dalam usaha kita untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai ilmu pengetahuan, kita tidak menafikan bahawa cabaran bahasa Melayu pada masa kini tidak terhenti setakat di situ sahaja tetapi semakin mencabar terutama dalam usaha kita untuk membentes penggunaan bahasa Melayu bukan standard dan bahasa Inggeris dalam urusan-urusan rasmi khasnya urusan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan. Kita tidak menolak bahawa sikap yang masih menebal dalam kalangan sebilangan kecil kita
yang acuh tidak acuh dalam menggunakan bahasa Melayu standard dan lebih parah lagi menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin berbangga bertutur dalam berbahasa Inggeris sepatah dua atau ingin menunjuk yang kita lebih pandai dalam bahasa tersebut perlulah dirujuk pada diri masing-masing. Kita bukan bersikap rasis terhadap bahasa Inggeris atau anti bahasa Inggeris. Namun bagi mendukung bahasa Melayu sebagai rasmi negara yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Justeru, wajar untuk kita mengambil semangat ini dan meletakan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi. Usaha ini perlulah diterjemahkan di dalam urusan seharian kita. Kita tidak menghalang sesiapa pun untuk bertutur atau menggunakan bahasa tersebut, tetapi perlulah bijak untuk melihat kepada suasana atau situasi wajar atau tidak untuk kita menggunakannya.
Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu
Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi. Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms.Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam) dan sebagainya.
Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.
RUMUSAN DAN SARANAN MENGEKALKAN IDENTITI BAHASA MELAYU.
Bagi menterjemahkan hasrat negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited di bawah pimpinan Prof.Dr. Awang Sarian telah mengambil pendekatan untuk melaksanakan audit bahasa bagi kesuma agensi kerajaan. Pendekatan ini diambil oleh DBP adalah untuk memastikan agensi-agensi yang terlibat menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama dalam urusan rasmi. Langkah ini diambil oleh DBP disebabkan menyedari akan krisis serta cabaran bahasa Melayu yang kini semakin hebat dihambat dengan arus globalisasi. Jika elemen ini tidak dibendung dengan segara dengan langkah menyedarkan rakyat akan kepentingan penggunaan
bahasa Melayu standard dengan baik dan betul. Hal ini, adalah seiring dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam kerangka 152 perlembagaan Malaysia.
Oleh yang demikian, cabaran-cabaran seperti cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat , cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu menjadi isu perbincangan dalam abad ke-21. Cabaran-cabaran ini terpaksa dilalui secara berhati-hati agar permasalahan yang sedikit akan memberi impak yang besar terhadap bahasa Melayu. Pada masa ini, pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat dan dikenali sebagai bahasa antarabangsa.Untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris menjadi keutamaan.
Pendirian tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan komunikasi moden, termasuk bidang sains dan teknologi, adalah juga tidak benar. Korpus bahasa Melayu dari segi kemantapan sistem dalamannya, yakni ejaan, tulisan, kosa kata, istilah dan nahunya yang standard sudah lama melayakkannya menjadi bahasa moden.
Menerusi nasionalisme integral ini, dalam kes PPSMI, rakyat Malaysia perlu akur kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memperlihat, selain berkongsi keghairahan terhadapnya. Apatah lagi menentang dan mendesak dikembalikan PPSMI. Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa.Dalam konteks Dasar MBMMBI yang menggantikan PPSMI, falsafah nasionalisme integral yang boleh diserlahkan ialah rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa nasionaliti linguistik bahasa Melayu dan juga nasionaliti budaya etnik Melayu, adalah asas pembentukan negara bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Penerimaan ini perlu dilakukan atas nama kepentingan negara.
Penerimaan ini akan menjadikan bahasa dan budaya Melayu bukan sekadar lambang negara, malah lambang nasional yang bukan saja kuat, tetapi amat berkesan. Dengan ini, bahasa Melayu misalnya bukan saja memiliki kuasa untuk memupuk dan membentuk jati diri nasional. Tetapi ia juga menjadi alat penting lagi berwibawa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu itu memerlukan kegigihan dan kesungguhan. Manakala pendekatan untuk mengangkat dan mengembangkan bahasa Melayu memerlukan dynamisma, kreativiti dan inovasi dalam tindakan dan pelaksanaan. Ini kerana usaha memartabatkan bahasa Melayu itu adalah satu perjalanan melintasi zaman yang akan diteruskan dan diwarisi oleh generasi muda sekarang dan yang akan datang.Oleh yang demikian, masyarakat dan generasi muda hari ini tidak boleh menolak ke tepi penggunaan bahasa Melayu kerana ia merupakan identiti, jati diri dan kebanggaan bangsa. Mereka perlu mengangkat martabat bahasa Melayu ke suatu aras yang lebih tinggi. Malah dengan mendaulatkan bahasa Melayu ianya merupakan sebagai satu sumbangan besar untuk memperkasa dan mengekalkan identiti dan jati diri bangsa.
Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961, bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Abdullah Hassan (1987) menyatakan, selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah- sekolah secara berperingkat-peringkat. Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997).
Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama. Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Bagi mengekalkan kewujudan bahasa khususnya bahasa Melayu, beberapa usaha telah dijalankan. Sebagai contoh ialah “Program Gerakan Cintailah Bahasa Kita” yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 oleh Perdana Menteri Malaysia, bertujuan untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa di Malaysia. Pelbagai kempen kesedaran bahasa telah dijalankan supaya masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu khususnya akan lebih menghargai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Walaupun kita telah menempuh era yang baru, tidak bermakna bahasa yang kita gunakan juga baru. Kita harus mengekalkan keaslian bahasa kita dalam negara mahu pun di luar negara. Kita sebagai rakyat Malaysia harus bangga dengan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian yang melambangkan identity sesebuah bangsa. Misalnya, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia digunakan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Pengunaan Bahasa Melayu merupakan pengerak pembangunan negara.Bahasa sememangnya merupakan alat atau elemen yang penting dalam memajukan tamadun manusia. Dalam erti kata yang lain, bahasa adalah alat budaya sesuatu bangsa. Tun Mahatir sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia pernah berkata bahawa “maju bangsa Melayu majulah Bahasa Melayu”. Konteks pengerak pembangunan negara yang dinyatakan disini ialah pembangunan negara daripada segi ekonomi, politik dan sosial. Tetapi, bagaimana bahasa tersebut menunjukkan ianya pengerak pembangunan? Kita lihat sejarah perjuangan Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) dalam kajian Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa oleh Abdullah Hassan (Yang Dipertua Persatuan Penterjemah Malaysia). Leibniz merupakan seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman yang cuba mencari mengapa bangsa Jerman masih lagi mundur walaupun ekonominya berkembang dan negara Jerman kaya dengan pelbagai sumber. Perlembagaan Malaysia juga telah termaktub iaitu Pekara 152 menyatakan bahawa bahasa yang dirujuk sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah Bahasa
Melayu.(Abdullah Sani,2007) Walhal, penggunaan bahasa Melayu telah diiktirafkan oleh dunia dan bahasa tersebut diterap dalam kursus di universiti luar negara. Maka, mengapa kita sebagai bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak sekian lama ingin menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.
Ramai terlibat dalam perbincangan mengenai kemahiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbahasa Inggeris dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas.
Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad mempersoalkan mengapa Zahid harus berucap dalam bahasa Inggeris sama sekali.
"Orang ramai mengejek ucapan timbalan perdana menteri kita di Perhimpunan Agung PBB tetapi mengapa anda harus bercakap dalam bahasa Inggeris? Mengapa tidak dalam bahasa kebangsaan kita?" Soal Iskandar di Facebook hari ini.
Beliau merujuk ramai pemimpin dari negara-negara lain tidak menggunakan bahasa Inggeris di PBB kerana berbangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri.
Meskipun posting itu sendiri ditulis dalam bahasa Inggeris, Iskandar menjelaskan sebab berbuat demikian.
"Jadi mengapa saya menulis ini dalam bahasa Inggeris? Demi manfaat rakan-rakan Facebook di seluruh dunia," katanya.
Zahid mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB ke-71 di New York dan menyampaikan ucapan beliau Sabtu lepas.
Selepas ucapan tersebut, netizen mengkritik kemahiran bahasa Inggerisnya kerana kebanyakan sebutan terhadap perkataan tertentu tidak jelas.
Namun pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan memperlekeh usaha Zahid berucap dalam bahasa Inggeris.
Bekas pendebat terbaik Asia itu berkata walaupun terdapat kesalahan sebutan, mesej yang hendak disampaikan masih boleh difahami.
“Beliau (Zahid) ada pilihan untuk bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi tetap pilih untuk mengambil jalan yang lebih sukar,” katanya.
Memartabatkan bahasa Melayu
Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut: 1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu. 2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran. 3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib. 4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu. 5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi. 6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit. Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara. Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil termasuklah: 1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu. 2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas. 3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara. 4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah
pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras. 5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya. 6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan'' masing-masing. 7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang. 8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera. Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan. Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=R encana&pg=re_01.htm#ixzz4qY3zPtLx © Utusan Melayu (M) Bhd
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'.Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demimembejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagaiagen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.
Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunanpencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan
bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.
Cadangan Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu Status atau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan yang ketara apabila bahasa Inggeris mula digunakan dalam kehidupan seharian. Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahankan dan memantapkan kedudukan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Antara cadangan yang boleh diambil dan dilakukan oleh semua pihak adalah seperti mempertahankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah rendah, menengah, dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada dasar PPSMI. Mengambil tindakan segera untuk menjadikan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah sebagai pengalaman yang menarik, berkesan dan memikat dengan menggunakan pelbagai bahan kreatif dan inovatif. Selain itu pihak yang terlibat boleh menyediakan latihan dalam perkhidmatan kepada semua guru untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi. Sistem pendidikan kebangsaan juga boleh menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat di Malaysia. Peribahasa ada mengatakan bahawa ‘tak kenal maka tak cinta’. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa perlunya proses mengenali sebelum mencintai sesuatu. Begitu juga dengan bahasa kita. Apabila mengenali bahasa kebangsaan kita, kita akan sentiasa dapat menyemai sikap cintakan negara walau ke mana pun kita pergi. Sebagai contoh, jika kita berpeluang untuk ke negara luar, kita seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu dan berbangga apabila bertutur dalam bahasa ini. Jika sudah terbiasa, maka semakin tinggilah penghargaan kita terhadap bahasa kebangsaan ini. Selain itu, Malaysia juga sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020. Dalam menjayakan wawasan ini, kita seharusnya mempunyai identiti sendiri yang mampu menaikkan nama negara di mata dunia. Rakyat Malaysia yang memasuki pertandingan atau perlawanan sukan hingga ke peringkat antarabangsa seharusnya mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.
Langkah seterusnya ialah dengan melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat. Dalam mengejar era globalisasi ini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan, peranan guru amatlah mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu yang menjadi cerminan sebagai identiti rakyat Malaysia. Antara lain, penghayatan, pemahaman dan kepekaan dalam bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus globalisasi itu sendiri. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini. Bagi mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Seiring dengan wawasan ini, kita harus bersedia untuk menguasai bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Kesimpulannya, jelas sudah kita lihat betapa pentingnya peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan. Oleh itu, bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia bagi menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan dahulu. Oleh yang demikian, kita sebagai penutur asli bahasa ini seharusny berusaha untuk mengekalkan bahasa ibunda kita supaya tidak lapuk dek zaman dan terus menjadi bahasa yang dihormati oleh orang lain.
PERANAN KERAJAAN DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MENGIKUT KONTEKS PENDIDIKAN-Kartinie Amat [diselenggarakan oleh Rozali Rajab] Abstrak Bahasa Melayu telah memainkan peranannya sebagai bahasa yang unggul sebaik sahaja diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar di sekolah dan di pusat pengajian tinggi selain menjadi bahasa perpaduan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah setelah penyemakan semula Akta Pelajaran 1961 yang berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan
Rahman Talib 1960 yang bertujuan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan menjadi teras perpaduan. Kertas kerja ini akan membincangkan tentang peranan kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu mengikut konteks pendidikan. Skop kajian yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini adalah tentang implimentasi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara, halangan-halangan yang dihadapi pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu serta peranan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Untuk merealisasikan hasrat murni tersebut, pendidikan merupakan medium utama yang berperanan penting dalam memenuhi impian tersebut. Majunya sesebuah negara itu bergantung kepada tahap keintelektualan rakyat serta sistem pendidikannya. Pendidikan yang berkualiti memerlukan komitmen daripada semua pihak khususnya warga pendidik dan golongan pelajar. Sebagai memenuhi impian tersebut bahasa Melayu selayaknya dijadikan wadah utama selain bahasa-bahasa lain yang telah sedia ada di negara kita. PENDAHULUAN Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam pembentukan masyarakat yang ideal di negara ini, terutamanya dalam kalangan pelajar. Bahasa Melayu yang digunakan dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang penting sama ada bahasa itu akan berkembang atau terus pudar ditelan zaman. Dari sehari ke sehari peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia kian ketara sehingga wujud banyak bidang pengajian Melayu di pelbagai universiti luar mahupun dalam negara. Bahasa Melayu dikatakan merupakan antara enam bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun lagi malahan mampu hidup untuk selama-lamanya terutama jika bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa bertaraf dunia satu ketika dahulu seperti bahasa Inggeris sekarang. Walaupun keadaannya berbeza sekarang, bahasa itu akan terus memainkan peranan penting dalam pembinaan bangsa dan negara. Slogan ‘Bahasa Melambangkan Bangsa dan Bahasa Jiwa Bangsa’ adalah antara slogan yang dapat menaikkan semangat patriotisme dan kemerdekaan daripada penjajah yang lebih mengutamakan bahasa mereka. Slogan ini begitu dihayati oleh pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diangkat semula sebagai bahasa intelektual, bahasa falsafah serta bahasa ilmu. Tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa itu melainkan bahasa bangsa itu sendiri termasuk ketamadunan bangsa Melayu oleh bahasa Melayu. Justeru, cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi oleh bahasa Melayu hari ini haruslah ditangani dengan sewajarnya oleh semua golongan khususnya pihak kerajaan. Definisi Konsep Memartabatkan bahasa Melayu merupakan satu proses pembinaan bahasa yang dijalankan secara berterusan. Pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan Bahasa Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan, tatabahasa, peristilahan, kosa kata dan laras bahasa. Menurut Nik Safiah Karim (2004 :34), pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan menjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih memerlukan pemantapan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Awang Sariyan (2006: 17) mengatakan bahawa usaha-usaha perlu dilakukan oleh pihak pemerintah negara agar lebih proaktif dalam memartabatkan bahasa Melayu jika ingin melihat bahasa Melayu itu terus berkembang maju dan seterusnya menjadi bahasa ilmu.Bahasa Melayu seharusnya telah diangkat menjadi sebuah bahasa yang unggul dan tidak seharusnya dipertikai kewujudannya. Manakala, Kamarudin Hj Kachar (1989 : 83) mengatakan bahawa konsep pendidikan dengan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Pendidikan memerlukan masyarakat untuk dijadikan asas falsafah, matlamat,dan tujuan. Masyarakat pula memerlukan pendidikan sebagai alat terpenting menyediakan individu-individu untuk menjadi masyarakat terlatih, terpelajar dan berbudi bahasa. Berdasarkan pendapat tokoh bahasa di atas dapat disimpulkan bahawa untuk memartabatkan bahasa Melayu, banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya pihak kerajaan. Perkembangan bahasa Melayu dapat dipraktikkan dalam sistem pendidikan negara. Melalui pendidikan sesuatu perancangan itu dapat dilaksanakan mengikut
perancangan yang telah diatur oleh pihak kerajaan. Pemantapan dari segi pembinaan bahasa itu sendiri perlu seiring dengan perkembangan pendidikan. Jika kedua-dua konsep ini dapat digabungkan nescaya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Implimentasi Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Negara. Laporan Razak 1956 Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang cerah. Kedudukannya sebagai bahasa utama negara Malaysia sudah terjamin, dari segi penggunaan yang luas dan perakuan oleh rakyat Malaysia. Pada tahun 1956 telah diperkenalkan Laporan Razak setelah kerajaan pada masa itu berjanji untuk memberi satu sistem pelajaran yang sama untuk semua penduduk. Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah : “… menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.” (Perenggan 12 : Laporan Razak) Oleh itu, tujuan jawatankuasa ini adalah untuk melahirkan perpaduan antara kaum sebagai satu rumpun bangsa Tanah Melayu. Untuk mencapai matlamat perpaduan, Penyata Razak telah menggariskan dua asas utama iaitu :“Sistem persekolahan yang sama bagi semua dan kurikulum sekolah yang sama kandungannya dan bercorak kebangsaan.” ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 1984 : 7) Khusus tentang taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan, Laporan Razak mengusulkan • “…...Bahasa Melayu mestilah diajar di dalam semua sekolah dan dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah”. (Perenggan 18) • “……Bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education)…”. (Perenggan 22(b) • “…..Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Jenis Kebangsaan), kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar”. (Perenggan 71) Laporan Razak, yang menjadi asas Ordinan Pelajaran, 1957 dianggap sebagai suatu perkembangan baru dalam sejarah pendidikan Tanah Melayu. Namun demikian, sebagai satu kertas dasar bagi sistem pendidikan kebangsaan, laporan tersebut walaupun pada asasnya menampakkan dasar kompromi dan akomodasi dalam falsafahnya, tetapi telah gagal untuk memuaskan harapan penduduk negara ini. Sejak mulanya laporan dikeluarkan dan hinggalah berlakunya rusuhan kaum dalam tahun 1969, ia tidak mendapat sokongan yang cukup untuk menghalang berlakunya konflik perkauman sebagaimana yang berlaku dalam tahun tersebut. Perbezaan pendapat yang timbul bukanlah ke atas falsafah laporan tersebut ataupun struktur dan kandungan kurikulum yang dicadangkan, tetapi tertumpu kepada cara-cara untuk mencapai matlamatnya. Mengikut Laporan Razak, dalam sistem persekolahan wujud dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa pengantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Oleh kerana perbezaan itu tertumpu kepada peranan dan kedudukan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain dalam sistem pendidikan, secara tidak langsung bahasa terus menjadi punca masalah pendidikan di Tanah Melayu ketika itu. Menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1992 : 21) mengatakan bahawa satu lagi kelemahan Laporan Razak ialah dalam konteks pembinaan negara, iaitu pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa pengantar masing-masing dan hal ini tidak selaras dengan cita-cita kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) untuk maksud perpaduan rakyat. Rasa tidak puas hati orang-orang Melayu pada amnya menyebabkan kerajaan Malaysia (Persekutuan Tanah Melayu) ketika itu, yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membentuk Jawatankuasa Penyemak Pelajaran pada tahun 1960 untuk meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Dengan mengambil sempena nama pengerusinya Dato’ Abdul Rahman Talib yang
menjadi Menteri Pelajaran ketika itu, dikenal orang jawatankuasa tersebut sebagai Jawatankuasa Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Penyemak Pelajaran itu dikenal pula sebagai Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib 1960 Usaha-usaha ke arah perpaduan ini diteruskan lagi setelah ditubuhkan pula Laporan Rahman Talib yang bertujuan untuk mengkaji semua syor Laporan Razak. Syor-syor Laporan Rahman Talib akhirnya diluluskan sebagai rang undang-undang oleh parlimen sebagai Akta Parlimen No. 43 tahun 1961 (Akta Pelajaran 1961).“Penyata Razak dan Rahman Talib telah menjadi watershed (batu asas) dalam matlamat perpaduan kaum di Malaysia”. Cadangan kedua-dua penyata ini adalah agar pada akhirnya nanti wujud hanya satu bahasa pengantar di sekolah, iaitu bahasa Melayu. Jika Laporan Razak mengasaskan idealisme menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada suatu waktu yang ditetapkan, selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152), maka Laporan Rahman Talib menggariskan langkah untuk merealisasikan idealisme tersebut. Antara usulnya yang berkaitan dengan hal tersebut termasuklah : • Menukar bahasa pengantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu. • Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu. Usul-usul Laporan Rahman Talib diperundangkan melalui Akta Pendidikan 1961 yang menjadi kerangka rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindakan lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib yang berhubung dengan soal dasar tersebut termasuklah: Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963. • Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah. • Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962. • Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan. • Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara. Dapat dirumuskan daripada perbincangkan di atas bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu “Bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara”. Dengan perkataan lain, di sisi faktor-faktor lain seperti kebudayaan, ekonomi, politik, undang-undang, dan sebagainya, faktor bahasa kebangsaan menjadi faktor penting dalam rangka pembinaan sebuah negara baru. Dasar Pelajaran Kebangsaan Langkah utama yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ialah membetulkan dan menyusun semula sistem pendidikan yang diwarisi daripada penjajah Inggeris dengan mengadakan dasar-dasar pendidikan yang diperkukuhkan oleh perlembagaan dan undang-undang. Cadangan-cadangan dasar yang dikemukakan oleh Laporan Razak 1956 telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957, sementara cadangan-cadangan dasar daripada kedua-dua Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Kedua-dua laporan tersebut menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Penegasan yang terpenting dalam proklamasi Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah suatu sistem pendidikan yang mengutamakan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai media pengajaran dan pembelajaran bagi semua peringkat persekolahan dan dalam semua institusi pendidikan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan. Dasar Pelajaran Kebangsaan
telah menghasilkan murid-murid yang mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu, dan bermula dari tahun 1983, penuntut yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi telah menerima seluruh pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bentuknya telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan rakyat Malaysia dan hari ini bahasa Melayu dapat bersaing dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Rusia, dan bahasa-bahasa lain. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 Antara langkah pertama pengisian kemerdekaan ialah mengikut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pengiktirafan ini termaktub di dalam Perlembangaan Persekutuan melalui Perkara 152:• Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu dan hendaklah dalam bentuk yang ditentukan oleh Parlimen melalui undang-undang. • Walau apapun peruntukan Fasal (1), selama tempoh 10 tahun selepas Hari Merdeka dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Dewan Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan bagi semua maksud rasmi yang lain. • Dalam perkara ini “maksud rasmi” bererti apa jua maksud kerajaan sama ada Persekutuan atau Negeri dan termasuklah apa jua maksud pihak berkuasa awam. Dari aspek kedudukan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara, kita harus lihat kepada Akta Pendidikan 1996 yang di dalam seksyen 17(1) dikatakan bahawa “Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan di dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 dan mana-mana institusi pendidikan yang dikeculikan oleh Menteri daripada seksyen ini.” Halangan-Halangan Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Bidang Pendidikan Pengaruh Bahasa Inggeris Dalam Pendidikan Dasar bahasa tidak berubah tetapi orientasi terhadap bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan negara atau sebagai alat untuk mencapai matlamat itu mula berubah. Peranan Bahasa Melayu dalam agenda pembangunan negara yang baru itu makin tidak diambil kira lagi. Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu diseru supaya menguasai bahasa Inggeris jika mereka hendak menjadi bangsa yang maju. Proses globalisasi digunakan sebagai alasan bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia mesti mengetahui bahasa Inggeris. Pada hal sudah ada dasar sejak tahun 1957 yang diperakukan oleh Laporan Razak sendiri bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah. Menurut Omar Mohd Hashim (1993: 13) mengatakan bahawa kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris mula menjadi isu negara seolah-olah bahasa Inggeris itu merupakan bahasa pengantar utama di sekolah mahupun di universiti manakala kelemahan pelajar dalam menguasai bahasa Melayu dipandang sepi. Tiada tindakan mahupun usaha untuk memantapkan bahasa Melayu. Cabaran paling serius terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Di IPT berlaku apabila 600 lesen diluluskan kepada pihak swasta untuk menubuhkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Walaupun Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 menyatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya, akta yang sama memberikan kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk membenarkan IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Di mana letaknya kedaulatan Bahasa Melayu?. Ketidakmampuan Menguasai Bahasa Melayu Dengan Baik Dan Sikap Negatif Kekangan yang jelas ketara untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam pendidikan ialah kurangnya tenaga pengajar yang mahir dan tidak menguasai bahasa Melayu dengan sebaiknya. Abdul Hamid Mahmood (1993 : 21) menyatakan bahasa Melayu itu tidak dapat dimartabatkan jika guru-guru yang mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Menurut kajian beliau, ramai guru masih menggunakan dialek setempat semasa mengajar mata
pelajaran bahasa Melayu dan bukannya menggunakan bahasa standard. Budaya berbahasa yang sebenarnya tidak dapat diterapkan oleh golongan pengajar dan tenaga pengajar tersebut. Ini menyebabkan golongan pelajar akan mendapat input yang salah dan bercelaru.Hal ini demikian menyebabkan golongan pelajar khususnya pelajar Melayu tidak dapat mempelajari bahasa Melayu dengan betul. Selain itu, masalah penggunaan dialek bahasa Melayu di bilik darjah masih ada hingga hari ini. Tambahan pula, tidak semua pelajar dianggap sebagai orang Melayu adalah orang Melayu. Sebilangan daripada mereka adalah orang Jawa dan menggunakan bahasa Jawa di rumah. Bahasa Melayu ialah bahasa kedua dan bahasa Inggeris ialah bahasa ketiga bagi mereka. Bagi kebanyakan pelajar sebegini, bahasa Melayu bukanlah bahasa ibunda mereka dan mereka terpaksa mempelajarinya. Menurut Sufean Hussin (1996 : 50) mengatakan bahawa di sekolah murid-murid akan diajarkan aspek tatabahasa di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kerana ia amat penting untuk melahirkan murid yang pintar berbahasa selain dapat menggunakan tatabahasa dengan betul. Tujuan pengajaran tatabahasa dijalankan di sekolah adalah untuk membolehkan murid-murid dapat memahami dengan lebih jelas pengertian sesuatu perkataan atau ayat dengan menganalisis kedudukannya. Selain itu, ia juga dapat membantu murid-murid bertutur dengan lancar, terang dan mudah difahami oleh orang lain serta murid dapat menggunakan frasa dengan jelas dan tepat. Pengajaran tatabahasa ini sangat mencabar bagi seseorang guru bahasa. Guru-guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu tentang tatabahasa itu sendiri. Guru-guru tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid tanpa membuat sebarang rujukan berkaitan kandungan dalam tatabahasa itu sendiri. Ini bersesuaian dengan zaman sekarang di mana murid-murid perlu menguasai tatabahasa untuk diaplikasikan dalam menjawab soalan peperiksaan. Pengaruh Bahasa Slanga Kekacauan bahasa sering kali berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini sebenarnya berlaku tanpa disedari oleh penuturnya. Dari mana datangnya kekacauan bahasa ini juga mendapat jawapan yang samar. Menurut Ismail Jusoh (2000:48),mengatakan bahawa bahasa slanga dilahirkan oleh sesuatu kumpulan. Kumpulan ini mencipta istilah dan kata-kata yang bermakna dan hanya difahami oleh kumpulan itu sahaja. Mereka menggunakan istilah-istilah tersebut dalam berkomunikasi.Apabila wujudnya bahasa slanga secara tidak langsung terbinalah pelbagai golongan mengikut identiti mereka. Dalam menangani masalah memartabatkan bahasa Melayu, golongan pelajar sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dalam berbahasa. Tetapi sejak akhir-akhir ini, banyak rungutan mengatakan bahawa golongan pelajar universiti lebih suka menggunakan bahasa slanga dalam pertuturan mereka tidak kira secara formal mahupun tidak formal. Bahasa Slanga adalah satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh perbendaharaan kata yang baru digubal dan cepat berubah. Bahasa ini sering 154 digunakan oleh golongan muda seperti kumpulan rock dan kawanan melepak, atau pelajar universiti seperti di UPM atau golongan profesional untuk menghindarkan daripada diketahui oleh anggota komuniti bahasa yang lain. Bahasa Slanga ini cepat merebak dan cepat pula hilang mengikut peredaran zaman. Antara contoh bahasa Slanga yang menjadi ikutan pelajar universiti ialah seperti cun, buat dek, bengang, geng, melepak, buat pot dan lain-lain lagi. Para pensyarah sering merungut tahap penguasaan bahasa Melayu pelajar universiti semakin merosot dan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Jika keadaan ini tidak dibendung nescaya proses untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan tercapai kerana golongan pelajar universiti inilah yang akan menjadi tunggak kepada pembangunan negara. Kekurangan Buku-buku Ilmiah Sebagai Rujukan Masalah yang dihadapai oleh golongan pelajar mahupun pendidik dewasa ini ialah kurangnya buku-buku ilmiah yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakan buku-buku yang terdapat di pasaran semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Keadaan ini sangat menyukarkan terutamanya golongan pelajar universiti. Para pelajar universiti sukar membuat rujukan tentang sesuatu perkara kerana tidak terdapat penterjemahan dari segi istilah. Buku-buku ilmiah ini didatangkan dari luar negara untuk rujukan para pelajar. Dasar mempercayai
budaya orang luar telah menular di dalam diri masyarakat di negara Malaysia. Para penerbit buku seharusnya lebih agresif untuk menerbitkan buku-buku ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Peranan Kerajaan Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu Peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka Menurut Abdullah Hassan (1987) mengatakan bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu ialah dengan melantik sebuah badan berkanun seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan satu badan berkanun yang berperanan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu. DBP berperanan untuk memupuk dan memperkaya bahasa kebangsaan, memperluas bidang pengetahuan masyarakat terhadap penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu, menerbitkan, menggalakkan dan menyelaraskan penerbitan buku dan jenis penerbitan lain yang berkaitan dengan kajian dan pembinaan bahasa Melayu, membakukan sistem ejaan dan sebutan, mencipta istilah saintifik yang sesuai dengan bahasa kebangsaan, menyusun dan menerbitkan kamus dalam bahasa kebangsaan. Dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka sedikit sebanyak dapat membantu pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran untuk memantapkan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Menaiktaraf Kelulusan Guru-Guru Bahasa Melayu Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya menyediakan lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran bagi guru-guru yang belum mempunyai ijazah pertama. Hal ini sedemikian dapat membantu perkembangan potensi diri guru-guru dan memperoleh ilmu yang lebih mendalam daripada tenaga pengajar yang sememangnya mahir dalam bidang bahasa Melayu. Kementerian Pelajaran juga sewajarnya memberikan latihan dan kursus kepada guru-guru untuk memperdalam bahasa Melayu supaya guru-guru tersebut dapat mengaplikasikan ilmu yang mereka peroleh kepada para pelajar. Penekanan dari segi menguasai teknik mengajar bahasa Melayu yang betul harus diberi perhatian. Segala usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ini banyak bergantung kepada kepakaran golongan pendidik dalam menurunkan ilmu yang betul kepada golongan pelajar. Umum sedia maklum, tidak semua golongan pelajar berbangsa Melayu dan menuturkan bahasa Melayu dengan betul. Kebanyakan pelajar datangnya daripada latar belakang yang berbeza-beza. Ismail Jusoh (2000: 48) dalam kajiannya mengatakan bahawa antara faktor umum yang melahirkan bahasa yang berbeza-beza ialah umur, tempat, minat, status sosial, faktor ekonomi, jantina dan tahap pendidikan. Bahasa yang dibawa oleh setiap pelajar mengikut kaum dan tempat asalnya. Masalah inilah yang menyebabkan perkembangan bahasa Melayu itu terganggu. Berdasarkan maklumat di atas, jelas menunjukkan bahawa kemantapan bahasa Melayu banyak bergantung dengan masyarakat penuturnya terutamanya golongan pelajar yang mana golongan pelajar inilah yang menjadi titik tolak kepada kejayaan pihak kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di samping tenaga pengajar yang komited dalam membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan impian kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melaksanakan Transformasi Kurikulum Bahasa Melayu Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran seharusnya melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia. Dengan keputusan ini, pihak kerajaan seharusnya menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Pihak kerajaan harus percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Melayu, memantapkan penguasaan
Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan. Mengiktiraf Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Tinggi Wan Hashim Wan Teh (2010) mengatakan bahawa, perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara telah tiba di kemuncaknya apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan sehingga ke universiti. Menurut beliau, ia menunjukkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi pihak kerajaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Menurut Mohd Amin Arshad (2005 :13) mengatakan istilah bahasa Melayu tinggi itu memang mendukung pengertian sosial yang tertentu yang dapat dibezakan dengan bahasa rendah. Di kalangan budayawan, budaya tinggi ditafsirkan sebagai budaya ilmu, pemikiran dan teknologi. Dengan kata lain, bahasa Melayu tinggi adalah ragam bahasa yang digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, bahasa baku dan bahasa standart. Sehubungan dengan hal itu, amat wajarlah bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat Malaysia kini diiktiraf sebagai bahasa ilmu tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa pembentuk budaya. Pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan Bahasa Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan. tatabahasa, peristilahan, kosa kata dan laras bahasa. Menurut pakar bahasa, Nik Safiah Karim, pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan menjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih perlukan pemantapan. Kemajuan pendidikan dalam Bahasa Melayu telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah berbahasa pengantar Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT). Usaha memperkasa Bahasa Melayu di IPT adalah menggunakannya dalam situasi-situasi rasmi dan memupuk semangat cintakannya. Rumusannya, bahasa Melayu akan dapat bangun kembali, mengambil tempatnya yang asal apabila mendapat sokongan dan dukungan terhadap pengguna bahasanya terutama dalam konteks penggunaan di IPT. PENUTUP Bahasa Melayu telah sekian lama menjadi bahasa pengantar di sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Walaupun banyak masalah serta cabaran dalam memartabatkan bahasa Melayu perjuangannya mesti diteruskan. Pihak kerajaan seharusnya memandang serius setiap isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu lebih-lebih lagi jika ia melibatkan bidang pendidikan. Hal ini kerana warga pendidikan yang sebenarnya akan membawa wadah perjuangan sama ada bahasa Melayu akan berkembang atau terus terkubur. Sejajar dengan hal itu, generasi muda terutama pelajar sekolah harus dipupuk jati dirinya terhadap bahasa kebangsaan sejak di bangku sekolah. Usahlah dibebankan mereka dengan bahasa yang lain untuk mempelajari ilmu pengetahuan moden. Kuasailah bahasa Melayu terlebih dahulu kemudian barulah kuasai bahasa kedua. Dengan cara ini, Malaysia akan melahirkan rakyat yang dwibahasa menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus sentiasa dipelihara. Dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kita harus lebih dahulu memupuk jati diri dalam kalangan masyarakat terutama golongan yang tiada jati diri terhadap bahasa, yang terlalu kuat sentimennya terhadap bahasa Melayu dan golongan yang kurang kepercayaan dan keyakinan diri terhadap bahasa Melayu. Bahasa menunjukkan bangsa dan maju bahasa majulah bangsa. BIBLIOGRAFI Abd. Hamid Mahmood (1993). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media Printed (M). Abdullah Hassan (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa – Pengintelektualan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ani Awang dan Zumurni Hamzah. Ke arah Memartabatkan Bahasa Melayu. Http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp. Diakses pada 14.2.2010.
Awang Sariyan (2006). Bahasa Melayu dalam Mendepani Era Globalisasi: Upaya dari Sudut Pengayaan Khazanah Ilmu. Dlm Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Jusoh (2000). Bahasa dan Masyarakat. Dlm Monograf Bahasa, Sastera, dan Budaya Melayu. Serdang: Universiti Putra Malaysia. Kamarudin Hj. Kachar (1989). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. Mohd Amin Arshad ( 2005). Bahasa Melayu Tinggi. UPM Serdang, Selangor. Nik Safiah Karim (2004). Bahasa Melayu Sedekat Lalu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Omar Mohd. Hashim (1993). Pendidikan Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1992). Pembinaan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sufean Hussin (1996). Pendidikan di Malaysia – Sejarah Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Http://www.utusan.com.my/utusan info.asp.- Martabatkan Bahasa Melayu Pada Zaman Globalisasi. Diakses pada 14.2.2010. Http://www.malaysiakini.com/news/108063-PPSMI Dimansuhkan
29NOV MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU PERLUKAN KESUNGGUHAN
Pulau Pinang, 29 November 2012 - Usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan memerlukan tindakan berani pelbagai pihak termasuk dalam kalangan ahli politik, agensi-agensi kerajaan dan njuga orang-orang Melayu sendiri.
“Golongan menengah Melayu misalnya mempunyai peranan yang besar dalam memastikan Bahasa Melayu benar-benar dimartabatkan pada kedudukan yang sewajarnya,” kata Dato’ Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika bertemu pemberita.
Tambahnya, tidak ada siapa pun yang menolak tentang kepentingan bahasa-bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris, namun Bahasa Melayu perlulah diletakkan pada kedudukannya selaras dengan Perlembagaan negara serta sebagai satu jati diri bangsa Malaysia.
Beliau mengakui bahawa usaha lebih serius semakin ketara dilakukan dalam memartabatkan Bahasa Malaysia malah kita berbangga melihat Perdana Menteri sendiri menggunakan Bahasa Melayu dalam sidang-sidang Media yang diadakan di mana sahaja, terutamanya ketika berada di luar negara kecuiali untuk hal-hal yang bersangkutan dengan dasar antarabangsa, namun diharapkan juga Bahasa Melayu dapat digunakan sepenuhnya dalam semua mesyuarat dan acara rasmi negara seperti mana yang termaktub dalam akta yang ada.
“Malangnya, yang menjadi halangan kepada usaha ini ialah tindakan orang-orang Melayu sendiri yang tidak melihat kepada kepentingan Bahasa Melayu sebagai jati diri dan kedudukannya dalam Perlembagaan negara untuk mendaulatkannya dan memastikan kelangsungannya untuk negara dan generasi akan datang,” kata Dr. Fatimah Busu, seorang penulis dan sasterawan dalam pembentangan kertas kerjanya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak harus diragui lagi sejak Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan kemudiannya Akta Pelajaran 1961 kerana kemampuannya telah lama terpamer dan usaha gigih telah dibuat yang malangnya oleh hal-hal tertentu menyebabkan ia agak terhenti seketika dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Profesor Baharuddin Salleh dari USM.
“Bahasa ini mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai statusnya sebagai bahasa ilmu melalui gabungan kerjasama semua pihak,” tambahnya lagi.
Dalam kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi, Profesor Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menekankan betapa Bahasa Melayu kini diajar dan dipelajari di pelbagai institusi pengajian tinggi di dunia termasuk Australia, Perancis, Belanda, German dan Amerika Syarikat.
“Ini menunjukkan betapa Bahasa Melayu sememangnya mempunyai kedudukan dan kepentingan kepada dunia tetapi sayangnya tidak sedemikian kedudukannya dalam kalangan rakyat negara ini dalam memartabatkannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan," kata Abdul Mua’ti.
Hal ini adalah sebahagian dari perbincangan hangat dan mendalam oleh pakar-pakar dan mereka yang cintakan bahasa Melayu melalui Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Perlaksanaan Dasar Bahasa USM pada 27 dan 28 November 2012 di sini.
Kira-kira 200 orang peserta mengambil bahagian dalam persidangan ini.
Terdapat juga harapan yang disuarakan dalam Persidangan ini agar satu hari pemimpin negara akan menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan di peringkat dunia dengan menghidupkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang pernah ditubuhkan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1997,” kata salah seorang panel dalam forum yang diadakan.
Cadangan juga dibuat agar Universiti Sains Malaysia (USM) dapat membawa resolusi yang dihasilkan melalui persidangan ini kepada Jawatankuasa Naib-naib Canselor IPTA dan menerajui usaha mengadakan Persidangan Bahasa Melayu Dunia sebagai kesinambungan dari persidangan ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Omar Osman yang merasmikan Persidangan ini menggesa agar usaha-usaha dan hala tuju yang jelas dalam memastikan usaha mendaulatkan Bahasa Melayu dilaksanakan dengan berkesan dapat dibuat agar dilakukan secara lebih berstrategi, berfokus dan realistik.
“Kita perlu berhenti dari menyalahkan orang lain kerana ia tidak mampu mengubah apa-apa, sebaliknya bekerja keras untuk terus meletakkannya di persada dunia,” tambah Omar.
Dalam kertas kerjanya, Bahasa Melayu dalam Bidang Pentadbiran dan Pendidikan: Sebuah Refleksi Berasaskan Sejarah dan Puisi, Profesor Dato’ Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga Pengarah Penerbit USM meminta agar perhatian dan keprihatinan pelbagai pihak terhadap kedudukan Bahasa Melayu di negara ini perlu dibuat secara berterusan dan benar-benar diterjemahkan pula kepada tindakan dan azam politik yang nyata.
“Hanya dengan tindakan, kuasa dan azam politik baharulah segala halangan dapat dibuang dan Bahasa Melayu boleh dikembalikan semula sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran serta bahasa kesatuan,” kata Md. Salleh.
Turut membentangkan kertas kerja pada Persidangan ini ialah Profesor Emeritus Dato’ Nik Safiah Haji Abdul Karim dengan kertas kerjanya “Motivasi dan hala Tuju Bahasa Melayu”, Profesor Emeritus Abdullah Hassan dengan kertas kerjanya Bahasa Melayu sebagai bahasa Komunikasi, Profesor Dr. Teo Kok Seong yang membincangkan tentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan dan Jati Diri, Profesor Baharudin Salleh dengan kertas kerjanya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Dr. Fatimah Busu dengan kertas kerjanya Dilema dan hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka.
Pada akhir persidangan, resolusi telah dibentangkan Profesor Madya Dr. Hashim Othman, Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia yang menyeru agar semua wakil rakyat, pegawai kerajaan dan ahli akademik hendaklah memiliki jati diri berteraskan bahasa Melayu dan memperlihatkannya dengan jelas melalui penggunaan bahasa ini dalam semua urusan rasmi harian dalam usaha untuk menjayakan resolusi yang dipersetujui.
Menurutnya lagi, media elektronik khususnya stesen televisyen kerajaan dan swasta hendaklah menjadi model penggunaan bahasa Melayu tinggi kerana pengaruhnya yang kuat terhadap penguasaan dan penggunaan bahasa kanak-kanak dan remaja.
Tambahnya lagi, bagi menjayakan resolusi ini juga akhbar perdana bahasa Melayu perlu berperanan lebih agresif, sistematik dan berada di barisan hadapan dalam perjuangan memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu.
Malah kata Hashim, Persidangan ini juga dengan jelas menyatakan bahawa tanggungjawab memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu perlu dipikul oleh setiap warganegara Malaysia.
Menurut Hashim lagi, usaha ini dengan hasrat untuk memantapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan memperkasakan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan jati diri Malaysia.
Antara lain, resolusi Persidangan ini menegaskan:
SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
1. Mempertahankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah, dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada dasar PPSMI.
2. Tidak melayan tuntutan untuk menghidupkan semula sekolah aliran Inggeris di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
3. Mengambil tindakan segera untuk menjadikan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah sebagai pengalaman yang menarik, berkesan dan memikat dengan menggunakan pelbagai bahan kreatif dan inovatif.
4. Menyediakan latihan dalam perkhidmatan kepada semua guru untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.
5. Menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat di Malaysia.
6. Memperjelas dan memperincikan perancangan dan pelaksanaan dasar MBM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk membantu pentadbir dan guru melaksanakannya dengan berkesan di sekolah.
PEMERKASAAN DAN PEMARTABATAN BAHASA MELAYU
BAHASA PERPADUAN DAN JATI DIRI
1. KPM hendaklah mencari kaedah terbaik untuk memperkenalkan semula sekolah wawasan dengan tujuan membolehkan berlakunya interaksi murid pelbagai etnik untuk memupuk perpaduan kebangsaan.
2. Pengetahuan dan kebolehan berkomukasi dalam bahasa Melayu hendaklah dijadikan hak asasi setiap murid berdasarkan prinsip “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
3. KPM hendaklah bertegas melaksanakan kurikulum bahasa Melayu standard mulai Tahun 4 peringkat sekolah kebangsaan, SJK (C) dan SJK (T) untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu murid.
MOTIVASI DAN HALA TUJU
1. Pembinaan motivasi untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu mestilah dipupuk sejak tahap awal pendidikan melalui pembinaan persekitaran yang menarik, berkesan dan memikat dengan pelbagai bahan yang inovatif dan kreatif.
2. Hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, dan lambang jati diri Malaysia yang wajib difahami, dihayati dan diusahakan pencapaiannya oleh setiap pentadbir, pemimpin, pendidik dan ibu bapa.
BAHASA ILMU
1. Fokus pembelajaran bahasa Melayu di sekolah hendaklah mempunyai keseimbangan antara aspek akademik dengan penggunaannya dalam kegiatan pembelajaran di bilik darjah dengan sokongan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPBS).
2. Mengaktifkan semula jawatankuasa istilah setiap bidang ilmu pada peringkat kebangsaan bagi menyokong peranan dan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
3. Memperkayakan kepustakaan bahan yang kreatif dan inovatif dalam pelbagai bentuk dengan tujuan menyokong pembinaan/minat dalam bidang sains dan teknologi
4. Setiap IPT perlu agresif melaksanakan pembangunan kapasiti kepakaran dalam pelbagai bidang, khususnya sains dan teknologi melalui wahana bahasa Melayu untuk menjadi rujukan institusi pendidikan lain dan sektor swasta dengan galakan dan sokongan pihak pengurusan.
BAHASA KOMUNIKASI (DUNIA KORPORAT)
1. Meningkatkan kemampuan dan nilai bekerja melalui kemahiran bahasa Melayu.
2. Memperbanyakkan kursus komunikasi berkesan seperti penulisan laporan, pengucapan awam, surat-menyurat, minit mesyuarat dalam bahasa Melayu.
3. IPTA mengadakan kursus-kursus komunikasi berkesan dengan melibatkan pihak swasta untuk memudahkan pihak pengurusan berkomunikasi dengan berkesan dengan pihak bawahan.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ASING
IPT hendaklah mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk membantu atau bekerjasama mengembangkan pembelajaran bahasa Melayu di pusat-pusat pembelajaran bahasa Melayu di luar negara.
BAHASA PENTADBIRAN
1. Pegawai-pegawai kerajaan mesti mempunyai mengendalikan semua urusan rasmi harian.
jati diri berteraskan bahasa Melayu untuk
2. DBP sebagai badan penasihat dan pemantau mesti dirujuk oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau swasta dalam hal-hal berkaitan citra kebangsaan Malaysia.
3. Jawatankuasa perancangan dan pemantauan penggunaan bahasa Melayu peringkat kebangsaan perlu diwakili oleh wakil semua bidang atau sektor.
Kenapa Zahid tak guna bahasa kebangsaan di PBB, soal PAS
Ramai terlibat dalam perbincangan mengenai kemahiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbahasa Inggeris dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas. Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad mempersoalkan mengapa Zahid harus berucap dalam bahasa Inggeris sama sekali. "Orang ramai mengejek ucapan timbalan perdana menteri kita di Perhimpunan Agung PBB tetapi mengapa anda harus bercakap dalam bahasa Inggeris? Mengapa tidak dalam bahasa kebangsaan kita?" Soal Iskandar di Facebook hari ini. Beliau merujuk ramai pemimpin dari negara-negara lain tidak menggunakan bahasa Inggeris di PBB kerana berbangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Meskipun posting itu sendiri ditulis dalam bahasa Inggeris, Iskandar menjelaskan sebab berbuat demikian. "Jadi mengapa saya menulis ini dalam bahasa Inggeris? Demi manfaat rakan-rakan Facebook di seluruh dunia," katanya. Zahid mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB ke-71 di New York dan menyampaikan ucapan beliau Sabtu lepas. Selepas ucapan tersebut, netizen mengkritik kemahiran bahasa Inggerisnya kerana kebanyakan sebutan terhadap perkataan tertentu tidak jelas. Namun pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan memperlekeh usaha Zahid berucap dalam bahasa Inggeris. Bekas pendebat terbaik Asia itu berkata walaupun terdapat kesalahan sebutan, mesej yang hendak disampaikan masih boleh difahami.
“Beliau (Zahid) ada pilihan untuk bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi tetap pilih untuk mengambil jalan yang lebih sukar,” katanya.
Bahasa Melayu di PBB 2020
KHALID Yunus bersalaman dengan beberapa perwakilan daripada 22 negara di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Bahasa Melayu berpotensi untuk menjadi bahasa dunia dan digunakan di dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang tahun 2020.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus berkata, ia berikutan dengan penerimaan program kursus bahasa itu yang kini sudah berjalan di 61 buah universiti terkemuka di seluruh dunia.
Menurutnya, antara universiti terkemuka yang menyediakan kursus itu ialah empat buah di Amerika Syarikat iaitu University of Pittsburgh Pennsylvania, University of Ohio, University of Hawaii dan University of California.
Kata beliau, universiti lain ialah di Kanada, United Kingdom, Belanda, Jerman, Perancis, Itali, Rusia, India, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Brunei, Filipina, Australia, New Zealand, Jordan, China, Korea, Jepun, Sweden, Afrika Selatan, Mesir dan Malagassi.
''Oleh itu, saya yakin matlamat bahasa Melayu untuk digunakan di PBB menjelang tahun 2020 akan terlaksana,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan penubuhan Majlis Antarabangsa bahasa Melayu (MABM) di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, penubuhan MABM hari ini merupakan titik tolak perancangan bahasa Melayu menuju ke arah itu.
Katanya, dengan penubuhan MABM ia akan menjana idea, mengumpul dan meyakinkan para sarjana serta pakar bahasa dari seluruh pelosok dunia untuk sama-sama aktif dalam program itu.
Bagi tujuan itu katanya, MABM harus menyelaraskan aktiviti-aktiviti kebahasaan dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, MABM akan merancang usaha mengembang dan menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa terutama dalam memastikan bahasa Melayu mendapat tempat di PBB.
Bagi mencapai arah tujuan itu jelasnya, kerajaan turut meluluskan sejumlah dana untuk melaksanakan program tersebut.
''Kerajaan juga akan memikirkan peruntukan tambahan atau bantuan lain yang sesuai dalam pelbagai bentuk yang akan dapat membantu usaha-usaha yang akan dijalankan oleh MABM,'' katanya.
Selain itu jelasnya, Kementerian Luar serta Kementerian kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan akan membantu untuk mengadakan pusat sumber sekurang-kurangnya sebuah bagi setiap negara sebagai permulaan.
Sekretariat tetap majlis ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sesuai dengan fungsi dan wibawa badan induk itu dalam pembinaan dan pengembangan bahasa.
Serentak dengan penubuhan itu, satu Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu selama tiga hari bermula hari ini membabitkan perwakilan daripada 22 negara di dunia.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0822&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_N egeri&pg=hn_02.htm#ixzz4qdXO7X00 © Utusan Melayu (M) Bhd
BENTONG - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perkasa kecewa dengan majlis pecah tanah bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 9 Ogos lalu yang didakwa suasananya nampak terlalu China. Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, sepanjang laluan ke projek ECRL yang merupakan salah satu projek terbesar di bawah program One Belt One Road (Obor) China di Kuantan dilihat hanya dihiasi bendera bertulisan Bahasa Mandarin. “Perkasa sangat kecewa identiti negara hilang pada majlis tersebut. Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin. Satu bendera Malaysia pun tak ada. Apakah tidak dibenarkan Jalur Gemilang diletak atau digantung untuk majlis tersebut? “Lebih mendukacitakan apabila pengacara majlis juga berbahasa Mandarin yang kemungkinan dibawa dari China. Perkasa kecewa kerana inilah permulaan penafian Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Syed Hassan berkata, lori-lori dan jentera berat yang digunakan di dalam projek tersebut juga turut dibawa dari China. “Perkasa mahu tahu apakah pemadu lori-lori dan pengendali mesin-mesin khas untuk pembinaan laluan keretapi itu juga dari negara China? Jika benar, apakah rakyat tempatan tidak mampu memandu atau mengendalikannya dan berapa ramai pekerja dari Tanah Besar China akan dibawa masuk utk bekerja di projek ECRL ini,” katanya. Tambahnya, pihaknya menganggap pemimpin kerajaan sekarang sanggup gadai maruah negara dan bangsa demi projek pembangunan. “Hal ini tidak berlaku semasa negara membina KLIA, Putrajaya, ERL, LRT, Litar F1, West Port, Menara Berkembar Petronas dan lain-lain projek mega sebelum ini. Jadi, di manakah jati diri pemimpin-pemimpin negara sekarang.” katanya. Panji-panji budaya bisnes China SEMENTARA itu, Ketua Pemuda Umno Negeri Pahang, Shahar Abdullah menyangkal dakwaan Syed Hassan Syed Ali bahawa majlis pecah tanah ECRL yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memegang prinsip kenegaraan, tidak patriotisme dan bersifat Pro-China. “Untuk pengetahuan Syed Hassan, bahasa Melayu digunakan dalam ucapan perdana menteri dan pengerusi MRL. Tetapi memandangkan budaya kita sebagai orang Islam menghormati tetamu, itu sebabnya kita ada menggunakan khidmat penterjemah bahasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Shahar berkata, Jalur Gemilang turut dipasang di atas pentas utama dan bacaan doa juga sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Tambahnya, persembahan pentas menunjukkan identiti budaya Malaysia, di mana penyambut tetamu juga berpakaian kebaya.
“Saya yakin sekiranya saudara Syed Hassan hadir pada majlis itu, beliau akan melihat semua yang diperkatakan ini. Identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL, melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah,” katanya. Dalam pada itu, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu Pahang, Haslihelmy DM Datuk Zulhasli berkata, Isu bahasa Melayu tidak digunakan semasa majlis Perasmian Tapak Kerja ECRL adalah tidak tepat kerana semua atur cara mengikut protokol standard untuk majlis rasmi kerajaan. Bagaimanapun menurutnya dalam soal hiasan luar, bukanlah dalam bidang bahagian protokol kerajaan negeri dan persekutuan kerana kebiasaannya ia adalah urusan pihak berkuasa tempatan. “Isu berbangkit ialah soal panji-panji yang di pasang sepanjang jalan ke tapak majlis perasmian, yang ditulis dalam bahasa China. Panji-panji berwarna-warni itu adalah satu budaya tradisi bisnes orang Cina yang di panggil ‘fengshui’ dan mengandungi kata-kata semangat dan falsafah. Kata-kata itu ditulis dalam bahasa Cina dan tulisan berkenaan ditulis dalam keadaan ia menurun dan ini terlalu sukar jika guna kain rentang untuk ditulis. “Sebenarnya tidak berbangkit sama sekali akan penghinaan penggunaan bahasa Melayu atau melanggar SOP dalam perkara istiadat dan protokol pihak berkuasa negeri dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Haslihelmy berkata, di negara China penggunaan tulisan-tulisan seperti yang digunakan bukanlah perkara yang luar biasa malah ia adalah perkara biasa jika terdapat projek-projek pembinaan. “Saya pernah ke Beijing, Hong Kong, Guangzhou. Mereka tak pasang gegantung tapi mereka pasang panji-panji. Kalau kita lihat filem China pun ada panji diarak dengan tulisan,” katanya
Mula dengan bahasa apa sudahnya?
TENTU ada orang akan mengatakan bahawa isu penggunaan bahasa Cina (Mandarin) yang begitu ketara di upacara pecah tanah Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Pahang baru-baru ini sengaja diperbesar-besarkan. Seperti yang umum sudah tahu melalui media massa, terutama media sosial, Mandarin digunakan secara meluas dalam bentuk lisan dan tulisan pada majlis itu bersebelahan dengan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris pun tidak begitu menonjol.
Memanglah isu itu remeh kalau kita tidak peduli mengenai kedaulatan negara atau tidak faham ertinya. Antara komponen penting menyokong kedaulatan negara kita yang merdeka adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tak tahulah saya mungkin sudah ada orang di Malaysia ini, sama ada warganegara atau pendatang, yang tidak lagi berasa perlu menghormati bahasa kebangsaan. Saya tak terkejut kalau ada orang macam itu. Sekalipun kita mengakui bahawa majlis itu menggabungkan Malaysia dan China dan bahasa kedua-dua buah negara perlu diberi tempat, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menonjolkan Mandarin seolah-olah ia setaraf dengan bahasa Melayu. Namun begitu saya sedikit pun tidak hairan berlakunya perkara tersebut kerana beberapa sebab. Antaranya, tidak ada lagi pejuang tulen bahasa yang tahu dan terbabit dengan perjuangan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Di peringkat pelaksanaan pula, badan-badan kerajaan yang diberi amanah memartabatkan dan melindungi bahasa Melayu tidak cukup gigih menjalankan tugas. Saya rasa sama ada mereka tidak ambil berat tugas atau mereka menderita kompleks rendah diri. Kita tahulah upacara pecah tanah itu sangat penting bagi sesetengah pihak dan mereka hendak memberi muka kepada China kerana negara itu meminjamkan RM55 bilion bagi melaksanakan projek tersebut. Tetapi matlamat itu pastinya boleh dicapai tanpa merendahkan mar-tabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dari aspek komunikasi dan propaganda, apa yang berlaku pada majlis itu tidaklah menguntungkan pihak terlibat. Sebaliknya panji-panji, sepanduk dan penghebahan dalam bahasa Mandarin mengalih perhatian khalayak daripada mat-lamat asal. Melainkan kita bangang, kita tentu tahu wujudnya sensitiviti dalam kalangan sebahagian besar masyarakat kita terhadap kemun-culan China sebagai kuasa ekonomi yang dominan di Malaysia. Sebuah analisis dalam akhbar South China Morning Post (SCMP) mengatakan hutang dan pelaburan China di Malaysia boleh mempengaruhi hasil pilihan raya umum (PRU) akan datang. Akhbar berbahasa Inggeris Hong Kong itu berkata, syarikat-syarikat milik negara dan swasta China kini terlibat memberi pinjaman, melabur dan melaksanakan projek bernilai RM400 bilion di Malaysia. Ia meramalkan bahawa per-gantungan Malaysia yang semakin besar kepada China akan memberi kesan terhadap politik negara kita, khususnya kepada PRU. Analisis SCMP itu selari dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin kerajaan Malaysia yang menguar-uarkan ECRL, khususnya dan kerjasama dengan China amnya sebagai kejayaan besar. Yang lebih memeranjatkan dan menimbulkan tanda tanya mengenai pendirian dan niat sebenar China terhadap Malaysia adalah tawaran pinjaman murah untuk membeli sistem peluru berpandu buatan China. Sumber-sumber yang dipetik oleh portal berita Malaysian Insight mengatakan tawaran China itu dibuat melalui wakil Presiden Xi Jinping ke majlis pecah tanah ECRL. Khabarnya China bersedia menawarkan pinjaman faedah rendah 50 tahun untuk membeli senjata tersebut. Soalnya siapakah yang hendak kita tembak dengan peluru ber-pandu itu? Sekalipun tidak ada siapa yang hendak kita tembak, namun tawaran China itu pasti akan mencetuskan reaksi negatif daripada negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan India yang semuanya tidak begitu mempercayai China.
Dalam keadaan di mana China sedang secara cergas dan terbuka meluaskan pengaruh politik, ekonomi dan ketenteraannya, adalah amat baik bagi kita berhati-hati dan berwaspada supaya tidak timbul anggapan dan tanggapan bahawa kita tidak peduli lagi kepada isu-isu berkaitan kebebasan dan kedaulatan. Lebih-lebih lagi dengan ang-gapan dan tanggapan bahawa kita kini terlalu bergantung dan menyerah kepada sebuah kuasa luar dan tidak peduli lagi kepada dasar berkecuali yang diasaskan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Hussein. Pisang berbuah dua kali petani untung, tetapi kalau hutang kita yang begitu besar dengan China bertukar menjadi amalan padi kunca moden, kita akan rugi. Kita akan selama-lamanya tunduk kepada China seperti Raja-raja Melayu silam yang menghantar bunga emas kepada Raja China. Wallahuaklam. ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :
Bahasa negara naratif kini
INSIDEN demi insiden ketegangan dalam hubungan berlainan kaum merupakan satu fenomena yang tiada kesudahan. Integrasi kaum pada hari ini, tidak sehebat seperti mana permulaan pembentukan negara ini. Kompromi dan kerjasama antara semua kaum pada waktu negara ini mencapai kemerdekaan mempunyai semangat patriotisme dan jati diri yang tinggi. Kerana kuasa dan politik menyebabkan masyarakat Malaysia berpecah dan berpuak-puak dengan fahaman dan ideologi politik masing-masing. Lihatlah generasi hari ini, hubungan antara kaum amat rapuh khususnya di bandar. Hanya di atas permukaan nampak bersatu tetapi hakikatnya dalaman masih jauh dari matlamat sebenar. Penguasaan 'bahasa negara' amat penting dalam hubungan kaum. Advertisement Walaupun fakta ini sering kali disanggah mereka yang mempunyai kepentingan, hakikatnya komunikasi memainkan peranan dalam hubungan sesama manusia. Maka bahasa negara ini adalah Bahasa Malaysia (BM) yang merupakan pengikat hubungan masyarakat Malaysia seperti mana di negara lain. Seperti dikatakan Prof Dr Teo Kok Seong dalam satu majlis Pasak Negara, bahawa masih terdapat dalam kalangan etnik Cina di Malaysia kurang mampu menguasai bahasa negara atau BM. Maka tidak hairanlah dalam pemilihan majlis kepimpinan Persatuan Cina Muslim Malaysia meletakkan syarat untuk menjadi ahli majlis, kepimpinan wajib mahir bahasa Mandarin. Agak terkejut dengan syarat
begini kerana sifat cintakan negara dan jati diri adalah terlalu nipis dalam kalangan Cina Muslim yang hadir dalam majlis tersebut. Sepatutnya kepimpinan Persatuan Cina Muslim Malaysia memainkan peranan dalam meningkatkan hubungan kaum berdasarkan penggunaan bahasa negara bukannya bahasa Mandarin. Tidak boleh menggunakan alasan kerana berdakwah. Ingatlah hidayah itu milik ALLAH SWT dan bukannya usaha manusia. Memang benar dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan hak kewarganegaraan seperti dikatakan Tun Salleh Abbas (1985:25) iaitu, kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak, akan tetapi diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum-kaum lain, yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan, hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda, dan paling penting, hak untuk mendapat layanan sama rata. Ini menjurus kepada mana-mana warganegara Malaysia, mempunyai hak untuk menubuhkan sekolah persendirian menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Situasi ini menyebabkan sistem sekolah vernakular ditubuhkan dan dibenarkan dalam Laporan Penyata Rahman Talib, tetapi persoalannya sampai bila ingin dibiarkan pemisahan sebegini bermula dari sekolah sehingga ke dalam masyarakat? Sehingga kini, masyarakat kita turut dipisahkan mengikut penempatan dan garis pemisahan dari satu kawasan ke satu kawasan penempatan kadang kala jelas berlaku. Akibatnya kita mudah dimanipulasikan dengan isu-isu menyentuh sensitiviti kaum. Apatah lagi generasi hari ini yang semakin lama semakin nipis jati diri dan cintakan negara. Ya, memang benar kita hidup semakin hari semakin maju dalam material, tetapi perlu diingatkan negara ini milik semua orang. Maka tidak menghairankan jika stigma dan persepsi hubungan antara kaum masih jelas kelihatan walaupun hakikatnya kita sudah hidup sebumbung dalam negara ini selama 60 tahun. Adalah memalukan jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahir berbahasa kebangsaan yang menjadi kebanggaan negara ini. Walaupun tidak diminta mewajibkan berbahasa BM dalam Perlembagaan, tetapi adalah menjadi kewajipan dan jati diri negara ini perlulah mahir menguasai bahasa negara. Berterima kasihlah kepada syarat taraf kewarganegaraan menerusi pendaftaran kepada orang-orang yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Malaysia, syarat berhubung bahasa dan tempoh mastautin (sekurang-kurangnya 7 tahun secara terus menerus daripada tempoh mastautin selama 15 tahun) dikenakan. Syarat berhubung bahasa sangat mudah kerana apa yang diperlukan hanyalah pengetahuan mudah dalam bahasa Melayu. Berbanding syarat kewarganegaraan secara masukan yang memerlukan pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu. Selain itu, wujud peruntukan untuk isteri-isteri dan anak-anak kepada warganegara untuk memohon kewarganegaraan secara pendaftaran walaupun tanpa maksud diskriminasi berdasarkan jantina, suami-suami kepada warganegara wanita boleh untuk memohon kewarganegaraan berdasarkan pendaftaran. Pemimpin dan masyarakat Melayu termasuklah NGO-NGO perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kefungsian bahasa negara dalam semua kegiatan. Amat malang jika bahasa Melayu boleh diketepikan begitu sahaja dalam mana-mana acara negara. Andai tanggungjawab ini gagal maka akan melahirkan generasi yang gagal berbahasa Melayu dan gagal mewacanakan identiti bangsa negara pada masa depan.
ISU DAN CABARAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI 1.0 Pengenalan Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu semenjak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu pada abad ke-10. Kewujudan tulisan Jawi amat sinonim dengan penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam pada ketika itu. Malahan, tulisan Jawi ini dikenali sebagai tulisan Melayu-Arab di Nusantara kerana Hashim Musa (1999) ada mengesahkan bahawasanya Shellbear mengatakan orang Melayu menerima secara langsung tulisan Jawi daripada orang Arab. Kegemilangan tulisan Jawi pada abad-ke 18 tidak dapat dinafikan apabila penjajah Barat mempelajari untuk membaca dan mengejanya. Suatu ketika dahulu juga menggambarkan bahawa tulisan Jawi amat terserlah dalam kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Menurut Keong Kyoung Seock (1990) ada menyatakan bahawa zaman kesusasteraan dahulu merupakan wahana masyhur dalam tulisan Jawi. Namun, adakah kegemilangan tulisan Jawi pada zaman dahulu masih relevan pada masa kini? Pelbagai polemik isu yang timbul dalam kalangan masyarakat mutakhir ini mengenai pemartabatan tulisan Jawi yang kian samar-samar dan lemah tahap kemampuan daya saing. Kebenaran yang nyata tersebut mendukacitakan nilai martabat sesebuah warisan bangsa. Hakikat penggunaan tulisan Jawi pada realiti abad pemodenan abad ke-21 amat terhad sekali. Cetusan isu daripada pelbagai pihak membimbangkan status tulisan Jawi di Malaysia khususnya. Bertitik tolak daripada itu, menjadi persoalan apakah punca yang kekangan memartabatkan tulisan Jawi? Bagaimanakah isu kepenggunaan tulisan Jawi berbangkit sedangkan ia bersifat abstrak dalam kesenian Islam? Setiap ayat ada noktah, justeru setiap permasalahan ada penyelesaian. Rentetan pelbagai persoalan yang berbangkit dewasa ini menyeru pelbagai pihak memainkan peranan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Keadaan tulisan Jawi yang terumbang-ambing dalam kemajuan dunia yang penuh fulus perlu digiatkan. Kendatipun demikian, adakah usaha dan isu yang diperihalkan bertepatan mahupun mencakupi penyelesaian secara meluas? 2.0 Isu dan cabaran memartabatkan tulisan Jawi 2.1 Isu tulisan Jawi sebagai ideologi dakwah a. Cabaran persepsi masyarakat bukan Melayu
Desakan menanggalkan tulisan Jawi pada papan tanda Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam menjadi polemik isu hangat tahun 2014 di Malaysia. Paparan ini memerihalkan bahawa tulisan Jawi merupakan ideologi dakwah yang cuba disebarkan orang Islam kepada penganut agama lain (Mohd Idros Mohd Ali, 2014). Rentetan itu, menjadi cabaran terhadap iltizam pemartabatan
tulisan Jawi apabila terdapat persepsi pesong dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bukan Melayu pada masa kini. Lantaran itu, kekangan yang timbul tersebut jelas membuktikan bahawa terdapat sebilangan pemikiran rakyat Malaysia cetek dalam pengetahuan umum. Kecetekan tersebut merujuk kepada pengetahuan tentang sejarah penggunaan tulisan Jawi sejak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu lagi. Konteks tersebut menjelaskan bahawa skop pemikiran masyarakat bukan Melayu menganggap bahawa tulisan Jawi hanya digunakan oleh orang Islam. Oleh hal yang demikian kerana pada hakikatnya sudut pandangan sempit golongan ini berada dalam kekeliruan dan kekacauan jati diri sebagai bangsa Malaysia. Permasalahan jati diri tersebut merujuk kepada sikap bangsa Malaysia terhadap bahasa Melayu sendiri. Seseorang yang tidak cinta bahasa akan mengalami permasalahan dalam pengetahuan sejarah bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) itu sendiri. Menurut Mohd Rashid Hj. Md. Idris (2013) ada menyatakan bahawa sesungguhnya masalah kelemahan penjiwaan akan memberi impak terhadap pengamalnya. Sehubungan itu, menjadi akar umbi tulisan Jawi tidak diketahui umum bahawa kewujudan tulisan Rumi merupakan adaptasi tulisan Jawi. Menurut Hashim Musa (2003) yang memetik teks Fatmi (1963) membuktikan bahawa pengkaji-pengkaji Al-Attas menggunakan skrip Jawi untuk mengeja teks bahasa Melayu yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 H/1303 M. Adi Yasran et.al (2012) juga ada menyokong bahawa prasasti tersebut terkandung bahasa Melayu ditulis menggunakan tulisan Jawi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa apabila kesahihan kepenggunaan tersebut telah memberi suatu gambaran terhadap masyarakat bukan Melayu tulisan Jawi merupakan keperluan golongan penganut Islam sahaja (Nur Azuki & Siti Bahirah Saidi, 2014). 2.2 Isu kelemahan bacaan Al-Quran punca ketidakmahiran mengenal Jawi. b. Cabaran ketidakmahiran tulisan Jawi dalam kalangan pelajar. Dapatan kajian oleh Siti Fatimah Sudin et. al. (2005) membuktikan pencapaian mata pelajaran Pendidikan Islam (PI), khususnya keupayaan bacaan al-Quran dalam kalangan murid-murid sekolah rendah dan menengah masih berada pada tahap yang belum memuaskan. Berikutan itu, pelajar kurang mahir dalam pembacaan Al-Quran adalah faktor kurang berkemahiran dalam huruf Jawi yang menjadi cabaran memartabatkan tulisan Jawi. Kelemahan pelajar dalam penguasaan Jawi suatu cabaran yang kritikal untuk kegunaan masa depan. Fenomena ini telah menatijahkan suatu sentimen “Hidup Segan Mati Tak Mahu” kepenggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar. Ketidakmahiran pelajar dalam konteks isu merujuk kepada aspek kemahiran asas membaca, menulis dan mengeja Jawi. Terdapat kesalahan ejaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar bertitik tolak daripada kekeliruan penggunaan huruf Jawi yang tepat, hukum-hukum pengejaan dan pengimbuhan ejaan( Aziah Ismail, 2000). Apabila perkara iniberterusan akan mengakibatkan generasi muda mengabaikan warisan bangsa Melayu iaitu tulisan Jawi. Konteks penyataan tersebut tidak dapat disangkal apabila dalam titah Raja Nazrin Shah pada persidangan bahawa tulisan Jawi merupakan warisan sejarah Melayu yang telah memartabatkan bahasa Melayu dalam komponen penulisan yang indah dan kaya tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Tambahan pula, ketidakmahiran tersebut berpunca daripada faktor sosioekonomi pelajar. Kekangan kewangan menyebabkan ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan mempunyai wadah sokongan alternatif demi mengukuhkan penguasaan anak-anak dalam tulisan Jawi. Karya Sufean Hussin, Shahril Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md.Som & Alina Ranee (2005) ada menyatakan bahawa pelajar yang lemah menguasai tulisan Jawi disebabkan oleh pendapatan keluarga yang sederhana untuk menyediakan bahan sokongan, insentif dan kemudahan pelajaran Jawi. Keadaan ini turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengkategorikan perbezaan status sosioekonomi akan mempengaruhi prestasi pelajar. Malahan, segelintir ibu bapa yakin sekiranya tulisan Jawi tidak dikuasai, anak-anak masih dapat melanjutkan pembelajaran ke peringkat seterusnya.
2.3 Isu kompetensi guru pendidikan Islam c. Cabaran tahap kemahiran guru
Guru Pendidikan Islam merupakan indikator utama di sekolah demi keberhasilan pemartabatan tulisan Jawi yang akan digiatkan oleh pelajar pada masa hadapan kelak. Pendidikan Islam menjadi faktor pemartabatan tulisan Jawi sukar mencapai matlamat. Buktinya, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat para guru pendidikan Islam kurang kompeten dalam penulisan Jawi (Bhasah Abu Bakar et.al, 2012). Lanjutan perkara itu mengakibatkan keberhasilan murid untuk menguasai tulisan Jawi akan terbantut. Bukan itu sahaja, guru yang tidak menguasai penulisan Jawi akan mempengaruhi minat pelajar. Penguasaan dalam sesuatu bidang penulisan memerlukan minat seseorang kerana mempunyai hubung kait dengan tingkah laku individu. Menurut Nik Rosila Nik Yaacob (2007) ada menyatakan bahawa faktor minat seseorang individu akan mempengaruhi pencapaian dalam tulisan Jawi.
2.4 Isu penghentian akhbar Utusan Melayu dalam tulisan Jawi d. Cabaran penggunaan meluas tulisan Rumi
Tarikh sadis 29 Januari 2009 serta merta telah mengejutkan apabila akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi diberhentikan penerbitannya (Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 2012). Faktor utama isu tersebut disebabkan oleh kurang sambutan daripada masyarakat khasnya Masyarakat Melayu sendiri. Sedangkan sambutan masyarakat Melayu kurang memberangsangkan kepenggunaan tulisan Jawi dalam media cetak inikan pula kaum lain. Polemik isu ini memberi impak yang cukup besar terhadap peranan tulisan Jawi dalam Utusan Melayu. Pada dasarnya, Utusan Melayu merupakan tiupan semangat pejuang pencinta tanah air dan pencanai minda perintis tuntutan bangsa suatu ketika dahulu namun lalu tanpa nisan (Zaini Hassan, 2016). Lantaran itu, pemartabatan Jawi sebenarnya berhadapan cabaran kewujudan Akta Kebangsaan 1963 yang menyeru penggunaan tulisan Rumi bagi bahasa kebangsaan. Penubuhan akta tersebut perlahan-lahan telah meminggirkan serta menutup pandangan masyarakat segenap lapisan mengenai kewujudan tulisan Jawi. 3.0 Cadangan mengatasi
3.1 Menyebarluaskan penggunaan tulisan Jawi Isu pandangan masyarakat terhadap tulisan Jawi sebagai ideologi dakwah perlu ditangkis agar tidak menimbulkan sentimen-sentimen sensitiviti keagamaan. Menjadi peranan pihak jabatan kerajaan, swasta dan badan berkanun untuk menggembleng sinergi memperkasakan tulisan Jawi dengan menggunakannya pada setiap perlaksanaan sesuatu program atau aktiviti. Di samping itu, menurut Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar kerajaan negeri menjalankan usaha mengembalikan martabat tulisan Jawi secara berperingkat dalam urusan pentadbiran. Perkara tersebut mustahak agar masyarakat yang dalam perkhidmatan dapat mendorong dan menjentik suatu kesedaran pengetahuan bahawa penggunaan tulisan Jawi bukan diklasifikasikan khas untuk kaum Melayu sahaja. Manakala bagi menyedarkan kalangan masyarakat bukan Melayu, tulisan Jawi hendaklah disebar luas dengan mengaplikasikannya pada papan tanda premis perniagaan, sekolah, iklan dan jalan raya. Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia turut menyumbang dalam menjelaskan kepada masyarakat bahawa tulisan Jawi adalah tulisan yang patut diterima dalam
masyarakat majmuk. Malahan, pengedaran bahan bercetak mahupun elektronik perlu dipergiatkan agar maklumat dapat disampaikan secara efektif.
3.2 Memperkasakan perlaksanaan j-QAF di sekolah Isu ketidakmahiran pelajar dapat diatasi dengan memperkasakan perlaksanaan Program j-QAF di sekolah. Contohnya, mengadakan kelas tambahan pemulihan Jawi dalam kalangan pelajar daripada aspek kelancaran membaca, mengeja dan menulis Jawi untuk meningkatkan kemahiran asas. Pihak sekolah juga perlu memantau perlaksanaan program tersebut agar selaras dengan objektif. Menjadi peranan Guru Besar memantau perlaksanaan Model Kelas Pemulihan Jawi, mesyuarat penyelarasan perlaksanaan dan penubuhan jawatankuasa pelaksana (Ahmad Mohd Salleh, 2008). Dalam pada itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam, guru mata pelajaran dan pemulihan juga perlu bertanggungjawab memastikan pelajar mampu menguasai tulisan Jawi serta membangkitkan suatu penjiwaan tinggi terhadap warisan bangsa Melayu. Setelah masalah penguasaan Jawi dapat diatasi maka isu kelemahan bacaan al-Quran secara tidak langsung mendapat kesan positif pada masa yang panjang. Pelajar yang berhadapan masalah kewangan untuk memenuhi keperluan pembelajaran hendaklah memohon bantuan daripada pihak sekolah. Pelajar perlu dorongan dalam proses pembelajaran terutamanya Jawi. Murid perlu insentif untuk bahan bacaan tambahan bagi mengukuhkan tahap kemahiran tulisan Jawi selain dapat memartabatkannya. Contohnya, mashaf al-Quran, buku aktiviti Jawi, buku Bahasa Arab dan bahan bantu belajar pemulihan Jawi. Implikasinya, pengukuhan kemahiran dalam tulisan Jawi akan menggambarkan masa depan warisan bangsa tersebut setelah pelajar melangkah keluar dari sekolah. Dalam pada itu, bantuan dan sokongan yang dilengkapkan dapat membentuk penjiwaan serta minat terhadap pembelajaran tulisan Jawi. Penghayatan terhadap tulisan warisan bangsa tersebut juga akan melahirkan pelajar yang menghargai serta berusaha mengekalkan kedudukan tulisan Jawi.
3.3 Meningkatkan kemahiran penulisan Jawi guru pendidikan Islam Guru pendidikan Islam hendaklah berupaya menguasai kaedah pengejaan, penulisan dan pengimbuhan dalam sistem ejaan Jawi agar pelajar dapat merujuk dengan mudah. Sehubungan itu, guru hendaklah menarik minat pelajar dengan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran secara kreatif. Contohnya, permainan secara talian untuk menarik minat pelajar mempelajari sesuatu baharu. Kaedah pembelajaran abad ke-21 menekankan aspek kemahiran guru menggunakan kemahiran teknologi selain berpengetahuan bidang tersendiri. Manakala, guru yang berhadapan masalah untuk mengajar tulisan Jawi hendaklah diberikan kursus penulisan Jawi atau Buku Panduan Perlaksanaan j-QAF.
3.4 Pendedahan semula dalam media dan sistem pendidikan Pemberhentian penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan Jawi dapat disokong oleh media cetak lain melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP hendaklah menerbitkan bahan bercetak yang mengandungi tulisan Jawi. Pendedahan semula kepada bangsa Malaysia penting untuk menyampaikan maklumat tentang kewujudan tulisan Jawi. DBP juga hendaklah menggalakkan penulis akhbar untuk menyelitkan berita atau artikel dalam tulisan Jawi. Penerbitan tersebut merangkumi artikel kepentingan tulisan Jawi dan kaedah mempelajarinya agar dapat menghidupkan semula sanubari masyarakat nilai estetika warisan bangsa. Penggunaan tulisan Jawi juga dapat dipertingkatkan dengan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan Malaysia hendaklah memperkenalkan Pendidikan Jawi bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah
supaya pelajar dapat memupuk semangat cinta akan warisan bangsa. Di samping itu, diserap dalam subjek Bahasa Melayu kerana tulisan Jawi merupakan tonggak kepada pemartabatan bahasa kebangsaan pada zaman kegemilangan dahulu. 4.0 Rumusan Kesimpulannya, terdapat pelbagai isu yang timbul dalam memartabatkan tulisan Jawi yang sedangkan kewujudan tersebut pernah menyemarakkan suasana Tanah Melayu pada zaman kedatangan Islam. Kegemilangan tulisan Jawi telah terhakis sejak akar umbi lagi seterusnya mengundang persepsi sempit masyarakat Malaysia pada hari ini. Masalah ini apabila berlarutan pasti akan menenggelamkan tulisan Jawi sebagai citra warisan bangsa Melayu dalam kemajuan duniawi dipancing oleh fulus dan darjat. Mahukah bangsa Malaysia dikenal sebagai bangsa yang tidak memiliki pedoman dan warisan bangsa? Sudah pasti jauh di sudut sanubari masyarakat untuk merelakan semua perkara tersebut berlaku. Harapan terhadap insan yang berpendidikan amat diperlukan dalam melestarikan semula penggunaan tulisan Jawi. Golongan berilmu sebagai pionir amat berpengaruh dalam mengubah segenap dimensi masyarakat ke arah iltizam pemartabatan tulisan Jawi. Dominasi pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mencakupi seluruh pengguna tulisan Rumi sehingga hari ini perlu diimbangi dengan tulisan Jawi. Ibu bapa sebagai salah satu komponen perlu memberi sokongan jitu kepada anak-anak terhadap kepentingan tulisan Jawi demi mengembalikan kegemilangan tersebut. Oleh hal yang demikian, segala sumbang sih padu pelbagai pihak perlu dipertingkatkan dalam usaha mengangkat martabat tulisan Jawi pada abad ini. Peranan pihak terlibat menggambarkan kekuatan imej pengekalan warisan bangsa yang sebenarnya menjadi pegangan sendiri.
GEORGETOWN - Mana-mana pihak tidak wajar menimbulkan isu atau polemik mengenai tulisan jawi pada papan tanda nama sekolah seperti yang ditimbulkan baru-baru ini. Setiausaha Kelab Warisan Malaysia (Keris) Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, tulisan jawi tidak memberi makna untuk berdakwah kepada orang bukan Islam kerana ia adalah tulisan yang sedia ada dan digunakan sejak zaman penjajahan British lagi. Bahkan, penjajah itu juga tidak pernah menghalang orang Melayu menggunakan tulisan jawi sebagai lambang kemunikasi perhubungan. "Saya berharap lembaga sekolah itu tidak mempolemikkan isu papan tanda ke arah politik dan biarlah ia dilaksanakan dengan baik.
"Mungkin ada muslihat tertentu kerana ia dibangkitkan ketika suasana masih panas berkaitan isu Kalimah ALLAH," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Beliau mengulas surat yang dihantar Sister of the Infant Jesus, Celina Wong kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam agar menanggalkan tulisan jawi yang terdapat pada papan tanda yang diletakkan pada pagar sekolah. Dalam surat itu, Wong memaklumkan bahawa ia bukan amalan di sekolah mubaligh dan tidak dibenarkan sama sekali. Ia juga memaklumkan bahawa ia bukan sekolah kerajaan tetapi sekolah mubaligh yang menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta bukan pengantar jawi. Isu ini menjadi panas apabila dipaparkan dalam beberapa blog termasuk salinan surat yang dihantar kepada pengetua sekolah. Bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin sebelum ini menjelaskan bahawa pengetua sekolah itu berhak untuk tidak mengikut arahan itu kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran jabatan. Beliau berkata, jika tidak berpuas hati dengan papan tanda itu, Sister terbabit boleh membuat aduan kepada kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan melalui persatuan mubalighnya. Sementara itu, Pengetua SMK Convent Bukit Mertajam, Che Azizah Ismail dilaporkan berkata bahawa papan tanda itu sudah dipasang sejak 11 tahun dan tidak wajar ditimbulkan sekarang ini. Menurutnya, papan tanda itu tidak akan diturunkan sebaliknya terus dipertahankan kerana ia hanya membabitkan tulisan nama sekolah. Mohamad Nor Suhaili berkata tulisan jawi tidak mampu menggugat kepercayaan pelajar bukan Islam di sekolah itu sebaliknya hanya menjadi saluran perhubungan dalam kalangan pelajar Islam. Beliau berharap lembaga sekolah tidak terus memainkan isu itu ke arah politik sebaliknya membiarkannya berjalan seperti biasa dan bersama-sama menumpukan usaha kementerian bagi membangunkan modal insan berkualiti dalam kalangan pelajar sekolah. "Sekolah sebagai pusat integrasi perpaduan tidak seharusnya dilibatkan dengan pelbagai fahaman politik atau fahaman yang boleh mengganggu gugat kefahaman rakyat. "Keputusan Pengarah Pendidikan dilihat langkah tepat dan tegas dalam menyelesaikan isu berkenaan," katanya.
TULISAN JAWI DAN CABARANNYA DALAM MENDEPANI ZAMAN Oleh : Che Wan Shamsul Bahri bin CW Ahmad, kini bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Kutipan dan petikan adalah dinyatakan sumbernya. Pendahuluan Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bukan sahaja lanskap kehidupan masyarakat Melayu, bahkan juga turut mengubah kaedah penulisan masyarakat Melayu. Ini terbukti dengan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Usianya dikatakan telah mencecah hampir seribu tahun berbanding dengan tulisan Rumi yang hanya mula digunakan secara meluas selepas tahun 1960an. Apabila masyarakat Malaysia mula menggunakan bahasa Melayu tulisan Rumi secara rasmi pada tahun 1963, maka secara tidak langsung tulisan Jawi mula dipinggirkan. Bertitik tolak dari situ, tulisan Jawi sudah tidak lagi dilihat kepentingannya sebagai tulisan bahasa Melayu. Lantaran dari itu, pengajaran Jawi di sekolah tidak lagi ditekankan.
Program memartabatkan Jawi
Terdapat banyak bahan-bahan yang tulisan Jawi yang sampai ke Tanah Melayu seperti kitab agama serta hikayat nabi dan para sahabat menggunakan sistem ejaan Jawi pengaruh Arab. Penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 M menjadi bukti penggunaan tulisan Jawi di alam Melayu(Rohayu Ismail 2008). Apa yang menariknya, BBPT ditulis menggunakan tulisan Jawi dengan pengaruh Melayu; iaitu penggunaan huruf vokal. Ia dikatakan tulisan Jawi yang tertua di dunia. Terdapat sedikit perbezaan di antara tulisan Jawi pada masa dahulu dengan sistem tulisan Jawi moden yang kita lihat pada hari ini (Ahmad et al. 2012).
Batu Bersurat Terengganu
Kini, peranan besar yang dimainkan oleh tulisan Jawi telah diambil alih oleh tulisan Rumi. Menurut (Faisal Kadir 2011), bekas penjajah terkejut kerana orang Melayu kini tidak lagi menggunakan tulisan Jawi. Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di sebuah perpustakaan di Scotland. Beliau didatangi oleh seorang Scottish yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Orang Scottish ini fikir bahawa orang Malayu masih menggunakan fon Arab atau Al Quran (tulisan Jawi) lagi dalam penulisan mereka.
Tulisan Jawi Suatu Masa Dahulu Mahir membaca dan menulis Jawi suatu masa dahulu adalah satu kebanggaan. Kebanyakan golongan cerdik pandai pada masa itu menggunakan ejaan Jawi sepenuhnya dalam persuratan dan penulisan karya mereka (Abd Jalil Borham 2012). Tulisan Jawi digunakan secara meluas bagi bahasa Melayu pada masa itu dan berfungsi sebagaimana ejaan Rumi pada hari ini. Sehinggakan orang Inggeris pun menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus surat kepada raja-raja dan pembesar Melayu. Bahasa Melayu bertindak sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa perantaraan dalam kalangan pedagang dan penggunaannya sangat meluas sebagaimana bahasa Inggeris hari ini (Nik Safiah Karim et al. 2004). Pada hari ini keadaannya amat berbeza sekali. Usaha Wilkinson untuk mengelirukan orang Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi nampaknya telah berjaya seterusnya menyebabkan orang Melayu kurang berminat dengan sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan kekeliruan (Amat Juhari Moain 1996). Lantas, orang Melayu merasa lebih selesa dengan ejaan Rumi yang kononnya dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses revolusi dan kematangan sehingga kita dapat lihat ejaan terkini pada hari ini.
Buku Rahsia Ejaan Jaawi
Nasib Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu Pada masa ini, penggunaan ejaan Rumi sangat meluas dalam Bahasa Melayu. Untuk menggunakan ejaan Jawi adalah satu perkara yang agak ganjil. Lebih malang lagi, sebahagian masyarakat kita memandang rendah terhadap tulisan Jawi. Pelajaran Jawi juga adalah di antara pelajaran yang paling tidak popular dalam kalangan pelajar (Rashid 2004). Dalam satu Seminar Antarabangsa Teknologi Pendidikan (IMETC2011) di Kuantan pada 16 hingga 19 Oktober 2011, terdapat pembentang daripada Singapura yang mengejutkan penulis tentang nasib Bahasa Melayu di Singapura. Pembentang tersebut adalah seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Singapura. Bahasa Melayu memang salah satu bahasa rasmi Singapura tetapi amat menyedihkan kerana penggunaannya terhad. Orang Melayu di Singapura sendiri lebih berminat dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris dalam percakapan seharian mereka. Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kegusaran guru tersebut terhadap pelajarnya yang dikatakan kurang berminat untuk belajar Bahasa Melayu. Tidak ramai pelajar Melayu di Singapura yang menunjukkan minat belajar Bahasa Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris. Apatah lagi pelajar yang bukan berbangsa Melayu. Ini belum lagi disentuh berkenaan Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Di Malaysia, nasib Bahasa Melayu masih terpelihara kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa rasmi negara ini. Bahasa Melayu juga menjadi matapelajaran yang wajib diambil dalam peperiksaan sekolah rendah, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala di sekolah menengah pula ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun begitu, tidak mustahil suatu masa nanti nasib yang sama sebagaimana Bahasa Melayu di Singapura mungkin akan menimpa negara kita jika tidak ditangani dengan serius mulai sekarang.
Program seumpama ini amat baik untuk survival Jawi
Di institusi pengajian tinggi, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), peminggiran terhadap Bahasa Melayu telah mula kelihatan. Banyak universiti menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P &P) mereka dengan alasan terdapat pelajar antarabangsa. Mahasiswa universiti di semua bidang hanya wajib mengambil satu matapelajaran Bahasa Melayu, itupun diberi pengecualian kepada pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi kertas Bahasa Melayu di peringkat SPM. Manakala pelajar asing diberi pengecualian daripada mengambil matapelajaran Bahasa Melayu.
Kementerian Pendidikan perlu berusaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran di universiti-universiti seluruh Malaysia. Ia selaras dengan langkah kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Pelajar asing perlu diwajibkan untuk belajar Bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum masuk ke program pengajian mereka yang sebenar. Penulis ingin mencadangkan agar pelajar asing perlu melalui satu tahun transisi untuk belajar Bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum memulakan pengajian dalam bidang mereka masing-masing. Sebahagian universiti memang ada program seumpama ini tetapi jumlahnya amat sedikit. Perkara ini telah dipraktikkan di kebanyakan negara maju yang menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti mereka seperti di Barat, Jepun, Korea dan sebagainya. Mereka sangat bangga dengan bahasa ibunda mereka. Sebaliknya masyarakat cerdik pandai kita merasa malu menggunakan Bahasa Melayu di universiti kita.
Tulisan Jawi Kini Pada hari ini, generasi muda berasa malu untuk belajar Jawi, seolah-olah Jawi hanya untuk pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam sahaja. Masyarakat kita lebih selesa menggunakan tulisan Rumi berbanding tulisan Jawi. Lebih malang lagi apabila sebahagian masyarakat kita lebih selesa berbahasa Inggeris yang diselang seli dengan bahasa Melayu dalam perbualan harian mereka.
Bangsa Melayu hari ini perlu khuatir tentang nasib tulisan Jawi. Tidak mustahil tulisan Jawi akan pupus dalam kehidupan masyarakat Melayu pada suatu masa nanti jika langkah-langkah memajukannya tidak dimulakan dengan serius daripada sekarang. Ungkapan yang paling sesuai bagi tulisan Jawi kini adalah “hidup segan, mati tak mahu”. Itulah realitinya tulisan Jawi kini.
Penggunaan tulisan Jawi terlalu terhad. Di jabatan kerajaan, hanya Jabatan Agama Islam sahaja yang menggunakan tulisan Jawi seperti pada surat daftar nikah dan untuk menyediakan teks kuthbah Jumaat. Manakala di sekolah pula hanya matapelajaran Jawi (sekolah rendah) dan Pendidikan Islam sahaja yang menggunakan Jawi. Program j-QAF di sekolah rendah dilihat satu usaha murni kerajaan dalam mengangkat martabat tulisan Jawi. Hasilnya selepas tiga tahun dilaksanakan cukup membanggakan(Bernama, 2007). Di peringkat negeri pula terdapat sesetengah negeri, melalui pihak berkuasa tempatan mempunyai peraturan penggunaan Jawi pada papan tanda bagi nama kedai, papan iklan, nama jalan dan nama lorong. Peraturan ini sekurang-kurangnya adalah satu usaha untuk memartabatkan Jawi.
Papan Tanda di Terengganu
Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan penambahan tanda nama jalan dalam tulisan Jawi secara berperingkat bermula awal tahun 2008 dalam usaha memartabatkan serta membudayakan tulisan itu di semua peringkat haruslah dipuji walaupun terdapat tentangan oleh pihak tertentu. Namun bagaimana statusnya kini tidak diketahui. Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri mengurangkan bayaran lesen papan tanda sebagai galakkan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di negeri tersebut. Kerajaan negeri juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dan merancakkan lagi penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar. Menurut Suriati (2011), dalam satu sidang DUN Terengganu, Mohd Razif menyatakan bahawa syarat utama kemasukan pelajar ke tingkatan satu ke sekolah agama di Terengganu adalah perlu menjalani ujian tulisan Jawi dan memilih mereka yang hanya mendapat peratusan tinggi. Kerajaan negeri Terengganu juga membina pusat tulisan Jawi di di Kuala Berang dan dikawal selia oleh Muzium Negeri Terengganu. Kepentingan Jawi dan Cabaran dalam Pelestariannya Menurut (Zin Mahmud 2006) penggunaan tulisan Jawi ini wajar dipertahankan atas tiga sebab iaitu; tulisan jawi memperkaya intelektual Melayu melalui pengungkapan bacaan dan tulisan bahan-bahan bacaan berhubung tamadun Islam, tulisan jawi melicinkan minda Melayu kerana ia ditulis dan dibaca dengan cepat dan berkesan, dan tulisan jawi mempunyai keindahan khat yang paling tinggi. Justeru, Kementerian Pendidikan perlu berusaha keras untuk mewujudkan minat terhadap Jawi dalam kalangan pelajar. Dalam pendidikan, terdapat matapelajaran Jawi bagi pelajar sekolah rendah(Mohd Mazhan Tamyis 2011), dengan 1-2 waktu seminggu (walaupun agak terhad) dan matapelajaran Pendidikan Islam yang menggunakan teks Jawi. Penubuhan Kelab Jawi di sekolah adalah langkah terpuji kerajaan dalam menggalakkan minat pelajar
terhadap Jawi. Menurut Hishammuddin Tun Hussein kelab tersebut menjadi sebahagian daripada aktiviti luar bilik darjah untuk ditawarkan kepada pelajar(Bernama, 2007). Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang mengawal piawaian ejaan Jawi perlu memainkan peranan yang lebih aktif lagi dalam usaha memartabatkan Jawi. Penulis mencadangkan agar hanya satu tulisan Jawi yang standard dan selaras dengan nama ‘Ejaan Jawi Dewan’ yang menggambarkan bahawa hanya DBP sahaja yang mempunyai autoriti dalam menjaga khazanah bangsa Melayu, iaitu tulisan Jawi di samping mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh Jawi terkemuka. Sebarang pertelingkahan dan pertanyaan berkenaan ejaan Jawi yang betul (jika terdapat kekeliruan) perlu dirujuk kepada DBP (Matlob 2011). DBP mempunyai kuasa muktamad dalam menentusahkan ejaan Jawi. Penerbitan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi adalah satu usaha yang murni ke arah memartabatkan tulisan Jawi (Ismail Dahaman et al. 2008).
Buku Daftar Ejaan Rumi Jawi terbitan DBP
Pelbagai seminar, persidangan, bengkel dan simposium yang berasaskan Jawi juga perlu diperbanyakkan lagi agar tulisan Jawi dapat disemarakkan. Tanpa usaha yang berterusan, program seumpama ini akan dilihat seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam atau sifatnya bermusim. Penghasilan produk ICT seperti perisian Jawi oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia (KeKKWa)dan Management dan Science University, (MSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pelbagai lagi perlu dirancakkan. Usaha NGO seperti Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (PENJAWIM), Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan lain-lain lagi dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tulisan Jawi perlu disokong dan didukung dengan menyumbang bantuan dan dana sama ada daripada pihak kerajaan mahupun syarikat-syarikat korporat.
Produk Permainan Kanak-kanak oleh KUIS
Kerajaan juga perlu memikirkan dengan serius kesinambungan penggunaan tulisan Jawi, bukan hanya setakat di sekolah sahaja. Usahakan agar tulisan Jawi digunakan secara meluas dalam kehidupan dan aktiviti seharian, bukannya terhad kepada tempat dan masa tertentu sahaja. Sebagai langkah permulaan, selain daripada setiap kepala surat atau nama jabatan kerajaan ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi, sekurang-kurangnya perenggan pertama surat-surat kerajaan perlu ditulis dalam tulisan Jawi. Ini secara langsung dapat menarik minat mereka yang buta Jawi untuk mengetahui apa yang tertulis di permulaan surat tersebut. Atau setidak-tidaknya terdapat transliterasi Rumi-Jawi pada perenggan pertama pada setiap surat kerajaan. Program televisyen ‘Mahir Jawi’ di TV9 adalah satu program televisyen yang sangat baik kepada pelajar dan juga kanak-kanak. Program ini berjaya menarik minat pelajar kerana mereka belajar Jawi dalam keadaan santai dan menyeronokan. Ia memberi nafas baru dalam mempelajari Jawi walaupun terdapat sedikit teguran tentang beberapa kesilapan dalam perkataan Jawi yang digunakan. Teguran itu boleh diambil secara positif untuk menambah baik program tersebut di masa akan datang. Stesen-stesen televisyen juga perlu memasukkan tulisan Jawi dalam iklan mereka sebagaimana iklan yang menggunakan papan iklan di sesetengah negeri. Ini menggalakan penonton televisyen untuk membaca tulisan Jawi tersebut dan mendapatkan ejaan Jawi yang betul bagi perkataan tersebut.
Kesimpulan Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan Jawi juga harus mampu bergerak seiringan dengan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu. Ia diharap mampu menyokong terutamanya istilah-istilah baru dalam sains dan teknologi yang kebanyakkan menggunakan kata pinjaman Inggeris. Perbincangan di atas juga jelas menunjukkan bahawa usaha yang begitu tegas dan serius dari pihak kerajaan amat diperlukan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Kerajaan memiliki kuasa dalam membuat dasar (Azizi Hj Abdullah 2006). Tanpa usaha dan dokongan daripada pihak kerajaan, tulisan
Jawi yang pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam pasti akan terkubur. Khazanah berharga (kitab-kitab lama, manuskrip-manuskrip lama) akan hilang jika tidak dijaga dan digali sepenuhnya. Bahasa melambangkan bangsa (Rashid 2004), bangsa Melayu memang sering dikaitkan dengan Jawi suatu masa dahulu (Hashim Haji Musa dan Adi Yasran Abdul Aziz 2009). Sebelas cadangan yang dikemukakan oleh Hashim dan Yusran dalam kertas Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan tulisan Jawi. Apa jadi dengan resolusi dan cadangan Prof Dr (Ismail Ibrahim 1991) dalam Konvensyen Tulisan Jawi dulu? Apakah tindakannya?
Rujukan Abdul Hayie Abdul Syukur. 2009. Tulisan Jawi Sebagai Media Persuratan Melayu dan Islam. Dalam http://mybabah.blogspot.com/2009/11/artikel-khas-tulisan-jawi-dan-anda.html
Adi Yasran dan Hashim Haji Musa. 2008. Isu Homograf dan Cabarannya dalam usaha pelestarian tulisan Jawi. Jilid 3, Bil 1/2008, Jurnal ASWARA, halaman 109.
Azizi Abdullah. 2006. Roh Pendita ZA`BA Yang Menangis. Dalam http://aziziabdullah.blogspot.com/2006/05/tulisan-jawi.html
Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2008. DBKL Perkenal Tulisan Jawi Pada Papan Nama Jalan. Artikel bertarikh 19 Februari 2008.
Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2007. Kelab Jawi Ditubuhkan Di Sekolah. Artikel bertarikh 28 September 2007.
Mohamad Sofee Razak. 2010. Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan. Artikel daripada Berita Harian bertarikh 02 Januari 2010.
Suriati Ali. 2011. Penggunaan Tulisan Jawi Diperluaskan
Dalam http://teganukita.blogspot.com/2011/05/penggunaan-tulisan-jawi-diperluaskan.html artikel bertarikh 12 Mei 2011.
Abd Jalil Borham. 2012. Tulisan jawi: Tulisan serantau. Seminar Tulisan Jawi dan Teknologi Peringkat Kebangsaaan 2012, 18 Oktober 2012, at Universiti Malaysia Pahang
Ahmad, Che Wan Shamsul Bahri C.W., Khairuddin Omar, Mohammad Faidzul Nasrudin, et al. 2012. Isu-isu dalam transliterasi mesin manuskrip melayu ejaan jawi lama kepada jawi baru. Seminar Penyelidikan Jawi dan Manuskrip Melayu, 19-20 Jun 2012, at Universiti Teknologi Mara, Shah Alam:169-184.
Amat Juhari Moain. 1996. Perancangan bahasa: Sejarah aksara jawi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Hj Abdullah. 2006. Roh pendita za'ba yang menangis. In Azizi Abdullah.
Faisal Kadir. 2011. Penjajah terkejut, tulisan jawi dikuburkan. In Picisan Karangan Idea.
Hashim Haji Musa, dan Adi Yasran Abdul Aziz. 2009. Pemerkasaan kembali tulisan jawi. Jurnal ASWARA 4 (1):159-176.
Ismail Dahaman, Syeikh Othman Sheikh Salim, Manshoor Ahmad, et al. 2008. Daftar kata bahasa melayu dalam Rumi-Sebutan-Jawi, edited by Rusli Abdul Ghani, Ibrahim Ahmad, Azman Ahmad and Siti Suhana Mohd Amir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Ibrahim. 1991. Ucapan dasar. In Konvensyen Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Mohd Mazhan Tamyis, Sharipah Nor Puteh. 2011. Pembelajaran tulisan jawi: Suatu usaha ke arah mencintai warisan budaya bangsa. Semianr Pendidikan Serantau ke-5, at Pekanbaru, Indonesia.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, et al. 2004. Tatabahasa dewan edisi baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rashid, Abd. Rahim Abd. 2004. Jawi : Cemerlang, gemilang dan terbilang. Dewan Bahasa.
Rohayu Ismail. 2008. Melestarikan tulisan jawi. Berita Harian, 19 November 2008, 2.
Zin Mahmud. 2006. Penggunaan jawi tambah intelektual. Al-Islam, 62-64.
Memartabatkan kembali tulisan jawi Oleh ABDUL HAMID MOHAMMAD (Wartawan Utusan) DENGAN tema `Memperkasakan Tulisan Jawi di Era Globalisasi', Seminar Tulisan Jawi Dunia Melayu 2003 yang dijadual berlangsung di Melaka mulai 1 hingga 3 Oktober ini, sudah semestinya diharap menjadi medan perbincangan serius berhubung penulisan jawi dan seterusnya mencetuskan idea ke arah memartabatkan semula tulisan tersebut yang semakin lenyap pada abad ini. Seminar kali ini, dianggap istimewa kerana ia mengumpulkan para ilmuwan dan cendekiawan dari seluruh dunia Islam bagi berbincang dan berkongsi idea dalam mengenal pasti isu-isu penguasaan jawi di samping mencipta keputusan yang bijak dalam merangka strategi untuk mempertingkatkan penggunaan jawi di kalangan masyarakat Melayu serantau. Masyarakat umum, khususnya para pencinta tulisan jawi, tentunya sedia maklum kedudukan tulisan itu masa kini, yang semakin terancam sedangkan sebagai warisan tamadun Melayu, tulisan jawi mempunyai kedudukan yang istimewa dalam konteks perkembangan kebudayaan Melayu di Nusantara. Tulisan jawi yang popular suatu ketika dahulu kini seolah-olah dilupakan apabila generasi baru tidak lagi menunjukkan minat untuk mempelajari tulisan jawi sedangkan ia menjadi warisan budaya bangsa yang mesti dipertahankan oleh umat Melayu Islam kerana tulisan jawi berasal daripada huruf-huruf al-Quran. Tulisan jawi bukan sahaja dapat memainkan peranan penting dalam semua bidang termasuk pendidikan, malah ia kini sudah mampu digunakan sebagai perantaraan ilmu termasuk ilmu sains kerana tulisan ini tetap aktif menerima perubahan dari segi ejaan dan penambahan huruf-huruf yang diperlukan. Justeru langkah kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Utusan Melayu (M) Berhad dan Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA) menganjurkan seminar itu harus diberi perhatian serius. Sesungguhnya seminar itu boleh dijadikan platform kepada para ilmuwan dan cendekiawan untuk mencari jalan dan berusaha ke arah memastikan penulisan jawi tidak terkubur sebaliknya diletak di kedudukan yang tinggi dalam era globalisasi yang serba mencabar ini. ``Sudah tiba masanya para cendekiawan bahasa Melayu memperjuangkan tulisan jawi sebagai salah satu agenda untuk memartabatkan dan mempertahankan tulisan jawi dalam era yang serba mencabar ini,'' kata Pengerusi Jawatankuasa Induk Seminar, Hasnoor Sidang Hussin. Hasnoor, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, dalam era globalisasi sekarang, penulisan jawi harus diperkembangkan dengan menjadikannya sebagai tulisan yang sentiasa diguna pakai dalam aspek kehidupan seharian. ``Setiap individu perlu berperanan untuk mempertingkat, mempertahan dan memperkasakan penguasaan jawi di era dunia tanpa sempadan ini. Kecanggihan teknologi kini seharusnya dimanfaatkan untuk memperkembangkan penggunaan tulisan jawi,'' katanya.
Menyedari hakikat itulah, menurut beliau, pihak penganjur mengambil kata sepakat untuk menganjurkan seminar itu bagi menyedarkan umat Melayu Islam tentang peranan dan tanggungjawab mereka untuk mempertingkat, mempertahan dan memperkasakan penulisan itu. ``Seminar ini akan menjadi medan perbincangan dan perkongsian idea para ilmuwan dan cendekiawan untuk memartabatkan penulisan jawi kerana keunggulan tulisan jawi perlu terus dipertahankan agar `tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas','' kata Hasnoor. Seminar tersebut akan menyediakan forum bagi cendekiawan dan para ilmuwan serta pencinta tulisan jawi dan khat bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengaruh penulisan jawi berbahasa Melayu pada abad ini. Antara lain, seminar itu bertujuan untuk mewujudkan satu kesepakatan mengenai penggunaan tulisan jawi dan seni khat di dunia Islam selain memantapkan kaedah ejaan jawi yang baku supaya dapat diguna pakai secara berkesan. ``Objektif seminar ini juga untuk memartabatkan tulisan jawi dan seni khat sebagai identiti bangsa Melayu di samping menjadikan tulisan jawi sebagai alat komunikasi di dunia Melayu, melalui media cetak dan elektronik,'' katanya. Tidak kurang pentingnya, kata Hasnoor, objektif seminar itu adalah untuk mempertahankan nilai estetika dan etika dalam tulisan jawi. Menurut beliau, bagi memastikan seminar itu benar-benar mencapai objektifnya dalam mempengaruhi Dunia Melayu menguasai dan mengguna pakai tulisan jawi, tokoh ilmuwan dan cendekiawan dari negara luar seperti Korea, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei dijemput membentangkan kertas kerja. ``Selain ahli-ahli akademik, pegawai Majlis Agama Islam, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar-pelajar IPTA dan IPTS, seminar ini turut akan dihadiri oleh peserta dari Afrika Selatan, Sri Lanka, Kemboja, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia,'' kata Hasnoor. Sebanyak 11 kertas kerja yang berkisar mengenai isu-isu berkaitan pengaruh penulisan jawi berbahasa Melayu pada abad ini akan dibentangkan pada seminar itu nanti yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Jika dilihat daripada tajuk-tajuk kertas kerja yang bakal dibentangkan pada seminar itu diyakini seminar itu akan dapat merumuskan resolusi-resolusi yang konkrit dan positif dalam usaha mempertahankan dan memartabatkan penulisan jawi pada abad ini. Justeru, seminar seumpama itu amat wajar diadakan pada masa kini sejajar dengan era globalisasi dan usaha mengantarabangsakan tulisan jawi bahasa Melayu menerusi medan akademik. Pada masa yang sama, inilah salah satu usaha untuk mengembangkan pencapaian tulisan jawi, khususnya bahasa Melayu di rantau ini demi memperkukuhkannya di semua peringkat dan sektor.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0929&pub=utusan_malaysia&sec=R encana&pg=re_03.htm#ixzz4qdtflo8v © Utusan Melayu (M) Bhd
PULAU PINANG 26 Julai - Tindakan menggantikan papan tanda bertulisan jawi di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free (PFS) di sini dengan papan tanda tulisan rumi bahasa Inggeris bagi meraikan ulang tahun ke-200 sekolah tersebut amat dikesali. Beberapa bekas pelajarnya berpendapat, tidak sewajarnya tulisan jawi tersebut 'dibuang' hanya kerana dakwaan segelintir pihak kononnya orang ramai keliru sehingga beranggapan PFS merupakan sekolah agama Islam. Jamy Jasin Mokhtar, 38, berkata, tidak salah sekiranya pihak sekolah mahu menaikkan papan tanda untuk sambutan itu tetapi apa yang mengecewakan adalah papan tanda tulisan Jawi diturunkan. "Kalau mahu menaikkan papan tanda baharu sekali pun, buatlah di sudut lain. "Seolah-olah kewujudan tulisan jawi itu memberi masalah besar kepada sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Rabu lalu akhbar melaporkan, papan tanda jawi di pintu masuk PFS telah digantikan dengan papan tanda mengumumkan sambutan ulang tahun ke-200 sekolah tersebut pada 2016. Menurut Pengetuanya, Jalil Saad, keputusan itu dibuat selepas perbincangan Ahli-Ahli Lembaga PFS dengan persatuan bekas pelajar sekolah berkenaan. Kedua-dua papan tanda baharu dan lama itu ditaja oleh Ahli Lembaga PFS, Datuk Syed Mohd. Aidid Syed Murtaza. Isu tulisan jawi di pintu masuk sekolah tersebut pernah dibangkitkan oleh bekas pelajar dan orang ramai semasa mula-mula dilaksanakan pada 2007. Seorang lagi bekas pelajar PFS, Mohd. Yassir Che Amat, 39, memberitahu, ada pihak seolah-olah 'fobia' apabila menggunakan tulisan jawi walaupun kewujudannya tidak melambangkan apa-apa. "Seperti ada unsur-unsur perkauman, letak sesuatu yang ada kaitan dengan orang Melayu, sudah menggelabah pada hal tiada apa-apa pun. "Kenapa kita (orang Melayu) mudah tunduk kepada mereka (desakan bukan Melayu)," soalnya. Sementara itu, Azly Ali Abdul Aziz, 40, berpendapat, tidak sepatutnya ada pihak merasa terancam dengan tulisan jawi. Menurutnya, tulisan jawi pernah digunakan secara meluas di negara ini sebelum zaman kemerdekaan negara. Azli Ali percaya perkara tersebut berlaku disebabkan tekanan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri. Mohamed Ajmel Jamaludin, 39, pula menjelaskan, pihak yang mendesak itu seolah-olah tidak sensitif kerana tulisan jawi merupakan lambang untuk orang Melayu. "Tindakan pihak-pihak terbabit seperti menghina orang Melayu," ujarnya. Katanya, amat mengecewakan perkara sedemikian berlaku kerana PFS telah melahirkan banyak tokoh di sektor-sektor kerajaan, korporat dan politik.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Syed Mohd. Aidid gagal.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130727/dn_22/Kesal-tulisan-jawi-%27di buang%27#ixzz4qduKgOim © Utusan Melayu (M) Bhd
Isu Tulisan Jawi pada Papan Tanda Dalam kitab Seribu Masalah, perkataan jawi merujuk kepada Melayu. Jawi juga merujuk kepada Tanah Jawi, turun ke jawi, kitab jawi, ulama jawi, orang jawi, masuk jawi, padi jawi (padi biasa, bukan pulut), dan tulisan jawi. Skrip jawi berasal daripada skrip Arab yang sampai ke Kepulauan Melayu bersama kedatangan Islam. Wilkinson pula mensinonimkan jawi dengan Melayu. Inskripsi Arab/Jawi tertua terdapat pada batu nisan Sultan Malik al-Saleh di Pasai, Sumatera bertarikh 1297 M. Inskripsi Arab/Jawi berbahasa Melayu tertua ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M. Dua jenis skrip Kawi/Melayu dan Arab/Jawi pada batu nisan Sheikh Ahmad Majnun, bertarikh 1467/68 M menunjukkan hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan Majapahit. ‘Jawi’ ialah nama yang diberikan kepada Kepulauan Melayu (Tanah Jawi), seluruh bangsa di Kepulauan Melayu (bangsa jawi), bahasa yang digunakan oleh mereka (bahasa jawi), tulisan yang digunakan oleh mereka (tulisan jawi). Tulisan jawi pada papan tanda jalan yang menjadi isu hangat dalam satu laman blog baru-baru ini. Baru-baru ini satu laman blog persendirian yang mendakwa mewakili masyarakat minoriti di Membakut, membangkitkan kemarahan banyak pihak kerana menyentuh isu yang sensitif, iaitu berkenaan dengan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan. Artikel yang diterbitkan pada 22 Mei 2009 lalu, bertajuk ‘Tulisan Jawi Menidakkan Hak Masyarakat Kadazan Dusun Membakut’ dilihat sebagai tulisan yang tidak bertanggungjawab, tidak matang, tidak menghormati sensitiviti kaum lain, malah boleh menerbitkan prasangka buruk dan kebencian antara kaum. Artikel itu ditulis dengan
tidak berpandukan kajian dan fakta sebenar tetapi ditulis hanya sebagai melepaskan gelodak emosi negatif sesetengah pihak. Tulisan itu juga menganggap penggunaan tulisan jawi sebagai satu pembaziran dan mempersoalkan kewajaran pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang beberapa papan tanda yang mempunyai tulisan jawi. Sebelum menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh penulis blog itu, adalah lebih baik kita fikirkan bersama beberapa fakta dan petikan berita yang diperoleh daripada akhbar tempatan dan laman web seperti berikut: Mengikut catatan sejarah, tulisan jawi wujud di Nusantara sejak abad ke-14 atau lebih awal lagi. Pembangunannya dikaitkan dengan penyebaran Islam dari Tanah Arab. Di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan jawi sedikit demi sedikit hilang pengaruh berikutan perkembangan tulisan rumi, isu memartabatkan tulisan jawi mula diperkatakan. Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan jawi dilatari kewajipan mempelajari ilmu agama, yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun, keistimewaan tulisan jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Justeru, sebarang usaha dalam mengetengahkan penggunaan tulisan jawi tentunya berbaloi. Baru-baru ini, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan jawi yang dinamakan My Jawi Games. Dicipta oleh pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi mobile learning20th International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lalu, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-20. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut memainkan peranan penting untuk memartabatkan penggunaan tulisan jawi dalam kalangan pelajar di negara ini. Oleh itu, bagi melaksanakannya beberapa langkah telah diambil, antaranya menggunakan tulisan jawi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam, Buku Teks Pendidikan Islam ditulis dalam tulisan jawi dan memasukkan kemahiran jawi sebagai satu elemen asas dalam program j-QAF. KOTA KINABALU, 25 Februari 2006 -- Semua pihak diminta mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu dan tulisan jawi serta memastikannya agar ia tidak dipinggirkan di negara ini. Demikian kenyataan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPS), Zubaidi Abbas ketika merasmikan penutupan Bengkel Penulisan Jawi anjuran bersama DBPS dan Jabatan Pengajian Melayu, Maktab Perguruan Gaya di sini baru-baru ini. Menurutnya, penggunaan tulisan jawi masih sesuai dengan perkembangan zaman dan ia bukan semata-mata unik, tetapi menarik dan perlu dipelajari oleh masyarakat di negara ini. "Tulisan ini juga bukan semata-mata digunakan untuk urusan yang berkaitan dengan agama Islam, sebaliknya ia juga tulisan ilmu yang pernah digunakan oleh semua bangsa besar yang pernah menjajah negara ini,” katanya. KOTA KINABALU, 21 Okt 2008 (Bernama) -- Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan dan iklan mendapat sokongan menggalakkan di kebanyakan daerah di Sabah, kata Pengarah Dewan dan Bahasa (DBP) Sabah Zubaidi Abas."Pihak DBP mendapat kerjasama yang sangat baik daripada majlis daerah berkenaan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda. Mereka juga sentiasa berhubung dengan kami mengenai penggunaan bahasa dan ejaan yang betul."Kami amat mengalu-alukan dan memuji usaha daerah seperti Lahad Datu, Sipitang, Kinabatangan dan Beaufort dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita melalui penulisan jawi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2008 di sini, Selasa.Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan dan iklan akan diperluaskan ke daerah lain. Jelaslah bahawa, usaha memartabatkan kembali tulisan jawi dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, tulisan, papan tanda dan papan iklan sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu tanpa disedari oleh banyak pihak termasuk penulis blog tersebut. Usaha murni itu sebenarnya dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu serta tulisan jawi, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jika pembaca berkesempatan berkunjung ke bangunan DBP Cawangan Sabah di Teluk Likas, pembaca boleh melihat sendiri usaha serius yang dilakukan oleh DBP Cawangan Sabah menggunakan tulisan
jawi pada setiap papan tanda atau papan kenyataan di bangunan itu. Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan papan iklan oleh pihak berkuasa tempatan hampir di setiap daerah di negeri ini bukannya diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan itu sendiri tetapi mendapat sokongan semua pihak yang terbabit dalam usaha memartabatkan tulisan ini. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi sesetengah pihak mendakwa penggunaan tulisan jawi pada papan tanda di Membakut dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Majlis Daerah Beaufort atau JKR . Papan tanda jalan yang besar ini langsung tidak mempunyai tulisan jawi. Tulisan jawi tidak seharusnya dilihat sebagai tulisan yang hanya digunakan oleh para pelajar di sekolah rendah agama atau sekolah menengah agama di negara ini. Usaha memartabatkan penggunaan tulisan jawi perlu dilihat sebagai agenda nasional untuk menjadikan tulisan itu kembali digunakan dan diminati oleh generasi masa kini dalam pelbagai bidang. Pada masa lalu, sebelum sistem tulisan jawi digantikan dengan sistem tulisan rumi di negara kita, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India juga belajar dan meminati penggunaan tulisan jawi. Mereka menganggap tulisan jawi sama taraf dengan tulisan Cina dan India. Pada masa kini, masih ada segelintir masyarakat bukan Melayu yang mengamalkan dan mengagumi tulisan jawi. Contohnya seperti petikan berita berikut: Demi cintanya kepada tulisan jawi, seorang lelaki Cina akhirnya berjaya mencipta satu kaedah mudah mempelajari teknik menguasai tulisan dan membaca jawi dengan cepat dan berkesan. Bagi Lee Guan Hooi, 47, tiada apa yang lebih bermakna dalam hidupnya selepas 25 tahun mempelajari tulisan itu kerana beliau kini merupakan kaum Cina pertama yang mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi. “Tulisan jawi sangat indah dan sebab itu saya mahu semua bangsa mempelajarinya kerana ia sangat unik,” katanya kepada Bernama. Lee yang bertugas sebagai Pembantu Penerangan Kanan, Cawangan Perancangan dan Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan dan berasal daripada Kedah, telah mendaftarkan ciptaannya itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lepas. Kaedah yang diciptanya itu merangkumi 13 disiplin asas mengeja dan menulis dalam jawi, antaranya Berhenti Roda Bertitik, Tutup Kata Pecat Alif, Kata Melayu Kaf-Qaf, Kata Inggeris Kaf-Kaf dan Kata Melayu Ha, Kata Arab Ha. Menurutnya melalui kaedah itu sesiapa yang sebelum ini langsung tidak mampu membaca dan menulis jawi dijamin dapat menguasainya dalam tempoh dua hari sahaja. Menurut Prof Hashim Musa, beberapa pendekatan baru telah disarankan oleh beliau bagi memartabatkan tulisan jawi . Pertama, golongan yang terlibat haruslah mengadakan satu publisiti besar-besaran bagi memartabatkan tulisan jawi . Menurut beliau lagi, keindahan dan seni khat harus dipertontonkan umum bagi memberi satu dimensi baru tentang tulisan jawi. Khazanah lama yang berkaitan dengan tulisan jawi juga harus dikaji dengan lebih mendalam lagi. Hal ini penting bagi memberi nilai dan nafas baru kepada tulisan jawi yang kian dilupakan. Keduanya, beliau juga menyarankan agar generasi hari ini dapat membudayakan tulisan jawi. Dengan adanya cara sedemikian, tulisan jawi dapat dipertahankan pada masa akan datang. Selain itu juga, beliau juga menegaskan bahawa ‘Minggu Jawi’ juga harus dilakukan bagi menghargai tulisan dan keindahan yang ada pada jawi itu sendiri. Dalam konteks Daerah Membakut, dakwaan bahawa banyak papan tanda jalan yang menggunakan tulisan rumi digantikan dengan papan tanda bertulisan jawi adalah tidak benar dan dakwaan itu dibuat secara rambang tanpa membuat kajian yang tepat. Penulis mendapati hanya ada beberapa papan tanda yang menggunakan tulisan jawi berbanding keseluruhan papan tanda di daerah ini. Mungkin bilangan papan tanda tersebut tidak sampai pun 30 peratus. Papan-papan tanda itu juga hanya diletakkan di tempat yang strategik, iaitu di jalan masuk ke Pekan Membakut dan sebagai penunjuk jalan ke kampung majoriti kaum Brunei, iaitu Kampung Pimping dan Kampung Brunei. Saiz tulisan jawi pada papan-papan tanda itu juga agak kecil dan tidak mengganggu pandangan. Persoalannya, mengapakah penulis blog itu mendakwa tulisan jawi menidakkan hak masyarakat kaum lain? Bilangan papan tanda yang mempunyai tulisan jawi hanya sedikit dan diletakkan di tempat-tempat tertentu.
Tulisan jawi hanyalah satu bentuk komunikasi dan kini menjadi warisan yang tinggi nilainya bagi masyarakat yang mengamalkannya. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini tulisan jawi digunakan sebagai satu bentuk undang-undang atau kuasa untuk menafikan hak masyarakat lain. Seharusnya kita bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman damai, bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Hak pelbagai kaum untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing dijamin dalam perlembagaan negara ini. Tidak seperti di negara lain yang kononnya menjunjung sistem demokrasi tetapi masyarakat minoritinya ditindas, dinafikan daripada hak kesamarataan malah diserang dan dibunuh dengan kejam. Seharusnya penulis blog dan pihak yang berasa kurang senang dengan menulis artikel tersebut merenung kembali betapa bertolak-ansurnya masyarakat majoriti di Membakut ini. Masyarakat bukan Islam tidak pernah dipaksa untuk membaca apatah lagi untuk mempelajari tulisan jawi. Masyarakat Islam di daerah ini juga tidak pernah membuat bising, campur tangan atau mempersoalkan hak kaum lain mendirikan papan-papan tanda besar yang menunjukkan perkembangan agama dan budaya kaum itu. Penulis blog itu juga mencadangkan agar didirikan papan tanda muhibah yang mengandungi bahasa kaum lain selain bahasa Melayu. Cadangan tersebut tidak relevan dan boleh menyebabkan pihak berkuasa menanggung kos yang tinggi semata-mata untuk mendirikan papan tanda yang mempunyai banyak bahasa. Dalam perkara ini, kita sepatutnya menyokong usaha kerajaan untuk mendaulatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dalam semua aspek termasuklah penggunaannya pada papan tanda. Kita seharusnya mencontohi rakyat Jepun dan Korea yang amat berbangga dengan keupayaan bahasa kebangsaan mereka. Bahasa mereka mencapai taraf yang tinggi dalam pelbagai bidang sehinggakan bangsa lain terpaksa mempelajari bahasa mereka jika ke negara itu. Hal ini juga tidak bermakna apabila bahasa kebangsaan diutamakan dan dimartabatkan, bahasa etnik lain akan terpinggir. Kita boleh menyaksikan sendiri di Membakut, masyarakat daripada pelbagai etnik sama ada Brunei, Dusun, Cina, Paitan dan lain-lain masih kekal dan berbangga menggunakan bahasa etnik masing-masing. Walau bagaimanapun, penulis mencadangkan, bagi papan tanda yang bersaiz lebih besar, pemimpin dan pihak berkuasa di Membakut boleh mengadakan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti DBP Cawangan Sabah. Sebagai contoh, di Parlimen Silam, DBP Cawangan Sabah memberikan sumbangan papan tanda pelbagai bahasa sebagai satu usaha memperkenalkan kawasan itu kepada masyarakat luar terutamanya kepada pelancong asing. Papan tanda di Parlimen Silam yang didirikan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah ini boleh dicontohi pemimpin dan pihak berkuasa di Membakut. Sebagai warga Membakut yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian antara kaum, hormat-menghormati, bersatu-padu, bekerjasama dan menggembleng tenaga serta buah fikiran membantu kerajaan dalam usaha membawa daerah ini ke arah kemajuan dan kegemilangan. Isu-isu yang boleh menimbulkan prasangka, kebencian, kemarahan dan perbalahan dalam masyarakat sepatutnya dielakkan. Sebelum mengakhiri tulisan ini, marilah kita bersama-sama memahami dan menghayati sebahagian daripada mesej gagasan Satu Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan
Perkara ini pernah saya bincang bersama kawan dahulu. Antara faktor penyumbang kepada masalah ini mungkin kerana: 1. Kurangnya pendedahan tulisan jawi kepada generasi sekarang. Ibu bapa yang pandai mungkin tidak lagi mahu mengajar atau melatih anaknya kemahiran bahasa jawi. 2. Seperti yang dinyatakan di atas, selepas bahasa rumi secara rasminya mengganti tulisan jawi. 3. Kurang sumber bacaan dalam bahasa jawi. Ialah, sekarang Vocket sendiri pun ditulis dalam bahasa rumi. Tetapi jangan lupa, buat anda yang mahu teruskan membaca jawi masih boleh layari portal Utasan Melayu. Laman web berbahasa jawi sepenuhnya yang masih wujud. Oleh itu, demi mengelak bahasa jawi terus terkubur saya kira masih belum terlambat untuk kita sama-sama menyemarakkan semula bahasa warisan Melayu ini. Buat anda yang berminat, pada peringkat awal boleh cuba layari laman web Ejawi. Di situ anda boleh mengalih tulisan rumi kepada jawi sebagai pengenalan dan pembelajaran. Tidak dinafikan, terdapat banyak perkataan jawi yang telah berubah ejaan. Semuanya dikemaskini mengikut peredaran zaman supaya bersesuaian dengan masyarakat dan lebih mudah untuk dieja dan dibaca. Saya tahu, mungkin sekarang masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang boleh dan pandai dalam tulisan jawi. Tapi, bagaimana dengan nasib tulisan jawi dikalangan generasi akan datang? Maksud saya 30 tahun ke hadapan mungkin. Jawapannya ada pada kita hari ini. Sekurangnya, nanti taklah malu nak mengaku ‘pejuang melayu’ tapi tak reti jawi.
Pensyarah Korea bimbang tulisan jawi dilupakan KUALA LUMPUR 29 Jan. - Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok (gambar), daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia. Menurutnya, tulisan jawi sedang 'tenat' dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti. "Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," kata Dr. Kang yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris menegaskan, media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr. Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya. Selain itu, katanya, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemahkan lebih banyak buku ke tulisan jawi. "Di Korea, kami terjemah banyak buku ke bahasa dan tulisan Korea kerana kami mahu rakyat kami lebih menguasai bahasa dan tulisan Korea daripada bahasa-bahasa lain. "Bagi kami, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri rakyat kami. Dan pada pendapat saya, tulisan jawi merupakan jati diri Malaysia sendiri. "Maka rakyat Malaysia perlu mempelajari tulisan jawi bagi memastikan mereka mempunyai jati diri Malaysia yang sejati," kata Dr. Kang yang mula menjejak kaki ke Malaysia pada 1984 untuk melakukan kajian lebih mendalam terhadap tulisan jawi. Menurut Dr. Kang, rakyat Malaysia kini lebih selesa dengan tulisan rumi yang digunakan secara meluas berbanding tulisan jawi dan ini menjadi faktor utama kenapa tulisan jawi semakin dilupakan. "Selain itu, pengaruh barat juga menjadi penyebab kerana sistem ejaan rumi diambil daripada bahasa Inggeris, yang menjadikan rakyat Malaysia lebih selesa dengan sistem rumi," jelasnya. Dr. Kang menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu. Beliau berkata, jika rakyat Malaysia menguasai sistem ejaan jawi Za'ba, mereka akan lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno, malah mampu memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun. "Ini kerana asas ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang 'lari' daripada asas tulisan jawi kuno," jelas beliau. Beliau berkata, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara. - BERNAMA.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=D alam_Negeri&pg=dn_12.htm#ixzz4qdxQDMKH © Utusan Melayu (M) Bhd
“HIDUP segan mati tak mahu” itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan Jawi ketika ini. Seperti kita maklum tulisan Jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu. Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan Jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam
Melayu lagi. Tidak dinafikan tulisan Jawi telah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Ditambah lagi, melalui tulisan Jawi, hasil kesusasteraan Melayu turut berkembang dengan pesatnya, apabila banyak hikayat lama dikarang dan disebar luaskan melalui tulisan Jawi seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Banjar, Hikayat Raja - Raja Pasai, Hikayat Iskandar Zulkarnia. Biar pun hikayat - hikayat ini tidak diketahui siapa pengarangnya. Namun, hasil sastera ini terus berkembang melalui tulisan Jawi. Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan Jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahu pun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar - akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan Jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu. Malah, tulisan Jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini, dikuatkan lagi apabila tulisan Jawi dikaitkan dengan kedatangan Islam dan budaya al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambah lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara. Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan Jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan Jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan. Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa - kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke-18 dan 19. Pada ketika ini tulisan Rumi telah diperkenalkan oleh penjajah barat terutama dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pendidikan dunia barat. Pada ketika itu jugalah peranan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. Menurut Samat Buang dalam artikelnya Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi menyatakan “bahawa kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J. Wilkinson yang dengan sengaja membunuh tulisan jawi dengan memperkenalkan tulisan Rumi. Dengan adanya tulisan Rumi sedikit demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya”. Dari pada pandangan Samat Buang tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa tahap kebimbangan para ahli akademik berkenaan survival tulisan jawi telah berada di tahap yang membimbangkan. Hal ini ditambah lagi, pelbagai peristiwa yang sangat mengguris hati - hati pencinta tulisan Jawi yang mana 29 Januari 2006 akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi dihentikan penerbitannya kerana kurangnya sambutan daripada masyarakat terutama daripada masyarakat Melayu sendiri. Malah, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan nada kehairanan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang mendengus, apatah lagi mempolemikkan penutupan akhbar itu baik di media elektronik mahu pun media cetak. Malah, Datuk Johan Jaaffar dengan nada sinis di dalam Persidangan dan Pameran Tulisan Jawi di Muzium Negara menganggap orang Melayu renyah dengan identiti warisan bangsanya sendiri. Pandangan beliau ini berpaksikan kepada populasi etnik Melayu yang merangkumi 13 juta orang Melayu, dan akhbar tulisan Jawi tidak boleh hidup dan dipedulikan sedangkan akhbar berbangsa lain dapat hidup subur walaupun komunitinya lebih kecil berbanding masyarakat Melayu. Satu persoalan yang perlu ditudingkan pada diri sendiri, di manakah silapnya? Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan Jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak
hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan tulisan Jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Ditambah lagi, pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari. Oleh yang demikian, penggunaan tulisan Jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya satu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan Jawi ini bak kata pepatah Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Malaya
Peranan Institusi Kerajaan Dalam Memartabatkan Tulisan Jawi
Tulisan Jawi telah hilang daya kemampuannya untuk mengangkat kebesaran ilmunya sebagai rujukan utama dalam penulisan dan pengembangan bahasa. Inilah yang telah berlaku kepada tulisan Jawi dewasa ini. Sedih dan terharu tetapi inilah hakikat yang harus diterima dengan hati yang pilu. Sejarah telah mencatatkan bahawa tulisan Jawi pernah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan Jawi. Ini dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Suatu ketika dulu tulisan Jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahupun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Utusan Zamanmenggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan Jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat ketika itu.
‘Kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J. Wilkinson yang sengaja membunuh tulisan Jawi dengan memperkenalkan tulisan Rumi. Dengan adanya tulisan Rumi sedikit demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya.’ Begitu kata Samat Buang dalam artikelnya ‘Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi’. Justeru kita perlu memartabatkan semula tulisan Jawi di bumi Malaysia ini. Izinkan ia mengepakkan sayapnya berterbangan bebas di langit Malaysia seperti suatu ketika dulu. Biar ia menyebar ke seluruh cerok pelosok bumi Malaysia seperti suatu ketika dulu. Lantaran itu, semua institusi kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan hakikat ini. Usaha harus bermula dengan Kementerian Pelajaran terlebih dahulu dengan memasukkan tulisan Jawi ke dalam sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini, kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi perlu dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Ini merupakan satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Seterusnya, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah perlu sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Semua murid perlu mempelajari tulisan Jawi. Menafikannya kepada mereka bermakna telah membunuh salah satu jatidiri bangsa. Mereka akan membesar tanpa salah satu jatidiri yang begitu bermakna sedangkan mereka adalah generasi pewaris pada masa akan datang. Sekiranya persoalan ini tidak dipandang penting, akan lupus satu generasi yang bakal menyambung nyawa tulisan Jawi seterusnya lama kelamaan tulisan Jawi ini akan lenyap. Justeru generasi kanak-kanak ini perlu diperkenalkan tulisan Jawi secara asas. Penguasaan dunia tanpa sempadan melalui skrin komputer, telefon selular dan pelbagai lagi media elektronik dewasa ini telah menjadi batu penghalang kepada hasrat untuk meneguhkan jatidiri dan tamadun bangsa di negara kita. Lantaran itu, usaha memartabatkan tulisan Jawi ini harus lebih menyeluruh termasuk penggunaan di dalam laman-laman web tempatan, kerajaan (ada versi Jawi), perisian Microsoft Office Jawi, telefon bimbit dan lain-lain. Perisian komputer di dalam tulisan Jawi amat kurang malah susah untuk ditemui. Sekiranya, ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan gembelingan pihak kerajaan dan swasta matlamat ini pasti boleh dicapai dengan jayanya. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari. Justeru, pihak berkuasa tempatan harus menguatkuasakan peraturan supaya setiap papan tanda yang hendak dipasang haruslah mempunyai tulisan Jawi sebagai bahasa kedua selain dari bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia. Pengaruh globalisasi yang semakin hari semakin menghakis jatidiri bangsa harus dilihat sebagai satu ancaman yang besar. Langkah-langkah menghidupkan semula tulisan Jawi melalui media massa seperti akhbar, majalah dan buku-buku perlu disemarakkan semula demi memartabatkan maruah tulisan Jawi di negara kita. Semua media baik cetak mahupun elektronik harus berperanan dalam menyebarluaskan tulisan Jawi di kalangan masyarakat. Sebagai galakan dan rangsangan kepada media massa ini, pihak kerajaan boleh menyediakan satu dana khas agar mereka berlumba-lumba meletakkan martabat tulisan Jawi di mercu yang sewajarnya. Dalam masa yang sama pembaca Jawi juga perlu diberi imbalan yang wajar melalui pelbagai program seperti Sayembara Esei Tulisan Jawi, Pertandingan Membaca Jawi dan sebagainya.
Badan-badan kerajaan seperti Institut Terjemahan Malaysia bersama Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus berganding bahu merealisasikan proses memartabatkan tulisan Jawi ini dengan memperbanyakkan lagi terjemahan buku-buku ke dalam tulisan Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang dahulu pernah bangkit dengan inisiatif yang besar memartabatkan tulisan Jawi, perlu bangun kembali dengan langkah yang lebih gagah dan tegap. Semarakkan usaha-usaha seperti dahulu dengan mengadakan pelbagai bengkel, seminar dan sistemnya telah pernah diterima sebagai yang baik, yang berasaskan roh Pendeta Zaaba. Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus memainkan peranan dari segi penerbitan. Banyakkan penerbitan novel, antologi cerpen dan antologi puisi dalam tulisan Jawi. Untuk menarik minat masyarakat dengan Jawi, sering adakan sayembara menulis dalam tulisan Jawi. Seminar dan pameran tentang tulisan Jawi juga boleh membantu memperkasakan tulisan Jawi, seperti suatu konvensyen yang pernah diadakan suatu ketika dahulu, iaitu Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1980-an yang telah memperkenalkan Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan. Selain itu Dewan Bahasa dan Pustaka juga perlu menerbitkan semula Daftar Kata Rumi-Jawi yang diberi nafas baru untuk rujukan masyarakat. Untuk menghidupkan sesebuah bahasa dan bentuk tulisannya, masyarakat yang terlibat harus menggunakannya secara aktif. Sekiranya bahasa dan tulisan tersebut tidak digunakan secara aktif baik melalui percakapan, persuratan, dijadikan bahasa ilmu dan kesusasteraan, dinikmati, disebarluaskan dan diwariskan kepada generasi seterusnya, lambat-laun bahawa dan tulisan itu akan lupus dan akhirnya lenyap ditelan zaman. Ini dapat dilihat pada bahasa dan tulisan Inka yang sudah pun pupus setelah tidak digunakan secara aktif oleh masyarakatnya. Nasib yang sama akan berlaku kepada tulisan Jawi dan kini bibit-bibit ke arah itu seolah-olah sudah terserlah di depan mata kita. Sudah ramai warga negara yang tidak kenal lagi tulisan Jawi, tidak tahu lagi membaca Jawi juga langsung tidak tahu menulis Jawi. Justeru, tulisan Jawi perlu dimartabatkan semula di negara kita. Seimbangkan dominasi penggunaan tulisan Rumi dalam semua bentuk persuratannya. Natijahnya, tulisan Jawi adalah khazanah milik bangsa dan negara yang bernilai tinggi. Harganya selembar maruah, andai lenyap bermakna maruah bangsa dan negara juga turut lenyap. Inilah jatidiri dan citra bangsa yang perlu diletakkan di mercu paling tinggi, dijadikan gapura ilmu, digilap laksana kencana agar berkilau di seluruh pelosok ceruk rantau bumi Malaysia, tumbuh subur di tengah-tengah masyarakat, dibelai dan dibajai setiap masa agar gemilang seperti suatu ketika dulu. Bangsa hebat bukan saja terletak pada ketinggian ilmunya tetapi juga bangsa yang menyanjung tinggi nilai budayanya.
DENGAN tema `Memperkasakan Tulisan Jawi di Era Globalisasi', Seminar Tulisan Jawi Dunia Melayu 2003 yang dijadual berlangsung di Melaka mulai 1 hingga 3 Oktober ini, sudah semestinya diharap menjadi medan perbincangan serius berhubung penulisan jawi dan seterusnya mencetuskan idea ke arah memartabatkan semula tulisan tersebut yang semakin lenyap pada abad ini. Seminar kali ini, dianggap istimewa kerana ia mengumpulkan para ilmuwan dan cendekiawan dari seluruh dunia Islam bagi berbincang dan berkongsi idea dalam mengenal pasti isu-isu penguasaan
jawi di samping mencipta keputusan yang bijak dalam merangka strategi untuk mempertingkatkan penggunaan jawi di kalangan masyarakat Melayu serantau. Masyarakat umum, khususnya para pencinta tulisan jawi, tentunya sedia maklum kedudukan tulisan itu masa kini, yang semakin terancam sedangkan sebagai warisan tamadun Melayu, tulisan jawi mempunyai kedudukan yang istimewa dalam konteks perkembangan kebudayaan Melayu di Nusantara. Tulisan jawi yang popular suatu ketika dahulu kini seolah-olah dilupakan apabila generasi baru tidak lagi menunjukkan minat untuk mempelajari tulisan jawi sedangkan ia menjadi warisan budaya bangsa yang mesti dipertahankan oleh umat Melayu Islam kerana tulisan jawi berasal daripada huruf-huruf al-Quran. Tulisan jawi bukan sahaja dapat memainkan peranan penting dalam semua bidang termasuk pendidikan, malah ia kini sudah mampu digunakan sebagai perantaraan ilmu termasuk ilmu sains kerana tulisan ini tetap aktif menerima perubahan dari segi ejaan dan penambahan huruf-huruf yang diperlukan. Justeru langkah kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Utusan Melayu (M) Berhad dan Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA) menganjurkan seminar itu harus diberi perhatian serius. Sesungguhnya seminar itu boleh dijadikan platform kepada para ilmuwan dan cendekiawan untuk mencari jalan dan berusaha ke arah memastikan penulisan jawi tidak terkubur sebaliknya diletak di kedudukan yang tinggi dalam era globalisasi yang serba mencabar ini. ``Sudah tiba masanya para cendekiawan bahasa Melayu memperjuangkan tulisan jawi sebagai salah satu agenda untuk memartabatkan dan mempertahankan tulisan jawi dalam era yang serba mencabar ini,'' kata Pengerusi Jawatankuasa Induk Seminar, Hasnoor Sidang Hussin. Hasnoor, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, dalam era globalisasi sekarang, penulisan jawi harus diperkembangkan dengan menjadikannya sebagai tulisan yang sentiasa diguna pakai dalam aspek kehidupan seharian. ``Setiap individu perlu berperanan untuk mempertingkat, mempertahan dan memperkasakan penguasaan jawi di era dunia tanpa sempadan ini. Kecanggihan teknologi kini seharusnya dimanfaatkan untuk memperkembangkan penggunaan tulisan jawi,'' katanya. Menyedari hakikat itulah, menurut beliau, pihak penganjur mengambil kata sepakat untuk menganjurkan seminar itu bagi menyedarkan umat Melayu Islam tentang peranan dan tanggungjawab mereka untuk mempertingkat, mempertahan dan memperkasakan penulisan itu. ``Seminar ini akan menjadi medan perbincangan dan perkongsian idea para ilmuwan dan cendekiawan untuk memartabatkan penulisan jawi kerana keunggulan tulisan jawi perlu terus dipertahankan agar `tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas','' kata Hasnoor. Seminar tersebut akan menyediakan forum bagi cendekiawan dan para ilmuwan serta pencinta tulisan jawi dan khat bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengaruh penulisan jawi berbahasa Melayu pada abad ini. Antara lain, seminar itu bertujuan untuk mewujudkan satu kesepakatan mengenai penggunaan tulisan jawi dan seni khat di dunia Islam selain memantapkan kaedah ejaan jawi yang baku supaya dapat diguna pakai secara berkesan. ``Objektif seminar ini juga untuk memartabatkan tulisan jawi dan seni khat sebagai identiti bangsa Melayu di samping menjadikan tulisan jawi sebagai alat komunikasi di dunia Melayu, melalui media cetak dan elektronik,'' katanya.
Tidak kurang pentingnya, kata Hasnoor, objektif seminar itu adalah untuk mempertahankan nilai estetika dan etika dalam tulisan jawi. Menurut beliau, bagi memastikan seminar itu benar-benar mencapai objektifnya dalam mempengaruhi Dunia Melayu menguasai dan mengguna pakai tulisan jawi, tokoh ilmuwan dan cendekiawan dari negara luar seperti Korea, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei dijemput membentangkan kertas kerja. ``Selain ahli-ahli akademik, pegawai Majlis Agama Islam, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar-pelajar IPTA dan IPTS, seminar ini turut akan dihadiri oleh peserta dari Afrika Selatan, Sri Lanka, Kemboja, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia,'' kata Hasnoor. Sebanyak 11 kertas kerja yang berkisar mengenai isu-isu berkaitan pengaruh penulisan jawi berbahasa Melayu pada abad ini akan dibentangkan pada seminar itu nanti yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Jika dilihat daripada tajuk-tajuk kertas kerja yang bakal dibentangkan pada seminar itu diyakini seminar itu akan dapat merumuskan resolusi-resolusi yang konkrit dan positif dalam usaha mempertahankan dan memartabatkan penulisan jawi pada abad ini. Justeru, seminar seumpama itu amat wajar diadakan pada masa kini sejajar dengan era globalisasi dan usaha mengantarabangsakan tulisan jawi bahasa Melayu menerusi medan akademik. Pada masa yang sama, inilah salah satu usaha untuk mengembangkan pencapaian tulisan jawi, khususnya bahasa Melayu di rantau ini demi memperkukuhkannya di semua peringkat dan sektor.
Artikel Penuh:聽 http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0929&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana &pg=re_03.htm#ixzz4qdxye61w 聽 漏 Utusan Melayu (M) Bhd 聽