1. Kebaikan Dua Orang Tiada kebaikan di dunia ini melainkan kepada dua orang; seorang yang mengerjakan beberapa dosa lantas diiringi dengan taubat, dan seorang yang segera mengerjakan kebaikan.
2. Tiga Perkara Merbahaya Tidak ada yang lebih membahayakan manusia melainkan 3 perkara ; 1) Memikul sesuatu yang ia tidak berupaya kerana percaya kepada kekuatannya 2) Tidak berusaha kerana bersandar kepada Qadha dan Qadar 3) Tidak berjaga-jaga dalam makanan kerana bersandar kepada kesihatan yang baik
3. Akal Tumbuh Seperti Tanaman Akal tumbuh seperti tumbuhnya tanam-tanaman dan bajanya adalah dengan ilmu dan pengalaman
4. Kesudahan Kebenaran & Kebatilan Sesungguhnya kebenaran itu berat (sukar) tetapi baik kesudahannya. Sesungguhnya kebatilan itu ringan dan buruk kesudahannya
5. Jangan Lupa Tanggungjawab Kepada Allah Janganlah engkau terlalu sibuk menghabiskan masa untuk urusan keluarga dan anakmu (sehingga lalai terhadap tanggungjawab kepada Allah dsb), kerana jika mereka itu adalah kekasih Allah, maka sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan kekasihNya, tetapi
jika mereka itu musuh Allah, maka apakah gunanya kesibukan dan segala usahamu terhadap musuh-musuh Allah ?
6. Tiada Kebaikan Pada Hati.... Sebagaimana tiada kebaikan pada bejana (bekas) yang tidak dapat menyimpan (melindungi) sesuatu di dalamnya, begitulah juga tidak ada kebaikan pada hati yang tidak dapat menyimpan (menyembunyikan) rahsia.
7. Menyembah @ disembah harta Orang yang pemurah itu disembah harta sementara orang yang kikir itu menyembah harta
8. Tiap-Tiap Perkataan.... Tiap-tiap perkataan yang tidak ada padanya peringatan kepada Allah itu adalah tidak berfaedah, tiap-tiap diam yang tidak diikuti dengan berfikir itu adalah kelalaian dan setiap pandangan yang tidak dapat memberi pengajaran itu adalah sia-sia
9. Sejahat Manusia Sejahat-jahat manusia ialah orang yang tidak pedulikan manusia melihat dia berbuat kejahatan
10. Malulah kepada.... Malulah dari mencela orang yang kalau dia hadir, nescaya engakau berlebih-lebihan memujinya dan malulah dari memuji orang yang kalau dia tidak hadir, nescaya engkau cepat-cepat mencelanya.
11. Jangan Bersekutu Dengan Iblis.... Janganlah engkau jadi daripada golongan yang melaknat Iblis di tempat ramai dan menjadi temannya di tempat sunyi.
12. Hati Adalah Ladang Sesungguhnya sesetengah perkataan itu ada yang lebih keras dari batu, lebih tajam dari tusukan jarum, lebih pahit daripada jadam dan lebih panas daripada bara. Sesungguhnya hati adalah ladang, maka tanamlah ia dengan perkataan yang baik, kerana jika tidak tumbuh semuanya (perkataan yang tidak baik), nescaya tumbuh sebahagiannya.
13. Bandingan Perkataan Yang Lembut & Kasar Perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati-hati yang lebih keras daripada batu-batu gunung dan perkataan yang kasar itu dapat mengkasarkan hati yang lebih halus daripada sutera.
14. Bandingan Keadilan Keadilan itu benteng yang tidak boleh dikarami (dipecahkan) oleh air, tidak dapat dihangusi oleh api dan tidak dapat dihancurkan oleh meriam.
15. Kelebihan Orang Berakal Orang berakal itu mempunyai dua kelebihan; akal yang ia dapat mengambil faedah (dengannya) dan perkataan yang ia dapat memberi faedah (dengannya)