Cabar Diri Untuk Berjaya Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah Cermin, Disember 2003 Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya. Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi. Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.
1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.
2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri likuliku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita. Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa. Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?
3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.
4. Soal Diri Dengan Soalan Positif Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya: Kenapalah aku gagal? Mengapa nasib aku sentiasa malang? Kenapalah orang semua tak suka aku? Apalah nak jadi dengan aku ni? Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan. Apa yang belum aku lakukan lagi? Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi? Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini? Siapa yang boleh bantu aku? Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.
5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula. Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran. Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya. Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
10 Petua Membina Sikap Positif Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Petua 1 : Jangkakan Kejayaan
Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.
Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam. Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas. Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani. Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun. Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda. Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat.
Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan. Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda. Petua 3 : Ubah Penampilan Diri Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin. Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu. Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri: 1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik. 2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'. 3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya. 4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi. 5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat. 6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-
lain. 7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu. 8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya. 9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka. 10. Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir. Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya. Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka. Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya. Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kasetkaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda. Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran. Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas
sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai. Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya. Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya. Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata: -
Mulai hari ini aku tidak malas lagi. Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi. Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi. Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.
Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik. Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut: -
Mulai hari ini aku seorang yang rajin. Mulai hari ini aku solat lima waktu. Aku akan tumpu pada guru dalam kelas. Aku ikut cakap ibu bapa.
Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan! Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah
sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif. Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam. Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda. Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja. Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video. Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini. Petua 8 : Saranan Diri Positif Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah. Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya: “Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!” “Setiap kata-kata pasti akan dikota!” “I’m the best!” “I can do it!” Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda. Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda.
Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar dgn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalansoalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya. Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti: -
Apa hikmah disebalik ujian Allah ini? Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik? Apa yang belum aku selesaikan lagi? Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku? Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?
Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda. Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata: -
Nak buat macam mana aku ni lemah. Engkau lain aku lain. Engkau bolehlah aku ni siapa. Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah.. Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah.. Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.
Soalan yang positif akan: - Mengubah persepsi dan cara fikir kita - Mengubah fokus kita - Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi. Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W. Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja. Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga
kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu. SEKIAN
Tanggapan Diri Positif Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah tanggapan dan cara fikir kita terhadap sesuatu itu. Perubahan tanggapan perlu dibuat bagi meletakkan diri kita pada situasi yang menguntungkan diri kita sendiri. Kejayaan adalah satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya banyak bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam pemikirannya. Sekiranya tanggapan itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif maka buruklah pula hasilnya. Bagaimana tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini sering memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya. Tanggapan terbentuk hasil daripada acuan ibu bapa sendiri. Pengalaman lampau, peristiwa penting, pergaulan, bahan-bahan bacaan, media serta idola juga membentuk tanggapan dalam diri kita. Apa yang kita percaya dan yakin sebagai benar akan membentuk pegangan hidup kita dan seterusnya menjadi sumber rujukan kita apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Kerap kali kita berkata, "orang itu tak boleh dipercayai", semata-mata kerana kita mengenali seseorang sebelumnya, yang mirip atau seiras dengan orang itu, yang pernah membohongi kita. Tanggapan sebegini hanya merugikan kita dan memerangkap diri sendiri. Tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri kita berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar yang ada.
Tanggapan ini pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita. Misalnya, kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya dan memberikan seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah ditertawakan kerana pidato yang tidak menjadi. Sebaliknya, kalau kita tidak pernah langsung berpidato, kita merujuk kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan menggambarkannya sebagai diri kita sendiri. Kenapa tidak pelajari pengalaman mereka yang berjaya? Dapatkan idola dalam setiap bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani macam Anwar Ibrahim, bijak dan berwawasan macam Dr. Mahathir Mohamad, baik pekerti dan takwa macam Nik Aziz. Dengan gabungan beberapa individu di atas pastinya kita bakal menjadi orang yang jauh lebih baik. Dan sebaik-baik idola itu ialah junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai itulah yang dituai. Kalau kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang baik, bergaul dengan mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran yang membina. Pastinya tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip kepada kecemerlangan. Jadi semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan semai lalang nanti yang tumbuh nanti juga lalang.
Prinsip Kejayaan Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Ia perlu bermula dalam fikiran sebelum ia menjadi kenyataan. Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui sebelum sesuatu kejayaan itu mampu direalisasikan. Bertanggung jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari ini. Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan maka andalah yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa lagi? Maknanya kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan segala kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda. Hanya dengan anda mengakui hakikat yang penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini dengan lebih berkeyakinan. Anda tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda lakukan setiap hari. Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda, bukan orang lain". Mari kita tinjau bagaimana Kolonel Sanders, orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken mencipta nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa cukup kecewa. Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah kecil yang diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Malangnya, hasrat beliau ditolak. Adakah beliau berputus asa?? Tidakkk... beliau terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata tidakkkk... orang ke1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang ke-1009 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS". Sembilan tahun kemudian, setelah bisnesnya maju,
Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan harga US$2,000,000. Itulah ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka yang mula mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya. Tanpa ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima habuan pencen bulanan semata-mata. Anda juga pasti mahukan kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti cerita Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali sahaja. Tidak sampai pun 10 kali. Inikah cara usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu datang dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan pulangannya. Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan dan ribuan kali... Sedikit perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua, untuk mendapat sepuluh kali ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya perlu berbeza sedikit daripada mereka sekeliling anda. Berbeza cara fikir, berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih baik sedikit daripada manusia biasa. Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang luarbiasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa. Cuba perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan kuda, kuda yang memenangi tempat pertama akan mendapat wang tunai RM100,000 ringgit. Kuda ditempat kedua pula mendapat RM20,000 ringgit. Kuda ditempat pertama mendapat ganjaran lima kali ganda lebih besar dari kuda yang kedua. Adakah ini juga bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju dari kuda yang kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda lebih bersungguh-sungguh dari kuda kedua? Atau kuda yang pertama ditunggangi oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari kuda yang kedua? Jawapannya pasti sahaja TIDAK. Kuda pertama mungkin mendahului kuda kedua sekadar satu langkah sahaja ke garisan penamat. Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk menentukan pemenang. Mungkin kuda pertama mendahului seinci sahaja dari kuda kedua. tetapi seinci ini memberikan pulangan 5 kali ganda lebih besar! Begitulah juga dalam hidup ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Persepsi membentuk diri. Yang ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang berlaku terhadap anda dan disekeliling anda. Kehidupan bukanlah nasib tetapi lebih kepada pilihan. Anda boleh memilih untuk senang atau susah. Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kehendak anda. Persepsi anda terhadap sesuatu natijah pastinya mempengaruhi emosi anda. Seterusnya ia akan mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan hasil iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat dalam carta alir dibawah.
Dalam rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting? Saya yakin anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda fikir bahawa rakan anda tidak boleh diharap. Tidak berpegang pada janji. Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi cuba ubah cara fikir anda sekarang. Cuba fikirkan, jangan-jangan ada kemalangan. Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian. Bagaimana emosi anda sekarang? Adakah anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak. Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang anda ambil bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk pula dipengaruhi oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung kepada cara fikir atau persepsi anda. Oleh itu, mulai saat ini mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda. Yang membuatkan anda kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira berburuk sangka dan banyak bersabar. Ingat setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi. Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada keadaan dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan ini kebiasaannya merugikan kehidupan anda. Ingatlah, kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan yang akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran yang cukup bermakna. Ubah cara fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan anda. Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru. Ingat, Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk menjadi manusia luar biasa. Seterusnya mencapai kejayaan berlipat kali ganda seperti kisah lumba kuda tadinya.
Kuasa Persistensi Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially independent". Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau ketiga. Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa
kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu. Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah. Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini. Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula menjelma. Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana persistensinya. Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus asa? Dalam
kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soallah diri anda sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya? Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri. Sekian.
Prinsip 3 'S' Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Dari Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.” (Riwayat Muslim) Hadis di atas membuktikan Allah mahukan umat Islam menjadi mukmin yang kuat iaitu kuat dari segi kesihatan fizikal, pemikiran, keimanan, ketakwaan, ekonomi, ilmu pengetahuan, jemaah dan segalanya. Untuk cemerlang kita mestilah bekerja kuat dan bertindak bijak. Iaitu ‘Work Hard and Work Smart’. Bekerja kuat memastikan kejayaan milik kita, cuma masa sahaja yang akan menentukan kejayaan tersebut. Bertindak bijak pula mempercepatkan lagi kejayaan itu disamping menjadikan kita orang yang berkesan. Apabila kita bertindak bijak, kos menuju kecemerlangan dapat dikurangkan, masa dapat dijimatkan, tenaga dan sumber dapat disalurkan secara efektif. Memahami Konsep 3S Untuk cemerlang kita mesti memahami konsep 3S iaitu Sasaran, Strategi dan Sikap. Dalam siri yang lalu, saya telah bincangkan betapa pentingnya kita mempunyai matlamat atau sasaran dalam menuju kecemerlangan. Sasaran adalah hasil yang mahu dicapai dalam satu tempoh masa, yang disertakan
dengan perancangan yang rapi, yang menghantui fikiran hingga timbul kesanggupan untuk melakukan apa sahaja. Sasaran yang diletakkan itu membolehkan kita mengukur prestasi kita dan mengukur kejayaan kita. Sasaran juga memudahkan kita mengatur perancangan yang perlu digerakkan. Hadis di atas menyarankan kita sebagai umat Islam berlumba-lumba dalam mencari apa sahaja yang membawa kemanfaatan. Oleh itu kenapa tidak kita letakkan sasaran yang besar-besar? Kenapa mesti berpuashati dengan sasaran-sasaran kecil. Letakkanlah sasaran yang besar seperti mahu jadi jutawan, pemimpin ulung, legenda, ternama, dan sebagainya. Dalam berusaha itu juga kita mesti sentiasa memohon pertolongan Allah. Sekiranya usaha yang kita lakukan itu bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan demi mencari keredhaan Allah maka pasti pertolongan Allah akan tiba. Yang penting jangan sesekali kita merasa putus asa dalam mengharap rahmat Allah. Allah maha mengetahui apa yang baik untuk kita seperti mafhum firmannya dalam surah al-Baqarah 2: 216 iaitu: “… dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui”. Oleh itu hendaklah kita berlapang dada untuk menerima apa sahaja yang didatangkan kepada kita kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. ‘S’ kedua yang mendorong kepada kecemerlangan diri ialah Strategi. Untuk cemerlang kita perlu ada strategi yang berkesan. Malah mana-mana organisasi cemerlang di dunia pasti mempunyai Perancangan Strategik (Strategic Planning) yang menjadi rangka kepada perjalanan organisasi tersebut. Secara mudah Perancangan Strategik bermakna menentukan apa yang mahu diperolehi dan bagaimana cara paling berkesan untuk merealisasikannya. Begitu juga dengan individu, apabila kita mengetahui apa sasaran hidup kita maka langkah seterusnya ialah menentukan pula bagaimana cara paling berkesan untuk mendapatkannya. Langkah-langkah membina Strategi Berkesan: 1. 2. 3. 4.
Tentukan sasaran anda. Tentukan tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sasaran ini. Buat analisa tentang kekuatan dan kelemahan diri. Kenalpasti ilmu, kemahiran, individu tertentu, sumber-sumber dan sebagainya yang diperlukan. 5. Susun pelan tindakan. 6. Sentiasa memantau, menyemak, menilai dan mengemaskini pelan tindakan anda. Perkara penting yang perlu diingat: 1. Sentiasa fleksibel dalam pendekatan yang digunakan. Ada ketikanya kita perlu mencuba beberapa pendekatan dalam mencari pendekatan paling berkesan. 2. Jangan tunggu segalanya sempurna baru mahu bermula. Tidak ada satu pun yang sempurna selagi ia ciptaan makhluk. Menantikan sesuatu perancangan yang betul-betul sempurna baru mahu bermula bermakna kita melambatkan diri kita untuk cemerlang.
3. Mulakan langkah pertama sekarang. Tetapi harus diingat, untuk memulakan kita bukan sahaja bersemangat ketika bermula tetapi kita juga mesti kekalkan momentum yang sama hingga ke penghujungnya. 4. Belajar dari setiap kesilapan dan kegagalan. Hadis di atas juga melarang kita menggunakan perkataan ‘andaikata’ iaitu menyesali apa yang telah dilakukan apabila hasilnya tidak seperti yang kita sasarkan. Dengan berkata begitu ia membuka pintu kepada godaan syaitan dan ia juga menggugat keimanan kita terhadap qada dan qadar Allah. Sebagai seorang Islam kita tidak sepatutnya risau dengan urusan Allah. Kita mesti faham bahawa membuat perancangan, mengatur pelan tindakan dan seterusnya berusaha bersungguhsungguh itu urusan kita sebagai hamba. Tetapi yang menentukan hasilnya itu kelak adalah urusan Allah. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja hasil yang datang. Sekiranya hasilnya itu tidak memuaskan maka kita perlu belajar dari kesilapan dan kegagalan ini. Setiap apa yang berlaku itu tersirat hikmahnya yang tersendiri. Hikmah dari kesilapan dan kegagalan ialah: 1. Kesilapan dan kegagalan membuka peluang mencari penyelesaian baru. Ada ketikanya penyelesaian baru ini jauh lebih baik dan lebih berkesan dari pendekatan yang sebelumnya. 2. Kesilapan dan kegagalan memberikan kita pengalaman. Ramai orang takut mencuba kerana takut gagal. Kalau begitu bagaimana kita boleh memperolehi pengalaman. Apabila kita banyak kali mencuba dan banyak kali gagal maka kita menjadi orang yang lebih berpengalaman dan mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana. 3. Kegagalan membina peribadi. Apabila kita gagal, kita boleh serahkan segalagalanya pada nasib, mengalah dan putus asa ATAU kita boleh memilih untuk berundur seketika, melakukan 'post-mortem' dan melangkah semula dengan lebih bergaya. Ingat! Berundur bukan bererti kalah, mengalah bukan bererti lemah. Oleh itu adakah kita mahu membina peribadi sebagai seorang yang gagal atau sebagai seorang juara? Pilihan ada ditangan kita sendiri. 4. Kesilapan dan kegagalan menyedarkan kita tentang kekurangan dan kelemahan. Dengan pengalaman ini kita boleh memperbaikinya dan menjadi semakin jauh lebih baik selepas itu. Ia juga mengelakkan diri kita dari bersikap ego, sombong dan takbur. ‘S’ terakhir yang sama pentingnya dalam menentukan kecemerlangan adalah sikap. Kajian menunjukkan 85% mereka yang berjaya dalam hidup ini adalah berdasarkan sikap dan hanya 15% sahaja berjaya berdasarkan kebijaksanaan. Kerana sikaplah maka Thomas Alva Edison yang dikatakan bodoh disekolahnya akhirnya berjaya cipta lampu. Kerana sikap juga Kolonel Sanders yang telah bersara pada usia 60 tahun berjaya memperkenalkan resepi ayam goreng KFC nya keseluruh dunia. Bagaimana pula kita sebagai orang Islam? Sasaran yang besar serta Strategi yang mantap tidak mungkin dapat dicapai kalau sikap kita bagaikan melepaskan batuk ditangga, sambil lewa dan main-main dalam melakukannya. Sebaliknya, gabungan 3S ini akan menjadikan umat Islam cemerlang
dalam apa jua yang mahu dilaksanakannya. Dalam ruangan yang akan datang saya akan mengupas lebih lanjut tentang sikap dan kesannya dalam menentukan kecemerlangan seseorang insan. InsyaAllah.
Islam Mahukan Umatnya Cemerlang Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Hari ini umat Islam dianggap lemah diseluruh pelusuk dunia. Orang Islam dituduh lebih sukakan keganasan berbanding keamanan dan keharmonian. Di Malaysia sendiri, kaum Bumiputera, yang majoritinya beragama Islam masih terlalu jauh pencapaian mereka terutamanya dari segi pendidikan, sosial dan pegangan ekonomi. Sekiranya orang Islam berpegang kepada apa yang disarankan oleh Islam itu sendiri maka tidak seorang pun daripada mereka yang gagal dalam hidupnya. Saya amat tertarik apabila membaca buku “Think and Grow Rich” tulisan Napoleon Hill yang telah dihasilkan pada tahun 1937. Dalam buku tersebut penulis secara spesifik telah mengambil contoh kegigihan atau 'persistence' yang ada dalam diri Rasulullah s.a.w sebagai antara penyebab kenapa Islam berkembang dan berjaya seperti hari ini. Buku ini telah dibaca dan menjadi rujukan utama hampir semua pakar motivasi ternama barat seperti Zig Ziglar, Jim Rohn, Bob Proctor, Anthony Robbins, dan lainnya. Malah penulis buku-buku motivasi di Malaysia seperti Billi Lim yang menghasilkan buku bertajuk Berani Gagal mengakui buku tersebut antara faktor yang mengubah persepsi, fikiran dan keyakinan diri beliau. Kalau mereka yang bukan Islam mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh maka sewajarnya kita bincangkan bagaimana kita boleh berjaya berdasarkan apa yang telah Islam anjurkan. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini telah ditujukan kepada 'Amir bin at-Tufail dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan untuk membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat penyakit taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas terik. Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Apakah keadaan yang ada dalam diri kita yang boleh diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa? Pastinya tidak... Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir kita. Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah nasib kita. Sikap yang
buruk seperti malas, mungkir janji, ambil mudah, tangguh kerja dan sebagainya apabila diamalkan secara berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya membentuk budaya sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen kerja yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif seperti sentiasa optimis, berfikiran terbuka, merebut peluang dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif. Sikap yang positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu pengetahuan. Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat dilihat lebih positif sikap dan cara fikirnya jika dibandingkan dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah ilmu kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan melihat dan belajar dari mereka yang telah berjaya sebelum kita. Umat Islam dahulunya adalah umat yang berjaya sehingga lahirnya tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial, Al-Khawarizmi, dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang falsafah, dan ramai lagi. Sikap, cara fikir, ketaqwaan dan komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan dipelajari kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang dalam cabaran hidup hari ini. Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. At-Tiin 95:4 Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka mustahillah untuk orang Islam merasa rendah diri dan gagal dalam hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya menjadi khalifah dibumi Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua masalah ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami hakikat diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. Adz-Dzaariyaat 51:56 Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Beribadah dengan benar-benar memahami tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang mencipta semua makhluk termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak dan berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada hanya ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah apa sahaja yang dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut syariat Islam dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan ummah maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan layak menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t. Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan sebagai ibadah ialah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Sebagai contoh, apabila kita mendirikan solat maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh, bertertib dan sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu, serahkanlah kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi kalau solat itu didirikan sambil lewa, main-main dan ala kadar sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak. Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang kehidupan sekiranya
kita mahu kehidupan diterima sebagai satu ibadah. Sebagai contoh, kalau kita seorang pekerja maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu, berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut peraturan yang ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang layak dinaikkan pangkat. Inilah yang dikatakan pekerja cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di akhirat. Begitu juga kalau kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dengan memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah seterusnya diberkati dan mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita bersungguh-sungguh dan melakukannya sebaik mungkin. Mafhum firman Allah dalam al-Quran: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” Al-Najm 53:39 Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat sekadar apa yang diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah yang patut dipersalahkan apabila kita lihat masyarakat Melayu yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri kita sendiri sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang. Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan syukur. Kita menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita kesal atas dosa-dosa kita sama ada kecil atau pun besar. Tetapi kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi. Sebab menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan yang kita tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Penyesalan berlaku kerana kita sendiri tahu yang kita tidak menggunakan seluruh potensi yang ada dalam diri kita. Kita sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita hayati erti ibadah yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka penyesalan tidak akan berlaku kerana kita telah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang Islam kita mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan kemudian barulah bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah atas apa sahaja hasilnya nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah. Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad s.a.w dalam berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara baginda Abu Talib memberitahu akan tentangan hebat yang diterima dari pemimpin Quraish maka Nabi s.a.w tetap bertegas mengatakan seandainya matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda berjaya atau mati dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam dalam ertikata yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan cemerlang.
Atasi Sikap Bertangguh Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kita bertemu lagi dalam Siri Rahsia Kecemerlangan Diri kali ini. Tanpa disedari, sudah hampir setahun saya menjadi penulis di Majalah Cermin ini. Dalam artikel kali ini saya ingin membincangkan tentang satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi penyebab kepada kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh. Bertangguh maknanya kita dengan sengaja melambatkan atau tidak menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya kalau sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada sesuatu yang lebih penting lagi yang mesti disiapkan, maka itu bukanlah bertangguh. Malangnya, ramai diantara kita atas alasan yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan. Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di pejabat, apa agaknya kerja semalam yang anda tahu penting tetapi tidak dibuat. Mungkin ada borang yang perlu dilengkapkan dan dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum dibuat; atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan; atau khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun berkali-kali anda ingatkan diri anda ia adalah penting. Bagaimana pula dengan urusan dirumah? Anda mungkin dah lama mahu mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau menyapu lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik air. Bagaimana pula dengan urusan peribadi anda? Anda tahu sudah tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa di kampung; atau emel sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab. Anda tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu turunkan berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman harian. Sudahkah ia dilakukan? Rambut yang semakin panjang sudahkah dipotong? Kalau direnungkan dengan ikhlas maka kita akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak termasuk dalam senarai penting kita? Iaitu senarai yang kita tahu mesti dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala maka tidak hairanlah kalau anda lupa. Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan kerja semakin menimbun. Akibat dari rasa tertekan ini ialah kemurungan serta emosi yang tidak menentu. Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti menjejaskan produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah, kewangan dan sebagainya. Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh? Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:
1. Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas.
2. Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada
orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan
sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.
3. Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukankeburukan yang mungkin akan terjadi.
4. Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.
5. Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh. Bagaimana Mengatasinya? Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan kecemerlangan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:
1. Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak. Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita tanpa diminta. 2. Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.
3. Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahalmahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.
4. Cari cara untuk ingatkan kita. Cth. Jam loceng, komputer, digital organizer dll. 5. Sediakan segala keperluan lebih awal. Cth. Nak ambil pemadam, hanya
kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang terbaik!
6. Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja penting kita.
7. Tukar carafikir atau ‘mindset’ kita.
8. Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!
9. Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia. Contoh: TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna. Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek. Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan barangan yang lebih baik
10. Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu. 11. Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang
tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.
12. Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat sambung berzikir dan berwirid.
13. Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidak perlu untuk menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas semata-mata. 14. Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau pekerjaan.
Maklumat lanjut http://xpres2u.blogspot.com