MEMBINA GENERASI MASJID Disusun oleh: Bahagian Penerbitan JAKIM
PENDAHULUAN PERSEPSI sesetengah remaja Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat sematamata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu. Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para remaja serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam terutamanya para remaja untuk mengunjungi masjid-masjid. Para remaja perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat. Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling cocok untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah atTaubah ayat ke-18 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.” Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam yang baik. Para remaja wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Islam dan umatnya. FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W. Setelah Rasulullah (s.a.w.) berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah (s.a.w.) berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid. Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah (s.a.w.) memberi keutamaan kepadanya. Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka. Kita lihat setelah baginda Rasulullah (s.a.w.) tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan
keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) melalui peranan dan fungsi masjid ini. KEADAAN MASJID PADA HARI INI Secara umum, apabila kita menyebut perkataan masjid, maka terbayanglah di fikiran kita bahawa ianya adalah tempat umat Islam bersembahyang berjemaah dan berjumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama terutama ketika sempena perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Ma’al hijrah dan sebagainya. Terbayang juga di fikiran kita bahawa kebanyakan masjid seluruh negara ini merupakan bangunan indah tersergam, alat-alat dan kelengkapan pada umumnya mencukupi dan sempurna, ia dihampar permaidani yang indah, dihiasi ukiran ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah (s.a.w.) di dalamnya, namun bangunan yang tersergam indah ini serta kemudahan yang wujud itu seolah-olah tidak sempurna, kosong, tidak bersemangat dan kurang berfungsi. Ternyatalah masjid di negara ini indah tetapi kurang dimanfaatkan. Ia tidak diimarahkan dengan sewajarnya. Ia lebih merupakan lambang kemegahan yang membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan bukan dari segi pengisian dan penghayatan sedangkan kedua-dua aspek ini menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya dijalankan. Demikianlah perbandingan fungsi dan peranan masjid yang wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w) dengan masjid yang wujud pada masa ini. Perbezaan yang terdapat antara kedua-duanya memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk mengimarahkan semula masjid-masjid berdasarkan tuntutan Islam serta bertepatan pula dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar. KELEBIHAN MASJID Islam sangat menggalakkan pembinaan masjid dan mengimarahkannya, Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah S.W.T., Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”. Allah telah menjadikan masjid tempat yang mulia di sisi-Nya, ianya juga terkenal dengan nama “Baitul Allah”. Dalam hal ini baginda Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasarnya manakala tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya”. Di dalam hadith yang lain, dalam memperlihatkan kelebihan masjid Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan”. Selain daripada itu, Rasulullah (s.a.w.) juga menegaskan tentang kelebihan masjid kepada umat Islam terutama sekali kepada golongan pemuda, iaitu antara manusia yang mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat ialah pemuda yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid. Antara kelebihan masjid, Rasulullah (s.a.w) memberi jaminan kepada orang yang sentiasa sembahyang berjemaah di dalamnya. Sabda baginda yang bermaksud: “Seorang Muslim yang sentiasa pergi ke masjid untuk sembahyang dan mengingati Allah, Allah amat bergembira dengan kedatangannya sebagaimana ahli keluarga amat gembira dengan kedatangan keluarga yang lain”. Sabda baginda lagi, "Sesiapa yang pergi ke masjid, Allah akan menyediakan untuknya hidangan di dalam Syurga, setiap kali ia pergi dan balik". Hadith di atas menerangkan bahawa orang yang mendapat kebaikan daripada masjid ialah mereka yang melakukan amalan soleh dan taqwa. Orang-orang yang sedemikian itulah juga yang layak dan berhak untuk mendapatkan ganjaran baik daripada Allah terhadap amalan-amalan soleh yang mereka lakukan, kerana Allah telah menyediakan kelebihan pada masjid-masjid.
PERANAN REMAJA KE ARAH PEMBINAAN GENERASI ISLAM Peranan remaja merupakan tonggak utama kemajuan dan kekuatan sesebuah negara. Kita dapati dalam sesebuah masyarakat yang maju dan suasana persekitaran yang baik adalah lantaran wujudnya remaja yang berpotensi, optimistik dan baik akhlaknya. Apabila masyarakat itu baik, maka secara tidak langsung negara turut maju dan aman. Namun yang menjadi masalah kita hari ini ialah masih wujud para remaja yang tidak tahu apakah sebenarnya peranan diri mereka sama ada untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat ataupun negara. Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan di dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah (s.a.w) sendiri sewaktu menerima wahyu yang pertama berusia 40 tahun. Sementara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar masing-masing berumur 37 dan 27 tahun sewaktu menerima Islam. Islam sangat mengambil berat tentang remaja. Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisahkan tentang peranan dan perjuangan remaja. Antaranya ialah menceritakan tentang kisah beberapa orang remaja yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan aqidah mereka dari kekejaman seorang raja. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “(Ingat peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Al-Kahfi: 10) Allah juga menyebutkan tentang wasiat Luqman kepada anaknya supaya tidak menyekutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan sembahyang, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikan sembahyang, suruhlah berbuat kebaikan dan larang daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.
(Luqman:17) Dalam sebuah hadith Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan Arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan yang mendapat lindungan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa tertumpu kepada masjid”. (Riwayat As-Syeikhan) Hadith tersebut menekankan tentang sikap remaja yang sentiasa merujukkan segala permasalahan hidup yang dihadapinya. Permasalahan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga dengan masyarakat dan negara. Remaja yang menjadikan masjid sebagai sumber rujukan sudah pasti akan memperlihatkan watak yang lebih jelas dalam setiap tindak-tanduknya. Ia akan menjadikan dirinya model serta sebagai perantara masjid dengan masyarakat. Apabila ini terjadi maka remaja akan menjadi rujukan pula kepada masyarakat. Demikianlah fungsi remaja yang sebenarnya seperti yang dikehendaki oleh Islam. Di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah (s.a.w) berabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak”. (Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la) Pada zaman Rasulullah (s.a.w) didapati remaja Islam begitu gigih dan beriman. Golongan merekalah yang mencatatkan sejarah yang agung ke arah mengembangkan dakwah Islam. Remaja-remaja Islam pada zaman itu merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang luas. Keluasannya meliputi empayar Rom dan Parsi. Kekuatan yang ada pada remaja Islam pada masa itu ditunjangi oleh mereka seperti Abdullah bin Mas’ud, Abd.Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan ramai lagi. Memang tidak dinafikan ketabahan dan ketulenan jiwa mereka sentiasa direstui oleh Allah S.W.T. sama ada di bawah pimpinan Rasulullah (s.a.w) mahupun sahabat-sahabat baginda yang menjadi khalifah kemudiannya. Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana peranan dua remaja yang mengharumkan nama Islam iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam. Saidina Ali
sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa Rasulullah dikepung oleh pemuda-pemuda Qurish sedangkan ia tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Abu Bakar As-Sidiq untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya. Demikianlah pengiktirafan Islam terhadap peranan golongan remaja yang menunjukkan contoh perjuangan Islam yang dapat menyayangi golongan yang lebih tua kepada mereka. Peranan remaja menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Remaja yang baik akan mewujudkan negara yang maju dan seimbang dalam semua bidang rohani dan jasmani. Sebaliknya remaja yang tidak baik atau yang tidak mempunyai kesedaran adalah merugikan, malah melemahkan masyarakat dan negara. Pembentukan sesebuah negara yang baik dan maju haruslah bermula dari pembentukan individu yang baik terlebih dahulu, kemudian disusuli pula dengan pembentukan keluarga yang baik, kemudian dari keluarga yang baik ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Seterusnya melalui masyarakat yang baik akan tertegaklah sebuah negara yang baik dan maju. Ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, negara yang sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah. FENOMENA REMAJA PADA HARI INI Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat, masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak pula. Satu perkara yang tidak wajar dilupakan bahawa kesan kebangkitan Islam pada dekad 70an banyak memberi pengaruh kepada kecenderungan masyarakat, termasuk golongan remaja, untuk memenuhi masjid-masjid yang sebelumnya menjadi kunjungan sebahagian kecil orang-orang dewasa. Petanda positif ini pula sentiasa dipupuk oleh pihak-pihak yang komited dengan penghayatan Islam seperti pertubuhan-pertubuhan sosial, badan-badan bukan Kerajaan lebihlebih lagi agensi-agensi Kerajaan yang terlibat secara khusus berkenaan Islam. Keadaan ini semakin lancar dan teratur apabila Kerajaan memperkenalkan Dasar Penerapan nilai-nilai Islam pada tahun 1983.
Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’ supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja. Apa yang dibimbangi ialah naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungutrungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid. Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat kekosongan yang wujud itu. PERMASALAHAN REMAJA Mutaakhir ini seluruh masyarakat dikejutkan dengan rentetan peristiwa dan masalah yang melanda golongan remaja. Gejala mungkar di kalangan mereka ditunjukkan dengan lingkaran cerita yang sangat memalukan dan dengan pendedahan variable yang memeranjatkan. Dalam satu kajian (1994) tentang perilaku membuang masa di kalangan remaja oleh Kementerian Belia Dan Sukan dengan kerjasama enam buah universiti tempatan, didapati sebanyak 28 peratus atau 1,640 daripada 5860 remaja yang disoal selidik telah mengaku terbabit dalam kegiatan seks bebas, 40 peratus terbabit pernah menonton video lucah , 25 peratus mengaku meminum minuman keras, 14 peratus menagih dadah dan 71 peratus menghisap rokok. Kajian ini mendedahkan betapa amalan seks luar nikah yang sangat terkutuk itu dianggap sebagai perkara biasa. Lebih malang lagi ialah 83 peratus daripada remaja yang suka melepak adalah Melayu dan beragama Islam. (Berita Harian 1 Jun, 1994). Penglibatan golongan pemuda dalam kegiatan-kegiatan negatif seperti penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas, malas, berseronok berlebihlebihan dan lain-lain seperti yang telah disebutkan bukan sahaja boleh merendahkan martabat diri sendiri tetapi boleh memudaratkan kesihatan dan membawa maut. Islam sangat melarang keras setiap tindakan salah laku yang membawa kemusnahan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan…” (Al-Baqarah: 195) Kesan yang lebih buruk dari tindakan yang kurang sihat ialah meruntuhkan masyarakat serta negara yang kesemua ini merupakan kemungkaran yang akan mendapat kemurkaan serta pembalasan daripada Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Ar-Rum: 41) FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG MENDAMPINGI MASJID a. Faktor Ibubapa Remaja hari ini merupakan aset kepimpinan yang amat penting buat masa hadapan. Sikap dan pembawaan yang ditunjukkan oleh mereka adalah gambaran sikap dan pembawaan yang akan mencorakkan kepemimpinan generasi akan datang. Oleh sebab itu, untuk melahirkan corak kepimpinan yang sewajarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dan Rasulullah (s.a.w.), maka para remaja yang merupakan pelapis kepimpinan itu harus dibentuk semenjak kecil lagi. Malah bagi sesetengah ulama, mereka harus dididik sejak dari dalam kandungan lagi. Maka orang yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas serta peranan ini sudah tentulah para ibubapa di samping juga anggota masyarakat sebagai agen pembantu. Rasulullah (s.a.w.) telah menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam soal mendidik anak-anak semenjak kecil ini, perkara pertama yang perlu ditekankan oleh para ibubapa ialah aspek keimanan. Anak-anak perlu disebatikan dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T. Tuhan Sekalian Alam, Dia yang telah menciptakan alam ini, Tuhan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan kepada-Nya tempat kembali yang kekal. Apabila kepercayaan-kepercayaan begini telah sebati dalam jiwa anak-anak, akan mudahlah untuk menyalurkan unsur-unsur positif yang lain kepada mereka. Aspek kedua ialah ibadat. Anak-anak perlu diajar dan ditanam rasa tangungjawab tentang kewajipan melaksanakan ibadat kepada Allah S.W.T. Tuhan yang telah menjadikannya di dunia ini. Sabda Rasulullah s.a.w: “Ajarilah anak-anak kamu menunaikan sembahyang semasa ia berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) semasa berumur sepuluh tahun”. Konsep ibadat harus dijelaskan kepada anak-anak bahawa ia bukan tergantung kepada sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat khusus sahaja. Mereka perlu faham bahawa pekerjaan harian yang dilakukan juga merupakan ibadat jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah dan untuk kebajikan. Aspek ketiga pula yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan akhlak. Perlu diingatkan bahawa dalam membentuk akhlak anak-anak, contoh dan teladan yang baik mesti ditunjukkan oleh ibubapa sebagai pendidik. Ini kerana model pertama dan utama dalam hidup seseorang anak itu adalah ibubapanya dan anggota keluarga di dalam rumahnya. Suasana rumahtangga perlu dihias dengan kemurnian akhlak Islam yang suci murni itu kerana anak-anak yang lahir dan terbimbing dalam lingkungan orientasi Islam sebegini akan terus membesar menjadi generasi muda yang beriman dan menjadi tonggak kekuatan ummah pada masa akan datang. Perlu juga diingat bahawa dalam membina generasi muda yang berakhlak dalam konteks hari ini, para ibubapa dan pendidik terpaksa berlawan dengan berbagai-bagai halangan dan pengaruh luar yang negatif. Oleh itu, bimbingan dan pengawasan daripada ibubapa hendaklah sentiasa diberi perhatian agar anak-anak tidak terleka dan hanyut dengan pengaruh-pengaruh buruk yang terdapat dalam masyarakat hari ini. Mereka perlu mendapat kefahaman bahawa tidak semua nilai yang terdapat di dalam masyarakat boleh diterima. Anak-anak mesti diajar bagaimana membezakan nilai baik dan nilai buruk, bersedia menerima kebaikan dan berupaya menolak keburukan. b. Faktor Remaja
Golongan remaja yang telah terjebak dalam kancah gejala mungkar ini sudah tentu semakin menjauhi masjid yang merupakan simbol keharmonian penghayatan Islam bagi seseorang Muslim. Peralihan secara drastik tentu menghadapi kesukaran dan memerlukan masa yang agak selesa. Masyarakat juga perlu prihatin dan mempunyai fikrah terbuka dalam menjinakkan golongan pemuda yang tersasul seperti ini ketika mereka mula mendekati masjid. Sebarang prasangka hendaklah dielakkan kerana masjid sewajarnya terbuka kepada siapa sahaja yang ingin bernaung di bawah bumbungnya. Realiti dan suasana yang ada di sekeliling masyarakat, sukar untuk menarik remaja datang berjemaah ke masjid. Suasana masyarakat yang mementingkan diri masing-masing dan tidak ada perasaan ukhwah Islamiah, menyebabkan golongan remaja menjauhkan diri dari masyarakat, apatah lagi untuk datang ke masjid. Memandangkan rancangan di TV, kebetulan di antara waktu Magrib hingga waktu Isya’, menyebabkan anak-anak lebih suka memerap di hadapan TV tanpa berminat untuk melakukan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah. Untuk mengatasi masalah tersebut ibubapa sewajarnya mengawal dan menyediakan jadual yang khusus untuk anak-anak mereka. Begitu juga ibubapa seharusnya melatih membawa anak-anak bersama ke masjid dalam waktu-waktu tersebut. Dengan ini secara tidak langsung dapat menghalang anak-anak daripada duduk menghabiskan masa di depan TV. Bagi pihak lain pula, pelbagai kegiatan sukan di padang hingga waktu Maghrib menyebabkan tidak ada peluang untuk mereka ke masjid bagi samasama menunaikan sembahyang berjemaah. Sepatutnya sebarang kegiatan sukan perlu dihadkan waktunya, supaya tidak menjejaskan aktiviti-aktiviti lain. Tabiat suka mengajak anak isteri dan kawan-kawan sebaya mengunjungi supermarket di waktu menjelang senja hendaklah dielakkan kerana perbuatan seperti ini akan menyebabkan peluang untuk ke masjid terlepas begitu sahaja. Antara faktor lain yang menghalang remaja ke masjid ialah tiadanya kawalan terhadap mereka untuk mengunjungi pasar-pasar malam menjelang Maghrib. Ketika bilal sedang melaungkan azan mengajak orang ramai menunaikan sembahyang, waktu itulah para penjual pasar malam sibuk melayan dan melaungkan suaranya menarik minat pengunjung dan pelanggan. Malahan pelanggan pula riuh rendah tawar menawar dengan penjual, tanpa menghiraukan alunan azan yang berkumandang di udara, menandakan masuk waktu Mahgrib. Bagi ibubapa yang prihatin mereka sepatutnya memikirkan waktu yang sesuai untuk membenarkan anak-anak mengunjungi pasar-pasar
malam. Begitu juga golongan peniaga hendaklah mempunyai kesedaran untuk menghormati waktu sembahyang umpamanya dengan menutup gerai semasa azan Maghrib atau Isya’ atau sekurang-kurangnya mereka tidak melayan pembeli pada masa-masa tersebut. Salah anggapan terhadap fungsi masjid hanya untuk ibadat khusus sahaja seperti sembahyang, berwirid dan sebagainya adalah antara punca remaja tidak datang ke masjid. Di samping itu, pihak masjid sendiri juga tidak mempelbagaikan kegiatan yang sepatutnya diadakan untuk menarik minat golongan remaja datang ke masjid. Tidak ada ruangan yang sesuai bagi tempat menjalankan pelbagai aktiviti seperti perpustakaan, kelab komputer, permainan sukan (sepak takraw, badminton dan sebagainya) dan lain-lain lagi. Sikap ahli Jawatankuasa Masjid sendiri yang memandang serong dan kurang bergaul rapat dengan golongan remaja, menyebabkan mereka semakin jauh dengan masjid. Ahli Jawatankuasa Masjid asyik bersama dengan golongan seangkatan dengan mereka sahaja, seolah-olah masjid itu untuk golongan mereka sahaja. Program-program yang boleh membantu masyarakat setempat mengejar pembangunan dan kemajuan yang berlaku di sekeliling mereka didapati kurang diberi perhatian oleh pihak masjid. Kalau adapun hanya terbatas kepada bidang pengurusan mayat (tanpa yang berkait dengan pengurusan sebelum seseorang menjadi mayat). Seharusnya diadakan program seperti kursus-kursus di bidang pertanian, perniagaan dan kemahiran, juga kelas-kelas tuisyen untuk membantu anak-anak dalam bidang pelajaran. Jika kursus-kursus dan kelas-kelas tuisyen seperti itu turut diadakan oleh pihak pengurusan masjid, maka penerimaan masyarakat terhadap masjid lebih terbuka dan lebih jelas lagi. Terdapat juga di kalangan pihak pengurusan masjid dan ahli keluarga mereka yang mempunyai akhlak yang tidak membayangkan pihak yang menjaga masjid dan tidak disenangi oleh masyarakat. Selalunya akhlak isteri, anak-anak dan cucu mereka menjadi perbandingan di kalangan orang ramai. Masyarakat tentulah sukar menerima panduan dan nasihat yang baik daripada imam-imam atau pengerusi masjid sekiranya masyarakat mengetahui keluarga kepada imam-imam atau pengerusi masjid ini juga tidak mematuhi nasihat dan tegurannya sendiri. Ada juga ibubapa sendiri yang kurang menggalakkan dan mengajak anak-anak ke masjid, malah ada yang tidak berminat ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah. Pemimpin masyarakat dan orang yang berpengaruh boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini. Mereka perlu memberi contoh yang baik dengan melibatkan diri dalam aktiviti masjid, supaya menjadi ikutan dan teladan kepada orang ramai.
KAEDAH DAN PROGRAM UNTUK MENARIK REMAJA KE MASJID Sesungguhnya usaha-usaha untuk menambat hati para remaja bagi menjinakkan mereka ke arah budaya masjid, memerlukan kerahan serta pengembelingan tenaga daripada semua pihak. Sikap mereka-reka pelbagai tohmahan ke atas remaja wajar dikikis daripada kita. Kita wajar mengambil sikap mendekatkan diri dengan tutur kata yang lemah lembut dan berhikmah. Sebagai golongan tua atau penjaga kepada mereka, kita wajar mempamerkan sifat-sifat yang terpuji di hadapan anak-anak sebagai tunas-tunas awal yang akan berkembang seterusnya turut mempengaruhi mereka. Peranan ibubapa, masyarakat, pihak berkuasa khususnya ahli-ahli Jawatankuasa Masjid amat besar dalam menentukan hala tuju dan menjinakkan jiwa remaja ke arah masjid. Bermacam kaedah dan program boleh dirancang untuk mencapai hasrat murni tersebut. Ekspedisi Dengan menaiki kereta, bas atau keretapi, pihak ahli Jawatankuasa Masjid mengaturkan program untuk para remaja umpamanya dari Masjid Seremban ke Masjid Kangar. Sekiranya berkereta atau menaiki bas boleh diatur maka pelbagai acara dapat diadakan apabila singgah di satu-satu masjid yang telah ditentukan seperti sembahyang berjemaah, mencantik kawasan masjid dan majlis-majlis ilmu. Pertandingan Pidato Jiwa orang-orang muda terarah kepada perlumbaan atau bersaing antara rakanrakan, oleh itu pelbagai acara berbentuk pertandingan boleh dianjurkan oleh pihak masjid seperti berpidato, berbahas, melukis, mengarang dan lain-lain lagi. Kita amat yakin, khususnya bagi masjid kariah, program-program yang berbentuk pertandingan lebih berkesan dari segi hubungan kekeluargaan serta kekampungan. Ini kerana saiz penduduk yang kecil di mana setiap orang boleh mengenali antara satu dengan yang lain dengan lebih rapat. Tadika Kanak-kanak yang masih kecil amat mudah dihala tuju dan lentur mengikut kehendak ibubapa. Di dalam hal ini, mengadakan kelas-kelas Taski, Taska atau apa sahaja nama program untuk anak-anak kita yang diadakan di kawasan masjid sungguh bermanfaat dalam usaha menjinakkan para remaja ke masjid.
Asrama Orang-orang musafir atau orang yang pertama kali sampai ke suatu tempat sering menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang murah, selesa dan mempunyai segala kemudahan. Di dalam hubungan ini, membina hostel atau asrama-asrama di kawasan masjid boleh mengisi kehendak-kehendak para musafir khususnya para remaja. Sekaligus boleh mengawal untuk mengurangkan krisis-krisis moral yang tidak kunjung padam. Usaha ini lebih jelas lagi jika para pekerja kilang atau sesiapa sahaja yang masih bujang tinggal di hostel atau asrama yang dimaksudkan di atas. Bank, Klinik Dan Perpustakaan Awam Tumpuan pemerhatian para remaja khasnya dan masyarakat amnya apabila melangkah keluar daripada rumah ialah menuju ke tempat-tempat yang biasa di hati mereka umpamanya bank, klinik dan perpustakaan awam. Mewujudkan pusat-pusat tumpuan sedemikian di kawasan masjid, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, adalah langkah-langkah yang akan menjinakkan hati mereka ke masjid. Pusat Riadah Mengadakan gimnasium, gelanggang sepaktakraw, badminton, tenis, pingpong, menunggang kuda dan apa sahaja untuk menarik kehadiran para remaja ke masjid. Bagi menjayakan hasrat ini maka masjid mesti didirikan di dalam persekitaran yang luas. Hari Masjid Tidak keterlaluan jika kita mengadakan suatu hari dalam setahun yang dinamakan Hari Masjid. Semua masyarakat yang berhampiran datang ke masjid dengan menyertai pelbagai acara yang meliputi untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mulai pagi hingga ke malam. PENUTUP Sesungguhnya banyak lagi kaedah dan program boleh dilaksanakan oleh ahli Jawatankuasa Masjid untuk menyuburkan jiwa remaja ke arah budaya masjid. Di dalam pada itu, para imam, bilal, siak serta seluruh ahli Jawatankuasa Masjid wajar mempertingkatkan ilmu, bukan ilmu agama sahaja malah ilmu
pengurusan, kewangan dan pentadbiran. Mereka juga perlu mencari masa untuk berdampingan bergaul dengan para remaja dari masa ke semasa. Pihak berkuasa hendaklah sediakan peluang-peluang latihan untuk mempertingkatkan kemahiran dan ilmu para Ahli Jawatankuasa Masjid. Tidak ketinggalan ahli masyarakat terus memberi kerjasama dan menghargai usahausaha murni yang dilakukan oleh pihak masjid. Para ibubapa pula janganlah putus asa mendorong anak-anak menyokong kaedah-kaedah atau programprogram yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh pihak masjid. Kesemua hal yang telah diterangkan adalah untuk membina usaha ke arah membentuk para remaja tertarik jiwa raga memakmurkan masjid. Juga memasjidkan kehidupan remaja keseluruhannya agar terbina sebuah masyarakat dan negara yang kukuh dan padu. Apa yang penting, semua program-program yang dirancang mesti melibatkan para remaja secara langsung.