Langkah Mewujudkan Perpaduan.docx

  • Uploaded by: idawati ibrahim
  • 0
  • 0
  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Langkah Mewujudkan Perpaduan.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 1,273
  • Pages: 5
Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian di sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dengan lebih mudah dan tidak mudah ditakluki kuasa asing. Inilah kemerdekaan yang perlu dijaga oleh setiap rakyat Malaysia. Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam pelbagai aspek. Merujuk kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, penekanan telah diberikan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan negara merupakan satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik. Dalam persekitaran sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menyuburkan semangavt perpaduan kaum dan membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Semangat perpaduan juga perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar. Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C) dan SRJK (T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi. Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab dan persatuan serta ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti di luar system akademik pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah pelajar. Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam mempertingkatkan lagi nilai-nilai perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang cinta kepada negara dan saling berkerjasama antara satu sama lain ibarat "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".

Perpaduan merupakan suatu elemen yang sangat penting untuk mengekalkan keharmonian rakyat dan keamanan negara. Dalam konteks negara kita yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, semangat bersatu-padu, hormat-menghormati dan bertolak ansur sangat penting dan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Selaras dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha-usaha memupuk perpaduan perlu dijadikan keutamaan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan di peringkat sekolah supaya murid-murid dapat dipupuk

dan disemai dengan nilai-nilai perpaduan antara kaum sejak di peringkat awal lagi. Sebenarnya, aktiviti di dalam kelas seperti perbincangan dalam kumpulan turut memainkan peranan menyemai nilai-nilai perpaduan dalam sanubari murid-murid yang masih mentah. Guru-guru mesti memastikan setiap kumpulan dianggotai oleh murid-murid berbilang kaum. Melalui aktiviti kumpulan ini, murid-murid akan belajar nilai bekerjasama, tolong-menolong, bertolak-ansur dan hormat-menghormati dalam usaha menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru. Contohnya, dalam menyiapkan tugasan Bahasa Melayu, mereka akan bekerjasama mengumpul isi-isi, saling bertukar idea dan pendapat, bersatu-hati memastikan tugasan dapat disiapkan sebaik mungkin mengikut tarikh yang ditetapkan dan seterusnya mendapat pujian dan penghargaan daripada guru. Jelaslah, melalui aktiviti berkumpulan ini murid-murid dapat mengamalkan semangat bersatu-padu tanpa mengira kaum. Aktiviti seumpama ini mesti terus dipraktikkan di sekolah sebagai usaha untuk mencapai aspirasi perpaduan kaum, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Pelajar Cina manis dan sopan berbaju kurung Sebenarnya pihak sekolah telah pun merancang aktiviti-aktiviti dalam program RIMUP yang dilaksanakan oleh pihak kementerian pelajaran di sekolah-sekolah. Program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan ini bertujuan untuk mengeratkan perpaduan antara muridmurid pelbagai kaum melalui aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Program Sambutan Hari Raya di peringkat sekolah umpamanya merupakan satu program RIMup yang hebat dalam usaha memupuk perpaduan. Melalui aktiviti ini, murid-murid Cina dan India berpeluang mempelajari dan mengalami sendiri budaya masyarakat Melayu ketika menyambut perayaan hari raya. Contohnya, murid-murid lelaki Cina dan India begitu tampan mengenakan baju Melayu lengkap bersamping, manakala yang perempuannya pula manis mengenakan baju kurung dan berkebaya. Murid-murid juga bekerjasama menyiapkan kerja-kerja untuk memastikan sambutan berjalan lancar. Justeru, program RIMup memang dapat memenuhi aspirasi memupuk perpaduan melalui penglibatan murid pelbagai kaum dalam acara-acara yang diatur oleh pihak sekolah.

Dua murid lelaki tampan bergaya berbaju Melayu lengkap bersamping Selain itu, aktiviti kokurikulum di sekolah juga dapat memupuk semangat perpaduan. Pihak sekolah mesti memastikan penglibatan murid berbilang kaum dalam aktiviti kelab, persatuan dan badan-badan beruniform. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum ini mampu memupuk sikap saling bekerjasama, bertolak ansur, hormat-menghormati serta bersatu–padu. Contohnya, dalam aktiviti perkhemahan Pengakap, ahli-ahli akan bekerjasama mendirikan khemah, memasak makanan, melakukan aktiviti berkumpulan membina gajet dan sebagainya. Hal ini akan memupuk semangat muhibbah dalam kalangan murid berbangsa Cina, Melayu dan India. Oleh itu, kegiatan kokurikulum sebenarnya satu alat yang sangat berkesan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Seterusnya, aktiviti bergotong-royong yang sering dijalankan di sekolah turut membantu menyemai semangat perpaduan dalam kalangan murid berbilang kaum di sekolah. Sebagai contoh, dalam kegiatan bergotong-royong menceriakan dan membersihkan kelas atau kawasan sekolah, murid-murid akan belajar nilai bekerjasama dalam menyiapkan sesuatu tugas bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Murid-murid akan bekerjasama mengelap cermin tingkap, menanam pokok bunga, membuang sampah, mengecat dinding dan sebagainya. Oleh itu, secara tidak langsung, aktivii ini akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid berbilang kaum.

Tidak kurang pentingnya, guru-guru di sekolah sewajarnya sentiasa mengingatkan dan menanam kepentingan perpaduan dalam sanubari murid-murid di sekolah. Umpama air yang menitis ke batu, lama kelamaan batu yang keras akan lekuk juga, begitu jugalah perumpamaan diri murid-murid. Jika setiap hari lima minit sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran guru-guru memberi maklumat tentang kepentingan perpaduan serta sentiasa menitikberatkan penglibatan murid berbilang kaum dalam aktiviti kumpulan perbincangan di dalam kelas, sudah tentu semangat perpaduan ini akan berkesan di hati mereka. Tidak lupa, guru-guru sebagai contoh teladan yang akan diperhatikan dan dicontohi oleh murid-murid mesti mengamalkan semangat perpaduan dalam kalangan guru-guru dan kakitangan sokongan di sekolah.

Tambahan pula, perpaduan juga boleh dipupuk melalui aktiviti sukan. Sementelahan pula, sukan merupakan aktiviti yang sangat penting di sekolah-sekolah. Rumah-rumah sukan dibentuk dengan ahlinya terdiri daripada murid-murid berbilang kaum. Mereka berlatih bersama-sama, berusaha bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan untuk mencapai satu impian iaitu memastikan rumah sukan mereka menang dalam acara Sukan Tahunan di sekolah ataupun sekolah mereka menjadi juara di peringkat daerah, mahupun di peringkat kebangsaan.

Contohnya, di sekolah ada rumah sukan Laksamana, Bendahara, Bentara dan sebagainya. Semangat kesukanan tanpa mengira batas kaum ini sudah pasti memupuk sikap sayangmenyayangi dan hormat-menghormati antara murid-murid yang berbilang kaum. Justeru, aktiviti sukan di sekolah dapat memupuk semangat perpaduan antara murid berbilang kaum . Kesimpulannya, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di sekolah dalam usaha memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid-murid. Umpama menyemai benih yang diharapkan hidup subur dan menghasilkan buah yang manis, bibit-bibit perpaduan mesti disemai, dibaja dan disiram dengan penuh kesabaran suapaya menghasilkan murid yang bersatu-padu dan saling menghormati. Perpaduan merupakan tonggak kekuatan dan keamanan negara. Justeru, murid-murid yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan mesti memiliki semangat bersatu-padu untuk memajukan negara dan mengekalkan kemedekaan dan keharmonian negara. Oleh itu, komitmen semua pihak turut diharapkan agar aspirasi murni negara iaitu mengekalkan perpaduan kaum dapat direalisasikan supaya negara kita kental daripada diancam oleh anasir-anasir yang cuba untuk memecahbelahkan rakyat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Related Documents

Langkah-langkah
May 2020 45
Langkah
May 2020 38
Langkah
June 2020 37
Langkah
December 2019 67
Langkah
May 2020 27

More Documents from ""