Konsep Negara Islam

  • Uploaded by: zuhadisaarani
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Konsep Negara Islam as PDF for free.

More details

  • Words: 4,959
  • Pages: 14
KONSEP NEGARA ISLAM Oleh: Dr. Abd. Halim El Muhammady Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia PENDAHULUAN Pembentukan negara Islam adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ia termasuk dalam perkara tuntutan Fardu Kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syari'ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib. Dalam kertas kerja ini perbincangan akan ditumpukan kepada perkara berikut; pengenalan negara Islam, sumber autoriti pembentukannya, syarat-syarat Ketua Negara Islam, pemilihan Ketua Negara, kerakyatan negara dan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan Islam. PENGENALAN NEGARA ISLAM Istilah Negara Islam "al-Dawlah Islamiyyah" atau "al-Hukumah alIslamiyyah" tidak didapati penggunaannya dalam Quran. Istilah ini merupakan satu istilah baru yang mula diperkenalkan oleh Muhammad Rashid Rida dalam bukunya, "Caliphate and the Great Immate" (1). Sungguhpun begitu dalam Qur'an terdapat istilah-istilah lain yang boleh menjadi asas kepada persoalan ini seperti istilah khalifah, khulafa' atau khala'if (2) dan juga istilah imam (3), yang secara umumnya memberi pengertian sebagai pengganti Allah atau khalifah Allah di bumi atau kepimpinan kerohanian yang terbatas maksudnya untuk perkataan imam (4). Selain daripada istilah-istilah di atas terdapat istilah-istilah lain lagi seperti ulu al-amr, yang bermaksud merujuk kepada pemerintah atau penguasa (6), perkataan hukum (7) atau hukkam yang bermaksud merujuk kepada penghukum adil. Antara istilah yang dipakai dalam Qur'an yang ada kaitan dengan masalah ini ialah istilah umat (8) yang bermaksud kumpulan manusia yang bersatu berdasarkan agama dan undangundang (9), istilah kaum (10) yang bermaksud merujuk kepada kumpulan manusia yang tunduk kepada pemimpin. Demkian juga istilah syura (11) yang bermaksud merujuk kepada perbincangan dan permesyuaratan untuk menyelesaikan masalah (12) dan jamaah (13) yang merujuk maksudnya kepada satu kumpulan yang tunduk kepada pemimpin. Kedua-dua istilah disebut dalam Hadith Rasulullah s.a.w. Istilah-istilah yang digunakan dalam dua sumber ini terkandung di dalamnya maksud kuasa, undang-undang atau perlaksanaannya. Dengan kata-kata lain istilah-istilah ini dapat dirumuskan kepada empat perkara besar iaitu autoriti mutlak ialah Allah, manusia sebagai khalifahNya,autoriti diberikan kepada Rasulullah dan khalifah Rasulullah atau umat, hukum syari'at atau perlaksanaannya. Para ulama dalam membincangkan teori politik Islam selalunya diletakkan di bawah tajuk al- siyasah wa al- immah, al-ahkam alsultaniyyah, al-siyasah al-shar'iyyah. Nizam al-hukm fi al- Islam atau nizam al-siyasah fi al- Islam.

Dalam tulisan ualma tradisional tidak didapati takrif negara Islam diberikan. Apa yang mereka berikan ialah cirri-cirinya seperti perbincangan mereka tentang ketua negara, syarat-syaratnya, cara pemilihannya, tugasnya dan perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan pentadbiran negara. Tetapi di masa kebelakangan ini terdapat cendekiawan Islam yang cuba memberi definisi tentang negara Islam. Maududi ada mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah S.W.T. yang menentukan syariatnya dan syariat itu dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia sebuah negara yang bercorak theo - democracy yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang diakui oleh syara'.(14) Ayatullah Khomeini pula mentakrifkan bahawa negara Islam tidak ada sebarang persamaan dengan mana-mana sistem kerajaan yang ada. Negara Islam bukanlah autokratik dan tidak menjadikan ketuanya berkuasa penuh sehingga membolehkannya membuat sesuka hati terhadap nyawa dan harta benda orang. Sesebuah negara Islam bebas daripada dispotisme. Ia adalah negara berperlembagaan tetapi bukan dalam erti kata moden iaitu perlembagaan yang ditafsirkan oleh Parlimen atau badan-badan perwakilan awam. Negara Islam ialah negara berperlembagaan dalam ertikata bahawa sesiapa bertanggungjawab mengendalikannya terikat kepada undang-undang dan sysrat-syarat yang ditetapkan oleh al-Qur'an dan al-sunnah (15). Abu Zahrah dalam membincangkan konsep negara Islam dan bukan Islam membawa beberapa pandangan ulama yang terkenal antaranya pandangan Abu Hanifah yang berpendapat bahawa negara bukan Islam ialah ada tiga sysrat iaitu: 1. Hukum bukan Islam dilaksanakan di negeri tersebut seperti amalan riba, arak, judi dan babi 2. Negeri itu tidak ada perhubungan langsung dengan orang Islam. Malah disegi geografinya terhalang daripada negara Islam. Kalau kawasan bukan Islam itu ada hubungan dan dikelilingi oleh kawasan Islam ia bukannya Dar-al-harb. 3. Tidak ada di sana seorang Islam pun atau dhimmi yang boleh hidup dalam keamanan sebagaimana keamanan. Muslim awal dengan pengikutpengikutnya. Berdasarkan ini bagi Abu Hanifah berpendapat negara Islam ialah negara yang melaksanakan hukum Islam atau orang Islam atau dhimmi berada dibawah pemerintahan Islam atau pemerintah Islam. Abu Yusuf, Muhammad dan setengah fuqaha' lain berpendapat bahawa penentuan negara sama ada negara Islam atau tidak ialah terletak kepada perlaksanaan hukum Islam, jika hukum Islam dilaksanakan maka ia negara Islam dan jika tidak ia bukan negara Islam. Alasan mereka ialah hakikat pembentukan negara ialah daripada asas Islam dan kufur; dinamakan negara Islam jika hukum dan sistem Islam berkuatkuasa dan dinamakan negara bukan Islam jika hukum dan sistem bukan Islam dilaksanakan. (16) Berdasarkan huraian di atas Abu Zahrah membuat kesimpulan bahawa pentafsiran fuqaha tentang negara Islam dan bukan Islam terdapat dua pandangan iaitu:

1. Pandangan pertama negara Islam diasaskan kepada perjalanan dan perlaksanaan hukum Islam dan sistemnya, kalau tidak ianya bukan negara Islam. 2. Pandangan kedua ialah diasaskan kepada keadaan keamanan Muslim dan kawasannya. Kalau orang Muslim mendapat keamanan sebagaimana keamanan negara Islam awal maka ia adalah negara Islam. Berdasarkan pendapat kedua dalam menentukan negara Islam adalah berasaskan unsur majoriti bilangan Muslim, jika unsur ini ada maka negara itu ialah negara Islam, sekalipun undang-undang dan sistem Islam tidak terlaksana. Abu Zahrah lebih cenderung kepada pendapat Abu Hanifah dan ulama yang sependapat dengannya. Beliau menganggap semua negara yang penduduk Muslim lebih banyak adalah negara Islam sekalipun undang-undang Islam tidak dilaksanakan, tetapi beliau mengharapkan bahawa hukum Qur'an dan Sunnah supaya lahir di seluruh negara Islam supaya negara Islam itu sempurna mengikut pendapat ijmak bukan mengikut pendapat seorang faqih sahaja sekalipun ia seorang yang hebat. Berdasarkan pandangan Abu Hanifah beliau mengakui bahawa negara Islam merangkumi kawasan daripada maghribi sebelah barat sehingga Turkistan dan Pakistan di timur(11). SUMBER AUTORITI PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM: Qur'an tidak menyebut secara langsung tentang pembentukan negara Islam. Sungguhpun begitu ulama cuba memahami ayat-ayat yang ada akitan dengan persoalan ini seperti kekuasaan Allah, undang-undang, nubuwwah, ketaatan, khalifah, umat dan sebagainya dijadikan asas teori kepada pembentukan negara Islam(18). Kebanyakan ulama dalam membincangkan teori pembentukan negara Islam ini sumbernya diambil daripada Hadith dan sirah Rasulullah s.a.w. serta sirah para khulafa' Rashidun(19). Keperluan kepada Ketua Negara Islam adalah suatu yang tidak dapat dinafikan dan Mawardi ada menjelaskan tentang ini katanya, " Ketua Negara (Imamah) digelar sebagai Kahlifah Rasulullah dalam urusan agama dan urusan dunia, pemilihan orang yang akan menjalankan tugas ini adalaah wajib mengikut ijmak kecuali pendapat Asam"(20)m/s 18. Ibn Hazm berkata bahawa sepakat di kalangan semua ulama ahl- Sunnah, Murjiah, Syiah dan Khawarij tentang wajib diadakan pemimpin negara. Umat wajib mematuhi imam yang adil yang berupaya menegakkan hukumhukum Allah dan memerintah berdasarkan hukum-hukum syara' yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Qur'an dan Sunnah menegaskan tentang wajib kepada pemilihan ketua negara, antaranya firman Allah s.w.t. bermaksud: "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin urusan kamu, demikian juga hadith-hadith sahih banyak yang memerintah supaya taat kepada ketua negara dan wajib memilih ketua negara(22). Berdasarkan kepada nas-nas dan huraian-huraian yang diberikan oleh ulama menunjukkan bahawa keperluan kepada ketua negara dan pemilihannya adalah merupakan satu tuntutan hukum yang mesti

dilaksanakan oleh umat. SYARAT KELAYAKAN KETUA NEGARA ISLAM: Ketua Negara Islam dipanggil dengan berbagai gelaran seperti Khalifah Amir al-Mu'minin dan Imam. Para ulama ada menentukan beberapa syarat untuk melayakkan seseorang memegang jawatan ketua negara. Syarat-syarat itu ada yang disepakati oleh mereka dan ada pula syarat yang mereka tidak sepakati pendapat. Syarat-syarat itu ialah: 1. Keupayaan jasmani; seseorang itu mestilah sempurna pancaindera dan selamat anggota badannya, tidak ada sebarang kecacatan yang boleh menghalang tugasnya sebagai ketua negara iaitu kecacatan seperti gila, buta, pekak, tuli, hilang dua tangan, dua kaki atau dua biji kemaluan(23). 2. Kelayakan undang-undang sempurna iaitu ia seseorang memenuhi syarat-syarat berikut: a. Seseorang Islam; kerana tugas utama ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat. Tugas ini hanya dapat dilakukan oleh ketua negara Muslim. b. Merdeka; iaitu dia bukannya hamba, kerana hamba tidak mempunyai kelayakan undang-undang. c. Seorang lelaki; Ijmak ulama berpendapat bahawa jawatan khalifah hanya sah dipegang oleh lelaki, kerana jawatan ini disegi beban tugasnya tidak sesuai dengan keadaan kaum wanita. d. Cukup umur; iaitu dia seorang Mukallaf yang terikat dengan kewajipan hukum syara' (taklif), bukannya kanak-kanak yang tidak terikat dengan kewajipan hukum syara'. 3. Kelayakan ilmiah; iaitu kelayakan dalam bidang ilmu yang sampai ke tahapmampu berijtihad. Mengikut kenyataan Ibn Khaldun bahawa khalifah ialah orang yang melaksanakan hukum Allah. Dia dapat melaksanakannya bila dia mengetahui dan tidak mungkin dapat dilaksanakannya bagi orang yang tidak mengetahui. Untuk itu dia hendaklah seorang yang mujtahid bukannya seorang muqallid. Kerana sifat taqlid adalah suatu kecacatan, sedangkan jawatan ketua negara memerlukan kesempurnaan dalam semua hal(24). 4. Adil; iaitu seorang yang tinggi budi pekerti dan akhlak nya yang merangkumi cirri taqwa dan wara'. Mawardi berpendapat bahawa adil disini ialah dia seorang yang bercakap benar, amanah pada zahirnya, bersih diri daripada perkara haram dan daripada perkara dosa, juga bersih daripada perkara yang meragukan, sentiasa tenang dan keadaan biasa dan dalam keadaan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam urusan agama dan dunia(25). 5. Menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. Ibn Khaldun dalam memberi penjelasan dalam syarat ini berpendapat bahawa ketu negara (Imam) hendaklah berupaya menegakkan hukum Allah (hudud),

mahir dalam peperangan , dapat memimpin di medan perang, megetahui tentang kekuatan dan kelemahannya, tegas dalam membuat keputusan politik. Maka dengan ini semua dapat dia menjaga agama, berjihad menentang musuh, menegakkan syariat dan mentadbir untuk maslahat umat (26). Mawardi pula menjelaskan syarat ini dengan kenyataan bahawa ketua negara (Imam) hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatannya, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh (27). 6. Keturunan Quraisy; Syarat ini diterima secara ijma' oleh jumhur ulama. Seseorang yang dipilih untuk menjadi ketua negara mestilah dari keturunan Quraisy, kerana syarat ini telah disetujui secara ijma' oleh sahabat dalam pemilihan Abu Bakar sebagai Khalifah di Saqifah. Enam syarat yang disebutkan di atas adalah syarat yang disepakati oleh jumhur ulama, tetapi memandangkan kepada perkembangan yang berlaku dalam sejarah politik umat Islam dirasakan oleh sebahagian ulama ada syarat-syarat yang tidak boleh diterima sepenuhnya kerana keadaan dan suasana masyrakaat Islam telah berubah. Antara syarat itu ialah syarat keturunan Quraisy. Syarat ini telah ditolak oleh golongan Khawarij. Ibn Khaldun dalam memberikan pandangan tentang syarat ini berkata bahawa syarat ini dapat diterima selama kekuatan ada pada golongan Quraisy yang berupaya mengikat dan menyatukan umat ('Asabiyyah wa al-Ghalab). Kita mengetahui bahawa perkara ini Allah tidak menetapkan kepada generasi tertentu dan umat tertentu. Oleh itu orang yang disyaratkan untuk memimpin dan mentadbir urusan umat ialah orang yang mempunyai kekuatan dan keupayaan menguasai orang lain pada zamannya dan mereka itu tunduk kepadanya dan bersatu dengan pengawalan dan penjagaannya(28). Selain daripada syarat keturunan Quraisy, syarat kelayakan ilmu sampai ke tahap ijtihad juga diperbahaskan. Syarat ini dirasakan tidak mudah untuk dicapai. Justeru itu terdapat di kalangan ulama yang berpendapat seorang ketua negara tidak semestinya mampu berijtihad tetapi hendaklah dibantu oleh seorang yang mempunyai kelayakan ilmu sampai ke tahap ijtihad untuk menyelesaikan keperluan dan perlaksanaan hukum Allah(29). PEMILIHAN KETUA NEGARA: Golongan Ahl al-Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihanraya. Pada pendapat mereka pemilihan Khalifah merupakan ikatan kontrak di antara Khalifah dan umat. Justeru itu istilah yang dipakai dalam kontrak ini "Bai'ah"(30). Berdasarkan ini kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan "Kontrak Sosial"(31). Abdul Wahab Khallaf ada menjelaskan tentang kedudukan Khalifah dalam Islam, bahawa ketua negara dalam pemerintahan Islam adalah kedudukannya sama dengan pemerintahan negara-negara yang berperlembagaan kerana Khalifah mendapat kuasa kedaulatannya daripada

umat yang diwakilkan kepada "Ahl al-Hal wa al-Aqd". Kedaulatan itu kekal bergantung kepada kepercayaan mereka dan keupayannya dalam pemerintahan untuk menjaga kemaslahatan umat. Justeru itu ulama menetapkan bahawa umat boleh melucutkan Khalifah daripada jawatannya dengan sebab-sebab tertentu, kalau pemecatan itu boleh membawa fitnah kepada umat, maka ketika itu hendaklah dilihat mana yang lebih ringan mudaratnya(32). Dalam pemilihan khalifah, terlibat di dalamnya tiga goongan manusia: 1. Calon Khalifah yang mencukupi syarat. 2. Anggota pemilih yang dipanggil oleh Mawardi "Ahl al-Hal wa al'aqd". 3. Orang awam Muslim(33). CALON KHALIFAH Syarat bagi calon Khlaifah telahpun dibincang sebelumnya. SYARAT ANGGOTA PEMILIHAN DAN TUGASNYA: Anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd" perlu memenuhi beberapa syarat untuk melayakkannya memilih ketua negara supaya pemilihannya tepat. Mengikut penjelasan Mawardi mereka perlu memenuhi tiga syarat iaitu: 1. Adil. Sifat adil yang dikehendaki di sini ialah sebagaimana sifat adil yang diperlukan pada Khalifah. 2. Berilmu iaitu ilmu yang membolehkannya untuk menilai calon yang layak untuk memegang jawatan ketua negara dengan mengambil kira syarat-syarat yang diperlukan. 3. Kecekapan dan kebijaksanaan dalam memilih calon yang layak dan memilih yang lebih baik, lebih berpengetahuan untuk kebaikan dan kemaslahatan umat(34). Tugas mereka ialah memilih dan menentukan calon yang layak untuk jawatan itu. Apabila mereka bermesyuarat untuk memilih calon hendaklah meneliti syarat-syarat yang ada pada calon dan memilih serta memberi persetujuan terhadap calon yang lebih baik dan lebih lengkap syarat-syaratnya. Bilangan anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd", ulama tidak sepakat. Pendapat Mawardi menjelaskan bahawa ulama tidak sepakat pendapat tentang bilangan anggota yang memilih ketua negara (Imam); ada terdapat beberapa pendapat; ada golongan yang berpendapat bahawa tidak sah calon ketua negara melainkan pemilihnya dipersetujui oleh semua anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd" dari setiap negeri supaya persetujuan itu berlaku secara menyeluruh dan penyerahan kuasa kepadanya secara ijmak. Pendapat ini bercanggah dengan apa yang berlaku dalam pemilihan Khalifah Abu Bakr. Dia telah dipilih oleh anggota yang hadir sahaja dan mereka tidak menunggu anggota yang lain lagi. Ada pendapat yang mengatakan sekurang-kurangnya bilangan anggota yang memilih ialah lima orang yang semuanya sepakat membuat pemilihan atau seorang sahaja yang membuat pemilihan dan anggota yang

lain bersetuju dengan pemilihannya. Pendapat ini bersandarkan kepada dua alasan; pertama cara pemilihan Abu Bakr yang dilakukan oleh lima orang kemudian diikuti oleh orang lain seperti Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah, Asid Hudair, Bashir Sa'ad, Salim Maula, Abu Huzaifah. Kedua Umar melantik enam orang anggota syura supaya seorang daripada mereka memilih untuk jawatan Khalifah dengan persetujuan dengan lima anggota yang lain. Pendapat ini dipersetujui oleh kebanyakan fuqaha dan mutakallimin daripada ulama Basrah. Ada pendapat lain daripada ulama Kufah memadai pemilihan dilakukan oleh tiga orang anggota sahaja dengan seorang memilih dan dipersetujui dengan dua orang yang lain. Mereka dianggap sebagai seorang Hakim dan dua orang saksi, sebagaimana sah aqad nikah dengan seorang wali dan dua orang saksi. Ada pendapat lain pula yang menyatakan bahawa sah pemilihan itu dibuat seorang anggota sahaja. Ini berdasarkan kepada Abbas yang berkata kepada Ali: "hulurkan tangan engkau aku memberi kesetiaan kepada angkau". Orang berkata, "Bapa saudara Rasulullah memberi kesetiaan kepada anak saudaranya, maka jangan kamu mempertikaikan keduanya. Itu adalah hukum dan ia adalah sah"(35). Sah dengan pemilihan seorang anggota bukan bermakna calon yang dipilih telah sah menjadi ketua negara. Apa yang berlaku dalam pemilihan Abu Bakr kalau pencalonan Umar tidak dipersetujui oleh pihak lain, kelompok kaum akan bertelagah dan tidak dapat ditentukan mana satu golongan yang kuat dan mana pula yang lemah. Justeru itu ikatan Imamah tidak akan berlaku, sedangkan syarat utama ikatan itu ialah perlu adanya kekuatan "Shaukah", kesatuan hati, kesepakatan zahir dan batin untuk itu, kerana tujuan tuntutan mewujudkan Imam ialah untuk menyatukan umat ketika berlakunya pertentangan kerana dorongan nafsu. Kuasa tidak dapat ditegakkan tanpa persetujuan majoriti yang diambil kira pada setiap zaman(36). MASYARAKAT AWAM Pemilihan ketua negara tidak terhenti setakat pemilihan anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd", tetapi ia memerlukan proses persetujuan rakyat umum terhadap calon yang telah dipilih oleh anggota "Ahl al-Hal wa alAqd". Persetujuan majoriti umat ini dilakukan secara terbuka sebagaimana yang berlaku pada pemilihan ini seorang calon ketua negara disahkan menjadi ketua negara Islam. PENYERAHAN KUASA DARIPADA KHALIFAH KEPADA PENGGANTINYA Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihanraya tidak selamanya berlaku, tetapi terdapat Khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar di kalangan fuqaha' menerimanya sebagai sah. Mawardi ada menjelaskan tentang ini katanya, "Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah. Kedua, Umar menyerahkan kuasa kepada anggota ahli syura, mereka menerimanya dan mereka adalah orang yang penting ketika itu dengan berkeyakinan bahawa penyerahan itu adalah sah, sedangkan sebahagian sahabat yang lain tidak termasuk anggota ahli syura. Justeru itu penyerahan kuasa demikian dikira

sebagai ijmak(38). Penyerahan kuasa ada juga berlaku dalam pemerintahan Islam dalam bentuk warisan apabila negara Islam menerima sistem beraja dalam pemerintahannya. Pemindahan kuasa secara warisan ini juga diterima oleh ulama sebagai sah. Demikan juga jika kuasa pemerintahan itu dipegang oleh orang yang kuat dan mengisytiharkan dirinya sebagai ketua negara, mengikut Abu Ya'ala al-Fara adalah sah dan meletakkan keadaan ini sebagai satu suasana dharurah yang mengharuskan membuat perkara yang dilarang(39). Imam Ghazali juga ada memberi pandangan tentang ini. Beliau berpendapat bahawa apabila syarat-syarat yang diperlukan untuk kelayakan seorang menjadi ketua tidak dapat dipenuhi dan kuasa itu dipegang oleh seorang yang mempunyai kekuatan (shaukah) dan fasik, sesiapa yang melantiknya maka pemarintahannya sah sebagaimana sahnya pemerintahan orang yang zalim (bughat) (40). KERAKYATAN NEGARA ISLAM: Kerakyatan negara Islam diasaskan di atas dua asas; pertama kepercayaan agama dan kedua ialah ikatan perjanjian kemasyarakatan di mana seseorang itu berada. Kerakyatan bagi Muslim ialah kerana kepercayaan agama dan bagi bukan Muslim kerakyatannya melalui ikatan perjanjian kemasyarakatan yang dipanggil "Aqd al-Dhimmah". Dengan perjanjian ini mereka menjadi rakyat negara Islam seperti Muslim yang mendapat hak dan menanggung tanggungjawab. Adapun golongan bukan Islam yang datang ke negara Islam untuk mendapat perlindungan maka mereka diletakkan di bawah perjanjian khas yang dipanggil "Adq al-Musta'min". Dengan perjanjian ini mereka diberi perlindungan dan mereka hidup mengikut ajaran agamanya(41). Golongan bukan Islam yang mendapat taraf kerakyatan diberi kebebasan bersuara dan memberi pendapat, bebas beragama, boleh melakukan ibadat di rumah mereka dan menghayati syiar agamanya. Mereka boleh mengikut ajaran agamanya dalam bidang muamalat dan acara selama mereka tidak membawa masalah pertikaiannya kepada pihak Islam. Pemerintahan Islam berkewajipan melindungi mereka di segi nyawa dan harta daripada pencerobohan. Kalau mereka diceroboh, hukuman qisas dikenakan ke atas penjenayah, dibayar ganti rugi kepadanya jika berlaku pembunuhan. Jika jenayah melibatkan harta dibayar ganti rugi atau dipulangkan jika masih ada. Pemerintahan Islam juga berkewajipan melindungi mereka daripada serangan luar. Mereka berhak mendapat tempat tinggal, hak bermaustatin, hak berpindah dalam negara Islam selain daripada Mekkah dan Semenanjung Tanah Arab secara amnya. Perempuan mereka dibenarkan berkahwin dengan lelaki Muslim dan sembelihan mereka harus dimakan jika mereka daripada golongan Ahl al-Kitab. Mereka boleh mewarisi harta di antara mereka dan saksi mereka diterima dalam keadaam darurah dan mereka dikenakan hukuman jenayah Islam. Mereka diminta supaya menjaga kedudukan masyarakat Islam supaya tidak terganggu, menjaga keamanan dalam negeri dan daripada gangguan pihak luar. Mereka tidak dibenarkan memperdaya Muslim supaya menganut agama

mereka atau menghalang kafir dhimmi daripada menganut Islam. Mereka ditegah daripada mendedahkan perbuatan mungkar dalam semua bentuknya, atau membina rumah ibadat lain daripada tempat yang dipersetujuinya (42). Golongan kafir dhimmi ini merangkumi penganut Yahudi, Kristian dan Majusi. Demikian juga kaum musyrik selain daripada musyrik Arab. Ibn al-Qaiyyum dalam mengulas pandangan mereka yang berpendapat bahawa orang musyrik termasuk dalam golongan kafir dhimmi katanya, Hukum tentang Ahl al-Kitab diambil daripada al-Qur'an dan hukum tentang semua golongan kafir diambil daripada Sunnah. Rasulullah mengambil Jizyah daripada orang Majusi yang menyembah api, dari sudut ini (kepercayaan) mereka tidak ada beza dengan golongan musyrik yang lain (43). PRINSIP-PRINSIP NEGARA ISLAM Negara islam ditegakkan di atas empat prinsip yang penting 1. Prinsip Syura 2. Prinsip Keadilan 3. Kebebasan 4. Persamaan 1. Prinsip Syura Asas kepada prinsip syura ini ialah firman Allah s.w.t. Maksudnya: "Bermesyuaratlah dengan mereka dalam satu-satu urusan" (44) dan firmanNya yang bermaksud, "Dan urusan mereka hendaklah bermesyuarat di antara mereka" (45). Ayat-ayat ini memerintahkan supaya bermesyuarat dalam perkara yang melibatkan urusan orang-orang Muslim. Dalam amalan Rasulullah s.a.w, prinsip ini adalah dijalankan, baginda bermesyuarat dengan sahabatsahabatnya dalam urusan-urusan kepentingan umat dan negara seperti dalam peristiwa peperangan Badar(46) dan Uhud(47). Demikian juga amalan para sahabat-sahabat, baginda Abu Bakar bermesyuarat untuk mengambil tindakan ke atas orang-orang murtad(48), Saidina Umar bermesyuarat untuk menyelesaikan tanah rampasan perang". Mereka juga bermesyuarat untuk mengambil tindakan mengumpul(49) dan menyalin menyusun al Qur'an(50). Jadi, amalan prinsip syura ini adalah lumrah dalam pimpinan Islam dalam segenap peringkatnya. 2. Prinsip Keadilan(Justice) Keadilan yang dimaksudkan di sini,ialah keadilan mutlak yang digariskan oleh Islam yang mengatasi segala kepentingan peribadi,keluarga,kelompok dan sebagainya,sekalipun terhadap musuh

dan terhadap golongan non-muslim.Allah berfirman maksudnya,"Apabila kamu memberi saksi hendaklah dengan adil sekalipun hal itu mengenai keluarga.Janji Tuhan hendaklah kamu patuhi. Itulah yang dipertingkatkan kepada kamu,mudah-mudahan kamu ingat"(52). Rasullah s.a.w. bersabda maksudnya,"Siapa yang menyakiti Dhimmi akulah musuhnya"(53). Maka prinsip keadilan ini menjadi asas dalam amalan pemerintahan Islam yang melibatkan seluruh golongan dalam masyarakat. 3. Kebebasan Prinsip kebebasan juga menjadi asas amalan dalam pemerintahan Islam. Kebebasan itu diberikan kepada rakyat yang tunduk dibawah pemerintahan Islam sama ada dari golongan Muslim atau bukan Muslim. Oleh sebab manusia diberi hak kebebasan memilih maka hal ini perlu diberikan kepada semua individu. Islam memberi kebebasan beragama, kebebasan dalam memiliki harta, kebebasan bergerak dan berpindah(54). Kebebasan bercakap dan memberi pendapat hendaklah dalam ruang yang tidak mencabuli kepentingan undang-undang syara' dan ketenteraman kehidupan masyarakat yang menjadi asas kepada undang-undang negara. Kalau pendapat itu tidak lagi diberi peluang,kerana itu akan menjejaskan autoriti dan masyarakat Islam. Kebebasan itu adalah dengan falsafah negara, sistem politik dan perundangannya. Lantaran itu mereka yang murtad dalam negara Islam dianggap sebagai pengkhianat (treason). 4. Persamaan Prinsip persamaan ini ialah setiap kaum adalah sama sebagai rakyat di antara satu sama lain dalam hak,kebebasan dan tanggungjawab di hadapan undang-undang. Islam dalam melaksanakan prinsip ini secara umumnya berlaku dalam kehidupan rakyat negara Islam tetapi dalam beberapa hal ada perbezaaannya di antara rakyat yang mendokong negara dan rakyat yang tidak mendokong ideologi negara tetapi patuh kepada pimpinan negara.Prinsip equality ini diterima oleh Islam dalam konteks penyelarasan dalam perhubungan manusia secara umum. Allah berfirman maksudnya, "Hai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu dari golongan lelaki dan perempuan. Kami jadikan kamu dari berbagai bangsa dan suku kaum,supaya kamu dari berkenalan,sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu disisi Tuhan ialah bertaqwa"(55).Manusia tidak ada bezanya di antara satu dengan yang lain dalam penilaian Allah di segi keturunan,warna kulit,bahasa dan kebudayaan,tapi perbezaan itu terletak kepada ketaqwaannya. Rasullah s.a.w. bersabda maksudnya, "Kamu semua dari Adam dan Adam dari tanah,tidak ada perbezaan di antara orang Arab dengan orang bukan Arab kecuali dengan taqwa"(56) Berdasrkan prinsip inilah Rasulullah s.a.w.menegaskan dalm perlaksanaan undang-undang dalm sabdanya yang bermaksudnya, "Demi Allah sekiranya Fatimah mencuri aku potong tangannya"(57). Dan nabi pernah melaksanakan hukum rejam kerana kesalahan berzina ke atas Muslim dan nn-Muslim(58).

MALAYSIA SEBUAH NEGARA ISLAM Berdasarkan kepada pandangan Muhamad Abu Zahrah yang meletakkan cirri negara Islam berasaskan kepada majoriti penduduk Muslim dan keamanan, maka Malaysia juga merupakan sebuah negara Islam bukan sahaja dilihat di segi pendudukan majoriti Muslim dan keamanan, tetapi juga dilihat daripada pengalaman sejarah, kedudukan undang-undangnya serta pemimpin negara Muslim. PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KESULTANAN MELAYU Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. Dalam bidang undang-undang dimulai dengan undangundang Kanun Melaka & Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu & Perlembagaan Negeri Johor. Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemerintah di mana kekuasaan politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam. PENGHAYATAN ISLAM BERTERUSAN BERLAKU DI ZAMAN PENJAJAHAN Proses Islamisasi Undang-undang & Sosio-Budaya dan Politik tergugat dengan kedatangan penjajah British, tetapi tidak banyak terjejas di zaman Portugis dan Belanda. Di zaman penjajahan British peranan Undang-undang Islam diperkecilkan bidang perlaksanaannya & golongan yang terlibat dengan Undang-undang Islam, iaitu hanya untuk orangorang Islam dan bidangnya hanya bidang undang-undang diri dan kekeluargaan. Sesungguhnya begitu, kita dapati dalam bidang-bidang yang lain, seperti pendidikan agama, kehidupan keagamaan dan kehidupan individu dan keluarga serta masyarakat masih diberi ruang untuk dihayati dan tidak diganggu-gugat. Justeru itulah kita dapati perkembangan Islam dan penghayatannya masih dapat dipertahankan. PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KEMERDEKAAN Kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah usaha daripada UMNO, yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. UMNO cuba menunjukkan kekuatannya kepada pihak berkuasa British dengan menggabungkan parti China (MCA) dan parti India (MIC) dalam gagasan "Perikatan", dengan mengekalkan identiti parti masing-masing dalam perkara-perkara tertentu. Berasaskan perikatan ini didapati pensyarikatan kuasa politik berlaku antara etnik China, India dan Melayu, tetapi walau bagaimanapun UMNO masih merupakan kuasa politik dominan dalam pemerintahan. Sejak daripada tahun 1957 sehingga kini kedominan parti UMNO dapat dipertahankan dalam menguasai pemerintahan negara. Sungguhpun UMNO sebuah parti sekular, pendukung-pendukungnya adalah dari golongan

Melayu Muslim yang masih sensitif kepada Islam kerana adanya sensitif ini didapati kedudukan Islam dan orang Melayu Islam ada keistimewaankeistimewaan tertentu dan begitu juga intitusi-intitusi Islam di peringkat negeri dan pusat masih diberi kedudukannya yang tersendiri. Sejak daripada tercapainya kemerdekaan, perhatian kepada pembangunan masyarakat Islam terus berlaku dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial cuma yang agak tersekat dalam proses Islamisasi ialah bidang undang-undang yang disegi kenyataannya untuk dibuat perubahan secara menyeluruh terhalang disebabkan beberapa peruntukan yang ditinggalkan oleh penjajah dalam perlembagaan, Undang-undang Federal dan Pusat. Undang-undang yang agak ketara percanggahannya adalah di bidang jenayah hudud, adapun di bidang jenayah membunuh & mencederakan sebahagian daripada prinsip dan hukumnya tidak banyak beza dengan Islam, demikian juga dalam hukum ta'zirkesalahan-kesalahan maksiat. Selain daripada itu dalam muamalat hanya unsur riba yang ketara bercanggah dengan Islam, tetapi dalam bahagian yang lain tidak banyak percanggahannya. Dalam bidang kekeluargaan didapati sepenuhnya undangundang Islam dilaksanakan, kecuali negeri yang masih berpegang, kepada adat perpatih. Dalam proses meneruskan Islamisasi di bidang undang-undang didapati peruntukan-peruntukan khas diwujudkan untuk kepentingan Islam dan masyarakat Islam seperti Akta Bank Islam, Akta Takaful, Falsafah Pendidikan Negara, Akta Universiti Antarabangsa, Akta Koperasi dan sebagainya. Melihat kepada perkembangan ini ternyata proses Islamisasi berterusan berjalan dengan adanya ruang peruntukan dalam Undang-undang Negeri & Persekutuan, Cuma yang perlu diusahakan ialah bahagian-bahagian tertentu dalam Undang-undang Federal, Perlembagaan dan undang-undang Negeri yang menghalang perlaksanaan Islam yang menyeluruh perlu dipinda. SISTEM DEMOKRASI & PENGHAYATAN ISLAM Selepas merdeka kita didedahkan dengan sistem demokrasi berparlimen, yang ditaja oleh penjajah British sebelum Malaysia diberi kemerdekaan. Untuk melaksanakan sistem demokrasi dalam pemerintahan maka parti politik ditubuhkan. Dalam sistem berparti ini terdapat peruntukan untuk parti pemerintah & parti pembakang. Dilihat dari sudut Islam sistem demokrasi ini dapat diterima dari satu sudut iaitu memberi suara kepada rakyat memilih pemimpin mereka secara bebas dan terbuka tetapi yang tidak cocok dengan Islam ialah ia membelah umat berterusan kepada dua kelompok, kelompok pemerintah dan kelompok pembangkang yang menentang pemerintah dalam ruang terbatas. Sedangkan dalam Islam mengajak kepada kesatuan umat dan mendekatkan jurang pemisahan di antara kelompok, bukan meluaskan jurang. Walau bagaimanapun kenyataan ini wujud di hadapan kita dan kita terpaksa menerima sistem ini dengan dibuat perhitungan bahawa sistem ini bukan suatu kebenaran mutlak dan ia adalah tajaan penjajah yang masih meneruskan polisinya "divide & rule". Dalam percaturan politik yang berlaku sekarang ini orang Melayu Muslim masih mengusai kuasa politik negara di peringkat pusat dan negeri, golongan lain dalam

ikatan barisan masih berada di bawah kawalan kerajaan kecuali beberapa buah negeri seperti Sabah & Kelantan yang dikuasai pembangkang. Kalau diambil asas yang masakini iaitu kuasa politik Melayu Muslim masih ada sebagai titik tolak untuk menyatukan Kelompok Islam, dengan mengambil kira Islam sebagai asas dalam penyelesaian kuasa politik dan cuba menjauhkan titik-titik perbezaan serta mencari titik-titik persamaan yang membina, maka dirasakan ini lebih bermanfaat untuk kekuatan masa depan politik orang Islam. Kalau tidak kita berterusan menjadi alat idea penjajah "divide & rule" yang kita sendiri memecahkan kelompok kita dengan tangan kita sendiri. Oleh itu bagi memudahkan proses penyatuan umat di masa depan kita perlu menerima sebagai suatu kenyataan bahawa negara ini ialah sebuah negara Islam. Dengan menerima negara ini sebagai sebuah negara Islam bukan bermakna ianya telah selesai segala tuntutannya. Kesempurnaannya perlu kepada pengisian daripada kita, sama juga seorang Muslim yang diakui sebagai Muslim selepas mengucap dua kalimah syahadah bukan bermakna Muslimnya sudah sempurna, kesempurnaan Islamnya bergantung kepada proses peningkatan ilmu & penghayatan Islam pada dirinya. KESIMPULAN Berdasarkan kepada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan berikut : 1. Tidak ada kesepakatan dikalangan ulama tentang kriteria negara Islam kerana tidak terdapat nas Qat'i yang menentukannya.Justeru itu ulama berbeza pandangan dalam ijtihadnya dalam menentukan ciricirinya. Ada yang mencirikan bilangan majoriti Muslim sebagai penentu dan ada mencirikan perlaksanaan syari'ah sebagai penentu. 2. Dalam pengalaman sejarah politik Islam tidak terdapat penentuan cara yang tetap dalam pemilihan pemimpin negara. Ada secara pemilihan terbuka dan ada secara warisan, tetapi semua bentuk pemimpin yang ditentukan itu diterima sah oleh ulama yang membincangkan teori politik Islam. 3. Ulama juga tidak sepakat pendapat tentang syarat-syarat yang ditetapkan bagi ketua negara, kecuali beberapa syarat sahaja seperti keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, adil, kelayakan ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. 4. Kerakyatan negara Islam sama ada Muslim atau bukan Muslim adalah sama disegi hak dan kewajipan kecuali perkara-perkara khusus yang dikecualikan. Mereka dikira sebahagian daripada umat Islam (ummatun min al-Muslimin). 5. Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan kepada majoriti penduduk Islam, keamanan yang dinikmati, perlaksanaan undang-undang Islam sebahagian besarnya dan kepimpinan negara dikuasai oleh orang Melayu Muslim. PENUTUP

Dengan penerimaan negara ini sebagai sebuah negara Islam menimbulkan beberapa implikasi dalam kehidupan Muslim. 1. Muslim berhak menuntut pemerintah melaksanakan Islam sepenuhnya kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pemerintah Islam. 2. Muslim dapat hidup dengan harmoni dan dapat berusaha meningkatan produktiviti untuk kepentingan Islam, kerana terdapat sikap baik sangka antara satu dengan yang lain. 3. Menimbulkan tanggungjawab yang lebih kepada Muslim untuk melaksanakan Islam di mana saja dia berada, kerana tidak dirasakan ada sesuatu yang bercanggah yang patut dielakkan dalam kehidupannya. 4. Membina sikap positif dan membuat kritikan yang membina untuk kepentingan Islam, serta berpatisipasi dalam memenuhi tuntutan Islam di mana saja ada kekurangan. 5. Setiap individu Muslim merasa berkewajipan untuk membangun negara dan umatnya dalam keupayaan masing-masing. Demikianlah sedikit penjelasan mengenai betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan Islam dalam negara ini. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kepimpinan Islam masih belum pasti. Ayuhlah bersama menjayakannya

Related Documents

Konsep Negara Islam
November 2019 41
Konsep Negara Bangsa
May 2020 34
Bab12-tubuh Negara Islam
October 2019 43
06 Negara Islam
November 2019 31
Konsep Tuhan Dalam Islam
December 2019 53

More Documents from "hudzai83"

Hadiah Malam Jumaat
November 2019 37
Dalmation Dots
November 2019 41
Keistimewaan Wanita
November 2019 41
November 2019 31