Kisah air batu campur (ABC) Oleh: Ustaz Hj Nasrudin Hj Hassan At-Tantawi
Sepetang saya singgah di gerai Air Batu Campur (ABC) di Simpang Tiga Chini bersebelahan stesen Petronas. Sedang saya order ABC, tiba–tiba singgah seorang sahabat di gerai yang sama, lalu saya mempersilakannya agar duduk minum bersama. Selepas kami menerima order, tanpa lengah kami terus menikmati kemanisan dan kelazatan ABC yang sememang dikenali sebagai gerai yang sedap ABC nya. Tak banyak topik yang kami bincang semasa menikmati ABC di situ kecuali beberapa perkara. Saya berulang kali memaklumkan kepada sahabat betapa sedapnya ABC itu. Sebagaimana lazimnya ABC adalah sejenis minuman yang agak banyak bahan campurannya termasuklah kacang, jagung, buah kabung, selasih, cincau di samping campuran wajibnya susu lemak cair dan manisan sirap yang cukup menyelerakan. Sahabat saya mengangguk tanda setuju dan terus menghirup dan menikmati ABCnya. Kami diam seketika tanpa bersuara. Tiba–tiba, sahabat saya kembali memecah kesunyian suasana dengan mengatakan bahawa ABC ni memang sedap dan kesedapannya adalah banyak bergantung kepada bahan–bahan campurannya. Lalu katanya, beginilah manis dan lazatnya ummah centric, apabila semua jamaah dapat bersama seperti segala bahan yang bersatu dalam mangkuk ABC ini. Saya tersentak dengan ungkapan itu sambil berfikir, apakah sahabat saya ni sedang bergurau atau mahu menguji saya. Kenapa sejauh itu perbandingannya dan apa yang membuatkan saya terdiam seketika, kenapa tiba–tiba dia timbulkan isu ummah centric? Tak habis-habis lagi ke isu Ummah Centric ni? Saya berfikir seketika untuk mencari idea, apa ulasan terbaik yang boleh saya berikan kepada sahabat ini terhadap ungkapannya sebentar tadi. Sedang saya berfikir, beliau menambah bahawa kalau semua jamaah bersatu seperti Abim, JIM, Hizbut Tahrir, Tabligh, Nida’, Haluan, PAS, Umno dan mana–mana jamaah lagi seperti bersatunya jagung, kacang, selasih, buah kabung, cincau, susu lemak cair, sirap tentu sahaja kemanisan dan kelazatan ini akan dirasai oleh semua ummah. Saya hanya senyum sambil melarutkan air batu kisar dengan segala bahan campuran ABC apabila mendengar ulasan lanjut beliau. Akhirnya saya kata, "Ya akhi, saya setuju ABC ini sungguh lazat dengan gabungan jamaah jagung, jamaah kacang, jamaah buah kabung, jamaah selasih, jamaah susu dan jamaah sirap malah jamaah air batu sendiri turut menyumbang kepada nyamannya kelazatan yang dinikmati.
Tapi akhi kena ingat, biarpun konsep ABC ni bercampur banyak bahan namun tidak semua bahan boleh dicampur untuk menjadikan ABC ini sedap dan lazat. Sebagai contoh, kalau ABC ini dicampur dengan ”jamaah” tahi ayam maka tiada lagi nikmat dan kelazatan jamaah jagung, jamaah kacang dan lain– lain ”jamaah” yang bergabung dalam ABC ini. Maksud saya ya akhi, saya setuju betapa indahnya ummah ini andai semua jamaah dapat bergabung tetapi dengan dua peringatan penting. 1. Tidak semua jamaah boleh kita senaraikan dalam gabungan ummah atau dalam erti kata lain tidak semua jamaah boleh kita tajammu’kan untuk membentuk sebuah ummah yang solehah dan ummah yang Raashidah. Terutamanya jamaah yang saya sifatkan sebagai jamaah tahi ayam, yang pastinya merosakkan ummah dan masa depannya. Akhi menyenaraikan Umno sebagai jamaah yang akan menambahkan lagi kelazatan dan kemanisan ummah ini adalah suatu sikap salah dan tidak betul. Justeru Umno sehingga hari ini tidak menjadikan dasar malah hala tuju partinya berlandaskan Islam. Malah Umno telah menyumbang maksiat dan mungkar yang sangat banyak di dalam negara ini. Lihat sahaja arak yang membuih, judi yang melata, kelab malam yang tumbuh bagai cendawan, pesta hiburan melampau yang kian meningkat malah Umno hanya diam membisu apabila pihak Sisters In Islam (SIS) hina Islam, IFC hina Islam malah kelihatan bagaikan turut melindungi mereka. Bagaimana Umno boleh menambah kemanisan dan kelazatan ummah ini kerana Umno tidak lebih sebagai Jamaah Tahi Ayam sebagaimana yang tegaskan tadi. 2. Jamaah atau organisasi itu boleh bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah perjuangan Islam ini dengan Amar Makruf dan Nahi Mungkarnya. Tetapi individu atau anggota jamaah masing– masing tidak boleh dibiarkan melangkah atau membawa diri tanpa intima' tanzimi dengan jamaah yang ia sertai. Maksud saya ya akhi, kita tidak boleh jadi ahli banyak jamaah dalam satu masa tanpa intima' tanzimi. Kerana apalah erti penyertaan kita terhadap satu satu jamaah tanpa intima’ dan komitmen kita kepada jamaah tersebut. Anggota jamaah sewajarnya memberi intima’ kepada jamaah yang sertai tetapi dalam masa yang sama kita boleh bertolong bantu dan bekerjasama dalam menunaikan tanggungjawab mengimarahkan bumi ini dengan agama Allah SWT. Macam bahan–bahan dalam mangkuk ABC kita ini, jagung datang dari tin jagung, dia tidak datang dari tin kacang. Demikian juga kacang datang dari tin kacang, dia tidak datang dari tin jagung.
Tak boleh ya akhi, jagung nak jadi kacang, nak jadi buah kabung, nak jadi selasih, nak jadi susu, nak jadi sirap dan sebagainya. Jagung tetap jagung dan kacang tetap kacang dan begitulah yang lainnya. Namun segala bahan tadi boleh bersatu dalam mangkuk ini untuk memberi kelazatan kepada kita. Tapi ingat yang ya akhi, jangan campur tahi ayam dalam ABC ini, jika tidak ”tobat” saya tak minum ABC ini. Akhi nak minum? Saya nasihatkan jangan. Demikianlah kita boleh bersatu dan bekerja untuk Islam bersama, dengan mengekalkan intima’ tanzimi kita terhadap jamaah yang kita dokong sebagai platform, tetapi apabila kita keluar ke tengah medan, kita boleh bersama untuk Islam dan inilah memberi kemanisan dan kelazatan kepada ummah seluruhnya, tapi ingat ya akhi, tanpa kehadhiran Jamaah Tahi Ayam. ”Taukeh!!, berapa ABC nih? mari kira! Petikan DiaRy SeoRanG MujaHiD " Note: Artikel ini dikirim/posting oleh webmaster