BINCANGKAN KESAN TEKNOLOGI TERHADAP ALAM SEKITAR Teknologi telah banyak membantu manusia dalam kehidupan seharian. Contohnya, teknologi dalam bidang pengangkutan. Manusia sekarang tidak perlu lagi mengambil masa berhari-hari berjalan kaki untuk sampai ke satu-satu tempat. Dengan menaiki kapal terbang, mereka yang berada di Malaysia boleh sampai ke Jepun dengan hanya beberapa jam sahaja. Tetapi, dalam kealpaan manusia memperkenalkan pelbagai teknologi baru, kita lupa bahawa kita telah mengabaikan satu faktor yang amat penting dalam hidup kita, iaitu alam sekitar. Kemusnahan alam sekitar semakin meningkat, seiring dengan kemajuan teknologi di muka bumi ini berkembang. Sebagai contoh, penggunaan pestisid dalam bidang pertanian. Para petani menggunakan pestisid bagi mengelakkan hasil tani mereka musnah dimakan oleh serangga. Namun, penggunaan pestisid secara berlebihan boleh menyebabkan pencemaran, disamping mengganggu kitaran makanan dalam sesuatu populasi itu, serta mengakibatkan kepupusan atau kecacatan sesuatu organisma. Sebagai contoh, pada tahun 1995 di Minnesota, ahli biologi mendapati hampir separuh daripada spesis katak ‘leopard’ yang mereka tangkap untuk kajian mengalami deformasi dengan mempunyai kaki lebih atau kurang daripada empat, tiada mata, dan juga mata terletak di bahagian belakang atau di bahu mereka. Ada juga petani yang menggunakan baja nitrogen tanpa mengikut kadar yang dihadkan oleh undang-undang. Penemuaan baja nitrogen telah membantu peningkatan hasil tani disebabkan kadar imunisasi tumbuhan kepada jangkitan disamping membekalkan nutrien tambahan kepada tumbuhan tersebut. Namun begitu, penggunaan baja nitrogen yang berlebihan ke atas tanah boleh menyebabkan masalah kualiti air yang mana dalam masa jangka panjang akan mempengaruhi haiwan akuatik. Amaun nitrat di dalam sistem akuatik adalah terhad, jadi ia mengehadkan pertumbuhan alga. Apabila hujan turun, ia menghanyutkan sekali baja tersebut ke dalam sungai serta tasik yang mana merangsang pertumbuhan alga, yang ada antaranya mengandungi toksik. Apabila alga ini mati, ia terurai dan membebaskan toksik tersebut ke seluruh kawasan tersebut, yang boleh menyebabkan hidupan akuatik lain, termasuk ikan, mati. Selain daripada itu, perkembangan dalam bidang pengangkutan juga telah menyumbang ke arah kemusnahan alam sekitar. Kenderaan akan mengeluarkan asap yang mengandungi gas-gas merbahaya seperti karbon monoksida, karbon dioksida, ozon, serta nitrogen dioksida, yang mana kesemua gas-gas ini dipanggil gas rumah hijau, merupakan faktor utama yang menyumbang ke arah peningkatan pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana gas-gas ini menyerap radiasi inframerah iaitu haba di atmosfera. Pemanasan global mempunyai kesan yang sangat besar. Antaranya peningkatan purata global aras laut. Satu kajian yang dilakukan dari 1970 hingga 1990 menunjukkan bahawa keluasan laut yang diliputi ais di Antartik semakin berkurangan disebabkan ais itu telah mencair. Ketulan-ketulan ais serta glasier di seluruh bumi ini juga mencair dalam kadar yang meningkat setiap hari. Selain itu, disebabkan pemanasan global juga, jumlah organisma terjejas. Sebagai contoh, para pengkaji telah mendapati bahawa populasi zooplankton di California Current telah berkurangan sebanyak 80% semenjak tahun 1951 lagi, yang mana secara jelas juga kerana kawasan tersebut telah meningkat kepanasannya. Pengurangan zooplankton ini telah menyebabkan keseluruhan rantai makanan ekosistem, populasi burung laut serta ikan yang memakan plankton turut berkurang. Yang terakhir, penggunaan teknologi yang mengandungi gas yang dinamakan chlorofluorocarbons atau dikenali juga sebagai CFSs. Contohnya seperti peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan makanan agar tahan lebih lama, aerosol yang digunakan untuk membunuh serangga, serta pelarut dan pembersih dalam industri elektronik. CFCs merupakan penyumbang utama penipisan lapisan ozon. Penipisan lapisan ozon yang meliputi Antartika terjadi secara semulajadi beberapa bulan sekali setiap tahun. Namun, pada tahun 1985, saintis mendapati penipisan telah terjadi dengan kadar yang lebih besar, iaitu sebanyak 67% berbanding tahun sebelumnya. Dan pada tahun 2000, keluasan kawasan yang menipis dengan cepat ini telah berkembang sehinnga mencecah 28.3 milion km2. Penipisan lapisan ozon ini membawa impak yang sangat besar kepada hidupan bumi dengan membenarkan penembusan
cahaya ultraungu(UV) yang lebih banyak ke atas bumi. Pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu ini berkait rapat dengan masalah kesihatan manusia seperti katarak, kanser kulit, dan melemahkan sistem imunisasi badan. Selain itu, sinaran UV juga mengganggu ekosistem. Contohnya seperti pertumbuhan sejenis alga yang dikenali sebagai phytoplankton yang merupakan pengeluar utama di Antartik, berkurangan. Ini adalah kerana, proses fotosintesis telah dibantutkan oleh kehadiran sinaran UV ini. Sebagai kesimpulannya, kehadiran teknologi baru dalam kehidupan harian manusia setiap hari telah membawa manfaat, tetapi penggunaan teknologi yang berleluasa turut memberikan banyak kesan buruk kepada manusia. Teknologi boleh digunapakai dalam kehidupan kita, namun ia patut dihadkan jika merosakkan alam sekitar dengan teruk. Manusia juga harus memikirkan alternatif lain bagi mengelakkan kemusnahan alam sekitar berlaku secara berterusan dan kesannya akan ditanggung oleh generasi masa hadapan. Rujukan : E.P. Solomon, D.W. Martin, L.R. Berg; Biology 7th ed.,2005, Thomson Learning, Inc.; Page: 1088-1106 (Humans in the Environment)