Kepentingan Fungi.docx

  • Uploaded by: The Best Sharing
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kepentingan Fungi.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 719
  • Pages: 3
Mempelbagaikan fungsi kulat Oleh LAUPA JUNUS (WARTAWAN UTUSAN) KEBANYAKAN ahli masyarakat kita hari ini tidak begitu menyedari tentang kepentingan organisma kulat dan cendawan. Jika ada pun yang meminati cendawan, ia hanya digunakan sebagai hidangan sayuran yang enak dan berkhasiat tinggi. Bagaimanapun, sebahagian daripada kita menganggap kulat sebagai satu organisma yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan. Tetapi para saintis mempunyai pendapat yang berbeza tentang kedua-duanya tumbuhan tersebut. Bagi mereka, cendawan dan kulat berperanan penting dalam kehidupan manusia dan alam sekitar. Menurut penyelidik di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Aisah Alias, kulat atau juga dikenali sebagai Fungi merupakan satu daripada enam kingdom organisma hidup. Selain Fungi, lima kingdom yang lain adalah Plantae, Animalia, Archaebacteria, Eubacteria dan Protista. Kulat sendiri terbahagi kepada lima bahagian iaitu Askomikota, Basidiomikota (cendawan tergolong di bawah bahagian ini), Deuteromikota, Zigomikota dan Citridiomikota. Siti Aisah menjelaskan bahawa orang ramai perlu mengubah tanggapan terhadap kulat yang sering dilihat sebagai organisma yang tidak berfaedah. Ini kerana kulat telah terbukti dapat memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan hidup manusia. Menurut beliau lagi, fungsi kulat dapat dilihat menerusi kegunaannya dalam proses pembuatan roti, penghasilan antibiotik dan proses penapaian untuk penghasilan wain. Kulat secara amnya amat penting dalam pelbagai tujuan khususnya dalam bidang perubatan. Kulat dan metabolitnya telah menjadi tumpuan sejak penemuan penisilin oleh Sir Alexander Fleming. Kumpulan organisma ini bukan saja mempamerkan aktiviti antibakteria tetapi juga pelbagai jenis bioaktiviti yang lain seperti imunosuppresi (hentikan tindak balas penolakan apabila organ baru dimasukkan ke dalam badan), vitamin dan sitotoksisiti (keracunan). Hari ini lebih daripada 120 jenis ubat yang digunakan (siklosporin A, adriamisin) berasal daripada mikro-organisma ini. Cendawan juga merupakan organisma yang amat berguna sebagai makanan dan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah kolestrol.

Justeru itu, kajian mengenai kulat perlu dipertingkatkan lagi bagi mencari kemungkinan fungsi kulat yang masih belum diketahui. Malangnya sehingga ke hari ini, jumlah ahli mikologi (penyelidik kulat) amat sedikit. Ini disebabkan masih kurang kesedaran tentang kepentingan kulat dalam kehidupan. Tegas Siti Aisah lagi, terdapat andaian bahawa jumlah spesies kulat kini dianggarkan sebanyak 250,000 dan ada sumber yang menganggarkan jumlahnya mencecah hampir 1.5 juta. Kekurangan ahli mikologi merupakan salah satu sebab mengapa banyak spesies kulat belum ditemui dan diketahui manfaatnya. Misalnya penyelidikan kulat marin yang banyak dijalankan oleh beliau setakat ini hanya menemui 380 spesies. Kekurangan pakar kulat marin juga membawa kesan negatif memandangkan kajian penskrinan sebatian kulat jenis ini banyak dilakukan oleh syarikat farmasi di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat sedangkan tiga perempat daripada strain kulat jenis itu datangnya dari Negara Dunia Ketiga, termasuk Malaysia. Negara Dunia Ketiga dianggap mengalami kerugian kerana kerja-kerja penskrinan kulat itu bakal membawa keuntungan sehingga berbilion dolar kepada syarikat yang terbabit. Malaysia sepatutnya tidak boleh berpeluk tubuh melihat bagaimana syarikat-syarikat luar mengaut keuntungan besar sedangkan sumber asalnya diperolehi dengan mudah di negara ini. Kedudukan Malaysia sebagai negara yang memiliki kepelbagaian biologi di tempat ke-12 di dunia perlu dijadikan perangsang kepada saintis tempatan untuk menceburi penyelidikan mengenai kulat. Sudah tiba masanya saintis di negara ini mengeksploitasi sumber semula jadi dan seterusnya penggunaannya dikembangkan menerusi bidang bioteknologi, kata Dr. Siti Aisah. Apatah lagi kos penyelidikan mengenai kepelbagaian biologi amat rendah memandangkan ia hanya melibatkan penggunaan sumber semata-mata. Satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya adalah bagaimana konservasi alam sekitar menyumbang kepada penyelidikan kulat. Menurut Dr. Siti Aisah, dalam aspek konservasi alam sekitar, biasanya tahap dan fungsi ekologi sahaja diambil kira tetapi paras genetik tidak diendahkan. Paras genetik memainkan peranan penting dalam penyelidikan kulat khususnya dalam penubuhan bank genetik. Ini bermakna kemusnahan habitat sekaligus menyebabkan kehilangan sumber genetik yang menjadi asas penyelidikan kulat. Hari ini Dr. Siti Aisah merupakan satu-satunya saintis yang menjalankan penyelidikan mengenai kepelbagaian biologi kulat marin di Malaysia. Malah beliau akan menghasilkan sebuah buku bertajuk `Malaysia Fungal Checklist' yang akan menyenaraikan kira-kira 1,500 spesies kulat marin.

Sehingga kini, beliau telah menemui 40 spesies kulat baru. Pemencilan kultur tulen yang dijalankan membolehkan lebih banyak kajian lanjut dibuat. Penyelidikannya kini lebih tertumpu kepada penskrinan kulat bagi mengenal pasti sebatian yang terkandung di dalamnya. Penyelidikan ini penting bagi membantu industri bioteknologi dan ubat-ubatan khususnya dalam mencari penawar kepada penyakit kanser. Selain dari itu, Dr. Siti Aisah juga terlibat dalam penyelidikan diversiti kulat di Antartika, kajian ekologi, kepelbagaian biologi dan taksonomi kulat dalam ekosistem marin di hutan bakau dan pesisiran pantai.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0207&pub=utusan_malaysia&sec=R encana&pg=re_06.htm&arc=hive#ixzz4fjrJElvc © Utusan Melayu (M) Bhd

Related Documents


More Documents from "cikgu ikwan"