Kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa oleh manusia yang bertopengkan binatang walaupun telah diberikan tindakan undangundang yang keras oleh kerajaan tapi masih ada lagi segelintir individu yang melakukannya. Perkara ini adalah perkara yang sangat serius dan perkara ini boleh diatasi sekiranya pemantauan awal daripada ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa dalam keadaan yang selamat, kebanyakan kes ini berlaku semasa ibubapa membiarkan anak-anak mereka berjalan sendirian keluar daripada rumah. Masyarakat juga memainkan peranan dalam menyampaikan sebarang perkara yang berkaitan dengan jenayah kepada pihak polis. Panggilan kecemasan 999 cukup banyak membantu dalam mengurangkan kadar jenayah khususnya di Malaysia. Kesatupaduan masyarakat mengukuhkan lagi perhubungan sesama manusia. Semoga kes sebegini dapat diatasi melalui kerjasama semua.
Keselamatan anak tugas keluarga Oleh ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM NEGARA sekali lagi digemparkan dengan kes penculikan kanak-kanak. Episod malang kali ini melanda keluarga Mohd. Nashar dan Suraya Ahmad. Anak pasangan ini Sharlinie hilang dipercayai diculik oleh penjenayah yang semakin rakus. Kes yang bukan pertama kali tetapi sudah semakin kerap terjadi ini terus menarik perhatian semua pihak. Sehingga kini pihak polis dan dibantu oleh pelbagai pihak yang prihatin masih gagal menjejaki Sharlinie. Kesedaran masyarakat untuk meringankan beban dan tekanan ibu bapa Sharlinie harus dipuji. Isu di sini ialah memastikan tahap keselamatan anak baik di mana saja mereka berada. Ia tidak boleh lepas daripada kawalan ibu bapa. Malang yang bakal mengundang tidak pernah memberi sebarang isyarat atau petanda. Tiba-tiba saja ia berlaku, meskipun ia berada di depan mata kita. Keselamatan anak perlu dijadikan tunjang kepada disiplin berkeluarga. Hal ini menjadi inti pati kepada tugas-tugas ibu bapa yang lain. Jika keselamatan terjamin, maka ia akan memudahkan tugas-tugas yang lain seperti memberi pendidikan. Tetapi dalam kesibukan ibu bapa bekerja, kadang-kadang ada yang terlepas pandang. Kita membiarkan anak-anak leka di kawasan taman permainan, sedangkan kita
keletihan dan tertidur di atas sofa. Semua orang boleh dikatakan berada dalam situasi sedemikian. Kecuali golongan yang punya kekuatan ekonomi, mereka boleh menggaji orang lain untuk menjalankan tugas pengawasan anak-anak. Tindakan segera perlu diambil dan ia tidak boleh dilengah-lengahkan. Kita tidak mahu keputusan untuk mengatasi isu keselamatan kanak-kanak akan membebankan orang lain pula. Tanggungjawab menjamin keselamatan kanak-kanak tidak patut dialihkan kepada orang lain. Mereka juga menanggung beban yang sedia ada dan mungkin tidak terjangkau tangan. Selepas ini mungkin isu sekolah satu sesi akan kedengaran semula. Kanak-kanak akan berada di sekolah dari awal pagi hinggalah ke petang iaitu semasa ibu bapa pulang dari kerja. Semasa di sekolah, sudah pasti kanak-kanak akan menjadi ‘anak’ kepada guru-guru. Guru akan menerima satu lagi tugas iaitu menjaga kanak-kanak dalam kawasan sekolah. Walau apa pun tindakan yang akan diambil, elakkan beban yang timbul diserahkan kepada orang lain untuk memikulnya. Cari punca dan dapatkan kaedah terbaik untuk melihat isu keselamatan kanak-kanak ini supaya tidak berlarutan sehingga mendatangkan kerisauan di kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Penjenayah keliling kita Oleh: HASSAN MOHD NOOR
MISTERI kehilangan Nurin Jazlin Jazimin selama hampir sebulan berakhir. Tetapi misteri kehilangan itu berakhir dengan kedukaan, tidak seperti keceriaan yang dirasai keluarga Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin yang hilang selama 15 hari kemudian ditemui semula bersama sebuah keluarga Myanmar. Jika Yin, 5, ditemui selamat dan sihat dengan sedikit perubahan wajahnya (berkepala botak) tetapi penemuan Nurin amat memilukan. Pencarian Nurin berakhir apabila mayat kanak-kanak ditemui di dalam sebuah beg pakaian di Petaling Jaya pada 17 September lalu. Pada mulanya ibu bapa Nurin tidak menganggap mayat itu sebagai anak mereka tetapi setelah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan, kanak-kanak itu disahkan sebagai Nurin yang hilang sejak 20 Ogos lalu.
Memang sukar bagi sesiapa juga menerima kematian yang amat tragis itu tetapi ujian DNA mendapati 99.9 peratus sampel darah budak hilang itu sepadan dengan ibu bapanya. Berita penemuan mayat dan kemudiannya disahkan sebagai Nurin mendapat reaksi pelbagai yang kebanyakannya mengutuk pembunuhan itu. Tidak ada perkataan yang dapat diungkapkan selain mengutuk sesiapa juga yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Nurin yang dianggap angkara perbuatan manusia paling kejam, gila dan bersifat kebinatangan. Apa yang pasti Nurin yang dalam tempoh kehilangannya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-8 pada 11 September lalu menambah senarai panjang kanak-kanak malang yang menjadi mangsa kerakusan manusia berhati haiwan yang dirasuk syaitan. Mungkin masih ramai yang mengingati beberapa nama dan wajah kanak- kanak yang sebaya dengan Nurin malahan lebih muda daripadanya yang mengalami nasib yang sama. Haserawati Saridi, 9; Nurul Huda Ghani, 10; Norshuhada Burak, 6; Nor Shawani Dahlan, 7; Siti Nadirah Budah, 5;Nor Syakila Ramli Abdullah Choo, 5; Nurul Hanis Kamil, 17;Audrey Melissa Bathinathan, adalah antara kanak-kanak dan remaja malang yang dibunuh selepas ada di antara mereka diperkosa atau diliwat. Lebih menyedihkan ada antara mayat mereka dibuang ke dalam semak atau ke dalam longkang bagaikan sampah. Kematian mereka pula bukan bermotifkan penculikan tetapi kebanyakannya akibat penderaan seks yang akhirnya membawa kematian. Kanak-kanak ini menjadi mangsa ketika dalam perjalanan ke sekolah, dalam perjalanan mengaji al-Quran, sedang menuju ke kedai atau sedang bermain-main. Mengimbau kembali kehilangan Nurin, kanak-kanak ini dilaporkan hilang ketika berjalan seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu. Media melaporkan kehilangan itu pada 24 Ogos dan dua hari berikutnya ganjaran RM5,000 ditawarkan. Polis juga menubuhkan pasukan khas mengesan Nurin pada 3 September dan pada masa sama ganjaran meningkat kepada RM8,000 dan pada 4 September meningkat RM13,000. Rasa simpati orang ramai semakin tinggi apabila ganjaran mencecah RM26,000.
Namun orang yang ‘memiliki’ Nurin tidak pedulikan semua itu. Sama ada dia tidak membaca laporan media atau sengaja mencabar pihak berkuasa, tindakannya menyembunyikan Nurin memang mencemaskan semua pihak. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan Nurin sejak keluar dari rumah tidak mendapat bekalan ubat untuk penyakit buah pinggang dan darah tingginya.. Dan sehinggalah pada 17 September, mayat seorang kanak-kanak ditemui dalam beg pakaian di Petaling Jaya Utama tetapi berdasarkan pengecaman fizikal, ibu bapa Nurin menafikan kanak- kanak itu anak mereka. Dan genap sebulan iaitu pada 20 September, DNA ibu bapa Nurin disahkan sepadan dengan mayat kanak-kanak berkenaan. “Saya reda dengan pemergian anak saya ini namun begitu saya mahu pihak berkuasa terus memburu pembunuh Nurin. Pembunuh ini bersifat binatang, tidak berperikemanusiaan,’’ kata Jazimin Abdul Jalil, bapa mangsa yang akhirnya pasrah menerima kematian anak kesayangannya itu. Begitulah berakhirnya misteri kehilangan Nurin. Dia hilang di kawasan yang menjadi tempat permainannya, bukan di tengah-tengah pusat bandar yang jauh dari tempat tinggalnya. Dia hilang di pasar malam yang sering menjadi kunjungannya. Apakah selepas ini, kes-kes seperti ini tidak akan berulang lagi? Sebenarnya banyak pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa ini. Pertama secara kasar ia menggambarkan kehilangan Nurin bukan sebagai kes penculikan. Wang bukan matlamat utama orang yang `menyimpan’ Nurin kerana tawaran RM26,000 tidak mendapat respons. Cuma apakah selepas ini akan ada manusia yang mengambil kesempatan untuk ‘menculik’ dan menunggu tawaran sedemikian rupa? Tindakan manusia yang ‘menyimpan’ Nurin itu juga juga seolah-olah mencabar keupayaan polis dengan ‘menyerahkan’ kembali Nurin dalam sebuah beg. Baginya ia berkuasa melakukan apa sahaja yang disukainya. Persoalan sekarang, dalam isu sebegini siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah ibu bapa, polis atau masyarakat? Apakah persekitaran kita sudah tidak selamat? Dalam erti kata lain, di mana- mana sahaja ada penjenayah?
Berdasarkan pelbagai kes sebelum ini, penjenayah sedang berada di sekeliling kita malahan di dalam rumah, di halaman rumah, di sebelah rumah, di belakang rumah – tidak terbatas di pusat membeli-belah atau di sekolah. Mereka sedang memerhatikan anak-anak kita, cuba mempengaruhi mereka. Justeru selamatkah anak-anak kita apabila bersendirian? Kejadian yang membawa kematian kanak-kanak ini pula tidak menjurus kepada penculikan untuk tebusan. Tetapi kebanyakannya melibatkan penderaan seksual. Hanya manusia yang menderita sakit jiwa yang tidak kenal erti kasihan kepada kanak-kanak tergamak melakukan perbuatan keji itu. Bayangkan igauan ngeri yang dialami oleh Nurin semasa hampir sebulan berada di bawah ‘jagaannya’. Rasanya cukuplah dengan pengalaman ngeri yang dialami Nurin dan rakanrakan sebayanya yang lain. Kita tidak sanggup lagi mendengar pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa berulang. Biarlah peristiwa yang menimpa Nurin ini merupakan kali terakhir dan kematian Nurin menjadi pengajaran berguna kepada setiap ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Bagi kaum remaja pula, janganlah cuba ‘menghilangkan’ diri daripada keluarga hanya kerana inginkan kebebasan atau dipengaruhi rakan-rakan untuk menikmati kehidupan di luar sana. Mengikut analisis pihak polis, 23 peratus kes kehilangan dipengaruhi oleh rakanrakan, 19 peratus mengikut kekasih, 18 peratus ingin mencari kebebasan dan ada juga yang berpunca daripada perselisihan faham dalam keluarga. Dan sebagai ibu bapa, jagalah anak- anak kita supaya mereka tidak terjebak menjadi mangsa kepada manusia yang menderita sakit jiwa ini. Awasilah anakanak kita daripada ancaman orang yang tidak dikenali. Semoga kematian Nurin Jazlin Jazimin tidak sia-sia sebaliknya menjadi iktibar dan teladan kepada kita semua untuk lebih berwaspada.
Factor-faktor terdapat beberapa faktor dipercayai punca berlakunya penculikan, antaranya sikap masyarakat yang semakin luntur dengan semangat kejiranan, bahkan ada yang menganggap kejadian sebegini sebagai gurauan dan mengambil kesempatan meraih
keuntungan seperti menghantar SMS atau panggilan palsu mendakwa mempunyai maklumat mengenai kes yang sedang berlaku. Tambahnya, kesibukan ibu bapa kurang meluangkan masa mengakibatkan anakanak mereka suka bergaul dengan rakan daripada berada di rumah dan didapati kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian ini lebih mudah diperdaya oleh orang yang tidak dikenali, contohnya dengan hanya diberikan habuan seperti aiskrim, gulagula atau makanan kegemaran mereka bagi lebih memudahkan penjenayah mengambil kesempatan.