Terapi kanak-kanak autisme Cosmo yang diprogram untuk memberi tindak balas terhadap pergerakan tubuh dan pengaktifan suara memberi harapan baru kepada kanak-kanak autisme.
ROBOT bernama Cosmo ini menjadi kawan hampir setiap hari kepada Kevin Fitzgerald yang berusia enam tahun. Kevin adalah seorang kanak-kanak yang berdepan dengan masalah gangguan tumbesaran.
KEHADIRAN Cosmo membuatkan sesi terapi gangguan tumbesaran kanak-kanak menjadi lebih menarik.
Di dalam sebuah klinik di kawasan perumahan di Maryland, Amerika Syarikat, Kevin seakan-akan berasa ragu dengan usaha terbaru untuk merawat simptomsimptom autisme, serebral palsi dan pelbagai gangguan pembesaran menggunakan robotik serta komputer kerja. Di klinik itu, dia duduk di atas sebuah kerusi untuk melihat robot setinggi setengah meter yang terletak di atas meja di hadapannya. Sambil menekan empat butang berwarna terang berhampiran kaki robot tersebut, Kevin kemudian mengarahkan mesin itu berjalan ke arah monitor komputer. Sesekali, dia menjeling robot itu untuk mendapatkan semangat. Kevin menunjukkan tanda-tanda awal mengalami masalah pembelajaran ketika berusia 18 bulan. Dia kemudiannya didiagnosis menghidap masalah tumbesaran dispraksia. "Saya berasa seakan-akan mendapat strok. Otaknya berfungsi, cuma tubuhnya tidak melakukan apa yang mahu dibuatnya," ujar ibunya, Patty Fitzgerald. Beberapa kemahiran tertentu seperti menyebut konsonan, memadankan sebab dan akibat atau memahami konsep relatif seperti apa yang lebih baik atau lebih cepat, menjadi amat sukar buat Kevin untuk menguasainya. Tetapi pada tahun lalu, android kecil berwarna biru dan kuning bernama Cosmo itu menawarkan sedikit harapan. Robot tersebut diprogram untuk memberi tindak balas terhadap pergerakan tubuh, pengaktifan suara dengan panel empat butang itu meniru ciri kawalan. Cosmo turut direka untuk mengajar tingkah laku asas dan kemahiran fizikal.
Ia boleh melambaikan tangan, menyebut kembali frasa dan bergerak apabila ditekan. Cosmo juga berupaya menepuk tangan dan memberikan pembayang untuk membantu kanak-kanak menyempurnakan tugasan-tugasan khas. Sebagai satu hasil kejuruteraan, Cosmo cukup ringkas. Ia cuma memiliki sembilan sambungan (sendi) yang boleh bergerak. Jumlah itu mungkin tidak mengujakan peminat robot. Namun, potensi Cosmo untuk membantu kanak-kanak telah menarik perhatian pusat perubatan terkemuka di Minnesota, Mayo Clinic. Para pengkaji menjalankan ujian perubatan fasa kedua untuk melihat sama ada robot itu mampu membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pergerakan atau serebral palsi. Ini termasuklah memusingkan pergelangan tangan dengan lebih cepat berbanding kaedah tradisional. "Ia berjalan dengan baik," kata ahli terapi fizikal dari makmal biokimia dan analisis pergerakan di Mayo Clinic, Krista Coleman-Wood. Memakai sarung tangan yang dipasang dengan alat pengesan, kanak-kanak diminta untuk membuat pergerakan yang meniru atau akan ditiru oleh Cosmo. Aktiviti itu sekali gus membina tisu-tisu otot dan meningkatkan perancangan motor tubuh. Menurut Coleman-Wood, adalah terlalu awal untuk menyatakan jika kanakkanak menunjukkan lebih banyak kemajuan dengan robot berbanding terapi fizikal tradisional. Namun, keseronokan sememangnya ada pada robot ini. "Bayangkan mengangkat dan menggerakkan pergelangan tangan secara berulang kali akan membuatkan kanak-kanak mudah bosan. Dengan Cosmo, wujud hubungan kognitif," kata Coleman-Wood. Pereka Cosmo berharap, kejayaan kajian itu akan membawa perubahan besar ke arah terapi yang dibantu oleh robot.
KEVIN menekan butang yang disambungkan dengan Cosmo dan komputer.
Pencipta robot, Corinna Lathan percaya, Cosmo dapat meningkatkan tahap pembelajaran secara tradisional dan berasaskan komputer dengan pantas. Sebabnya, Cosmo boleh bertindak sebagai alat permainan, kawan dan guru dalam masa yang sama. "Memanipulasi tetikus atau papan kekunci tidak sama seperti memanipulasi persekitaran anda secara langsung," kata Lathan, graduan Institut Teknologi Massachusetts yang turut merangka eksperimen untuk pihak NASA melalui firma penyelidikan dan pembangunan, AnthroTronix. "Terdapat banyak penyelidikan menunjukkan bahawa jika anda mahu belajar kemahiran sosial atau otot yang berhubung dalam tiga ruang dimensi, bukan sekadar skrin rata atau komputer sahaja boleh membantu. "Dengan robot, anda boleh bergerak dari sebab dan akibat kepada kemahiran pembangunan yang lain. Anda juga boleh menggerakkannya mengelilingi sesuatu dengan lebih pantas." Menurut Lathan, Cosmo juga boleh membantu mengurangkan masalah tingkah laku seperti kurang fokus, yang kerap dikaitkan dengan masalah pembelajaran. "Ideanya ialah berbanding sekadar berada di hadapan komputer, anda sebenarnya mula berinteraksi dengan rakan. Saya berharap, interaksi itu akan berpindah kepada rakan-rakan yang lain, sama ada orang dewasa, penjaga dan ibu bapa," jelasnya.
Lima tahun selepas Kevin memulakan terapi, Patty Fitzgerald memberitahu, sepanjang tempoh 12 bulan lalu, perubahan yang berlaku terbukti radikal. "Pada peringkat permulaan, adakalanya saya tidak boleh membawanya keluar dari kereta, sekiranya dia tahu dia perlu melakukan sesuatu yang mencabar. "Sekarang, jika saya menyebut Cosmo akan berada di sana dengan komputer, dia akan berlari ke arah sana."
CORINNA LATHAN memegang robot Cosmo yang diciptanya di ibu pejabat Anthro Tronix di Silver Spring, Maryland.
Fitzgerald menjelaskan, perubahan Kevin membolehkannya dapat terus belajar di sekolah konvensional, biarpun adaptasi tertentu masih diperlukan. "Kami menjangkakan peningkatan dalam tingkah laku, mampu mengikut peraturan, berkongsi dan menunggu giliran. Malah, dia juga dapat menguasai sedikit kemahiran membaca, mengira dan boleh menulis namanya." Mengulas lanjut, katanya, matlamat jangka panjangnya kini lebih optimis. "Kami ingin melihatnya sebagai seorang lelaki dewasa, mempunyai kerja, keluarga dan sebagainya. Sebanyak mungkin yang dia boleh pelajari, itulah matlamat kami." - AFP