IYAS bin Muawiyah al Muzani yang petah bercakap dan bijak berhujah menjadi tempat penduduk pada zamannya untuk mengadu nasib ketika kesusahan. Kepintarannya menyebabkan beliau dapat menyelesaikan pelbagai masalah orang ramai. Pada suatu riwayat, dinyatakan seorang lelaki berpura-pura baik di khalayak ramai dengan menonjolkan kewarakan dan ketakwaannya sehingga ramai yang terpengaruh dan memujinya. Disebabkan terpengaruh, ramai menjadikan lelaki itu sebagai pemegang amanah untuk menjaga harta ketika mereka bermusafir. Malah, sesetengahnya menjadikan lelaki berkenaan sebagai pemegang wasiat untuk menjaga anak ketika ketiadaan mereka. Pada suatu hari, seorang lelaki datang membawa hartanya untuk disimpan lelaki yang berpura-pura baik itu. Apabila orang ini memerlukan hartanya kembali, beliau menuntut semula hartanya, malangnya lelaki itu menafikan haknya. Orang berkenaan mengadu kepada Iyas. Lalu Iyas bertanya: "Apakah sahabat engkau itu tahu engkau datang menemui aku?" Jawab lelaki berkenaan: "Tidak." Sambil menganggukkan kepalanya Iyas berkata: "Pulanglah dan datang semula esok." Selepas itu, Iyas memanggil orang yang berpura-pura baik itu, lalu berkata: "Pada aku ada sejumlah wang milik anak yatim yang tidak mempunyai penjaga. Aku berasa ingin menyimpan harta ini pada engkau. Aku mahu melantik engkau sebagai pemegang amanah harta ini. Adakah rumah engkau selamat dan mempunyai masa lapang?" Jawab lelaki itu: "Ya, wahai tuan hakim." Dengan tersenyum Iyas berkata: "Lusa datang berjumpaku. Sediakan tempat untuk harta itu serta bawa bersama beberapa orang pekerja untuk memikulnya." Pada hari berikutnya, lelaki yang mengadu itu datang dan Iyas berkata kepadanya: "Pergilah berjumpa sahabatmu itu dan mintalah hartamu. Jika dia enggan, katakan kepadanya, saya akan membuat aduan kepada hakim." Lelaki itu pergi bertemu dengan sahabatnya namun sahabatnya itu masih enggan memberikan harta berkenaan malah menafikannya. Lalu lelaki itu pun berkata seperti yang diajarkan Iyas: "Saya akan membuat aduan kepada hakim." Apabila sahabatnya itu mendengar ancaman itu dia terus menyerahkan semula harta berkenaan dan cuba berbaik semula. Lelaki itu kembali berjumpa Iyas dan berkata: "Sahabat aku itu sudah memulangkan semula hak aku. Semoga Allah membalas tuan dengan kebaikan." Kemudian, lelaki yang berpura-pura baik itu datang menemui Iyas pada masa ditetapkan, membawa bersama beberapa pekerja. Lalu Iyas menegur dan mengecam perbuatannya dengan berkata: "Engkaulah manusia yang paling keji, wahai musuh Allah. Engkau jadikan agama sebagai alat untuk membolot harta dunia." Memang, Iyas seorang pintar walaupun ada ketika terpaksa berdepan dengan orang yang mampu mematahkan segala hujahnya. Ketika berusia 76 tahun, Iyas bermimpi menunggang kuda bersama ayahnya. Mereka menunggang seiringan dan tiada sesiapa di depan mahupun di belakang. Ayahnya meninggal dunia pada usia 76 tahun. Suatu malam, sebelum masuk tidur, Iyas bertanya ahli keluarganya: "Apakah kamu
tahu malam apa ini?" Jawab seorang ahli keluarganya: "Tidak." "Pada malam ini, samalah usiaku dengan usia ayahku," kata Iyas sambil merenung wajah ahli keluarganya seorang demi seorang. Selepas Subuh isterinya mendapati Iyas meninggal dunia.