ETIKA DAKWAH DALAM TEKNOLOGI Berhikmah dan Berlapang Dada Antara kesalahan etika yang sering berlaku di dalam siber adalah kewujudan laman web, blog mahupun lama komuniti yang hanya menyampaikan dakwah dengan “memaksa” pengunjung untuk menerima manhaj mereka seperti terikat kepada pandangan satu mazhab dan tidak meraikan perbezaan manhaj atau pandangan mazhab , taksub kepada seseorang ulama mahupun kitab-kitab tertentu dan menolak orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka. Perlu difahami bahawa dakwah siber merupakan satu bentuk dakwah alaf baru yang merupakan satu bentuk usaha dalam mengajak masyarakat kepada kebaikan secara berperingkat dengan kesabaran serta secara lunak dan tidak terlalu ekstrem dalam penyampaian meskipun ia bertujuan baik namun manhaj dakwah yang dibawa tidak bersesuaian dengan realiti dan nilai setempat sasaran dakwah Sebaliknya ia sepatutnya lebih memfokuskan kepada isu-isu kerohanian yang bersifat utama dan perkara-perkara yang disepakati berbanding lebih mengutamakan permasalahan yang bersifat furu’, dan mempunyai banyak perselisihan atau khilaf ulama dalam perkara-perkara tersebut.18 Sekiranya ia dilihat perlu dalam membahaskan sesebuah permasalahan furu’ atau terdapat khilaf ulama di dalamnya, ia boleh dibincangkan dalam kerangka ilmiah dengan menyatakan kesemua pendapat ulama yang wujud dan perlu mengenepikan sebarang sentimen fanatik, prejudis mahupun bias terhadap mazhab, seseorang tokoh ulama atau kepentingan peribadi. Sebaliknya perbezaan pendapat itu perlu dibahaskan dengan mengemukakan fakta-fakta yang jelas, hujah-hujah yang kukuh serta dibahas dalam kerangka ilmiah dan disampaikan dengan ringkas dan padat dalam memberikan kefahaman yang mudah terhadap pembaca.
Amanah dan Bertanggungjawab Antara lain, dakwah siber turut perlu mengutamakan ketulenan fakta dan sumber rujukan dalam menyampaikan sesebuah hadis mahupun pendapat ulama kerana ia penting dalam mengelakkan berlakunya fitnah yang besar dalam agama terutama sekali apabila hadis Nabi SAW kerana ia telah diberi ancaman besar oleh Nabi SAW berkenaan dengan hukum menyebarkan hadis palsu yang bukan daripada kata-kata Nabi SAW walaupun niatnya baik dalam menyebarkan kebaikan namun ia salah dari segi etika dan bercanggah dengan syarak. Larangan berdusta terhadap hadis Nabi SAW telah jelas disebut oleh baginda dan disertakan ancaman kepada pendusta tersebut, Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) tidaklah seperti berdusta ke atas seseorang yang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya dalam neraka.”19
Maka dapat difahami dengan jelas kewajipan seseorang pendakwah siber dalam berkongsi atau menggunakan sesebuah hadis Nabi SAW wajib untuk menyelidiki mahupun memastikan taraf dan sumber hadis tersebut sebelum diguna atau dikongsikan. Begitu juga keadaan yang sama bagi seseorang tekno daie lain yang mungkin bukan daripada latar belakang pengajian Islam, maka wajib bagi dirinya untuk melakukan rujukan terlebih dahulu terhadap sumber sebarang ayat-ayat Al-Quran mahupun Hadis Nabi SAW sebelum ia digunakan dengan merujuk kepada para ustaz mahupun tokohtokoh agama yang berautoriti dalam bidang tersebut. Sering kali juga berlaku laman-laman dakwah menggunakan hadis-hadis palsu dan tidak menyelidiki sesebuah berita mahupun sumber bagi sesebuah kenyataan yang diterima sebaliknya terus disiarkan dan gejala “copy and paste” ini amat berbahaya. Sebaiknya adalah berita dan maklumat itu ditapis dan disaring terlebih dahulu dalam memastikan keabsahan sumber dan tidak tersilap. Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam isu akhlak menerusi dakwah siber pula, ia turut dipandang berat dan tidak harus diketepikan oleh setiap pendakwah kerana dakwah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW amat mementingkan elemen akhlak dalam penyampaian di sebalik hanya mementingkan keberkesanan sesebuah dakwah semata-mata. Apa yang penting dalam sesebuah dakwah siber adalah ia perlu menitikberatkan berkenaan akhlak dalam dakwah yang disampaikan di mana dari segi perkongsian nasihat mahupun teguran yang ingin disampaikan hendaklah menggunakan ayat-ayat yang sesuai dan sopan dengan tidak memberi sebarang panggilan buruk mahupun memaki hamun terhadap seseorang individu.21 Sesebuah keburukan mahupun kejahatan tidak boleh dipadamkan dengan membalas keburukan mahupun kejahatan kembali kerana ia tidak akan selesai dan berjaya memperbetulkannya, sebaliknya teguran dan nasihat secara berhikmah adalah jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Teguran yang tegas namun penuh dengan kelunakan adalah lebih diharapkan dan ia lebih mencerminkan keindahan Islam dalam konsep amar makruf nahi mungkar kerana ia lebih mudah diterima dengan hati yang terbuka dan tidak menimbulkan dendam dan pertelingkahan. Sering dilihat ada beberapa buah lama web, blog atau laman komuniti yang kadangkala terlalu emosi dalam mengutuk seseorang individu atas kejahatan mahupun kezaliman yang dilakukan sehingga mengaibkan individu tersebut dan akhirnya menjadi bercambah dosanya apabila pengunjung laman tersebut turut sama mengutuk, mencaci maki serta menghamburkan katakata kesat yang tidak menyenangkan hati pembaca dan akhirnya hilang keindahan dakwah sekali gus menimbulkan ketidakpercayaan segelintir individu terhadap laman dakwah sama ada seseorang pendakwah itu mahupun komuniti dakwah tersebut. Penyebaran gambar serta video yang telah disunting dengan bertujuan untuk mengaibkan dan mempermainkan seseorang individu juga sering memburukkan lagi dakwah siber, ia bermula dengan hanya berkongsi sesebuah gambar atau video dan akhirnya ia akan dikomentar, disebar dan disukai oleh sesetengah pengunjung seolah-olah
mereka turut bersetuju dengan perbuatan salah itu. Maka sepatutnya sesebuah laman dakwah serta pendakwah-pendakwah siber amat mementingkan elemen akhlak dalam dakwah siber, ini kerana dakwah di medan siber berbeza dengan medan dakwah yang memerlukan untuk turun dan bertemu dengan golongan sasaran dakwah dan memerlukan kemahiran untuk berkomunikasi dalam penyampaian dakwah. Dakwah siber amat mudah kerana ia hanya memerlukan seseorang pendakwah itu menyampaikan dakwah melalui tulisan beliau atau berkongsi ilmu dengan menukilkan dari hadis Nabi SAW, ayat-ayat al-Quran mahupun kata-kata ulama dan petikan dari kitab-kitab Islam dan menyiarkan di laman dakwah siber mereka tanpa perlu bertemu dengan golongan sasaran dakwah secara bersemuka. Maka dengan itu, ia kadangkala dilihat seseorang pendakwah itu terlalu bebas dalam melakukan penulisan sehingga tidak menyedari kata-kata mereka dalam penyampaian dakwah itu terlalu kurang beradab dan keterlaluan kerana beranggapan mereka berhak ke atas laman dakwah mereka sendiri kerana ia kepunyaan mereka dan bebas bagi dirinya untuk berkata apa yang mereka sukai. Maka dengan itu, ia akhirnya menimbulkan perbalahan di antara pendakwah tersebut dengan pengunjung laman dakwah mereka yang mungkin tidak menyukai dengan gaya penyampaian dakwah tersebut dan akhirnya berlakulah pertelingkahan dan perbalahan dan terpadam tujuan asal dakwah menyeru kepada kebaikan kepada mempertahankan hujah yang dikemukakan hanya kerana perasaan ego yang menyeliputi dirinya.
Menyeru Kepada Perpaduan Umat Islam Apabila hilangnya akhlak dalam dakwah siber maka ia telah memadamkan dakwah gaya Rasulullah SAW kerana ia telah bercanggah dengan contoh akhlak yang dipamerkan oleh Nabi SAW dalam berdakwah kepada masyarakat pada zaman baginda di mana baginda tidak membalas kata kata cemuhan yang dilemparkan oleh masyarakat sekeliling baginda SAW ketika pada permulaan baginda menggalas tugas sebagai seorang Rasul yang diamanahkan untuk menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Mekah pada zaman tersebut. Akhirnya dakwah siber dilihat tidak mempunyai satu kawalan dalam penyampaiannya kerana tidak mempamerkan akhlak yang mulia dalam penyampaian sama ada dari pendakwah tersebut mahupun pengunjung laman dakwah tersebut sedangkan mereka berhak untuk mengawalnya kerana mereka yang menguasai teknologi dan bukan teknologi yang menguasai mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang pendakwah yang memiliki laman dakwah siber miliknya mendapati wujud komentar-komentar dari pengunjung yang bersifat keterlaluan dan tidak mencerminkan peribadi akhlak muslim yang sepatutnya, maka dia berkuasa untuk memadam dan menghapuskannya bagi mengelakkan berlakunya perbalahan yang boleh berlarutan dan berpanjangan. Begitu juga kepada pengunjung laman web dakwah tersebut, sekiranya dia mendapati bahawa pemilik laman web dakwah tersebut bersifat keterlaluan dalam penyampaian dakwah serta melanggar prinsip dakwah yang sepatutnya maka dia berhak untuk menghantar email
atau mesej peribadi dalam menasihati pemilik laman web tersebut untuk memadamkan mahupun mengubah agar ia bersesuaian dan menepati syarak. Perkara ini selaras dengan konsep mengubah kemungkaran yang wujud di dalam Islam.
Menyebarkan Fahaman Ahlus Sunah Wal Jemaah Seharusnya dakwah siber dijadikan medan dalam menyebarkan fahaman akidah ahlus sunah wal jamaah kerana sejak kebelakangan ini dilihat pelbagai fahaman akidah yang bercanggah dengan pegangan ahlus sunah wa jamaah telah dicabar dan dihina dengan teruk melalui media siber. Antaranya adalah dengan beberapa kisah-kisah palsu berkenaan beberapa orang sahabat Nabi SAW seperti Sayidina Abu Bakar RA dan Sayidina Umar RA serta isteri Nabi SAW sendiri iaitu Saidatina Aisyah RA yang telah difitnah dengan beberapa kisah-kisah yang tidak benar sehinggakan telah mengkafirkan mereka dan perkara ini amat jelas serius dan bercanggah dengan pegangan akidah ahlus sunah wal jamaah dan ia tidak boleh dibiarkan. Maka sepatutnya para pendakwah siber sensitif dengan perkara ini dan menjawab segala tohmahan yang tidak benar itu dengan hujah dan nas-nas dalam memberikan kebenaran yang sebenarnya dalam memastikan akidah ahlus sunah wal jamaah tidak tercemar dan tergugat oleh perkara-perkara seperti ini. Kewujudan beberapa buah laman web serta blog yang jelas menghina sahabat Nabi SAW serta yang mencabar kedudukan dan kesucian agama Islam perlu dibanteras dan diambil tindakan yang sepatutnya dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa mahupun penyebaran melalui laman media dakwah siber mengenai akan kesesatan fahaman yang bercanggah dengan akidah ahlus sunah wal jamaah. Maka dengan tindakan demikian ia mampu mempertahankan kesucian agama Islam dan sekaligus mengelakkan perpecahan dan juga menjawab segala kekeliruan umat Islam yang melayari medium siber daripada terpedaya dengan fitnah yang akan mendatangkan kerosakan dalam agama.