dosa2 kecil menjadi besar
Dosa kecil akan bertukar menjadi dosa besar dengan sebab-sebab berikut :1- Dilakukan secara berterusan. Sebab itu dikatakan: "Bukan dosa kecil lagi kalau dikekalkan dan bukan dosa besar lagi kalau dimohonkan keampunannya". Satu dosa besar yang tidak diulangi adalah lebih cerah peluang untuk diampunkan oleh Allah dari dari dosa kecil yang dilakukan secara berterusan dan berulang-ulang. Bandingannya samalah seperti titisan-titisan air yang menimpa batu secara berterusan akan meninggalkan bekas kepada batu tersebut, sedangkan jika kadar air yang sama kita simbahkan sekaligus ke atas batu tersebut, ia tidak akan memberi apa-apa kesan. 2. Memandang remeh dosa yang dilakukan. Jikalau seseorang memandang besar dosa yang dilakukannya, maka di sisi Allah ia akan dipandang kecil. Begitu juga, kalau dia memandang remeh dosa yang dilakukannya, di sisi Allah ia akan dipandang besar. Kalau seseorang itu memandang remeh sesuatu dosa, itu menunjukkan bahawa hatinya sudah gelap dan cenderung untuk melakukan dosa. Seseorang mukmin itu akan memandang dosanya adalah seperti sebuah bukit yang berada di atas kepalanya yang akan jatuh menimpanya dan orang munafik memandang dosanya adalah seumpama lalat yang melewati hidungnya lalu dihalaunya. 3. Merasa gembira dengan dosa yang dilakukan. Setiap kali seseorang itu merasa senang hati dengan dosa yang dilakukannya, maka kesan dosa itu akan makin besar dan menghitamkan hatinya. Contohnya merasa bangga dapat menyakiti, memalukan atau membohongi saudaranya yang lain. 4. Memandang mudah apabila kesalahannya ditutup oleh Allah dari pengetahuan orang lain dan Allah tidak menimpakan apa-apa bencana kepadanya. Lalu ia menyangka bahawa kesalahan yang dilakukannya itu mendapat pertolongan dari Allah. Sedangkan Allah menangguhkan balasannya sebagai kemurkaanNya dan agar bertambah besarlah dosanya. 5. Melakukan dosa dan memperlihatkannya kepada orang lain. Ia sama ada memberitahu kepada orang lain atau semasa melakukannya ada orang melihatnya.
Yang pertama semasa melakukan dosa itu, orang tidak tahu, tetapi dia menghebahkannya. Ia adalah kesalahan kerana Allah telah menutupnya ketika melakukan kesalahan, tetapi dia telah membuang tabir tersebut. Yang keduanya dia melakukan dosa di hadapan orang lain. Kedua-duanya boleh menggerakkan keinginan buruk orang yang mendengar atau melihatnya terhadap maksiat. Apatah lagi kalau tujuan dia menghebahkannya atau mempertontonkannya agar perbuatannya itu diikuti oleh orang lain. Maka bertambah besarlah dosanya. 6. Kalau orang yang melakukannya adalah seorang alim yang ada pengikut. Ini adalah berdasarkan satu hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang buruk, maka ke atas dirinya sendiri tetaplah adanya dosa itu, juga dosa orang yang meniru perbuatannya, tanpa dikurangi dari dosa mereka itu sedikit pun". (HR Muslim). Sebagaimana berganda-gandanya dosa orang alim yang diikuti, begitu juga berganda-ganda pahalanya jika perbuatan baiknya diikuti. (Petikan dari Kitab Mau'izatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin m/s: 405-406) Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. Rebutlah peluang yang diberikan oleh Allah pada bulan Ramadhan nanti untuk mendapatkan keampunan dari Allah s.w.t. Nabi s.a.w bersabda bermaksud: "Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu" Ya Allah! Ampunilah segala kesalahan hambaMu yang lemah lagi banyak dosa ini.