Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam Oleh : Ustaz Ahmad Awang ASAL USUL MELAYU-ISLAM Dua hal yang ditafsir sama oleh banyak pihak tapi sebenarnya tidak sekata, iaitu Islam dan Melayu. ISLAM adalah Ad-Din yang bersifat sejagat atau syumul. Islam tidak didominasi oleh sesuatu kaum walaupun Islam diturunkan kepada Nabi Mumammad SAW dari kaum Arab Quraisy. Bangsa Arab atau kaum Quraisy juga tidak menyempit Islam sebagai satu penguasaan hakiki di kalangan mereka, wal hal dalam kontek sejarah, mereka tidak dipersalahkan sekiranya meletakkan kaum mereka di status demikian. Hakikatnya Islam telah dianuti pelbagai suku bangsa, pelbagai budaya dan pelbagai adat resam tanpa sempadan benuanya. MELAYU pula merupakan satu rumpun kaum yang secara sejarahnya dikatakan kaum yang menetap di rantau nusantara ini sejak lebih 25 ribu tahun lalu. Arkeologi Lembah Bujang yang menghubungkan Negeri Lindungan Kedah Tua di era Kerajaan Langkasuka dan Serivijaya serta Kota Tampan di Lenggong pula membuktikan sejarah di penempatan di lokasi tersebut dikuasai pengaruh agama Hindu dan Buddha sebegitu lama. Disebabkan catatan sejarahnya amat kabur, tidak banyak bukti ilmiah yang menerangkannya. Namun orang Melayu Jawa yang beragama Hindu yang kemudiannya membentuk komuniti mereka berpindah ke Bali membuktikan sejarahnya bahawa terdapat orang Melayu yang beragama Hindu. Begitu juga di Sabah dan Filipina yang terdiri dari orang yang berasal dari keturunan Melayu yang beragama Kristian dan lain-lain agama. Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah satu pengsebatian yang dibuktikan oleh sejarah terkemudian. Kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Pasai, dan Patani. Di nusantara ini telah mengalami satu perubahan sejarah yang mengkagumkan. Perkembangan Islam dalam dunia Melayu di nusantara mencorak dimensi baru ke atas pola peradaban Melayu hingga ke saat ini. Ia bermula dari era perdagangan laut dunia ketika zaman awal perkembangan Islam. Walaupun agama kristian lebih awal diturun dan tersebar berbanding Islam tetapi era kegelapan di Eropah menyebabkan agama tersebut tidak dapat dikembangkan secara menyeluruh di seluruh dunia. Sebaliknya era kegemilangan Islam dan penemuan dunia perniagaan yang menggunakan jalan laut di zaman para sahabat menyebabkan Islam mudah tersebar dan berkembang khususnya di alam dunia melayu yang kaya dengan bahan mentah dan rempah ratus. KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU Di Tanah Melayu penyebaran agama Islam amat unik. Ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemasukan Islam di Tanah Melayu bermula selepas Parameswara Raja Melaka memeluk Islam dalam abad ke 15. Pengislaman Parameswara tidak mempunyai hubung kait dengan kekayaan yang dimiliki oleh pedagang-pedagang Islam yang berurusan di Melaka. Malah ketika itu pedagang dari India, China dan Eropah juga turut berurusan di perairan Melaka. Cuba anda bayangkan bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh mubaligh Islam ketika itu untuk mengislamkan seorang raja yang berkuasa dan berpengaruh. Menukar agama bukan semudah Page 1 of 11
penukaran barang dagangan atau pakaian sutera yang tersarung di badan. Penukaran agama lama kepada agama baru melibatkan pengorbanan ke arah pengabdian spiritual dan fizikal yang amat berat dan sukar. Namun pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari Arab, Parsi, India dan China ketika itu berjaya mengislamkan raja Melaka. Rahsia pengislaman Parameswara adalah dikaitkan dengan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam ketika berurusan di pelabuhan Melaka. Amanah, berbudi pekerti, menepati janji serta bersopan santun sebagaimana yang dianjurkan Islam dipratik secara zahir dan batin oleh pedagang-pedagang Islam ketika itu. Dikisahkan sebelum Parameswara memeluk Islam, pada suatu hari, baginda telah melihat perlakuan sekumpulan pedagang-pedagang Islam yang sedang sembahyang berjamaah. Baginda kagum melihat mereka yang bersembahyang itu kerana terdiri dari pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, India dan China melakukan perlakuan yang sama dengan diketuai oleh seorang imam. Selepas tamat bersembahyang mereka berjabat salam tanpa membezakan negara yang mereka datang serta warna kulit yang mereka miliki. Mereka juga saling berpelukan dan beramah mesra bagaikan bersaudara sedangkan mereka baru pertama kali bertemu. Raja Parameswara bertanya kepada pembesar dan hulubalang-hulubalang yang mengiringi beliau, “Pernahkah kamu berurus dagang dengan mereka?” Shahbandar yang turut mengiringi baginda berkata, “Amat mudah apabila berurusan dengan mereka, mereka sentiasa beramah mesra dan tidak menipu, apabila berjanji mereka tepati, apabila berhutang mereka tidak mengenakan bayaran yang tinggi dan mereka juga murah hati dan mudah memberi.” Parameswara bertanya lagi, “Apakah nama tuhan yang mereka sembah itu dan apakah nama agama mereka. ” Seorang hulubalang yang telah memeluk Islam menjawab, “Tuhan mereka dipanggil ALLAH dan agama mereka disebut ISLAM.” Lalu baginda bertitah kepada seorang pembesarnya, “Titahkan ketua di antara mereka itu menemui beta.” Parameswara dikatakan memeluk agama Islam selepas peristiwa tersebut. Sebagai seorang raja, baginda menyedari sekiranya diri beliau dan seluruh rakyat baginda memiliki akhlak dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan oleh pedagang-pedagang Islam tersebut nescaya negeri Melaka akan menjadi aman, makmur dan sejahtera. Tidak akan berlaku rasuah, terhapus segala kemiskinan, golongan kaya akan bermurah hati membantu yang miskin, rakyat akan bersatu padu, jenayah akan dibasmi dan pemerintahan baginda akan dihormati dan disegani. Islamnya Parameswara memberi kesan yang besar kepada Melaka sehingga hampir semua pembesar dan rakyat Melaka menerima Islam. Maka terbentuklah sebuah tamadun Melayu yang berasaskan dari ketamadunan Islam yang kemudiannya berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Melayu. ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA Bersandarkan kepada sejarah Islam dalam dunia Melayu itulah apabila Inggeris menguasai Tanah Melayu agama Islam diiktiraf sebagai agama negara yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara tanpa meletakkan apa-apa bantahan oleh kuasa penakluk itu ketika pengisytiharan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Page 2 of 11
Lantaran kejahilan dalam gelombang politik antarabangsa di samping kegairahan pemimpin yang dianggap jaguh rakyat itu membawa pulang sekalung kemerdekaan tanpa disedari kita telah dialpakan oleh tipu daya penjajah Inggeris. Adalah sesuatu yang amat janggal apabila Islam diterima hanya sekadar upacara dan amalan dalam urusan peribadi, tetapi dipinggirkan perlembagaan yang menjadi nadi kekuatan pada Islam. Itulah antara sebab mengapa UMNO dipilih oleh Inggeris untuk diserahkan kemerdekaan kerana UMNO ketika itu bukanlah sebuah pertubuhan yang berasaskan perjuangan Islam maka kepentingan dan hak bangsa sahaja dianggap menjadi pioriti bukannya Islam. Kelemahan para pemimpin UMNO akhirnya terperangkap dengan menerima perlembagaan yang ditulis penjajah Inggeris yang hanya memperkatakan Islam sebagai agama Negara tetapi undangundang dan sistem yang ada pada Islam tidak dijadikan sebagai sebahagian dari perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebahagian besar dari undang-undang negara sekarang yang diguna pakai oleh kerajaan BN untuk mentadbir negara ini adalah berpaksikan undang-undang penjajah Inggeris. Sejarah kemerdekaan banyak negara di dunia ini menggunakan formula yang sama sebagaimana digunakan dalam kemerdekaan Tanah Melayu. Penjajah akan memberikan kemerdekaan kepada golongan yang pro pada mereka dan bukan kepada penentang Penjajah. Walhal penentang penjajah inilah sebenarnya merupakan wira-wira pejuang yang sanggup mempertahankan negara dan hak mereka tanpa membuka selangkah ruang untuk dikuasai oleh penjajah. PAS DAN KEMERDEKAAN Dalam hubungan ini PAS adalah parti politik yang berteraskan perjuangan Islam dan orang Melayu yang menjadi musuh ketat kepada penjajah Inggeris di Tanah Melayu. PAS sentiasa merancang dan melaksana pelbagai gerakan sama ada gerakan dakwah maupun perang saraf untuk menghalau penjajah dari bertapak di sini. Gerakan-gerakan penentangan yang dipelopori oleh guru-guru sekolah agama rakyat menjadi tunjang kebangkitan orang Melayu menentang penjajahan Inggeris. Inilah antara penyebab mengapa Inggeris terlalu marah kepada gerakan dan pertubuhan Islam. Parti Islam ini merupakan antara penentang kuat kepada perlaksanaan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dibuat Inggeris, Perlembangaan Persekutuan Inggeris yang langsung tidak membuka ruang kepada perlembagaan yang berteraskan hukum Islam dianggap satu penghinaan yang besar kepada orang Melayu dan agama Islam. PAS ketika itu menganggap kemerdekaan Tanah Melayu adalah separuh masak. Namun di atas kesedaran bahawa perlembagaan ini boleh diubahsuai setelah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu maka polemik berhubung perundangan Islam dalam perlembagaan persekutuan dianggap sebagai suatu usaha susulan di masa akan datang. Sejarah perang salib dan era penyebaran agama Kristian yang diselaraskan dengan era penjajahan kuasa eropah ke atas negara-negara yang dijajah ketika itu menjadikan kuasa penakluk itu tidak pernah memberi peluang dan ruang kepada gerakan Islam. Ini tidak menghairankan apabila penjajah Inggeris menyerahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada UMNO. Ini disebabkan Inggeris menyedari bahawa UMNO akan meneruskan misi Inggeris di negara ini di samping dapat membendung kebangkitan Islam yang dipelopori PAS. Penggunaan sebahagian besar Page 3 of 11
perlembagaan British oleh Malaysia selepas 50 tahun merdeka serta menolak perundangan Islam secara menyeluruh adalah bukti sebenar UMNO bukanlah berjuang untuk kepentingan Islam. Islam cuma dijadikan boneka apabila sekian lama kuasa Mahkamah Sivil melebihi bidang kuasa Mahkamah Syariah. Selepas merdeka UMNO meneruskan kesinambungan Penjajah Inggeris melenyapkan sejarah Islam di kalangan orang Melayu. Contohnya UMNO terlibat dalam usaha melenyapkan tulisan jawi yang merupakan bahasa perantaraan Al-Quran dalam sistem pendidikan negara suatu ketika dahulu. Mereka yang tidak dapat menguasai tulisan jawi akan jahil seumur hidup terhadap kitab suci orang Islam atau orang Melayu itu. Pelbagai lagi tanggungjawab yang diberikan kepada pemimpinpemimpin UMNO untuk membawa misi mengembalikan Islam kepada orang Melayu gagal dilaksanakan. Amat menjijik dan memalukan apabila sebuah pertubuhan yang bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu serta melaungkan sebegitu gah perjuangan membela orang Melayu tetapi menjadi gunting dalam lipatan meruntuhkan budaya dan pegangan orang Melayu secara halus dan terancang. Memang ada sebab dan buktinya apabila seseorang berkata Dosa UMNO ke atas orang Melayu begitu besar. Tidak ada gahnya bila UMNO memperkatakan tentang kehebatan nasionalisme yang menjadi tunggak perjuangan mereka lahir dari iltizam dan inspirasi orang Melayu-Islam di negara ini. Ia sebenarnya tersasar jauh dari dasar perjuangan UMNO yang dilaungkan ketika menuntut kemerdekaan dahulu. Sedangkan hakikatnya Islam hanyalah dijadikan topeng yang digunakan untuk menarik simpati orang Melayu menyokong perjuangan yang berteraskan nasionalisme itu. Ini disebabkan pembuktian sejarah hari ini menunjukkan kekuatan, kehebatan dan ketamadunan Melayu itu sebenarnya terjelma kerana wujudnya kecemerlangan Islam. Tetapi kehebatan, keagungan dan kecemerlangan Islam bukan disebabkan oleh ketamadunan Melayu. Dan Melayu hanya menumpang kehebatannya dengan berpaut pada ketamadunan dan kegemilangan Islam. Inilah yang cuba diseleweng oleh para tukang karut ketika mendendangkan dikir barat mereka dalam pentas-pentas perbincangan yang membabitkan isu ketuanan dan penyatuan Melayu. Para tukang karut ini begitu ghairah membaitkan pelbagai rangkap yang membayangkan perjuangan UMNO selama ini berteraskan idealisme perjuangan Islam yang tidak mungkin terpisah dari prinsip perjuangan orang Melayu. Maka para pendendang di belakang tukang karut pula mengiakannya dengan lenggang lenggok badan sambil merungkap bahawa tanpa Melayu di negara ini maka Islam tidak akan dilihat cemerlang. Justeru semua hamba rakyat harus bersatu di belakang UMNO demi mengembalikan kegemilangan Islam dan kesejahteraan orang Melayu di negara ini. UMNO dan pemimpin mereka sering lupa bahawa laungan ini akan terus bergema apabila UMNO kalah dalam Pilihanraya Umum. Tetapi apabila mereka menang, mereka sombong, alpa dan mabuk dengan kekuasaan yang mereka perolehi dari rakyat. Mereka lupa bahawa setiap detik dan saat orang-orang Melayu sedang menunggu dan menuntut hari demi hari hak mereka sebagai seorang Melayu dan seorang Islam. Page 4 of 11
Orang Melayu sentiasa mengharapkan supaya hak Melayu terus terpelihara dan dihormati, bukannya hak orang Melayu dicerobohi oleh kerakusan tangan pemimpin-pemimpin UMNO. Hak keistimewaan orang Melayu yang menjadi teras kepada milikan orang Melayu harus dipertahan dan bukannya diceroboh oleh ketamakan kuasa yang berkepentingan. Tanah-tanah rezab Melayu di kawasan bandar hampir semuanya telah hilang akibat tergadai di atas pujukan pembangunan. Manakala dalam kontek Islamnya pula orang Melayu sering berharap dan berdoa supaya kesucian dan hak Islam terus diperjuangkan. Bukannya dilabel dengan jenama baru seperti Islam Hadhari yang masih belum difahami oleh 9,999 dari 10,000 orang Melayu dan rakyat Malaysia hari ini. Islam hanya akan dinobatkan sebagai Islam apabila Islam diguna pakai sebagai Ad-Din dalam sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Penjajah Inggeris berjaya memperdaya pemimpin UMNO supaya mengguna pakai perlembagaan persekutuan dan memaksa hamba rakyat jelata yang terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam menerimanya sebagai perlembagaan negara yang berteraskan Islam. Tindakan ‘membodohkan’ rakyat sebagaimana digunakan penjajah untuk memperbodoh pemimpin UMNO sejak awal merdeka dahulu cuba dibawa kepada rakyat. Pemimpin mereka mendabik dada dengan negara Islam jelmaan penjajah yang kini diwarisi dalam perjuangan mereka. Kini lebih 50 tahun rakyat disajikan dengan Islam yang dijelmakan seperti pokok yang telah dibonsaikan untuk dijadikan hiasan taman. Dalam menyahut misi orang Melayu untuk menempatkan Islam di landasan sebenar selepas negara mencapai kemerdekaan, Parti Islam SeMalaysia (PAS) cuba mengisi pelbagai kesempatan supaya Islam tidak terhapus dari roh dan jiwa orang Melayu. Walaupun pelbagai halangan, rintangan dan cubaan menghalang dari pemerintah negara yang ditunjangi UMNO namun usaha menghidupkan institusi-institusi pondok, madrasah dan kuliah-kuliah pengajian agama terus dikembangkan baik di surau maupun di masjid. Ketika itu, inilah peluang yang ada untuk mentarbiahkan Islam kepada orang Melayu terutamanya di kampung-kampung dan di kawasan pendalaman. Ramai juga tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz yang difitnah dengan pelbagai dakwaan di mahkamah dan dipenjarakan kerana didakwa seperti pembawa ajaran sesat, pertubuhan tidak sah, ceramah yang menjejas ketenteraman awam dan pelbagai tohmahan lagi bagi menghalalkan cara. Malah pemakaian perkataan Islam bagi parti PAS berkali-kali mereka cuba mengharamkannya. Semua ini tidak melemahkan usaha mengembangkan Islam. PAS terus beristiqamah dalam perjuangan mempertahankan kesucian Islam di kalangan orang Melayu. Kemabukan kuasa di kalangan pemimpin UMNO dan Perikatan yang baru sahaja diberi hak mentadbir negara selepas mencapai kemerdekaan telah meletakkan PAS sebagai musuh yang dilihat akan memusnahkan impian mereka mentadbir Tanah Melayu. PAS tidak diberi ruang untuk menyatakan hasrat rakyat bagi membela agama Islam yang merupakan sejarah asas kekuatan orang Melayu di negara ini. Sebaliknya PAS ditekan dari pelbagai sudut. Pelbagai gelaran seperti parti kolot, parti kampung, parti pak lebai dan pelbagai lagi label diberikan bertujuan memperlekeh orang Melayu mendekati PAS. Page 5 of 11
Dalam konteks politik pula, tekanan dan pelbagai gelaran ini telah berjaya meletakkan PAS sinonim dengan perjuangan Islam dalam semua disiplin walaupun ia dianggap ‘lekeh’ oleh UMNO. Namun di hati orang Melayu ketika itu PAS dan Islam telah membawa imej yang jelas di hati rakyat sebagai sebuah gerakan Islam. Orang PAS dan orang yang menyokong PAS dianggap pejuang Islam. Tatkala pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO ketika itu sibuk berurusan membuat pertaruhan di kelab-kelab lumba kuda yang mula diwujudkan hampir di setiap bandar-bandar besar, kami di kalangan pemimpin dan ahli PAS sibuk mengatur anak-anak bangsa untuk menghadiri pengajian AlQuran terutamanya di rumah-rumah tuan guru atau para ustaz. Sebelum maghrib menjelang, berduyun-duyun kumpulan kanak-kanak bergerak menuju ke rumah guru Al-Quran masing-masing untuk belajar mengaji. Di sinilah anak-anak ini selain diajar mengaji Al-Quran juga diajar bersembahyang berjemaah bersama guru dan ustaz masing-masing. Kini secara sistematik di peringkat pendidikan pra-sekolah di seluruh negara diwujudkan PASTI, iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam di bawah kegiatan Dewan Pemuda PAS. Semua pengorbanan yang tidak diminta balasan dan imbuhan ini dilakukan demi memastikan generasi pelapis Melayu tidak terpupus dari nur kesucian Islam. Dalam masa yang sama, PAS terus ditekan dan difitnah kononnya cuba meracuni pemikiran rakyat serta mempengaruhi rakyat membenci pemerintahan Gabungan Perikatan. Rakyat ditakut-takutkan dengan ancaman bahawa penjajah akan datang kembali sekiranya PAS diberi sokongan oleh orang Melayu. Malah ada pelbagai cubaan yang cuba mengkaitkan PAS dengan Pengganas Komunis namun gagal kerana perjuangan suci PAS sentiasa dilindungi Allah. Alhamdulillah, semua itu tidak melemahkan PAS untuk memartabatkan kesucian Islam kepada orang-orang Melayu. Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang tidak pernah lekang dari fitnah dan tekanan dari musuh-musuh Islam menjadi idola para pemimpin dan ahli-ahli PAS ketika itu. Laungan dan gema “TAKBIR! ALLAH HUAKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR!” dijadikan penawar dan pendorong semangat ahli PAS bagi mengubat kedukaan hati melihat usaha untuk melemahkan PAS datang dari pelbagai sudut. Berkat cahaya Islam yang mengalir dalam tubuh kami ahli PAS, kami tidak pernah gentar malah segala tekanan yang diterima hampir setiap detik menjadikan kami lebih kuat, teguh dan kental dalam menempuh perjuangan memartabatkan Islam yang suci. Tragedi berdarah 13 Mei 1969, walaupun berlaku insiden pertumpahan darah akibat perbezaan jurang ekonomi antara kaum namun UMNO merupakan suatu sinar yang membawa kepada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO. Kealpaan kepimpinan UMNO ketika usaha pengisian selepas kemerdekaan dilihat gagal memenuhi inspirasi orang Melayu secara mutlak. Pengabaian dalam meletakkan status quo kepada kaum-kaum tertentu mendominasi sektor ekonomi telah meletakkan negara dilanda krisis pergesaran kaum. ‘Keinsafan’ yang sedikit ini telah menyebabkan UMNO menjemput PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada 1970. PAS pula melihat sinar baru mula bertunas setelah Tun Abdul Razak menerajui kepimpinan negara setelah Tunku Abdul Rahman berundur akibat rasa bertanggungjawab ekoran kekalahan teruk Perikatan pada pilihanraya umum 1969 yang membawa kepada tragedi hitam itu.
Page 6 of 11
Setelah berada dalam perjuangan yang amat perit dan panjang yang bermula di era penjajah dan kemudiannya semasa era selepas kemerdekaan yang dipimpin UMNO dan Perikatan, PAS merasakan jemputan Tun Abdul Razak merupakan peluang terbaik untuk meneruskan usaha dakwah dan memartabatkan Islam di negara ini. Tragedi 13 Mei yang baru berlalu yang membuktikan UMNO dan Perikatan dilihat gagal membela hak dan kepentingan orang Melayu dan orang Islam. Sejarah perjuangan PAS membela kesucian Islam selama ini terutamanya di kalangan orang Melayu telah mencetuskan inspirasi baru kepada PAS bahawa kekuatan dan perpaduan orang Melayu hanya akan wujud dan teguh sekiranya ia disertakan dengan kekuatan Islam secara menyeluruh. Ini sekali gus membuktikan undang-undang penjajah yang diguna pakai selama ini dalam perlembagaan persekutuan gagal menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. Ketika PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan yang kemudiannya membentuk Barisan Nasional, beberapa jabatan dan agensi yang melibatkan kepentingan Islam mula dibentuk. Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat yang ditubuhkan semenjak zaman Tunku Abdul Rahman diperkasakan dengan penubuhan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berperanan untuk mempertingkatkan dakwah dan penyelidikan Islam serta menyelaraskan pentadbiran Islam di seluruh negara. Bahagian Agama tersebut dahulunya lebih terkenal dengan nama Pusat Islam yang kini dikenali dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM. Di bawah pentadbiran Bahagian Agama JPM ketika itu, saya dilantik sebagai Pengarah pertama Institut Dakwah dan Latihan Islam. Melalui program latihan dakwah dan pelbagai kursus kefahaman Islam pada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan agensi-agensinya, Islam sebagai Ad-Din yang syumul mula difahami oleh masyarakat. Di peringkat pengajian tinggi, para pelajar aktif melaksanakan kegiatan dakwah dan fenomena penghayatan Islam semakin menonjol di dalam kehidupan di kampus. Dalam pemilihan kepimpinan majlis pelajar, golongan pro-Islam sering diberi mandat menerajui kepimpinan. Manakala di dalam bidang penyelidikan, di bawah pentadbiran Bahagian Agama ketika itu, ditubuhkan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan mengenai Halal-Haram bahan makanan dan gunaan orang Islam. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Perdagangan, Kementerian Kerajaan Tempatan, Jabatan Haiwan, pusat pengajian tinggi dan pakar-pakar pelbagai bidang penyelidikan. Semasa saya mengetuai pusat penyelidikan ini dan sekaligus menjadi Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, sering dibuat pemeriksaan memantau kilang-kilang pengusaha makanan/minuman, restoran-restoran di hotel-hotel yang menggunakan label halal. Penguatkuasaan undang-undang melalui Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan menyebabkan mereka yang menyalahgunakan penggunaan label halal sentiasa diambil tindakan. Ketika PAS menyertai BN, beberapa usaha bagi memartabatkan Islam di peringkat nasional juga dapat dilakukan seperti menggantikan lambang palang merah pada hospital dengan logo bulan sabit, iklan arak melalui TV dihapuskan, azan disiarkan melalui radio dan TV. Selain itu ditubuhkan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) untuk menyelaras dan mempergiat dakwah di kalangan rakyat. Selepas kematian Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, dengan Dr Mahathir menjadi timbalannya, banyak usaha-usaha pencapaian untuk kebaikan Islam dan orang Melayu hasil peranan PAS dilihat sebagai ancaman terhadap UMNO. Maka untuk mempertahankan Page 7 of 11
survival politik UMNO yang bertunjangkan sokongan orang Melayu yang bersifat nasionalisme semata-mata, PAS dikeluarkan dari BN pada 1978. Saya sendiri yang telah mendapat dokongan para pegawai kerajaan di beberapa jabatan dan institusi berjaya melaksanakan program besar gerakan dakwah melalui Bulan Dakwah yang melibatkan seluruh jabatan-jabatan kerajaan termasuk Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera. Penceramah-penceramah bagi pelaksanaan Bulan Dakwah tersebut sebahagian besarnya terdiri daripada tokoh-tokoh PAS. Akibatnya beberapa bulan selepas itu, saya pun dipindahkan ke Kementerian Pelajaran dengan notis 24 jam. Setiausaha Bahagian Agama (kemudiannya dipanggil Ketua Pengarah Bahagian) ditukarkan sebulan lebih awal sebelum saya. Usaha UMNO Menyingkirkan PAS Ketika berada dalam BN, PAS yang merupakan sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam terus berusaha mengimarahkan syiar Islam ke seluruh pelusuk negara. Pelbagai program dakwah dan keagamaan bagi menyedarkan orang Melayu mengenai Islam terus dipergiat. Usaha ini memerlukan kesungguhan yang tulen memandangkan setelah lebih 20 tahun UMNO memerintah negara, usaha sebegini tidak dilakukan secara giat dan bersungguh-sungguh. Memandangkan perjuangan PAS yang mulanya diasas dan dihidupkan dalam suasana orang-orang Melayu serta dipelopori oleh tuan-tuan guru dan ulama’, gerakan dakwah di kawasan luar bandar mudah diterima oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu. Selama inipun sebelum PAS menyertai BN, PAS dianggap sebagai parti kampung. Malah anggapan ini tidak diendahkan sangat oleh pemimpin-pemimpin PAS kerana sememangnya orang-orang Melayu ketika itu menjiwai Islam yang dipelopori PAS. Kibaran bendera dan slogan perjuangan PAS yang boleh dilihat di kampung-kampung, di pondokpondok pengajian, dan di markas-markas, sememangnya suatu pemandangan yang biasa pada ketika itu. Malah setelah PAS bergabung dengan BN, orang Melayu yang dulunya UMNO tidak menganggap imej PAS yang terdapat di kampung dan surau itu sebagai sesuatu yang luarbiasa, malah mereka turut menerimanya. Pemikiran penjajah yang masih bersarang dalam minda pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘fobia’ dengan perkembangan Islam setelah menyaksikan orang-orang Melayu mula memahami Islam, menyebabkan pertubuhan kebangsaan Melayu itu ‘mula mencari pasal’ dengan PAS. Dr Mahathir ketika itu yang telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein Onn adalah antara yang mengilhamkan supaya PAS dikeluarkan dari BN. Sebagaimana tradisi yang dilakukan UMNO sejak dulu, kini dan selamanya, kaedah penipuan, fitnah dan berbohong terhadap PAS perlu ‘dicipta’ bagi menghalalkan cara. Lalu PAS difitnah dengan alasan PAS mengembangkan politik di kawasan Rancangan Felda dengan menubuhkan markas-markas di kawasan tanah rancangan itu. Mengapa UMNO memilih lokasi Rancangan Felda untuk disepadankan dengan usaha memfitnah PAS? Mengapa UMNO tidak meletakkan kawasan kampung, atau kampung baru ataupun bandarbandar baru yang ketika itu mula tumbuh bagaikan cendawan? Jawapannya mudah. Ketika itu kerajaan sedang membuka Tanah-tanah Rancangan dan ramai orang Melayu memohonnya. Dan Page 8 of 11
Felda ketika itu berada di puncak kegemilangannya di kalangan orang Melayu. Justeru alasan tersebut merupakan satu isyarat supaya orang Melayu peneroka-peneroka Felda atau mereka yang sedang memohon atau yang akan memasuki tanah-tanah rancangan itu supaya menolak PAS. Fitnah UMNO Mematangkan PAS Inilah juga merupakan suatu pembuktian PAS terhadap UMNO, bahawa parti Islam ini sememangnya matang dengan segala tipu daya dan tindak tanduk UMNO dalam segala hal. Dulu tindakan memfitnah dan mengaibkan mantan TPM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) oleh Dr Mahathir sememangnya telah dijangkakan. Kenyataan Dr Mahathir selepas tidak lagi menjadi PM, berhubung tindakan memfitnah DSAI yang telah dirakam dan diketahui umum itu, membuktikan segala penipuan dan pembohongan UMNO akan terdedah oleh keajaiban kuasa Allah SWT. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah memikirkan segala tindakan mereka itu sama ada haram atau halal, benar atau tidak, bermoral atau haprak, semua itu tidak penting, yang perlu ialah segala tindakan adalah untuk menghalalkan cara mereka. UMNO mengamalkan ajaran Niccolo Machiavelli: “The Ends Justify The Means”. Kita yang berada di landasan perjuangan Islam ini memang mengakui teramat sukar untuk berbincang dan berurusan dengan golongan yang sebangsa tetapi tidak berakhlak dalam berpolitik dan pemerintahannya. Lantaran itu juga di peringkat yang membabitkan isu antarabangsa hari ini, PAS sememangnya dapat menjiwai dan merasai kegetiran perjuangan Hamas dan Hizbullah serta negara-negara Arab bila berhadapan dengan dolak dalik Israel di rantau Asia Barat. PAS Pasca 1978 Setelah PAS keluar dari gabungan BN pada 1978, perang saraf UMNO terhadap PAS menjadi lebih hebat berbanding sebelum menyertai BN. Anda tentu boleh bayangkan bagaimana keaiban dan fitnah yang diterima oleh DSAI ketika beliau mula ditangkap dan dipenjarakan dulu. Itulah juga yang pernah diterima PAS sebelum itu. Bezanya cuma DSAI diaibkan terhadap diri dan keluarganya, tetapi PAS melibatkan pemimpin-pemimpin keahliannya yang beratus ribu orang. Tidak cukup dengan media arus perdana yang seolah-olah meletakkan perjuangan PAS sebaris dengan ideologi perjuangan Komunis yang amat sensitif terhadap rakyat pada ketika itu, PAS tidak menduga perjuangannya untuk menyebar pengetahuan Islam kepada orang Melayu di samping mengembalikan hak orang Melayu dan Islam di landasan sebenar, telah dikhianati oleh UMNO. Melihat keadaan di luar jangkaan itu, PAS tidak mempunyai apa-apa persediaan untuk membela diri. Media yang dikuasai sepenuhnya oleh UMNO bertindak sewenang-wenangnya menghentam PAS dari pelbagai sudut sedangkan PAS tidak diberi peluang langsung untuk membela diri. Tindakan pemimpin UMNO mahu menyingkirkan PAS telah dirancang begitu rupa dan dilakukan dengan penuh licik. PAS tidak menduga UMNO sanggup menikam saudara sebangsa dan seagamanya sedemikian cara. Tidak ada cara yang mampu dilakukan oleh pemimpin PAS selain berusaha merapatkan silaturrahim di kalangan ahli dengan mengadakan solat-solat hajat dan memohon perlindungan dari Allah SWT. Ahli-ahli PAS disedarkan bahawa matlamat perjuangannya di dunia ini bukan untuk memiliki dunia dan seisinya, tetapi adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sejarah perjuangan Islam di manaPage 9 of 11
mana sahaja di atas muka bumi ini bukannya berfalsafahkan perjuangan di atas permaidani merah, tetapi perjuangan yang memerlukan semangat dan jati diri yang unggul dan jitu. Segala pengalaman ini bukan sekadar dijadikan sejarah tetapi dijadikan iktibar dan pengajaran sebagaimana Rasullullah SAW dan para sahabat berjuang menentang golongan taghut dan mustakbirin. UMNO Cuba ‘Mengislamkan’ Orang Melayu Kegilaan kuasa UMNO semakin membabi buta setelah PAS dikeluarkan dari BN. Usaha menekan PAS dimulai dengan melarang PAS menggunakan lambang bulan sabit dan bintang yang menjadi simbol perjuangan PAS sebelum ini. Alasan yang diberikan pemimpin UMNO terlalu mudah iaitu bulan bintang adalah lambang Islam tetapi PAS mempolitikkannya, dan Islam tidak harus dipolitikkan. Itulah iktikad sekular pemimpin UMNO yang diwarisi sejak dahulu dan juga hari ini. Tekanan tersebut memaksa PAS menukar lambangnya kepada bulan purnama sebagaimana sekarang. Pemimpin UMNO tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa Islam itu Ad-Din yang lengkap dan melengkapkan dalam semua displin kehidupan baik bidang ekonomi, sosial, politik, budaya dan segalanya. Inilah juga antara sebab mengapa UMNO mahukan rakyat buta terhadap Islam kerana mudah diperbodoh oleh pemimpin mereka yang tidak pernah senang dengan perjuangan Islam. Setelah PAS disingkirkan dengan fitnah PAS kononnya mempolitikkan Islam, UMNO memulakan misi bagi mendakyahkan kepada orang Melayu dan rakyat bahawa kerajaan pimpinan mereka sedang merangka agenda Islam yang baru. Agenda Islam tajaan UMNO ini dianggap tindakan bagi membersihkan ‘kekotoran’ yang dilakukan PAS terhadap Islam sebelum ini. Walaupun PAS berada di luar gelanggang pada ketika itu, namun usaha UMNO menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama yang berkonsepkan 60 peratus pendidikan agama dan 40 peratus akademik disambut gembira oleh PAS. Kemasukan murid yang mencapai kecemerlangan 5A di peringkat Peperiksaan Penilaian Darjah 6 Sekolah Rendah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ini dianggap sesuatu yang wajar dan baik. Namun setelah beberapa tahun, dengan takdir Allah SWT, berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh pihak UMNO mendapati pelajar-pelajar Melayu-Islam yang bijak dan pintar ini setelah tamat persekolah dan pendidikan di dalam dan luar negara, mereka menyokong parti Islam yang didokong PAS. Pelbagai ancaman seperti menarik dan menyekat biasiswa kepada pelajar-pelajar ini bagi memadamkan igauan ngeri UMNO selama ini. Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama sekarang kurikulumnya telah ditukar kepada 60 peratus akademik dan 40 peratus pendidikan agama. Inilah ‘perjuangan’ Islam-UMNO. Manakala di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan juga didapati Majlis-majlis Perwakilan Pelajar banyak dikuasai oleh pelajar yang pro Islam. Gerakan kebangkitan Islam menyebabkan limpahan dan arus deras berlaku di sana sini sehingga tidak mampu lagi ditangani UMNO. Lalu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ‘diperkemaskan’. AUKU dijadikan penjara untuk memenjara pemikiran dan minda para pelajar. UMNO menerusi Puteri dan Puteranya mendekati pelajar-pelajar ini dengan sebebas-bebasnya, manakala pembangkang dianggap sebagai cuba mengganggu pemikiran pelajar untuk berpolitik sehingga meminggirkan pelajaran. Page 10 of 11
Terlalu banyak untuk dibariskan ‘dosa’ UMNO pada ketuanan Melayu-Islam. Pelbagai tekanan yang diberikan kepada orang Melayu oleh UMNO kepada rakyat Kelantan yang majoritinya lebih 95 peratus adalah orang Melayu. Hampir 20 tahun juga negeri ‘Serambi Mekah’ itu dinafikan hak mereka sebagai rakyat, orang Melayu dan orang Islam. Kini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang mana terdapat orang Melayu sama ada ramai atau sedikit sedang cuba ‘didera’ oleh golongan yang mendakwa mereka adalah pembela ketuanan Melayu. Lebih zalim lagi, apabila UMNO merelakan tahanan tanpa bicara ke atas rakyat yang tidak berdosa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walhal Islam melarang keras tindakan tanpa peri kemanusiaan yang sanggup dilakukan oleh UMNO terhadap rakyat dan orang Melayu. Lantaran perjuangan UMNO yang tidak berteraskan Islam, maka segala yang dilakukan tidak langsung berkiblat kepada Islam. Mereka lebih bermegah dengan perundangan penjajah yang telah diturunkan oleh ‘uncle-uncle’ mereka dahulu. Jangan biarkan rakyat ‘mencarut’ dengan sebab tindakan orang Melayu yang mengkhianati bangsa dan agama sendiri. Wahai saudara-saudaraku dalam UMNO, renungkanlah dengan mata hati dan bukannya dengan mata kati. Pulanglah ke pangkal jalan dan jadikan Islam sebagai teras dan pakaian, serta Melayu sebagai tubuhnya. Cukuplah dengan segala tipu muslihat kepada rakyat dan orang Melayu-Islam. Biarlah kami orang-orang PAS yang menjadi lilin yang dibakar dengan penipuan dan fitnah yang sudah-sudah, tetapi biarlah generasi Melayu-Islam hari ini serta rakyat keseluruhannya diberi peluang menikmati kemurnian ketuanan Melayu-Islam yang hakiki. Cukup, cukup dan cukuplah, tak perlu sebenarnya menceritakan keaiban dan dosa orang lain untuk pengetahuan umum. Namun sebagai iktibar dan pengajaran, sejarah perlu dirungkai bagi melihat kebenaran di sebalik dosa yang terpalit di badan. Wallahu a’lam.
Page 11 of 11