faaqihgroup.wordpress.com ebook gratis – animasi gratis – mp3 arabic gratis – software gratis – islam video gratis – islam galeri gratis – edukasi games gratis – tips/tutorial computer gratis – 3D wallpaper gratis – info bisnis online
Apakah sistem kapitalis? Oleh Muhammad Salleh Kita kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi dahulu. Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti kejuruteraan genetik dan dunia Internet, sedang berkembang dengan pesat. Semua ini, kita diberitahu, adalah hasil daripada kejayaan sistem kapitalis. Menurut penyokong-penyokong sistem kapitalis di merata dunia, sistem inilah yang telah membolehkan umat manusia mencapai tahap kemajuan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebuah sistem sempurna, yang tidak lagi dapat diubahkan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa buat kali pertama dalam sejarah dunia, kita mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan keperluan-keperluan setiap insan di dunia. Namun, apa yang tidak dikatakan oleh penyokong-penyokong kapitalisme itu adalah bahawa berjuta-juta orang masih mengalami kebuluran, berjuta-juta orang masih mengalami penyakit yang mudah dicegah, kehidupan berjuta-juta orang masih dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita, iaitu masyarakat kapitalis, dikuasai oleh ketidak-samarataan dan ketidak-adilan, sambil kehidupan kita semua diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata. Pada masa apabila sistem kapitalisme masih muda, Karl Marx sudah melihat percanggahan-percanggahan ini dengan jelas, lalu menulis: Dalam satu tangan, kuasa-kuasa perindustrian dan saintifik telah memasuki kehidupan, yang mana-mana zaman sejarah manusia lalu tidak pernah mengharapkan. Dalam tangan sebelah wujudnya ciri-ciri kereputan, yang jauh melintasi kengerian Empayar Rom. Pada hari-hari ini, semuamya seolah-olah hamil dengan percanggahannya. Jentera, dihadiahkan dengan kuasa memendekkan dan meringankan usaha manusia, kita melihat melaparkan dan membebankan manusia. Sumber-sumber kekayaan luas, oleh sesuatu keajaiban luarbiasa, diubahkan menjadi punca-punca keperluan. Di sebalik perbincangan-perbincangan seperti ini, terdapat satu persoalan asas, iaitu apakah sebenarnya sistem kapitalis? Apakah ciri-ciri asas sistem tersebut, dan apakah kesan daripada ciri-ciri tersebut? Pada pandangan pertama, jawapan kepada soalan-soalan seperti ini mungkin dikatakan ringkas. Bukankah sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang kaya memiliki kilang-kilang, pejabat-pejabat dan perusahaan-perusahaan yang lain? Bukankah pihak kapitalis menyokong pasaran bebas, tanpa apa-apa perancangan terpusat? Namun, dewasa kini, persoalan-persoalan tersebut tidak dapat ditangani dengan begitu mudah. Misalnya, kebanyakan perusahaan gergasi kini tidak lagi dimiliki oleh seorang individu, tetapi mungkin digerakkan oleh pejabat perusahaan atau kerajaan negara. Walau apapun perbezaan-perbezaan ini, yang jelas adalah bahawa para pekerja dan golongan bawahan terus dieksploitasi dan ditindas di bawah sistem kapitalis ini.
Maka, erti kapitalisme perlulah dikaji dengam menyeluruh dan disesuaikan dengan perkembangan ekonomi mutakhir. Dari segi ini, kajian Karl Marx terhadap sistem kapitalis sangatlah penting, kerana, dalam kata-kata Georg Lukacs, teori Marx teori Marx, “meleburkan wajah pertubuhan-pertubuhan sosial yang kaku, tidak bersejarah dan semulajadi; ia mendedahkan punca-punca bersejarah mereka dan maka menunjukkan bahawa ianya tertakluk kepada sejarah dari setiap segi termasuk kemunduran bersejarah.” Marx telah menunjukkan bahawa tindakan manusia pada masa yang lalu telah menciptakan dunia moden, bahkan juga bahawa tindakan manusia dapat membentukkan masa depan yang bebas dari percanggahanpercanggahan kapitalisme. Berhadapan dengan pendekatan ini, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji sejarah sistem kapitalis untuk mengenalpasti ciri-cirinya. Sebelum bangkitnya sistem kapitalis, iaitu semasa wujudnya sistem feudal, manusia belum lagi memajukan cara-cara untuk menguasai dunia semulajadi, atau untuk menghasilkan barangan yang mencukupi bagi setiap insan. Marx telah menulis bahawa kesemua hubungan-hubungan sosial dalam sistem feudal “diikat kepada tahap perkembangan kuasa-kuasa produktif dan tenaga pekerja yang rendah serta hubungan-hubungan terhad di antara manusia dan proses menciptakan dan menghasilkan semula kehidupan materialis mereka, dan maka juga hubungan-hubungan terhad di antara manusia dan alam.” Dalam sistem feudal, tanah merupakan sumber pengeluaran. Inilah yang dimaksudkan oleh Marx apabila dia menulis bahawa “Dalam permilikan tanah feudal, kita sudah menjumpai penguasaan tanah sebagai kuasa sesuatu yang asing ke atas manusia. Hamba serf adalah sampingan kepada tanah. Serupa dengan itu, pewaris melalui sistem pewarisan feudal, iaitu anak lelaki sulong, dimiliki oleh tanah. Ia mewarisi dia.” Dalam satu tangan, tahap kuasa-kuasa produktif yang rendah bermakna usaha berterusan bagi golongan petani, sambil dalam tangan sebelah, tuan-tuan feudal dan pegawai-pegawai gereja mengambil apa yang mereka menghendaki dari petani dengan kekuasaan. Hubungan-hubungan sosial dalam masyarakat feudal merupakan hubungan-hubungan penguasaan dan penaklukan, tetapi ia sudah jelasnya merupakan hubungan-hubungan sosial di antara individu-individu. Dari segi ini, batasan-batasan feudalisme sangatlah berbeza daripada dinamik kapitalisme. Pihak borjuasi muda menginginkan sebuah masyarakat di mana segalanya dapat dijual-beli dengan duit. Sebuah masyarakat seperti itu sudah pasti bergantung kepada pembatasan-pembatasan tanah bersama dengan kejam. Ini bermakna bahawa, buat kali pertama dalam sejarah manusia, majoriti masyarakat dinafikan jalan secara langsung kepada pengeluaran dan cara-cara menciptakan kekayaan. Maka, pada abad ke-17 dan ke-18 di Eropah, sebuah kelas pekerja yang tidak memiliki tanah telah ditaklukkan kepada bentuk pengeksploitasian yang baru, iaitu pekerjaan bergaji. Pendek kata, kapitalisme melibatkan perubahan asas dalam hubungan-hubungan di antara manusia, peralatan-peralatan pengeluaran dan bahan-bahan pengeluaran.” Oleh kerana perubahan-perubahan asas ini, setiap aspek kehidupan manusia telah diubah. Namun, perubahanperubahan ini hanya dapat dilaksanakan melalui apa yang Peter Linebaugh telah menamakan „serangan-serangan perundangan‟ pada hujung abad ke-18 untuk memperdayakan kelas pekerja bahawa apa yang mereka menghasilkan sebenarnya dimiliki oleh pihak kapitalis yang memiliki
kilang-kilang. Menjelang abad ke-19, pekerjaan bergaji telah menggantikan kesemua bentuk pembayaran yang lain di Eropah. Kajian Marx terhadap sistem kapitalis muda pada abad ke-19 menunjukkan bagaimana tenaga pekerja telah menjadi sebuah komoditi, yang dapat dijual-beli pada pasaran. Pihak kapitalis dan para pekerja mungkin bebas dari satu sama lain dari mana-mana segi rasmi, tetapi dalam realiti mereka berkait rapat. Pengeluaran barangan tidak lagi berlaku di rumah atau bengkel-bengkel kecil (seperti dalam sistem feudal), tetapi kini berlaku di kilang-kilang baru di mana mekanisasi tenaga pekerja telah mengubah hubungan-hubungan manusia. Dalam karyanya yang terpenting, iaitu Kapital, Marx membandingkan usaha tukang-tukang kraf di bawah sistem feudal dengan pekerja kilang di bawah sistem kapitalis: Dalam kraftangan dan pengeluaran, para pekerja menggunakan peralatan; di kilang, jentera menggunakan pekerja. Di sana, gerak-geri peralatan tenaga pekerja bergerak baginya, di sini ia adalah gerak-geri jentera yang mesti mengikutinya. Dalam pengeluaran, para pekerja adalah sebahagian daripada mekanisme hidup. Dalam kilang, kita mempunyai mekanisme tanpa kehidupan yang asing daripada pekerja, yang hanya menjadi sampingan hidup. Salah satu ciri kapitalisme yang paling membinasakan merupakan pembahagian tenaga pekerja. Sebelum kapitalisme, memang terdapatnya pembahagian tenaga pekerja secara sosial, dengan orang-orang berbeza telibat dalam cabang-cabang pengeluaran atau kraf yang berbeza. Dengan kapitalisme telah bangkitnya pembahagian tenaga pekerja secara terperinci dalam setiap cabang pengeluaran. Pembahagian tenaga pekerja ini bermakna bahawa pekerja terpaksa menjadi khusus dalam tugas-tugas tertentu. Maka, tidak menghairankanlah bahawa John Ruskin pernah menulis bahawa pembahagian tenaga pekerja adalah ungkapan palsu kerana ia adalah manusia yang dibahagikan. Dalam sistem kapitalis, para pekerja semakin bergantung kepada pihak kapitalis yang memiliki cara-cara pengeluaran seperti kilang-kilang dan pejabat-pejebat. Ia menjadi semakin mustahil bagi pekerja untuk hidup secara bebas daripada kapitalisme – jika dia bekerja, dia menjadi ibarat sebuah jentera; jika dia tidak bekerja, dia akan hidup dalam kemiskinan. Marx menulis mengenai para pekerja: “Kewujudan kapital adalah kewujudannya, kehidupannya, kerana ia menentukan kandungan kehidupannya dalam cara yang tidak mempedulikannya.” Pendek kata, para pekerja tidak mempunyai pilihan – bersedia bekerja atau bersedia mengalami kemiskinan. Maka, di bawah kapitalisme, tenaga pekerja menjadi tenaga pekerja yang dipaksa kerana para pekerja tidak dapat memilih untuk tidak bekerja, para pekerja tidak memiliki apa yang diciptakan oleh mereka dan para pekerja tidak dapat memilih apa yang patut diciptakan. Marx menulis: … pekerja hanya merasai dirinya apabila tidak bekerja; apabila dia bekerja, dia tidak merasai dirinya. Dia berasa selesa apabila tidak bekerja, dan bukannya di rumah apabila dia bekerja. Maka usahanya bukan secara sukarela tetapi dipaksa, ia adalah tenaga pekerja dipaksa. Maka, ia bukan kepuasaan sesuatu keperluan, tetapi hanya cara untuk memuaskan keperluan tersebut secara asing daripadanya. Sifat asingnya ditunjukkan dengan jelas oleh fakta bahawa sesudah apa-apa fizikal atau pemaksaan lain wujud, ia dipulaukan seperti wabak penyakit.
Di sini, kita dapat merumuskan perbincangan di atas dengan kata-kata berikut. Marx sebenarnya tidak menganggap permilikan alat-alat atau cara-cara pengeluaran oleh individu sebagai masalah utama kapitalisme. Dalam kajiannya ke atas sistem tersebut, yang menjadi jelas adalah bahawa dia menolak situasi di mana cara-cara pengeluaran dikuasai oleh sebuah minoriti (iaitu kelas kapitalis atau borjuasi), dengan tujuan mengeksploitasi majoriti (iaitu kelas pekerja). Pengeksploitasian ini dapat mengambil pelbagai bentuk dalam hubungan-hubungan sosial di antara manusia. Seperti yang telah dikatakan di atas, para pekerja tidak memiliki cara-cara pengeluaran, dan terpaksa menjual satu-satunya komoditi yang dimiliki mereka, iaitu tenaga pekerja mereka. Inilah satu sebab mengapa kemungkinan untuk merancangkan jalan-jalan ekonomi demi kepentingan masyarakat umum tidak dapat bangkit dalam keadaan seperti ini. Tambahan pula, setiap kapitalis didoring untuk bersaing demi memajukan perusahaannya sambil mengorbankan orang yang lain. Marx telah melaungkan: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabinabi baginya.” Ini bermakna bahawa kapitalis yang kuat memakan kapitalis yang lemah, dan bahawa sistem kapitalis akan merosot dengan dramatik apabila mengalami krisis ekonomi. Sejak abad ke-19, sistem kapitalis ini telah menyebar ke setiap penjuru dunia, dan mungkin tidak terdapatnya negara yang bebas daripada cengkamannya. Inilah sebab utama mengapa kajian Marx sangatlah relevan dan penting pada hari ini. Cara-cara pengeluaran masih dikuasai oleh golongan minoriti, biarpun di sebuah negara membangun seperti Malaysia atau sebuah negara maju seperti Amerika Syarikat. Walaupun bentuk persaingan kapitalis mungkin berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain, hasilnya sentiasa sama: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabi-nabi baginya.” Dan para pekerjalah yang menjadi mangsa. Maka, apa yang dapat dilakukan? Kajian Marx juga telah mengenalpasti kelas pekerja sebagai unsur yang dapat menumbangkan sistem kapitalis dan mengubah masyarakat. Walaupun pihak borjuasi atau kelas pemerintah dapat menggunakan penguasaan mereka ke etas ekonomi untuk menguasai kanca politik melalui kerajaan, tentera dan polis, kejayaan sistem mereka juga mewujudkan sebuah kelas yang mempunyai kuasa untuk membebaskan seluruh umat manusia – iaitu kelas pekerja. Kelas pekerja ini tidak mengenali warna kulit, jantina, orientasi seksual, mahupun sempadan negara. Hanya kelas pekerja sendiri yang dapat membina sebuah masyarakat tanpa keperluan dan tanpa diktator kerana kelas pekerja sememangnya berbeza daripada kelaskelas yang lain. Kini terdapatnya beratus-ratus juta pekerja dan jumlah mereka semakin meningkat setiap hari. Kerana kapitalisme merupakan sistem antarabangsa, ia terus mengembang dan mengerjakan mereka yang suatu hari nanti akan memusnahkan sistem kapitalis itu. Kemampuan unik kelas pekerja untuk mengubah dunia berpunca dari kedudukan kelas tersebut dalam sistem kapitalisme. Secara asasnya, kapitalisme menarik penduduk dari desa dan menghimpunkan mereka di tempat-tempat bekerja yang besar. Maka, para pekerja mendapati bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada unit yang melibatkan beratus-ratus atau beribu-ribu orang. Untuk mencapai pembaikan dalam keadaan mereka, para pekerja perlulah bertindak secara kolektif, dengan melibatkan rakan-rakan sekerja mereka. Untuk mengubah dunia, kelas pekerja perlulah bersatu di bawah panji-panji demokratik lagi sosialis.