SLOT 3 : CoRT 1 DAN 6 THINKING HATS 1.0
: CoRT 1 Istilah CoRT ialah singkatan kepada perkataan Cognitive research trust yang dipelopori
oleh Edward De Bono. Terdapat sebanyak enam bahagian dalam program CoRT tersebut iaitu CoRT 1 (keluasan persepsi), CoRT 2 (organisasi proses berfikir), CoRT 3 (interaksi, argumen, pemikiran kritis), CoRT 4 (pemikiran kreatif), CoRT 5 (maklumat dan perasaan), CoRT 6 (tindakan). Namun, guru sering menggunakan CoRT 1 dalam pengajaran mereka. Terdapat tujuh teknik asas dalam penggunaan CoRT 1 seperti di Rajah 1.
PMI OPV
APC
CAF KOMPONEN CORT1
FIP
C&S
AGO
Rajah 1, komponen-komponen di dalam CoRT 1.
Teknik yang pertama dalam komponen CoRT 1 ialah baik, buruk, menarik (Plus, Minus, Interesting - PMI). Teknik ini dipanggil PMI. Teknik ini digunakan untuk meluaskan sudut pandangan seseorang. Minda dilatih untuk berfikir berbagai-bagai arah seperti berfikir tentang kebaikan, keburukan dan yang menarik tentang sesuatu sebelum membuat keputusan. Ini amat bertepatan dengan konsep berfikir di mana sesuatu keputusan ditangguhkan sehingga mendapat maklumat yang lengkap. Pelajar perlu mengelakkan daripada beremosi dengan tujuan untuk mengembangkan idea. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan teknik untuk menentukan kerjaya kita pada masa akan datang dengan menyenaraikan kebaikan dan kelemahan diantara kerjaya-kerjaya yang ada seperti guru atau doktor. Melalui teknik ini, kita
dapat membuat keputusan yang bijak dan jelas selepas mendapat tahu segala kebaikan dan kelemahan tersebut. Selain itu, teknik dalam komponen CoRT 1 ialah ambil kira semua faktor (Consider all Factors - CAF). Teknik ini disebut CAF. Tujuan penggunaan CAF adalah untuk melatih pelajar berfikir dan meninjau semua aspek bagi sesuatu situasi dengan lengkap dan menyeluruh. Hal ini juga untuk mengelakkan mereka daripada terlupa faktor penting bagi tajuk yang dibincangkan. Kita perlu sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat akan mempengaruhi kita dan individu di sekeliling kita. Adakalanya, sesuatu keputusan itu akan memberi kesan negatif kepada individu lain. Oleh itu, amalan melakukan CAF dalam mencapai sesuatu keputusan dapat memastikan semua individu atau faktor lain diambil kira terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. Contoh faktor yang perlu diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan ialah nilai pegangan agama, kepercayaan, etika dan nilai individu serta keluarga, aspek ekonomi dan politik berkaitan dan sosio budaya dan sains teknologi. Contoh penggunaan CAF ialah kita mengambil kira semua faktor yang berkaitan dalam menentukan kerjaya kita dan mempertimbangkan setiap faktor tersebut. Akhirnya, kita akan mendapat keputusan yang tepat selepas pertimbangan sewajarnya dibuat. Seterusnya, kesan mengikut jangka masa (Consequences & Sequel - C&S) juga merupakan salah satu teknik dalam komponen CoRT 1. Teknik ini dipanggil C&S. Tujuan penggunaan C&S adalah untuk melatih pelajar berfikir dan menjangkakan perkara yang akan berlaku selepas sesuatu cadangan dijalankan. Pelajar juga akan meramal kesan dan akibat keputusan tersebut. Kita tahu bahawa sesuatu tindakan yang diambil selepas keputusan dibuat mengakibatkan kesan-kesan tertentu sama ada serta-merta, dalam masa terdekat (5 tahun) atau jangka panjang (lebih daripada lima tahun). Kita mungkin mendapat satu atau beberapa alternatif keputusan yang perlu dipilih. Teknik C&S dapat membantu kita mengenal pasti kesan-kesan ini terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan. Dengan ini kita juga dapat bersedia menangani akibat yang akan terjadi pada masa hadapan. Sebagai contoh, kita menggunakan teknik ini juga dalam menentukan kerjaya kita sama ada menjadi seorang guru atau doktor dengan membuat jangkaan risiko yang akan dihadapi atau kesannya serta merta atau dalam jangka masa panjang atau dalam jangka masa pendek. Selepas memikirkan risiko ini, kita mampu untuk membuat keputusan yang tepat. Kemudian, teknik dalam komponen CoRT 1 yang lain ialah tujuan, matlamat dan objektif (Aims, Goals, Objectives - AGO). Teknik ini dipanggil AGO. Tujuan penggunaan AGO adalah untuk melatih pelajar berfikir agar sentiasa menumpukan perhatian terhadap tujuan asal supaya matlamat tercapai. Hal ini juga dapat membantu pelajar mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak berkaitan dan menyeleweng dari tujuan asal semasa
perbincangan atau pemikiran sedang berjalan. Contoh penggunaan AGO ialah kita memikirkan tujuan kita untuk memilih kerjaya sebagai seorang guru dan menentukan matlamat kita seperti ingin menjadi seorang guru yang terbaik di seluruh Malaysia. Dengan mempunyai matlamat itu, kita akan melakukan sesuatu yang berkaitan terhadap tujuan itu agar matlamat kita tercapai. Di samping itu, teknik lain yang termasuk dalam komponen CoRT 1 ialah kepentingan utama (First Important Priorities - FIP). Teknik ini dipanggil FIP. Tujuan penggunaan FIP adalah untuk melatih pelajar agar dapat berfikir dengan mendahulukan sesuatu perkara mengikut kepentingan atau keutamaan. Perkara penting harus diberi keutamaan terlebih dahulu. Teknik ini membantu kita mengenal pasti keutamaan, yang terpenting dan yang memerlukan tindakan. Dalam hal-hal yang kita mesti membuat pilihan, FIP boleh digunakan. FIP juga biasanya digunakan dengan teknik yang lain. Sebagai contoh, kita membuat pemilihan kerjaya dengan mengutamakan yang mana lebih penting sama ada kerjaya sebagai guru atau menjadi seorang peniaga sampingan. Dengan itu, selepas membuat pertimbangan kita akan dapat memfokuskan kepada kerjaya dan tanggungjawab kita yang lebih utama. Teknik yang terdapat dalam komponen CoRT 1 lagi ialah alternatif, kemungkinan dan pilihan (Alternatives, Possibilities, Choices - APC). Teknik ini dipanggil APC. Tujuan penggunaan APC adalah untuk melatih pelajar berfikir berkenaan beberapa perkara dengan serentak. Kemudian pelajar diminta menentukan pilihan yang terbaik. Teknik ini membantu pelajar menyenaraikan alternatif dan kemungkinan-kemungkinan yang ada sebelum ia buntu dengan satu pilihan keputusan. Dengan mengamalkan teknik ini, kita memaksa diri kita untuk mencari beberapa alternatif dan pilihan sebelum kita membuat keputusan. Teknik ini juga melatih kita berfikir serentak tentang pilihan dan kemungkinan yang kita ada. Hal ini juga bertujuan untuk mengelakkan pelajar daripada mempunyai pemikiran sehala sahaja. Sebagai contoh, kita mengaplikasikan teknik APC ini dengan memikirkan alternatif lain jika kerjaya kita sebagai seorang guru tidak berjaya dicapai. Oleh itu, kita hendaklah mencari jalan lain untuk menampung dan menyara hidup dengan melakukan kerja lain seperti membuat perniagaan secara di dalam talian. Teknik yang terakhir sekali dalam komponen CoRT 1 ialah pandangan orang lain (Other People’s View - OPV). Teknik ini dipanggil OPV. Tujuan penggunaan OPV adalah untuk melatih pelajar berfikir dengan mengambil kira pandangan orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan. Pelajar dilatih untuk mengelakkan daripada membuat keputusan yang terlalu memfokuskan diri. Ia memerlukan kita mementingkan pandangan dan pendapat orang lain tentang apa jua keputusan yang akan diambil. Oleh itu, sebelum kita membuat keputusan, kita perlu terlebih dahulu mengkaji akibat atau pengaruh yang wujud daripada keputusan
terhadap orang lain. Setiap orang yang terlibat dengan apa jua tindakan atau keputusan yang kita buat, mempunyai pandangan yang berbeza kerana mereka melihat dari sudut atau kedudukan yang sudah tentunya berbeza. Contoh penggunaan OPV dalam menentukan kerjaya kita sebagai guru sama ada sesuai atau tidak dengan diri kita dengan mengambil kira pendapat orang lain seperti ibu bapa, saudara mara terdekat, orang yang lebih berpengetahuan tentang kerjaya tersebut dan rakan-rakan. Dengan itu, kita akan dapat membuat keputusan dengan yakin dalam menentukan kerjaya kita tanpa dipengaruhi oleh perasaan diri sendiri setelah membuat pertimbangan atas pendapat-pendapat orang lain. Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa perbezaan pendapat wujud. Ia disebabkan oleh latar belakang, status, pengetahuan, pengalaman dan sistem nilai yang berbeza di kalangan individu. Kaedah OPV ini sesuai digunakan apabila terdapat kemungkinan perbalahan pendapat daripada berbagai-bagai pihak. Semasa menggunakan kaedah ini, kita harus bersikap terbuka dalam mendengar pendapat atau idea orang lain dan jadikan pendapat itu sebagai panduan dalam membuat keputusan yang akan diambil. Oleh itu, kaedah Cort 1 sangat membantu pelajar dalam pembelajaran dan pengajaran mereka terutama sekali dalam menyelesaikan masalah dan membuat sesuatu keputusan yang tepat kerana kaedah ini telah mengambil kira segala faktor dan kemungkinan yang akan berlaku berbanding dengan hanya mengambil pendapat orang lain sahaja.
2.0
: 6 THINKING HATS
Pada tahun 1985, Edward De Bono telah mengasimilasikan (assimilate) peringkat-peringkat dan pemikiran-pemikiran beliau menggunakan konsep yang lebih mudah iaitu menggunakan Enam Topi Pemikiran atau “6 Thinking Hats‟ (De Bono, 1999). Mengikut tulisan beliau, topi ini dibahagikan mengikut 6 warna seperti Rajah 2 supaya lebih jelas diingati oleh minda dan lebih sistematik.
Rajah 2, Enam Topi Pemikiran De Bono
Secara ringkasnya, warna yang dipilih membawa makna dan maksud yang tertentu, sesuai mengikut tafsiran beliau. Contohnya, warna putih dikaitkan dengan kertas computer. Topi putih adalah sesuatu yang natural. Topi putih adalah fakta dan informasi. Topi merah pula adalah emosi, kerana itu ia dikaitkan dengan api. Emosi akan kita sentiasa bertukar mengikut arahan minda. Topi hitam pula adalah perspektif dari sudut yang negatif. Apabila ada unsur yang tidak baik, apa yang harus minda kita lakukan ialah mengambil langkah berjaga-jaga. Maka kerana itu topi hitam bermaksud berhati- hati. Sesuatu yang negatif mungkin berbentuk ancaman, halangan, cabaran dan kelemahan. Topi kuning pula dikaitkan dengan matahari. Ia sentiasa bersinar. Ini adalah berlawanan sifatnya dengan topi hitam.
Topi kuning akan memandang dari sudut yang positif. Ia akan memandang dari sudut peluang, keperluan dan kekuatan.
Topi hijau pula dikaitkan dengan sayuran, sesuatu yang tumbuh dan sentiasa membesar. Ini adalah idea minda yang harus dirangsang secara berterusan. Topi biru pula membawa maksud langit (blue sky). Ianya adalah pemikiran peringkat atasan. Topi biru akan mengawal selia proses kesemua topi yang lain. Selain menggunakan Enam Topi Pemikiran dalam perbincangan dan mesyuarat, kegunaan pemikiran menggunakan Enam Topi ini juga sesuai untuk diadaptasikan dalam pembelajaran di sekolah.