Cerpen : Memori Katak Pisang Teratai-teratai berwarna merah jambu terapung di permukaan menyerikan ketenangan kolam di petang yang hening ini. “Raya nie dia orang nak datang..” terngiang-ngiang suara emak di telinga. Aduh.. sejak pulang ke kampung ini petang kelmarin hatinya semakin sesak. Ikutkan hati mahu saja dia balik ke Kuala Lumpur semula. Bukannya apa, dia baru nak membuka mulut bertanya berita si Suhana alih-alih kisah Suhaimi pula yang disebut. Aduhai.. tolonglah aku! “Dah termenung kat sini kenapa?” Suara mak jelas kedengaran di belakang. Aku cepatcepat bangun sambil tersengih malu. “Bukan termenung mak.. ni tengah pikir ni nak balik pagi raya ke nak balik sebelum raya..” “Hah.. jangan nak buat benda bukan-bukan.. “ ugut emak membuatkan aku tersenyum. Seram jugak mak dengar apa yang aku cakap. Aku mengeluh bosan dan melangkah ke halaman. Kelihatan adik-adik aku sedang sibuk memasang pelita panjut yang bakal menyerikan malam Tujuh Likur nanti. “Mak ni bukan apa Jun, tu pak lebai tu teringin sangat nak berbesan dengan mak nie.. “ “Ala mak nie.. kalau iye pun nak berbesan kenapa mesti jodohkan Jun dengan Suhaimi tu?” Aku menarik muncung. Bosan betul bila menyebut nama lelaki itu. Ah.. lelaki macam tikus tu. Eii.. tak sanggup aku nak tengok keadaan dia yang tak serupa orang tu. Dahlah kurus melengking.. lembik nak mampus pulak tu.. “Tak naklah kalau dengan dia mak!” Terpacul saja perkataan itu dari mulutku. Emak yang sedang melayur daun pisang menjeling. “Nak atau tidak, cubalah kau jumpa dia dulu.. tak lama lagi… 5 hari lagi jer..” Aku mengeluh lagi. Patutlah mak tanya tanya soalan yang tak logik hari tu. “Kerja kau macammana sekarang nie Jun?” “Okey.. dah confirm pun.. mak toksah risau la.. tahun depan dah boleh pakai kereta..” jawabku sambil ketawa. “Umur kau pun dah nak masuk 24 tahun depan kan?” soal mak lagi sambil sibuk mengacau daging masak lemaknya. “Kawan kau si Mastura tu dah dua anak dia.. Hah.. Aton yang selalu mengaji dengan kau
dulu pun dah nak beranak tak lama lagi.. “ Alamak.. dah menyimpang tajuk nie.. “Mak ari tu kan Jun ada baca dalam surat khabar cara-cara nak awet muda.. mak bolehlah amalkan petua tu.. nanti Jun pegi ambil,” “Eh.. orang cakap pasal dia dia sibuk cakap nak awet mudakan kita pulak.. tunggu dulu!” Alamak..Aku duduk semula di kerusi. “Mak nie dah nak masuk 50 dah Jun.. tengok jiran-jiran kita tu.. teringin jugaklah mak nie nak menimang cucu…” “Err.. mak nak suruh si Aishah kawin ke?” “Mengarut ye cakap ngan mak? Aishah tu baru darjah 5! Kau tu la mak nak suruh kawin..” Aku tertawa melihat mak memasamkan muka. Aduii.. mati aku kali ni.. “Mak nie.. macammana la Jun nak kawin.. dulu masa sekolah ada orang minat kat Jun mak tak kasi layan. Masa saham Jun tengah naik masa sekolah menengah pun mak warning jangan nak menggatal bercinta. Dulu ada mat saleh nak kat Jun masa kat UK dulu mak larang jugak.. Dah tu macammana Jun nak kawin, boyfriend pun tak de…” Aku mencapai pisau dan memotong sayur kacang. “Itu dulu.. sekarang nie takkan tak ada apa-apa kot..” mak senyum. Aku menggeleng kepala. “Sapa nak kat Jun nie mak.. bukan selawa mana pun.. tambahan pulak Jun nie pakai tudung. Orang lelaki sekarang nie mana nak pandang sangat orang pakai tudung nie..” sengaja aku memberi alasan. “Itu kau tak payah bimbang.. bulan lepas, ada orang merisik kau,” Adoii!! Aku mencampak pisau ke tepi. Jari telunjuk yang terhiris tadi kutekup dengan hujung baju kurung kedah. “Buat kerja tu lain kali hati-hati sikit.. “ mak menggeleng kepala sambil mengambil serbuk kopi dan menghulur kepadaku. “Siapa pulak yang nak menempah malang tu mak risik Jun nie..” soalku. “Ala.. Lebai Sahak..” Lebai Sahak? “Untuk siapa? Untuk Badrul ke?” soalku lagi. Terbayang wajah pensyarah muda itu di ruang mata. “Bukan.. untuk Suhaimi…” Apa??
Solat terawih sudah pun selesai. Aku mengekor di belakang emak yang asyik berbualbual dengan Mak Tih Kiah depan rumah kami. “Ini ke si Jun?” satu tepukan lembut di belakangku membuatkan aku terperanjat beruk. Wanita bertelekung putih itu tersenyum sambil mengusap belakangku mesra. “Iye la kak Aji.. sapa lagi kalau bukan anak dara ceruk dapur saya nie..” sahut emak sambil mengerdip-ngerdip mata. Alah.. apa lak mak nie main bahasa-bahasa mata ni? Seketika cubitan halus hinggap di punggungku. Adoii..aku menjeling mak geram. “Salam..” bisik emak. Ohh.. segera aku menghulurkan tangan. “Dah lama sangat tak jumpa.. iyelah.. orang belajar tinggi.. jauh pulak tu..” “Hmm.. nak buat macammana kak aji.. dia orang nie bukannya macam kita nak mengenal saudara.. hari raya pun buat tak tahu saja..” “Suhaimi tak balik lagi?” soal mak. Yearlkk.. ak u terasa tekak sudah mula bergelodak bila mendengar nama itu. “Entahlah.. dulu dia talipon nak balik hari melemang.. tak tau la Long Zah.. orang kerje drebar nie payah sikit nak dapat cuti.. “ Apa? Driver? Aduii.. mak ni biar betul nak jodohkan aku dengan driver. “Buat apa la dia pergi kerja dengan orang putih tu iye Kak Aji..nak cuti raya pun susah.. dah lama jugak dia tak balik beraya rasanya..” amboi mak nie.. “Hmm.. entahlah Long.. tak tahu jugak la nak cakap.. “ keluh Mak Aji Som. “Jun kerja di mana sekarang ni?” soalnya. “Di Putrajaya mak Aji..” “Ohh.. kerja kat tempat PM.. baguslah tu.. kerja la elok-elok.. err.. mak aji balik dululah ye.. datang ke rumah Jun bual-bual dengan Suhana.. dia dalam pantang tu.. “ pesannya sebelum beredar. Aku Cuma mengangguk. Dalam hati sabar ajelah.. Si Suhaimi tu bukan aku tak kenal. 24 jam bersongkok.. anak pak lebailah katakan. Pulak tu lembiknya macam katak pisang. Eii.. Masih kuingat lagi zaman kami kecil-kecil dahulu. Aku sebaya dengan Suhana adiknya. Selalu sangat si Lembik tu kena buli dengan budak-budak.. dan tukang backingnya siapa lagi kalau bukan aku. Kalau kita bercakap dengan dia macam bercakap dengan dinding. Mulut tu macam ada berlian. Hari-hari berkepit dengan muqaddam.. pasal apa nak tau? Pasal bebal sangat. Dahlah lembik nak mampus.. kalau mengaji tak pernah lancar. Padahal 24 jam mengepit Muqaddam. Hemm.. tu baru story
kat kelas mengaji. Belum kat sekolah. Walaupun dia tu lebih tua 4 tahun dari aku tapi semua hampeh. Kalau nak tengok muka dia hah, tunggu aje la waktu perhimpunan. Kalau ada budak kurus kering kepala tunduk bersongkok hitam berdiri kat depan tu, hah dialah. Kerananya.. periksa tak pernah pas. Nombor akhir sekali dalam kelas tu memang dia yang memegangnya sampai habis sekolah rendah. Yang aku pelik tu buku tak pernah lepas dari tangan.. orang lain tu tak pegang buku pun boleh lulus periksa. Sebut aje Suhaimi Lembik memang orang kenal sangat. Seramai enam orang adik beradiknya dia seorang saja yang ‘kureng’ sikit. Pelik jugak anak lelaki bongsu Pak Lebai tu. Kenan apa agaknya Mak Aji Som masa mengandungkan dia dulu. Penat lagi rasanya aku berlari menghambat budak-budak yang selalu mengacaunya. Pun begitu dia tak pernah nak berterima kasih. Dahlah lembik, sombong lak tu! Selepas itu aku tak ikuti perkembangan Si Katak Pisang itu. Dengar khabar dia pergi sekolah kat Kedah tinggal bersama pak ciknya yang mengajar di sana. Dan aku pula selepas habis darjah 6 mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di Raub, Pahang. Sejak itu kami semakin jauh. Suhana juga bersekolah di Terengganu dan tamat dengan sijil SMA sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir. Dalam surat pun Suhana tidak ada bercerita tentang abangnya yang lembik itu. Ahh.. Suhana pun tak berapa suka nak melayan abangnya yang gagap tu. Oh ya.. lupa aku nak cerita Suhaimi nie gagap sikit.. itu pasal berat mulut macam berlian. Dan sekarang nie aku rasa Tuhan nak menduga aku. Kenapa dalam ramai-ramai anak Pak Lebai Dollah tu, Si Suhaimi Lembik itu yang terkena pada aku? Kenapa tidak Badrul yang menjadi pensyarah di UIA tu? Ataupun si Azlan yang sedang buat master di USM tu? Aku menumbuk bantal menahan geram. “Mak, kalau tolak boleh tak mak?” soalku membuatkan emak tidak jadi memasukkan bancuhan bahulunya ke dalam acuan. Aku tunduk sambil menguis-kuis sabut kelapa yang semakin hangus dimakan bara api. “Hmm.. kan mak dah cakap dulu, jumpa dulu.. “ “Tapi.. mak kan tahu Suhaimi tu macammana..” “Macam orang la.. macam apa lagi?” soal mak selamba sambil menambah kayu kayu kecil yang dikerat-kerat. “Dulu mak tanya kau kata kau tak ada boyfriend. Lagipun..nak harap sapa lagi. Anak dara
mak dua orang aje. 5 lagi lelaki. Takkan nak suruh adik kau si Aishah tu pulak..” “Habis tu mak dah nak sangat bermenantu..” “Iyelah.. sudahlah arwah ayah kau tak sempat menengok kau bersanding, nanti kalau mak pulak menyusul.. macammana?” soal emak membuatkan mulut aku terkunci. “Lagipun.. memang sebelum arwah pergi dulu dia ada sebut-sebut nak bermenantukan si Suhaimi tu.” Apa???? Aku rasa macam nak pengsan. Ah sudah.. mesti nak guna isu arwah ayah pulak.. “Kau tau tak.. sungguhpun dia tu macam tu Jun, dia la yang paling rajin menolong ayah kau kat kebun. Tak semua dalam setandan pisang tu elok.. tapi walaupun dia macam tu, dia rajin, hormat orang tua.” Aduii.. cuping telinga terasa kebas mendengar pujian dari mulut emak. “Satu lagi mak nak pesan, jangan memilih rupa.. bukan boleh bawa bahagia..” emak menjeling tajam. “Tapi mak..” “Sudah, bakar kuih ni! Mak nak tengok si Hisham tu dah siap ke tidak pelita buluh dia..” Emak angkat punggung meninggalkanku di situ. Aduii..
“KAK JUN, apa kata tolong Aina bawak barang-barang ni..beratlah!” Aina berkerut-kerut kening menjinjing dua plastik besar barang-barang. “Engkau nie.. bawak tu sikit pun nak bersungut..” “Kak Jun la.. tadi abah suruh bawak kereta tak nak.. dah kita kena jalan kaki jauh-jauh macam ni..” sungutnya. Aku Cuma tersenyum. Kalau fikir balik, padan la dengan muka kau. Tadi semasa sampai di rumah bukannya nak menolong apa-apa yang patut. Orang bandarlah katakan.. dah berapa kali mak ngah menjeling-jeling tadi tapi dia selamba baring menengok tv. Akhirnya bila dengar aku nak ke bandar cepat saja mak ngah menyuruh si Aina ikut sama. Tapi nak dijadikan cerita, bas tiba-tiba pancit sedangkan ada lebih kurang 3 kilometer lagi nak sampai ke rumah. “Kak Jun telefonlah rumah suruh abah ambil!” Aina sudah tidak larat untuk berjalan. “Mana ada line kat sini.. tak nampak bukit bukau nie..?” soalku. Aina mengeluh dan mencangkung di tepi jalan.
“Habis tu?” “Kalau penat kita stop sini dulu.. kejap lagi kita sambung balik jalan..” “Apa? Kak Jun tau tak sekarang nie lagi sejam nak berbuka? Kalau macam tu bila nak sampai?” soal Aina terkejut. ‘InsyaAllah, sebelum subuh esok kita sampai..” “Kak Jun ni!!!” Aina mula merajuk. Aku Cuma tersenyum. Tak boleh susah sikit sepupu aku ni. Maklumlah dari pandai menangis keluar dari perut ibu sampai dah 17 tahun umur hidup macam bidadari.. Aina.. Aina.. kalau kau duduk dengan mak aku.. memang dah cukup syarat dah kau nak jadi bini orang! Kalau kau sanggup dengar bebelan anak dara pemalas kau cubalah bangun meninggi hari. Kalau nak rasa kutilan halus berbisa kat punggung cubalah kau basuh pinggan berbunyi-bunyi.. hinggaplah sedas dua kutilannya kat peha kau yang gebu tu. Itu belum lagi dia tengok kau pakai skirt pendek seperti kebiasaan di KL sana.. alamatnya kena kejar kelilling rumah la engkau! Surau yang semakin roboh dimamah usia di hadapan kami kutatap. Dahulu di sinilah aku bersama kawan-kawan menuntut ilmu keakhiratan saban petang selepas waktu sekolah. Pokok kundang tempat permainan kami masih utuh megah berdiri di sebelah kanan rabung surau. Dahulu laman surau ini pasti bersih kerana Suhaimi akan menyapunya setiap hari. Dan aku pula bersama Aton, Mastura dan Aidah akan menjadi tukang sepah. Elok-elok si Lembik itu selesai menyapu aku segera memanjat pokok rambutan. Dan di hujung dahan itu aku menggegar segala dahan dan daun-daun rambutan yang kuning akan bertaburan semula. Tapi Suhaimi tak pernah sekalipun marah. Mungkin kerana sedar diri aku selalu menyelamatkannya dari gangguan Usop Hingus cucu Tok Empat Latip itu. Kadang-kadang aku sengaja membiarkannya mencuci lantai di kaki surau yang sudah kotor dengan tanah merah kerana kami tak pernah meninggalkan kasut di luar kawasan bersimen. Masih teringat sewaktu di bulan Ramadhan yang mulia ini, 16 tahun yang lalu, si Suhaimilah mangsa menyimpan segala kuih-kuih moreh untuk aku. Kadangkadang bahagian dia aku ambil dan dia Cuma memandangku sambil terkebil-kebil. Aku senyum sendiri melihat kenangan lama dahulu. Teruknya perangai aku! Tapi mujurlah emak dan ayah tak pernah tahu. Lagipun Suhana pun tak pernah kata apa, asalkan aku sentiasa menjadi penyelamat abangnya. “Oii.. lembik! Kau nie lain kali jalanlah cepat sikit..karang kalau budak hingus tu datang
kang mula la kau terpekik-pekik!” Teriakku geram. Suhaimi masih terhegeh-hegeh mengayuh basikal yang lebih besar dari badannya. Suhana Cuma menggeleng kepala. “Imi.. cepatlah sikit!! Dah malam ni… kang kalau lalu kat kubur kat depan tu.. “ “Hishhh!! Mulut tu..” Suhana menekup mulut. Aku berhenti di tepi jalan menanti si Lembik yang mengayuh macam kura-kura tua. “Jujjjujjj…Jun!! Aaaa..add..ddaaa menda la!” “Apa lagi??” Aku menongkat basikal dan menghampirinya. “Ngape?” soalku melihat mukanya sudah pucat lesi. Dia terketar-ketar menunjuk ke belakangnya. “Pasal?” “Aaadd…da mmmeennda pepe..peggang song…songggk…kok mi!” Air matanya sudah merembes keluar. Aku menggeleng kepala. “Penakut! Bukan orang la! Ranting kayu! Bodoh betul..” jawabku sambil melepaskan ranting kayu yang tersangkut pada songkok buruknya. Aku dan Suhana tertawa kelucuan. Suhaimi terkulat-kulat mengesat air matanya. “Kau nie lain kali beranilah sikit! Sampai bila aku asyik nak jadi tukang kejar Usup tu jer.. ko tengok aku nie baru nak gemuk dah kurus balik, asyik jadi tukang penyelamat kau jer..” Aku menumbuk bahu Suhaimi. Tetapi tiba-tiba saja dia terus terlentang. Ak enna.. memang dasar lembik! Begitulah alkisahnya si Suhaimi. Aku tersenyum melihat anjung tempat kami belajar mengaji dulu. Begitu juga telaga yang pernah mencipta sejarah dahulu. Sejarah yang menyebabkan Suhaimi tercampak jauh di negeri Kedah kerana satu peristiwa yang tidak disengajakan! “Kak Jun!!” Aku terkejut beruk. Aina tersenyum di sisi seorang lelaki yang sedang tersenyum memandangku tidak jauh dari Toyota Altisnya yang tersadai di bahu jalan. “Kak Jun cepat naik! Abang nie nak tolong hantarkan..” Aku memandang lelaki itu curiga. “Cepatlah kak!!” Aina menarik tanganku. “Kau nie.. kau kenal ke orang tu?” Aina menggeleng kepala. “Dah tu pandai-pandai sangat nak tumpang kenapa?” “Kak Jun ni dah nak berbuka dah ni tau.. takkan kita nak tunggu sini sampai besok pagi! Lagipun takutlah.. sini sunyi.. mana ada rumah orang..”
“Iye la.. tapi kita tak kenal dia.. bukan orang kampung kita nie..sekali bapak ayam ke..” “Apalah akak ni!” Aina sudah menarik muka masam. “Kalau akak tak nak naik sudah! Biar Aina balik dengan abang tu!” Amboi.. tak makan nasihat! Aku memaksa diri melangkah menghampiri lelaki itu. “Errr.. Abang, ni la kakak sepupu kita.. “ Aku tersenyum sekadar berbahasa. Dalam hati memang geram dengan telatah Aina. “Duduk kat kampung mana?” soalnya sambil membukakan pintu. Aina cepat-cepat masuk. Sabar aje la aku. Lelaki itu Cuma tersenyum melihat aku kegeraman. “Pamah Kulat.. err.. Encik ni nak kemana?” soalku setelah dia mula menggerakkan keretanya. “Saya nak berbuka puasa di rumah pak cik saya.. selalu jugalah saya ke sini, tapi tak pernah jumpa.. cik..” “Junaida! Nama dia Junaida bang!” cepat Aina menyampuk. Ehhh.. budak nie pandaipandai aje.. kalau dia duduk sebelah aku kat belakang nie memang nak kena cubit. “Ohh.. dekat-dekat sama dengan nama Aina ye… Junaida.. Junaina.. silap-silap orang ingat kembar..” Aina tertawa kecil. Amboi gediknya si Aina nie.. mentang-mentanglah mamat nie hensem dan macho sikit. “Jun, Jun tak kenal saya ke?” soal lelaki itu sambil melihat aku melalui cermin. “Err.. sorry la.. memang tak kenal,” “Perangai awak nie dari kecil memang tak berubah-ubah. Berterus terang..” Lelaki itu tersenyum. “Err.. abang kenal ke kak Jun?” soal Aina hairan. “Jun tak ingat masa kecil-kecil dulu.. budak yang selalu tunggu Jun tepi simpang depan tu masa balik mengaji? Yang selalu bawa lastik burungtu..” Aku mengerut kening. Terbayang tiga ekor iblis kampung yang selalu mengganggu Suhaimi. Masih kuingat lagi baju kurungku terkoyak teruk kerana menghambat mereka kerana menyorokkan selipar Suhaimi. “Err… ni Usop ke?” soalku. “Ya.. Usop la nie.. yang selalu Jun kejar dulu..” Usop tertawa kelucuan. Mak aiii.. biar betul budak berhingus ni dulu dah jadi macho dan kacak sebegini. “Kau tak percaya kat aku ke Jun.. aku la.. Usop Hingus yang kau cakap dulu.. kau buat
apa sekarang nie Jun?” soalnya. “Kerja kat Putrajaya.. kau?” soalku pula. “Dulu jadi model.. ala masa tu kau kat UK.. sekarang nie aku buka business sikit-sikit.. dah tua ni Jun.. kenalah cari ekonomi yang kukuh sikit..” keretanya membelok ke tengah laman. Kelihatan Pak Ngah baru saja menghidupkan enjin kereta saat kami turun dari kereta. Usop berlalu setelah aku mengucapkan terima kasih. “Ingatkan sesat ke mana tadi.. “ ujar pak ngah sambil mengunci kereta Mercedesnya semula. Aku Cuma senyum dan masuk ke dalam rumah. Sesaat selepas itu azan maghrib pun berkumandang….
MALAM ke 25 Ramadhan begitu bercahaya. Pelita-pelita panjut menyala terang di kiri kanan jalan. Aku merebahkan badan di atas katil. Adikku Aishah tidur di luar bersamasama Juliana dan Atheera. Memang setiap kali musim raya mak ngah dan pak ngah akan bermalam di rumah kami memandangkan rumah atuk telah sendat dengan adik beradik yang lain seramai 8 buah keluarga. Si Junaina tidur di bilik aku. Anak dara sulung pak ngah tu memang tak suka berhimpit-himpit macam adik-adiknya yang lain. Tapi dia berhati baik, tak lokek barang dan harta benda. Hmm… kawin? Aku tersenyum sendiri. Macammana aku nak terima si Suhaimi sedangkan suatu masa dahulu aku yang menjadi pelindungnya. Lagipun, macammana dia nak sara hidup aku nanti? Entah-entah, gaji aku lebih tinggi dari gaji dia. Isshh… kalau dia handsome macam si Usop tu tak apa juga. Lagipun, aku ni bukannya tak ada rupa. Cuma jodoh belum tiba lantaran sibuk dengan pelajaran dan kerjaya. “Aku tak sangka tomboy brutal masa kecil-kecil dulu dah jadi macam tuan puteri.. apa rahsia kau Jun..” soal Usop sambil tersenyum. “Rahsia..? Entahlah.. time is changed Usop.. kau tu pun.. dulu mana ada macam nie.. “ balasku. Kerapu kukus masih berwap panas membangkitkan selera. Tapi mengenangkan aku ni anak dara terpaksa control sikit.. Siang tadi beriya-iya benar dia mengajak aku keluar berbuka sama di Restoran Terapung Nelayan di bandar Lipis, satu-satunya restoran eksklusif di daerah itu. Kira-kira sejam perjalanan dari Raub. “Mungkin aku banyak membantu kot.. kalau tak kerana kau yang selalu mengejar kita
orang dengan pelepah pinang takkan kau jadi tinggi lampai macam ni, betul tak?” usik Usop lagi. “Apa la kau ni Usop..” “Tak sangka kan.. setelah 14 tahun terpisah kita berjumpa semula, kan?” Usop senyum mempamerkan barisan giginya yang kemas tersusun. “Kau.. kau dah ada special boyfriend?” soalnya membuatkan aku tersedak. Cis!! Celako.. soalan maut dia tanya aku! “Kenapa? Kau nak jadi boyfriend aku? Kau dah lupa parut kat perut kau dulu?” soalku. Usop tersengih. “Jun, aku tertarik dengan kau.. kalau kau mahu beri aku peluang, aku tak akan kecewakan kau..” Wah.. semudah itu? Aku tersenyum. “Jangan bergurau Sop..” “Tak .. aku tak bergurau.. serius.. kalau kau nak tahu sejauh mana kejujuran aku.. aku akan hantar rombongan ke rumah kau bila kau kata yes.. sungguh Jun.. aku dah tak macam dulu lagi.. “ Kata-kata Usop masih terngiang-ngiang di telinga. Aku kebuntuan. Biar betul mamat sekor ni.. Mustahil dia lupa perutnya yang bocor akibat terkena kaca dulu. Sebulan kena tahan di wad gara-gara aku. Itulah kacau lagi si Suhaimi tu. Aku tertunduk. Tiba-tiba ingatan pada Suhaimi menjelma. Kerana peristiwa itu juga Suhaimi terbuang jauh dari bumi Dato’ Bahaman ini. Dan yang pasti semakin hampir hari raya semakin aku terasa sesuatu yang belum kulangsaikan. Peristiwa itu masih segar di ingatan. Waktu itu hari raya semakin hampir tiba. Seperti biasa Suhaimilah orang pertama tiba di surau. Membentangkan sejadah.. membersihkan laman yang ditimpa dedaun kering.. memasak air.. Sewaktu sedang sibuk dia mengambil air dari perigi di belakang surau Usop, Udin dan Mail Kengkang datang mengganggu. Simen surau yang sedang dibersihkan sengaja dikotorkan lagi. “Uuusss…sssop! Jajaja..janganlah kkkootorrkan!” pintanya. Usop Cuma tertawa mengejek dan merampas songkok usang Suhaimi. “Ohh.. patutlah bersongkok sepanjang masa.. ada kurap kat kepala!!!” Suhaimi berusaha merebut songkok lusuhnya tetapi tiga ekor jin itu semakin galak mempermainkannya. Aku menggigit bibir geram. Dari atas dahan pokok kundang yang sedang kemaruk
berbuah itu aku menyaksikan perbuatan mereka. Dalam hati aku jadi marah .. kenapalah si Lembik nak mampus tu tak melawan? Cuba bagi penumbuk sebiji! “Woii!!” Usop terhenti dan berpaling ke arah suara itu. Aku segera turun dari pokok kundang dan menghampiri mereka. “Hek elehh… nak tolong buah hati dia la tu..” sindir Mail Kengkang. “Pulang balik songkok dia!” Aku membulatkan mata. Dia orang nie memang nak kena luku ngan aku ni.. aku menyingsing lengan baju kurung bersedia mengepal penumbuk. Usop menjelingku sambil tersenyum. “Ko sayang sangat budak berkurap nie kenapa?” soalnya. “Eh suka aku la nak sayang ke nak benci ke.. kau sibuk kenapa? Pulang balik songkok dia!” Aku menunjal kepala Usop yang rambut berceracak seperti landak mengeram itu. “Ko main kepala ye? Kerana budak kurap nie kau tunjal kepala aku??” Usop memegang tanganku kuat. “Ko nie nak kena sangat yek?” soalku sambil mengangkat kaki 45 darjah. Sekuat hati aku menendang perut Usop. Usop terpersok di celah tiang surau. Aku tertawa puas. Padan muka. “Wei..meh la bangun lawan kalau ko nak sangat.. wei!!” Aku mengacah-acah penumbuk ala-ala peninju. Suhaimi yang terpisat-pisat mengesat pipinya yang basah. Perlahan dia mengutip songkoknya di atas tanah. Aku menanti Usop untuk bangun tapi yang terdengar esak tangis beserta raungan kesakitan. Alamak.. aku mendekati Usop. Usop berpaling memegang perutnya yang sudah mengalir darah pekat. “Usop!! Pak Lebai! Usop luka! Usop kena kaca!!” Mail Kengkang dan Udin sudah menjerit panik. Aku tergamam begitu juga Suhaimi. Kelihatan botol kaca yang sudah pecah tercacak di kaki tiang. “Jjjuun! Laa…laariii!!” Suhaimi menolakku. Aku kepucatan. Usop sudah tidak bergerakgerak lagi. “Imi.. macammana ni?” “Lllaarr..rri cececepat!” Gesa Suhaimi. “Ceeccepat!!” Dan tanpa menanti aku membuka langkah seribu. Dan air mata ketakutan mula mengalir deras. Aku dah bunuh Usop ke?? Sejak peristiwa itu aku menjadi pendiam. Tidak lagi selincah dahulu. Dengar khabar separuh nyawa Suhaimi dibantai Pak
Lebai kerana dia mengaku dia yang menolak Usop. Tak cukup dengan itu Suhaimi dibawa ke Kedah setelah tamat Darjah 6. Kerana kesilapanku dia rela dihukum walaupun sepatutnya aku tampil ke hadapan. Sejak hari itu aku tidak lagi melihat bayang Suhaimi. Duniaku rasa aman, pertama aku tidak perlu menjadi bonzer Suhaimi. Kedua Usop juga diambil semula oleh ibubapanya dan tinggal di Kuala Lumpur. Namun, saat aku berjuntai di atas pohon kundang aku terasa kehilangan sesuatu. Kehilangan bila melihat laman surau yang sarat dengan dedaunan.. lantai dan tangga yang tidak dijaga bersih seperti selalunya. Tapi perasaan itu hilang bila aku meninggalkan alam kanak-kanak. Nama Suhaimi kian luput diingatan sehinggalah emak membuka suara tentang hajat Pak Lebai. Memang, Suhaimi tentu masih seperti dulu, kepalanya botak kerana penuh dengan kudis yang tak pernah baik, badan lembik dan melengkung.. tapi dia tak pernah menyakiti hati orang lain. Dan kerana Suhaimi juga aku mula berubah menjadi anak gadis yang lebih sopan. Tidak lagi menghabiskan masa di atas pokok kundang, tepi-tepi sungai.. “Woi!! Termenung!” Aku terperanjat. Ikan-ikan yang berenang tadi bertempiaran lari. Usop tertawa kecil. “Kau ni Sop.. kalau aku lemah jantung mati kempunan la kau nak tengok aku bersanding..” Usop tertawa lagi dan duduk di sisiku. “Macammana?” soalnya. Aku senyum. “Emm.. aku ada cerita nak kasi tau kau..” ujarku. “Jun, kau tak percaya kat aku ke?” soalnya. “Aku ikhlas Jun.. sebenarnya memori kita kecil-kecil dulu tak pernah luput dari ingatan aku.. sama selagi parut luka kat perut aku nie masih ada. Aku tak salahkan kau Jun.. malah peristiwa itu menyedarkan aku. Kalau tak kerana kau, aku tak mungkin berjaya macam hari nie..” Usop tersenyum. “Aku hargai perasaan kau tu Sop.. tapi.. kau dah terlambat.” Aku senyum. “Maksud kau .. kau dah ada yang empunya? Boleh aku tau siapa Jun?” soalnya terkejut. “Emm.. kau mesti tak percaya…” aku sendiri nak tergelak. Tapi aku yakin dengan petunjuk dari Allah. Istiharah aku telah menampakkan keputusan yang patut aku buat. “Cakaplah Jun.. sekurang-kurangnya aku nak tahu siapa lelaki bertuah tu..” pinta Usop. “Suhaimi,” “Suhaimi? Jun.. mustahil Suhaimi Lembik..” Aku mengangguk membuatkan Usop
tertawa besar. “Kau nak buat lawak ke Jun? Takkan kau nak bersuamikan budak berkurap tu..” Usop menahan lucu. “Sop.. biarpun dia berkurap.. lembik.. tapi hati dia baik. Lagipun.. aku terhutang budi pada dia.. kerana akulah dia terpaksa membawa diri. Kau tahu kan dia dihalau ke Kedah kerana luka perut kau dulu.. “ “Betul ke? Patutlah aku dah tak jumpa dia lagi..” Usop tunduk. “Tak salah kalau aku memilih dia kan Sop? Dulu kau jugak ejek-ejek dia tu buah hati aku.. sekarang nie.. makbullah doa kau tu.. “ aku tersenyum. “Apa pun.. aku harap kau tak menyesal Jun..” “Menyesal? InsyaAllah tidak.. lagipun Suhaimi pun manusia.. Cuma dia tak sehebat kau.. tapi kalau itu yang membahagiakan aku tak salah kan?” Usop terasa disindir. “Lagipun Sop, mak aku pesan jangan memilih rupa..” sambungku lagi menerbitkan rona merah di muka Usop. “Err.. okey la Sop.. aku nak balik dulu.. kau datanglah raya esok kat rumah aku.. bye!” Aku segera meninggalkan pinggir tasik itu. Langkah kuatur kerumah fikiranku menerawang. Aku percaya ketentuan Allah.. harapnya pilihan kali ini diberkati olehNya. “Kak Jun.. mak panggil ke dalam,” ujar Aishah sebaik saja aku sampai di dapur. Kelihatan Aina sedang mengacau rendang di kuali. Mak Ngah tersenyum sambil mengisi beras ke dalam kelongsong ketupat. Aku segera naik ke atas. Alamak!! Segera aku berpatah balik. Dua orang lelaki yang sedang berbual-bual dengan mak kelihatan mencurigakan. Eh.. siapa pulak nie. Aku mengintai. Alamak.. yang kurus kering tu macam kenal ajer.. sesekali dia tertawa menampakkan gigi kapaknya yang besar-besar. Errkkk!! Hatiku berdebar-debar. Mataku beralih pula si kacak yang berjeans sedang memangku seorang budak kecil. “Kak Jun!!” Opocot!! Aku terperanjat besar. Aishah kupeluk erat. “Sapa tu?” bisikku. “Tu la abang Suhaimi…” Apa?? “Junn!!!” Alamak!! Suara mak jelas lantang memanggil. Aku rasa macam patung cendana. Mak.. Jun tak sanggup nak terima Suhaimi!! Kata nak datang hari raya.. ni belum raya lagi dah datang!! Ishhh!!
“Jun mari sini kejap!” Suara emak memanggil memaksa aku melangkah ke hadapan. Mak tersenyum. “Hah.. inilah Jun Imi.. Jun.. kau kenal lagi tak Suhaimi ni?” soal mak. Aku rasa tak larat nak angkat muka. Sampai hati mak suruh Jun kawin ngan dia nie.. “Jun..” Aku memaksa diri bila cubitan emak hinggap di peha. Wajah lelaki kurus kering itu kutatap. “Jun..” Eh.. magik ke dia.. panggil nama aku tapi mulut tak kumat kamit pun.. “Mak.. Jun tak nak kawin!” Bisikku perlahan ke telinga emak. Sekali lagi cubitan halus hinggap ke pehaku. “Jun.. ini Imi bawa souvenir dari Paris..” Eh.. lelaki kacak yang sentiasa tersenyum itu bangun tiba-tiba dan duduk di sebelahku. Eh.. biar betul. “Jun tak kenal Imi lagi ke?” soalnya. Aku renung mukanya lama. Mana wajah Imi yang cengkung dulu? Mana songkok lusuhnya? Apa sudah jadi pada badan kurus melidinya dulu? Dan aku cari lagi bukti mengatakan dia adalah Suhaimi. Dan.. ya.. anak matanya yang berwarna kelabu itu masih kekal pada Suhaimi Lembik yang kukenali dulu. “Imi.. macammana Imi boleh jadi macam ni? Imi dah tak gagap lagi?” soalku spontan. Suhaimi tersenyum. “Semuanya kerana Jun. Junlah yang mengubah Imi yang lembik dulu kepada Imi hari ini…” ujarnya sambil tersenyum. “Tapi Imi..” “Tapi apa lagi? Imi nie mesti penat..baru sampai terus ke sini.. macammana jadi drebar kapal terbang di negeri mat saleh sana Imi?” sampuk emak. Drebar kapal terbang? Aku serta merta tergelak kecil. Rupanya perpisahan kami membawa perubahan yang positif . si penakut dah berjaya menerbangkan pesawat! “Bukan drebar kapal terbang la mak long.. pilot..” sampuk Juliana sambil tertawa. Aku mencuri pandang. Agaknya inilah petunjuk Allah. “Imi, maafkan Jun kerana Jun Imi terpaksa tinggal di Kedah,” “Dan kerana Jun juga Imi berubah, Imi jadi kuat bila teringatkan Jun.. dan terima kasih kerana banyak melindungi Imi dulu. Dan sekarang.. izinkan Imi pula untuk melindungi Jun selama-lamanya..” Mak aiii.. aku rasa terbuai.. mak.. Jun setuju pilihan emak!!! Dan lelaki yang kurus itu suami Suhana rupanya!! Aku senyum lagi.. kalau dah jodoh.. katak
pisang pun boleh bertukar jadi putera raja!! Syukur pada Tuhan!