CARA-CARA YANG BERKESAN UNTUK MENJAGA KESELAMATAN KANAK-KANAK.
Pada era pascamerdeka ini, kes jenayah dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik hangat dalam media massa. Kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan dibunuh oleh binatang yang betopeng manusia. . Kes adik Sharlinie dan adik Asmawi yang masih belum ditemui. Kes-kes tersebut turut diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes-kes jenayah kanak-kanak telah menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia dengan kanak-kanak tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kepada manusia yang yang kedangkalan kemanusiaan, pelbagai langkah yang efisien patut dilaksanakan untuk melindungi anak kita supaya mereka dapat hidup dalam dunia yang aman, harmoni dan bahagia.
Untuk menangani masalah ini daripada terus menjalar, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan. Dalam konteks ini, ibu bapa harus sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya
menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka.
Selain itu, media massa perlu mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing perhatian dan kerjasama daripada masyrakat untuk menghulurkan bantuan bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu yang dikutuk oleh Tuhan. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali sama ada dalam cakare padat digital cetak rompak ataupun dalam internet. Adegan keganasan akan terserap ke dalam jiwa yang kedangkalan keimanan. Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa.
Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak kita. Mereka yang mencabuli, memperkosa, menculik dan mendera kank-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat, seperti hukuman penjara mandatori, human sebat malar-malar hukuman gantung sampai hati. Hukuman yang maksimum dapat menyebabkan golongan yang sering mendampingi syaitan itu berasa serik untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thai dan
Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguat kuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang comel tidak diragut oleh manusia yang tidak waras.
Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita . Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Janganlah kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa tentang keselamatan anak mereka. Jangan terhantuk baru tengadah. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih untuk melindungi hak kanak-kanak