Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lainlain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kapada masalah kes buli ini. Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan. Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain. Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada
penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini. Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya. Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di
sekolah. Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’. Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya
kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama. Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia. Cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat malaysia. Cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek. Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari
patriotik. Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilainilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar. Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi. Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.
Kemerdekaan
31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat bagi negara Malaysia. Tanpa disedari, banyak peristiwa dan insiden yang berlaku sejak tarikh keramat itu. Kita semua telah berjaya membina sebuah negara yang menyerlah hasil jerih perih dicengkam penjajah sebelum ini. Kita berjaya menyemai benih-benih kemakmuran dan kini menikmati manisnya hasil keringat pemimpin terdahulu. Lebih penting lagi kita telah membawa bersama sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk selain dilimpahi dengan semangat muhibah, tidak ketinggalan juga bersatu dalam perkongsian kejayaan pada masa depan. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangga, megah dan gembiranya rakyat Malaysia untuk melihat negara tercinta keluar dari kepompong British setelah dijajah selama lebih 170 tahun. Laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka masih segar dalam ingatan dan menjadi sebuah memorabilia yang manis bukan sahaja kepada mereka yang hidup kirakira setengah abad yang lalu bahkan juga generasi muda kini.
Hakikatnya, hasrat untuk mengecapi dan menghirup udara kemerdekaan tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak kerana perjuangan yang dipelopori oleh tokohtokoh kemerdekaan negara seperti Allahyarham Dato Onn bin Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan. Dalam lembaran sejarah yang panjang, usia 50 tahun itu begitu cepat berlalu. Apabila rentang masa itu diukur dalam kerangka sejarah manusia, 1957 seolah-olah sekelip mata sahaja detiknya. Segala
harapan, jangkaan dan aspirasi negara kini berada pada puncaknya di saat rakyat Malaysia melangkah ke era baru melepasi zaman keemasan yang dinikmati dalm suasana aman, maju dan makmur.