Bulan Membaca - Sudut Perpustakaan Keluarga

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Bulan Membaca - Sudut Perpustakaan Keluarga as PDF for free.

More details

  • Words: 682
  • Pages: 4
ARKIB : 29/06/2005

Bulan membaca - Sudut perpustakaan keluarga JULAI - BULAN MEMBACA Oleh Wahid Hashim

Anda masih ingatkah `kotak' kutub khanah semasa berada di alam persekolahan sekitar tahun 70-an dan pertengahan 80-an? Kutub khanah merupakan sebuah kotak empat segi tepat setinggi tiga meter atau empat meter dan setebal setengah meter yang di dalamnya terdapat rak yang disusun dengan buku cerita. Ia biasanya diletakkan di sudut sebelah kiri atau kanan di belakang kelas. Kutub khanah ini boleh dibuka dan ditutup, dan boleh dikunci apabila tidak digunakan. Di dalamnya diisi dengan buku-buku cerita seperti Kisah Lebai Malang, beberapa siri penyiasatan oleh Enid Blyton, koleksi jurnal Geografi (Ilmu Alam), Sejarah dan sebagainya. Sudut bahan bacaan berserta kotak kutub khanah ini diceriakan lagi dengan sebaris meja yang di atasnya diletakkan hasil seni pelajar seperti lukisan, kraftangan, alatan seni dan sebagainya. Konsep begini nampaknya tidak dapat dilakukan dalam bilik darjah hari ini kerana sukatan pelajaran yang terlalu banyak dan ketat. Budaya seperti ini tidak seharusnya dilupakan kerana ia sebenarnya merintis jalan memupuk sikap menghargai dan menilai bahan bacaan - apa juga bahan bacaan.

Kita boleh bersikap positif dengan menghidupkan konsep yang sama, tetapi kali ini dengan membawanya ke dalam rumah kita. Kita boleh mewujudkan apa yang diistilahkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai sudut perpustakaan keluarga. Apakah sudut perpustakaan keluarga? Ia adalah ruang, sudut atau pun bilik untuk menempatkan bahan, rujukan serta bahan elektronik seperti komputer, televisyen, alat rakaman kaset atau video yang mengandungi maklumat serta pengetahuan yang boleh dijadikan khazanah ilmu terkumpul untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga. Secara umumnya, bahan-bahan di sudut perpustakaan keluarga boleh dibahagikan kepada bahan rujukan segera (contohnya buku panduan nombor telefon), bahan bacaan (contohnya novel) serta bahan elektronik (seperti video). Contoh Sebenarnya, anda boleh mengkelaskan lagi bahan-bahan tersebut mengikut buku bacaan dewasa, buku latihan anak-anak dan majalah-majalah yang si ibu selalu baca seperti majalah hiasan dalaman rumah. Berikut diberikan contoh yang lebih jelas: - Bahan rujukan seperti kamus, atlas, ensiklopedia, buku manual, buku resipi dan buku panduan telefon. - Bacaan riadah seperti novel, buku bergambar, majalah dan album keluarga. - Pita video, kaset, cakera padat (CD-Rom), permainan seperti scrabble, sahibba, catur, karom dan sebagainya. Di ruangan manakah anda boleh membina sudut perpustakaan rumah?

Terpulanglah kepada kesesuaian rumah anda. Ia boleh diwujudkan di sudut ruang rehat, salah satu sudut ruang makan, bilik khas dan sebagainya. Suasana yang terang dan ceria boleh mengelakkan sudut perpustakaan keluarga anda menjadi tempat yang serius dan hambar. Aktiviti keluarga seperti membaca bersama, membuat teka silang kata, bermain scrabble atau sahibba bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi menajamkan minda dan menambahkan pengetahuan. Jika anda ingin mewujudkan perpustakaan yang lebih serius, anda boleh mengkhususkan lagi bahan mengikut bidang atau genre, dan seterusnya meletakkan kod yang khusus. Sekadar contoh, PNM dalam risalah edaran sudut perpustakaan keluarga mencadangkan sistem pengkelasan seperti berikut: 000 (umum), 100 (Falsafah), 200 (Agama), 300 (Sains Sosial), 400 (Bahasa), 500 (Sains), 600 (Teknologi/Sains GUnaan), 700 (Kesenian), 800 (Kesusasteraan) dan 900 (Geografi dan Sejarah), F (Fiksyen atau buku cerita). Sebaik-baiknya, sudut yang dipilih nanti mempunyai aliran udara yang baik (berangin) dan elakkan daripada cahaya matahari. Kalau hendak memilih rak, sebaik-baiknya biarlah yang terbuka. Julai ialah bulan membaca. Seseorang itu dilihat daripada buku apa yang dibacanya. Bagaimana kalau kita tidak membaca? Sudut perpustakaan keluarga adalah gaya hidup zaman moden yang perlu diwujudkan di setiap rumah.

Tibalah masanya untuk kita memperuntukkan sedikit daripada pendapatan bulanan kita untuk membeli buku. Kenapakah perlu ada sudut perpustakaan keluarga? Sudut perpustakaan keluarga bertujuan menjadikan seisi rumah kita kaya dengan ilmu dan bermaklumat. Amalan membaca perlu dipupuk dari rumah. Keluarga berperanan penting bagi mewujudkan budaya membaca. Membaca perlulah dijadikan aktiviti harian sekeluarga, sama seperti makan bersamasama, menonton televisyen dan sembahyang berjemaah. Bagi memupuk nilai ini, amat penting diadakan kemudahan bahan bacaan untuk sekeluarga di rumah. Pada lazimnya, sebilangan keluarga mempunyai bahan bacaan yang dibeli dan disimpan secara sendiri. Bahan ini jika dikumpulkan dan disusun dengan sempurna akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga. Malahan saudara mara, jiran dan sahabat handai juga boleh meminjam dan menggunakannya Berdasarkan hakikat ini, setiap keluarga perlu mengadakan sudut perpustakaan keluarga. Jadikan tabiat membaca sebagai budaya nasional. Sumber: Utusan Malaysia Online

Related Documents