headline: nelayan laut dalam umpan habis ikan tak dapat byline: am kuala lumpur: tidak dapat dinafikan, sejak lebih 20 tahun, malaysia telah melangkah jauh ke arah memaju dan memberi penekanan melalui strategi pembangunan tersusun dalam usaha mengaut hasil lumayan daripada kekayaan perikanan laut dalamnya. namun, usaha itu bagaikan kapal mengharungi badai yang ganas di musim tengkujuh, sebagaimana yang terbukti pada pulangannya yang agak rendah. sejak kawasan zon ekonomi eksklusif (zee) dimeterai pada 1984, yang juga merupakan era baru dalam industri perikanan laut dalam, kerajaan dengan berteraskan dasar pertanian negara, telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar dalam usaha meningkatkan pendaratan ikan dan memodenkan sektor itu. zee telah meningkatkan kawasan laut malaysia daripada 47,000 kepada 162,000 batu nautika persegi, sekaligus meningkatkan sumber perikanan laut dalamnya berlipat kali ganda. sasaran 430,000 tan metrik antara strategi yang diperkenalkan dalam usaha memaksimumkan pendaratan ikan laut dalam ialah dengan membenarkan para pengusaha menyewa atau menggunakan kapal secara mencarter, anak kapal dan kepakaran asing kebanyakannya thailand dan taiwan, yang jauh lebih ke hadapan dalam industri itu. timbalan ketua pengarah (operasi) jabatan perikanan, ahamad sabki mahmood berkata pendaratan ikan daripada sektor laut dalam di negara ini ialah sekitar 200,000 tan metrik setahun namun, jumlah ini jauh di bawah paras penangkapan ikan laut dalam secara mampan berjumlah 430,000 tan metrik setahun dan di sinilah bermulanya cabaran, katanya. "jika keadaan ini tidak diperbetulkan dari sekarang, ia mungkin akan menjejaskan hasrat kerajaan untuk mencapai rm4 bilion lebihan dagangan di bidang perikanan menjelang 2010," kata ahamad sabki. ketika itu, kerajaan berharap untuk menghasilkan dua juta metrik tan ikan bernilai rm11 bilion setahun dan daripada jumlah itu 500,000 tan metrik adalah daripada industri laut dalam. sumber industri perikanan yang lain dijangka dapat menghasilkan 900,000 tan daripada nelayan kawasan pantai dan 600,000 tan metrik daripada akuakultur. beliau menyifatkan penglibatan rakyat di bidang perikanan laut dalam tidak begitu menggalakkan dan mereka yang terbabit masih terikat dengan cara tradisional dalam menguruskan perusahaan dan kewangan mereka. ahamad sabki berkata sekalipun banyak usaha telah diberikan untuk memodenkan sektor itu, tidak banyak yang dapat dicapai dalam mengubah minda mereka. 'jalur sehala', kos operasi tinggi "sesetengah nelayan mungkin berjaya dengan menceburi bidang laut dalam menggunakan kapal yang lebih besar untuk meningkatkan tangkapan tapi tidak berjaya mengatur neraca kewangan untuk pengurusan akaun yang lebih teratur," katanya. ahamad sabki berkata kebanyakan nelayan laut dalam juga mempunyai "jalur sehala" dalam operasi mereka dengan memberi tumpuan hanya kepada menangkap ikan. ini agak malang, kerana mereka boleh terlibat dalam industri itu dengan pendekatan bersepadu seperti membekal kemudahan peti sejuk, memproses ikan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain di sektor hiliran. katanya ketiadaan model perniagaan seperti itu mendedahkan mereka kepada risiko kegagalan
yang sangat tinggi seperti mudah dieksploitasikan oleh orang tengah dan pulangan modal yang lambat serta masalah lain. "lantaran mereka hanya bergantung kepada sumber pendapatan daripada penangkapan ikan, kos operasi mereka adalah tinggi," katanya. masalah lain yang dihadapi ialah operasi perikanan laut dalam selalunya merupakan perniagaan keluarga yang tidak melatih tenaga pelapis untuk mengambil alih jika pengusaha berkenaan tidak dapat meneruskan operasi atas sebab-sebab tertentu. kekurangan tenaga mahir melalui kaedah tradisional, keberkesanan kapal dan pengendalian ikan dengan menggunakan kotak kayu menyebabkan mutu ikan menurun, lantas menjejaskan harga. ahamad sabki berkata industri perikanan laut dalam bukan saja dikuasai oleh awak-awak asing yang kini berjumlah sekitar 18,000 orang, malah pengusaha yang sudah lanjut usia. sifat dan suasana kerja yang keras serta tidak menyenangkan juga memudarkan semangat dan keinginan anak muda untuk bekerja di kapal-kapal ikan laut dalam, dan ini menjejaskan usaha untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dalam industri itu. dekan fakulti sastera dan sains sosial, universiti malaya, prof dr mohammad raduan mohd ariff berkata masalah besar yang dihadapi negara dalam industri perikanan laut dalam ialah mendapat tenaga mahir yang mencukupi. para belia yang tidak mampu menghadapi cabaran di laut lebih memilih untuk menceburi bidang lain yang menawarkan suasana kerja, gaji dan ganjaran yang menarik. "ketiadaan tenaga mahir turut membantut usaha kerajaan dalam memperkenalkan alat-alat tangkapan ikan laut dalam yang canggih," katanya pada satu syarahan perdana baru-baru ini yang bertajuk 'pembangunan perusahaan perikanan di semenanjung malaysia: umpan habis ikan tak dapat.' dapat penghormatan masyarakat katanya, masalah lain yang dihadapi oleh industri itu ialah kekurangan prasarana asas seperti jeti, kemudahan peti sejuk dan penyimpanan, kemudahan untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan, terutama di kawasan pantai timur. sekalipun terdapat kompleks-kompleks pendaratan ikan di kawasan itu, kebanyakan daripadanya hanya sesuai untuk bot-bot nelayan pantai yang berat kasar 40 tan (grt) dan ke bawah, katanya.perikanan laut dalam memerlukan bot-bot yang lebih besar iaitu 70 grt dan ke atas, dengan kawasan operasi di atas 30 batu nautika dari pantai. ketua jabatan perikanan dan akuakultur, fakulti agroteknologi dan sains makanan, kolej universiti sains dan teknologi malaysia (kustem), profesor madya dr sakri ibrahim, juga bersetuju bahawa para belia yang bekerja dalam bidang perikanan laut dalam, hanya sebagai pilihan terakhir.katanya alasan mereka tidak begitu berminat juga berkait rapat dengan persoalan ekonomi dalam kerjaya di bidang itu yang tidak begitu menjanjikan dan memberikan kepuasan, tidak seperti di jepun dan taiwan. "di negara-negara ini, mereka yang bekerja di kapal-kapal laut dalam mendapat penghormatan masyarakat kerana mereka mendapat gaji yang lumayan dengan ditambah oleh sistem perkongsian hasil tangkapan," katanya. di malaysia, sistem perkongsian hasil tangkapan itu disebut "panggu" diamalkan oleh ramai pengusaha laut dalam. namun, katanya sistem itu hanya lebih memanfaatkan para pengusaha dan tekong kapal yang memang sudah kaya. kos tinggi latih nelayan
dr sakri mencadangkan para pengusaha perikanan laut dalam menukarkan sistem pengendalian mereka berteraskan kaedah korporat yang turut menekankan aspek pembangunan insan, untuk menjadi industri itu lebih berdaya saing. katanya kerajaan juga mesti terus menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada nelayan ikan laut dalam untuk memastikan bidang yang memerlukan modal besar ini mencapai matlamatnya bukan saja untuk menjadikan negara ini mempunyai bekalan dalam negara yang mencukupi malah untuk dieksport. dalam pada itu, ahamad sabki berkata jabatan perikanan sebenarnya telah mengatur pelbagai usaha untuk menarik minat dan menyediakan para belia untuk bekerja di kapal-kapal perikanan laut dalam sebagai tekong, dengan harapan suatu hari kelak mereka menjadi pengusaha di bidang itu. ini termasuklah melatih mereka di bawah program pembangunan nakhoda di institut perikanan malaysia di chendering, terengganu. sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2000, lebih 300 belia telah menjalani kursus enam bulan di institut itu dan enam bulan lagi latihan amali di kapal latihan perikanan jabatan itu. hanya separuh daripada mereka yang keluar daripada institut itu meletakkan masa depan mereka dengan bekerja di pelbagai kapal ikan laut dalam. jumlah itu memang agak kecil berbanding jumlah wang yang dibelanjakan untuk melatih seorang pelatih yang mendapat elaun rm1,200 sebulan dan rm1.8 juta setahun untuk mengendalikan program itu. pencerobohan nelayan asing dalam pada pembangunan insan diberi penekanan dalam industri perikanan laut dalam, pelbagai kaedah terus diusahakan untuk memastikan perikanan laut dalam memberi sumbangan besar kepada hasil negara. usaha ini termasuklah mengawal kawasan laut yang luas dan kaya itu daripada dicerobohi nelayan-nelayan asing, dan meningkatkan sumber perikanan melalui pemasangan terumbu di beberapa kawasan laut dalam. selain itu, kerajaan terus menaja program pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi untuk melahirkan lebih ramai ahli akademik dan penyelidik di bidang berkenaan.semua ini adalah untuk menyediakan malaysia menguruskan sumber perikanan laut dalamnya tanpa perlu lagi bergantung kepada kapal-kapal dan tenaga kerja asing. bernama