Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan mercu tanda yang sangat sinonim bagi bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran, keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara. Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang membabitkan promosi pelancongan negara. Bangunan ini telah direka oleh arkitek berbangsa British, A. C. Norman dan A. B. Hubbock yang pada waktu itu bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894. Batu asas pembinaan telah diletakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Charles Mitchell pada 6 Oktober 1894. Bangunan ini siap dan dirasmikan pada tahun 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham. Nama Bangunan Sultan Abdul Samad diambil sempena nama Sultan Negeri Selangor pada masa itu. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi strategik bandaraya Kuala Lumpur iaitu berhadapan dengan Padang Kelab Selangor dan persimpangan jalanjalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C.
Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Arch yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini.
Peta bangunan sultan abdul samad
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur terletak di persimpangan Jalan Bangsar dan Jalan Kuching. Ia telah direka bentuk oleh arkitek British, A.B. Hubback pada tahun 1913. Bangunan ini telah siap pada bulan November 1917 dengan kos pembinaan sebanyak RM780,422.00. Bangunan ini sekarang menempatkan sebuah stesen keretapi, pejabat KTM Berhad dan Hotel Heritage. Bangunan ini telah mengalami dua peristiwa yang mengganggu gugat kestabilannya. Semasa Perang Dunia Kedua sayap utara bangunan ini telah musnah terkena bom dan pada tahun 1968 pula, tingkat dua bangunan telah mengalami kebakaran. Pada tahun 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai monumen lama dan bersejarah dan dilindungi undang-undang. Kehadiran bangunan ini bukan saja penting untuk membuka Kuala Lumpur sebagai “hub” pengangkutan di Semenanjung Malaysia, bahkan telah mengangkat nama negara kerana mempunyai bangunan yang menarik dan melambangkan kewujudan pelbagai masyarakat di dalamnya. Reka bentuk bangunan mengambil unsur seni bina Moorish dan Moghul. Terdapat juga unsur-unsur Gothic dan Greek. Kebijaksanaan arkitek ini telah berjaya menggabungkan semua elemen ini menjadikan ianya satu bangunan yang berkarisma dan beridentiti. Kedudukan dan saiz Chatris telah menjadikan Stesen Keretapi Kuala Lumpur menjadi ikon kepada bandaraya di samping Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek. Tidak keterlaluan jika dikatakan bangunan ini membangkitkan nostalgia dan suasana alam Arabian Nights kepada pengunjung dan penghuni bandaraya terutama di senja dan subuh hari.
Tampak sekeliling bawah bangunan ini dibarisi oleh arch bermuncuk ala Gothic sebagai pembuka laluan ke dalam bangunan ini. Di tingkat atasnya pula terdapat serambi yang dihuni oleh tiang dan arch yang berunsurkan Greek dan Moorish. Kewujudan serambi ini adalah untuk pengudaraan dan keselesaan penghuni bangunan.
Peta Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur