BALASAN SATU KEBAIKAN Pada zaman dahulu, di sebuah kampung ada sebuah keluarga yang miskin. Hidup mereka tidak ubah seperti kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Keluarga Pak Malau sungguh miskin dan mereka sekeluarga cuma tinggal di sebuah pondok kecil di tepi hutan. Walaupun miskin, mereka tetap bersyukur dengan nikmat Tuhan. Pada suatu hari, Pak Malau keluar ke hutan untuk mencari madu lebah. Dia pergi bersama anak sulungnya, Sulong. Setelah puas mereka mencari, satu sarang lebah pun tidak dijumpai. “Apalah nasib kita hari ini, nak….. satu benda pun tidak berjumpa. Marilah berehat dulu, untung-untung ada pelanduk lalu, bolehlah dijual dagingnya. Kalau tidakpun, ada seekor rusa pun jadilah. Dapat juga tanduknya,”kata Pak Malau. Mereka berjalan lagi sehingga kedengaran bunyi deruan air sungai. “Ayah, ada sungailah… mari kita cari ,” kata Sulong. Mereka menyusuri denai di dalam hutan itu sehingga mereka ternampak sebatang sungai yang jernih airnya. Mereka berdua minum dengan sepuas-puasnya dan duduk berehat. Kelihatan dua tiga ekor ikan berenang-renang di hadapan mereka. “Ayah, mari kita tangkap ikan. Dah lama kita tak makan ikan, kalau dapat kan sedap. Asyik makan nasi dengan garam dan ulam saja, kata Sulong. Ayahnya menganggukkan kepala tanda setuju. Dia bingkas bangun dan menuju ke pohon buluh. Ditetaknya sebatang buluh dan ditajamkan hujungnya. Sulong mengekori ayahnya. Mereka turun ke dalam sungai dengan perlahan tanpa mengocakkan air sungai. “Hah! Sudah kena! Kata Pak Malau dengan gembira. Diangkatnya buluh itu… seekor ikan keli. Ikan keli tersebut meronta-ronta di hujung buluh. Sulong mencuba tetapi dia tidak secekap ayahnya. Ditombaknya ikan tetapi satu pun tidak mengena. Pak Malau berjaya mendapat 3 ekor ikan keli bersaiz sederhana. Mereka merasa sungguh gembira dan tidak sabar-sabar untuk pulang. Ibu dan adik-adiknya pasti terkejut! Hati Sulong berkata. Sesampainya mereka di rumah, Sulong menunjukkan ikan yang berjaya diperolehi oleh mereka. Apa lagi, tanpa berlengah, Mak Malau terus mengambilnya untuk disiang. Akan dibakarnya ikan keli ini! Kalau makan dengan pucuk ubi dan sambal, memang sedap. Sudah lama mereka tidak menikmati hidangan seperti itu. “Pak Malau, Sulong, mari makan. Nasi dah siap,” laung Mak Malau. Pak Malau dan Sulong berhenti daripada mengasah parang di luar. Mereka masuk dan duduk bersila di hadapan hidangan. Tiba-tiba, ada suara seorang lelaki memberi salam. Pak Malau bangun untuk meninjau. Pak Malau menjawab salam. Di pintu rumahnya ada seorang tua yang berpakaian serba putih dan berjanggut. Dia memegang sebatang tongkat. Pak Malau kehairanan. Dia tidak pernah nampak orang tua itu di kampung mereka. “Mungkin orang luar”, bisik hati Pak Malau. “ Apa hajat tuan?” tanya Pak Malau dengan sopan. “Hamba sebenarnya sudah dua hari tidak makan apa-apa pun dan hamba merasa sangat lapar,” kata orang tua itu. “Oh, kasihannya. Marilah naik dulu, Pak Malau mempelawa. Orang tua itu pun naik ke atas rumah. Anakanak dan isteri Pak Malau masih mengelilingi hidangan. Mereka belum menyentuh nasi. “Marilah makan bersama-sama dengan kami. Lauknya cuma ala kadar sahaja. Setakat yang termampu. Silakan,” kata Pak Malau kepada orang tua itu. Dia memberikan isyarat kepada isteri dan lima anaknya supaya bangun dan memberi laluan kepada orang itu. Mereka pun bangun lalu masuk ke dalam bilik. Orang tua itu duduk. Pak Malau menyenduk nasi ke dalam pinggan tetamunya. “Kamu tak makan sama?” tanya orang tua itu. Pak Malau serba salah. Dia bimbang nasi tidak mencukupi untuk anak-anaknya yang lain. Tetapi, kerana tidak mahu mengecilkan hati tetamunya, dia pun menyendukkan sedikit nasi ke pinggannya sendiri. 1
“Sedap sungguh ikan keli ini,” kata orang tua itu. Tetamunya makan dengan begitu berselera sekali. Pak Malau langsung tidak sampai hati untuk menyentuh ikan keli. DIa nampak anak-anaknya mengendap di sebalik daun pintu. Hatinya sayu. “Mak, dia pusing lagi ikan tu, mak,” kedengaran suara anak bongsunya mengeluh. “Shh, tak baik cakap kuat-kuat. Biar dia makan. Kan dia tu tetamu kita? Kita mesti memuliakan tetamu,” nasihat Mak Malau. Dilihatnya Pak Malau menyenduk nasi tambah ke dalam pinggan orang tua itu. Kasihan anakanaknya. Nampaknya mereka terpaksa makan ubi kayu rebus sahaja hari tu. Setelah kenyang, orang tua itu membasuh tangan dan duduk bersandar di dinding rumah. Pak Malau duduk di tepinya. “Sebenarnya, tuan ini datang dari mana?” tanya Pak Malau. “Hamba seorang pengembara, berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, ikut arah kaki berjalan,” kata orang tua itu. “Kalau begitu, bermalamlah sahaja di sini untuk malam ini,” pelawa Pak Malau. “Tidak mengapalah. Hamba sudah banyak menyusahkan tuan hamba,” kata orang tua itu lagi. “Apa yang susah, kita hidup ini kenalah saling tolong-menolong. Lagipun di hutan ini banyak binatang buas,” kata Pak Malau. “Baiklah, kalau begitu. Hanya Tuhan saja yang boleh membalas budi baik tuan hamba, kata orang tua itu lagi. Malam itu sungguh dingin dan tenang. Mereka sekeluarga tidur dengan nyenyak sekali. Tidak ada seekor nyamuk pun yang hinggap, tidak seperti selalu, Tetamu mereka tidur di anjung rumah bersama Pak Malau dan Sulong. Pada keesokan paginya, mereka mendapati tetamu mereka tiada di pembaringannya. Pak Malau tercaricari orang tua itu di luar tetapi tidak berjumpa. Yang ada cuma sebungkus pakaian yang ditinggalkan oleh orang tua itu. Bungkusan itu diletakkan di tepi bantal Pak Malau. Pak Malau membuka bungkusan yang telah ditinggalkan. Alangkah terkejutnya Pak Malau apabila melihat beratus-ratus keping wang emas! Pak Malau membungkusnya semula dan diletakkan di tepi. Beliau sekeluarga menunggu orang tua itu kembali, tetapi sayangnya orang itu tidak kembali. Pada malam itu, Pak Malau bermimpi. Dalam mimpinya, orang tua itu memberitahu bungkusan itu adalah hadiah daripadanya untuk Pak Malau sekeluarga. Pak Malau terkejut dari tidurnya. Pak Malau memberitahu akan mimpinya kepada isterinya. Kehidupan keluarga Pak Malau berubah menjadi kaya raya tetapi mereka masih merendah diri seperti dahulu. Mereka selalu menolong orang yang berada di dalam kesusahan tanpa mengira darjat dan pangkat.
Pengarang : Alya Farzana Penerbit : Ilmu Media Trade Bilangan Muka surat : 22
2