Bahasa Kebangsaan Tonggak Perpaduan Burung tempua berterbangan ria, Hinggap bertenggek di pohon sena, Bahasa Melayu indahnya bahasa, Terungkap kata seribu makna. Anak muda indah berkarya, Leka melakar si anak rusa, Komunikasi bermula itulah budaya, Menyemarakkan perpaduan sesama bangsa. Berenang riang si anak haruan, Bertenggek di dahan si kera bosan, Bahasa Melayu bahasa penyatuan, Tercapai hasrat satu wawasan. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, Yang menjalankan tugas, panel hakim yang arif lagi bijaksana, Yang sangat berdedikasi, para guru serta para hadirin yang saya sayangi sekalian. Dengan bertemakan “Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan”, saya memilih tajuk ‘Bahasa Kebangsaan Tonggak Perpaduan” sebagai tajuk pidato saya pada hari ini. seperti yang kita semua sudah sedia maklum, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Perpaduan kaum merupakan salah satu isi yang termaktub dan berbangkit dalam gagasan ini. Oleh itu, bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa Kebangsaan negara berperanan penting dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa yang menyatukan semua kaum di negara ini. Negara kita ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar di sekolah.Penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja bagi memenuhi keperluan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya kita tidak mungkin dapat menafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara yang maju.
Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan senjata paling penting and ampuh dalam merealisasikan gagasan 1 Malaysia. Secara kasarnya, perpaduan dapat ditafsirkan sebagai satu proses yang menyatukan rakyat supaya dapat membentuk satu identity dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Menurut Kamus Dewan, perpaduan didefinisikan sebagai suatu penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. oleh itu, jelaslah melalui definisi ini bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah bahasa yang menjadi lambing penyatuan suara dan alat perhubungan satu kelompok manusia lebih-lebih lagi dalam negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia. Jika tuan-tuan masih ingat akan sejarahnegara kita, bahasa Melayu telah lama digunakan sebagai ligua franca, iaitu sejak lebih daripada 600 tahun dahulu. Awang (2006) menjelaskan bahawa bahasa Malayu telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera pada abad ke-16 dan ke-17. Dari sudut ekonomi, terdapat pula kenyataan bahawa kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu menggunakan bahasa Melayusebagai bahasa Perhubungan antara penduduk di kepulauan Melayu dengan peniaga dari Eropah dan Asia Barat. Dari sudut peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah lama digunakan untuk mengajarkan ilmu mantik, matematik dan astronomi, iaitu sejak kurun ke-15 lagi. Dengan ini, sejarah telah membuktikan bahawa betapa bahasa Melayu telah melalui detik kegemilangan pada suatu ketika dahulu. Pada ketika itu, bahasa Melayu menjadi penghubung dalam kalangan pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk mengungkapkan pelbagai bidang ilmu. Lantaran itu, tidak hairanlah bahasa Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei sebagai Bahasa Kebangsaan. Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Para pelajar juga harus difahamkan secara mendalam. Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat seiring dengan kepesatan pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan. Hadirin sekalian, Berbalik kepada topik asal kita, dunia sudah sedia maklum bahawa Malaysia terdapat lebih kurang 80 etnik atau suku kaum. Cuba tuan-tuan bayangkan, jika setiap etnik berkomunikasi dalam dialek masing-masing, maka interaksi dan komunikasi bersama kaum lain berkemungkinan besar seperti ‘perbualan ayam dan itik’. Mengapakah saya berkata
sedemikian? Bayangkan, tuan tinggal di kawasan perumahan dimana terdapatnya orang melayu, cina dan india. Tuan berbicara atau berbual bersama jiran-jiran tuan yang berlainan kaum itu menggunakan bahasa ibunda tuan-tuan dan mereka juga menggunakan bahasa ibunda mereka. Adakah tuan-tuan faham apa yang mereka bicarakan? Lainlah jika tuan-tuan semua belajar bahasa-bahasa lain selain bahasa ibunda tuan-tuan. Disebabkan itulah saya katakan, perbualan tersebut ibarat ‘perbualan ayam dan itik’ dan perpaduan kaum sukar dicapai jika perkara sebegini terjadi. Oleh hal yang demikian, bahasa melayu perlu diangkat sebagai satu bahasa kebangsaan untuk dijadikan bahasa pemersatu ataupun bahasa penyatuan. Untuk itu, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa perpaduan, seperti yang telah termaktub dalam Penyata Razak pada tahun 1956. Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahsa Melayu sebagai bahasa komunikasi sudah tidak perlu kita persoalkan lagi. Sememangnya rata-rata anak muda pada ketika ini berkomunikasi sesame mereka menggunakan bahasa Melayu. Bahkan ada juga rakyat yang merupakan kaum yang sama, tetapi mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahsa Melayu. Contohnya, mansyarakat cina. Mereka mempunyai banyak bahasa. Mereka ada bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hakka dan mungkin ada lagi yang lain. Bukan semua orang cina menguasai kesemua bahasa mereka sendiri. Oleh hal yang demikian, apabila pengguna bahasa- bahasa ini berkomunikasi, mereka akan menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara ini dan sememangnya semua rakyat menguasai bahasa tersebut. Keadaan ini mempermudahkan lagi proses penyatuan kaum di Malaysia di mana ia berfungsi sebagai satu cara yang efektif dalam mencapai matlamat tersebut. Bahasa Melayu bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia kerana kita mendiami dalam sebuah negara yang sama. Disebabkan inilah bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan negara. Apabila wujud perpaduan kaum, sudah pasti keharmonian negara juga dapat dicapai. Kita tidak menyekat masyarakat pelbagai kaum untuk menggunakan bahsa ibunda masing-masing sama seperti mereka mengamalkan agama, budaya dan adat resam mereka, namun, demi semangat perpaduan, mereka perlu mengutamakan bahasa kebangsaan kita. Kedudukan bahasa Melayu juga tidak disangsikan oleh kaum-kaum lain. Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada bahasa ibunda kaum-kaum lain selain melayu, dan kehadirannya juga tidak menyebabkan bahasa ibunda mereka ditolak ketepi. Keadaan ini menjadikan bahasa Melayu terus dihormati dan tidak akan menyaingi bahasa-bahasa yang lain. Negara ini ada menganjurkan pidato bahasa Melayu antarabangsa yang disertai oleh negara-negara lain, seperti Jepun, Korea, dan China. Hal ini membuktikan bahawa bahsa Melayu bukan shaja menjadi bahsa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja, selain orang Malaysia.
Intiharnya, bahasa Melayu boleh dikatakan berjaya berfungsi sebagai bahasa yang membentuk perpaduan antara kaum di negara ini. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat dilihat dengan mudah. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Peranan bahasa Melayu dalam membina perpaduan perlu dipertahankan dan dipertingkatkan seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara. Usaha memupuk perpaduan perlu mendapat kerjasama darpada semua pihak selain daripada peranan bahasa Melayu itu sendiri dalam mempertahankan penggunaannya sebagai bahasa perpaduan. Akhir kata, Yang kurik itu kendi, Yang merah itu saga, Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa. Sekian, terima kasih.
Rujukan Ahmad Fawzi Modh Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man, (2009), Sejarah Tingkatan 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka Aminudin Mansor, (2013, April 07). Bahasa Melayu Wahana Perpaduan, Utusan Online. Dipetik dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130407/sa_02/Bahasa-Melayuwahana-perpaduan Jeniri Amir, (2012). Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dipetik daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=1030 Rahemah Ahmad, (2012), Penyatuan Bangsa Melalui satu Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dipetik dari http://dwnbahasa.dbp.my/?p=1025 Sulaiman Masri, Mashudi Bahri & Juliliyana Mohd Junid, (2007), Bahasa Melayu rujukan menengah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Zaitul Azmz Zainon Hamzah (2006). Membudayakan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa, halaman 14-19.