Awasi Ejen Perisikan

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Awasi Ejen Perisikan as PDF for free.

More details

  • Words: 1,310
  • Pages: 5
AWASI EJEN PERISIKAN Oleh: SHAIFUL BAHRI ASIDIN

KEMANAKAH semangat rela mempertahankan negara daripada dicerobohi oleh warganegara jiran? Apakah kita rela membiar dan memerhatikan sahaja pegawai penguat kuasa dibelasah di dalam wilayah sendiri oleh samseng negara jiran? Apakah sifat kita terlampau hormatkan `segala benda dari luar negara' sehingga kita boleh diperlakukan apa sahaja oleh warga asing di dalam negara kita sendiri? Iktibar penguat kuasa Kerajaan Pusat dibelasah oleh warga asing di Kompleks Bukit Kayu Hitam pada Disember tahun lalu sesungguhnya memalukan rakyat negara kita. Itu yang nyata berlaku di depan mata tanpa berselindung dan perlakuan samseng negara jiran dilakukan secara terbuka di tempat awam di siang hari. Sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman setiap kali ada peristiwa buruk, bencana dan insiden yang tidak diingini, episod tuding menuding menyalahkan orang lain dan lagu Bangau oh Bangau pun berkumandang semula. Barulah mula mahu memperketatkan sempadan negara. Agaknya jika tidak berlaku serangan tersebut, sempadan negara kita amat bebas untuk keIuar masuk oleh warga asing. Tidak terfikirkah kita bagaimana pengemis dan pelarian Myanmar boleh bolos sehingga ke Kuala Lumpur tanpa sebarang dokumen yang sah? Begitu juga pendatang haram dari Bangladesh dan Kemboja. Masakan mereka masuk dari Singapura? Selain contoh di Bukit Kayu Hitam yang dianggap `ringan' oleh segelintir pihak, kita jangan sangkakan tiada anasir dari luar yang ingin membuat kacau di negara kita. Mungkin keselesaan kita dan sejarah moden Malaysia yang tidak pernah sengsara selepas Perang Dunia Kedua, membuatkan kita leka dan lalai tentang peranan dan tanggungjawab kita dalam aspek pertahanan dan perisikan negara. Jika kita seperti rakyat Palestin, Vietnam dan Afghanistan, setiap rakyat asing yang masuk ke negara mereka akan tetap disangsi dan dicurigai. Jangan harap rakyat negara berkenaan dengan mudah boleh berbaikbaik dengan kita sebagai orang asing di negara mereka. Keadaan sebaliknya berlaku di negara kita. Mungkin sifat kita yang terlebih bersopan santun, berbudi bahasa dan lemah lembut telah mengakibatkan orang asing telah `membaca kelemahan' kita sendiri.

1

Kita kadang kala terlupa atau sengaja tidak menghiraukan peranan ejen perisikan asing yang menjelma dalam kehidupan seharian kita dengan pelbagai wajah untuk menjalankan peranan risik mereka di sekeliling kita. Kebanyakan daripada kita yang menikmati kehidupan yang baik dan selesa pada masa sekarang sering terlupa mengenai kemungkinankemungkinan yang boleh menghancurkan negara. Mereka lupa bahawa perisikan mampu memainkan peranan besar dalam menumbangkan seseorang dan sekali gus meruntuhkan sesebuah negara. Perisikan di Asia Tenggara bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Kuasa-kuasa besar akan menjalankan aktiviti perisikan mereka di negaranegara tertentu bagi memastikan dasar-dasar tertentu memenuhi matlamat dan ideologi mereka. Lebih hebat lagi perisikan juga akhirnya boleh membawa kepada kejatuhan sesebuah negara atau seseorang pemimpin. Sejarah telah memperlihatkan bagaimana ejen-ejen perisikan dapat memenuhi matlamat kuasa-kuasa besar ini walaupun kos yang diperlukan amat tinggi. Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun telah meletakkan perisiknya di Tanah Melayu yang bekerja dan membuka klinik gigi. Amerika Syarikat telah menggunakan ejen-ejennya untuk melakukan provokasi sehingga tercetusnya perang saudara antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Walaupun Amerika gagal dalam misi di Vietnam, namun kesannya berparut sehingga ke hari ini. Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 1960-an merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security. Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa Barat. Namun kelicikan perisikan dan ditambah peranan media Barat akhirnya berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan tunduk kepada tekanan komunis. Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway. Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia. Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen perisikan. Pada awal 1980-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet Union.

2

Kewujudan Pejabat Kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil ejen-ejen perisikan Israel menjalankan intipan terhadap negara kita.

Menyusup Perisikan alafbaru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen-ejen perisikan akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan negara, malah akan cuba berbaik-baik dengan pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama ada kepada individu atau kumpulan tertentu. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai matlamat risikan, akan menjadi sasaran. Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah memperlihatkan begitu banyak pembinaan bangunan strategik dan berfungsi keselamatan negara akan dibina. Antaranya berpuluh balai polis, ibu pejabat polis daerah, kem tentera, pangkalan polis marin, bangunan pejabat kerajaan dan infrastruktur yang bertahap keselamatan tinggi seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang. Kenyataan Menteri Sumber Manusia bahawa negara kita akan dibanjiri oleh lima juta pekerja asing menjelang 2010 seharusnya dipandang serius dan dikaji semula. Sektor guna tenaga dan sumber manusia perlu memikirkan sesuatu agar tawaran pekerjaan kepada pekerja asing tidak mencecah sebegitu besar. Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan perlu juga mencampuri urusan pengambilan buruh asing oleh kontraktor terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai buruh binaan. Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan semakan seperti yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas. Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok-belok tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing. Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin

3

negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejenejen perisik luar negara. Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan Imigresen dapat meneruskan peranan ini. Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu. Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali. Komunikasi tanpa sempadan dan capaian Internet berkelajuan tinggi akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu cepat sekali. Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya. Perlu diingat 80 peratus satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang berfungsi pengintipan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.

Melumpuhkan Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikatsyarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh dengan tujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara. Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup rahsia. Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera, menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu dengan tujuan untuk mengintip. Hasil risikan pekerja asing di abad ke-21 ini bukan bermakna ada niat negara asing untuk menakluk negara kita dengan kuasa ketenteraan dan peperangan. Serangan mereka adalah melalui serangan mentaliti, merubah sikap, gaya hidup dan menipiskan pegangan agama rakyat kita. Itulah bakal serangan alaf baru yang akan menimpa negara jika kita sendiri lalai dan tidak sensitif untuk mempertahankan negara dari diceroboh. Mungkin kesan jangka pendek tidak kita rasai sekarang. Akan tetapi jika ini berlarutan, apa akan terjadi kepada anak cucu kita nanti? Adakah kita

4

pernah fikirkan berapa lama kemerdekaan kita boleh bertahan? Kita jangan bongkak untuk memperkatakan mana mungkin kita yang sudah merdeka boleh dijajah semula? Lihatlah negara-negara yang lebih awal merdeka daripada kita seperti Iraq, Afghanistan dan Lebanon, apa sudah jadi dengan negara mereka sekarang? Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejenejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini. Utusan Malaysia, Jumaat 19 Oktober 2007

5

Related Documents


More Documents from "SHAHID FAROOQ"