Arkib

  • Uploaded by: Bahiyah Othman
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Arkib as PDF for free.

More details

  • Words: 2,752
  • Pages: 9
ARKIB : 05/05/2008 Utusan Malaysia

e-Disiplin di semua sekolah menengah KUALA TERENGGANU 4 Mei - Sistem e-Disiplin iaitu sistem pengurusan masalah disiplin pelajar secara berkesan dan sistematik berasaskan teknologi web akan diperluaskan kesemua 2,100 buah sekolah menengah seluruh negara dalam tempoh terdekat ini. Sistem itu yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (Mapan) sejak Januari tahun lepas terbukti berjaya mengurangkan masalah disiplin pelajar dalam program perintis di 137 sekolah sebelum ini. Presiden Mapan, Sulaiman Ahmad berkata, berdasarkan kejayaan yang ditunjukkan dalam program perintis itu, Kementerian Pelajaran bersetuju supaya sistem itu diperluaskan di semua sekolah menengah dalam pelaksanaan fasa kedua projek berkenaan. ''Pelaksanaan sistem ini adalah untuk menyahut dan menjayakan agenda pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),'' katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UMT dan Mapan bagi penyelidikan dan pembangunan e-Disiplin di sini hari ini. UMT diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Sulaiman Yassin manakala Sulaiman mewakili Mapan pada majlis yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Sementara itu, Naib Canselor UMT itu berkata, aliran sistem kerja bagi e-Disiplin adalah kesemua proses menjatuhkan hukuman kepada pelajar bergantung kepada input kes-kes kesalahan yang dimasukkan menerusi sistem setelah mendapat pengesahan ahli mesyuarat kes disiplin. Jelasnya, segala cetakan surat amaran serta kemas kini rekod merit kesalahan pelajar dibuat secara automatik oleh sistem berkenaan. ''Jika seorang pelajar melakukan kesalahan, merit pelajar itu akan berkurangan dan ia akan memberi kesan kepada rating disiplin sekolah itu. Oleh itu, apabila seorang pelajar membuat kesalahan, seluruh warga sekolah itu perlu menangani masalah tersebut secara bekerjasama jika tidak mahu rating disiplin sekolah itu terjejas," ujarnya. Beliau memberitahu, penyelidikan dan pembangunan sistem e-Disiplin diketuai oleh Pengarah Pusat Teknologi Maklumat UMT, Prof. Dr. Md. Yazid Mohd. Saman bersama tujuh lagi pensyarah yang berpengalaman luas dalam penyelidikan komputer.

Utusan Malaysia 21 Februari 2000 Guru rotan murid tidak ikut peraturan Saudara Pengarang, APA yang ingin dimaklumkan ialah pada 2 februari lalu lebih kurang pukul 2.30 petang saya telah pergi ke sekolah anak saya, untuk menjemputnya pulang. Semasa saya di sana, saya amat terkejut apabila melihat seorang guru disiplin yang juga seorang ustaz memukul 2 orang pelajar dengan menggunakan rotan. Apa yang memeranjatkan saya ialah cara guru itu merotan murid tersebut seperti dia memukul seekor binatang iaitu merotan 2 orang pelajar lelaki tersebut di tengah belakang dan juga di tengkuk seolah-olah melepaskan geram. Saya sungguh kesal melihat cara ia merotan kedua-dua pelajar tersebut di hadapan saya dan juga pelajar-pelajar lain. Apa yang saya tahu bahawa Kementerian Pendidikan telah membuat satu garis panduan bahawa pelajar boleh dirotan hanya di bawah paras pinggang dan juga di tapak tangan. Sedangkan guru berkenaan pula merotan kedua-dua pelajar tersebut di tengah belakang dan juga di tengkuk. Adakah ini satu arahan baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan? Saya ingin mengingatkan kepada guru itu, bagaimana perasaan beliau jika mendapat tahu yang anak beliau sendiri dirotan seperti itu, mungkin beliau sendiri akan marah dan membuat laporan ke Jabatan Pendidikan Negeri atau ke Kementerian Pendidikan. Walaupun saya bukan penjaga bagi kedua-dua pelajar lelaki itu, saya merasa marah dengan cara tindakan guru tersebut. Sepatutnya beliau, sebagai seorang ustaz harus memberi nasihat secara psikologi dengan membaca ayat-ayat suci agar pelajar tersebut merasa insaf dan bukan dengan memukul pelajar seperti binatang. Saya ingin memberitahu,janganlah cuba merosakkan nama baik guru lebih-lebih lagi yang bergelar ustaz. Saya juga berharap Kementerian Pendidikan dapat mengambil berat tentang perkara ini supaya tindakan kepada guru tersebut dapat diambil kerana cara beliau merotan pelajar itu seolah-olah seperti satu penderaan kepada pelajar berkenaan. - DARI WAKIL PENJAGA SIMPATI, Alor Gajah, Melaka.

Utusan Malaysia 9 Mac 2000 Jabatan Pendidikan siasat aduan murid dirotan Saudara Pengarang, SAYA ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk Guru Rotan Murid Tidak Ikut Peraturan oleh 'Dari Wakil Penjaga Simpati,' Alor Gajah bertarikh 21 Februari 2000. Sehubungan dengan aduan tersebut, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun menghubungi Jabatan Pendidikan Melaka mengenai perkara ini. Jabatan Pendidikan Melaka sedang mengenal pasti di sekolah mana kejadian tersebut berlaku memandangkan pihak pengadu tidak menyatakan secara khusus nama dan tahap sekolah. Untuk makluman pengadu, pada masa ini semua sekolah di seluruh negara menggunakan Peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959. Bagi hukuman rotan, hanya dibenarkan kepada murid-murid lelaki sahaja, di rotan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik. Hukuman ini juga hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau mana-mana guru yang diberi kuasa secara pernyataan hitam putih. Malahan ketika hukuman rotan dijalankan mesti ada saksi dan saksi dikehendaki mencatatkan bilangan sebatan yang dikenakan, anggota badan yang dirotan sama ada di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dan seterusnya menurunkan tanda tangan. - JULINA JOHAN, Pegawai Perhubungan Awam, b.p Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Utusan Malaysia 10 Januari 2008 Guru didakwa tampar pelajar akan dipanggil polis KUCHING 9 Jan. – Polis akan mengambil keterangan daripada seorang guru disiplin yang didakwa menampar dan memukul kepala dua orang pelajar berusia 17 tahun kerana tidak memakai tudung di sebuah sekolah di Jalan Stampin semalam. Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Wong Wai Loong berkata, turut dipanggil ialah dua pelajar tersebut bagi membantu siasatan. Menurut beliau, sekiranya kejadian yang didakwa itu mempunyai kes, polis akan menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. “Jika ada kes, maka kita akan serahkan laporan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP). Bagaimanapun kejadian ini lebih menjurus kepada kes saman. “Berhubung tindakan terhadap guru terbabit, polis tidak boleh menyabitkan sebarang bentuk hukuman kerana ia terpulang kepada pihak pentadbiran sekolah itu sendiri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam, dua pelajar terbabit yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) datang ke sekolah atas permintaan seorang guru bagi mengajar sekumpulan pelajar tingkatan empat tarian ‘pocopoco' secara percuma. Bagaimanapun, seorang guru disiplin yang ternampak kedua-dua mangsa tidak memakai tudung sewaktu berada di perkarangan sekolah menghampiri pelajar terbabit. Tanpa bercakap sepatah perkataan, guru tersebut dipercayai bertindak menampar dua pelajar itu sebelum memukul kepala mereka menggunakan buku latihan. Malah guru itu menuduh kedua-dua pelajar terbabit kurang ajar. Menurut kedua-dua mangsa, guru disiplin tersebut memberitahu mereka bahawa tindakannya itu disebabkan dua pelajar terbabit tidak memakai tudung dan dia (guru) tidak mahu menanggung dosa gadis berkenaan. Selepas itu, kedua-dua pelajar tersebut meninggalkan sekolah dan salah seorang daripada mereka telah memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya sebaik tiba di rumah. Keluarga pelajar terbabit kemudiannya membawa isu tersebut ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak dan dimaklumkan bahawa insiden berkenaan akan disiasat. Disebabkan tidak berpuas hati dengan jawapan JPN, keluarga gadis tersebut bersama seorang lagi mangsa telah membuat laporan polis.

Utusan Malaysia 28 Julai 2007 Menilai pendekatan hukuman disiplin Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN) KENAPA guru asyik dipersalahkan apabila mengambil tindakan fizikal memperbetulkan disiplin pelajar di bawah jagaan mereka? Tetapi apabila murid atau pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM, berapa ibu bapa datang ke sekolah menghulurkan tangan dan mengucapkan tahniah atau terima kasih kepada guru? Dalam bulan Julai ini sahaja, isu guru dan pelajar hangat dibicarakan. Masyarakat amat teruja mencari kesilapan dan salah laku guru terhadap pelajar. Biasanya pendedahan ini diwarnai dengan pandangan beremosi dan sebahagian bersifat negatif dan tidak menyumbang kepada kemajuan pendidikan negara. Kerap kali apabila laporan masalah salah laku guru terhadap pelajar didedahkan, tanpa kita sedar moral golongan pendidik yang terlibat dan guru lain amnya turut terjejas. Banyak pengajaran daripada isu pelajar perempuan Sekolah Menengah Bawang Assan, Sibu, Sarawak yang direndam di dalam kolam sekolah tersebut gara-gara tidak mengendah arahan jangan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas asrama. Ada mesej tersurat dan tersirat dalam kaedah mendidik dan mendisiplinkan pelajar yang degil. Apa pun tanggapan salah sebelum ini kepada guru asrama, Wee Yim Pien, ia membuka satu dimensi baru terhadap pendekatan yang wajar diambil ke atas pelajar bermasalah dan degil supaya patuh mengikuti disiplin sekolah. Hakikatnya sekarang, guru juga patut diberi peluang menggunakan pendekatan tersendiri untuk mendisiplinkan anak-anak bangsa, asalkan ia tidak memudaratkan mental dan fizikal pelajar. Guru pun manusia biasa yang tahu mana yang baik dan yang tidak baik. Lantaran itu, tindakan guru mendisiplinkan usah diperlekehkan oleh masyarakat. Kini kebanyakan ibu bapa menyedari betapa penting sokongan moral mereka kepada guruguru yang berdedikasi mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang kreatif, berdaya saing dan berdisiplin. Untuk berdepan dengan pelajar yang mempunyai seribu macam kerenah dan masalah disiplin, bukan mudah. Apatah lagi menyelesaikannya kecuali guru itu tabah dan berani menggunakan segala kemampuan dan kreativiti mereka. Episod guru didakwa mendera pelajar sekolah tidak mungkin akan lenyap selepas ini. Apa yang dilakukan oleh Yim Pien mungkin menjadi ikutan guru atau guru asrama lain untuk mendisiplinkan pelajar. Adakah para ibu bapa dan penjaga akan dapat menerima hukuman seumpama itu terhadap salah laku anak-anak mereka? Bagaimana jika hukuman seumpama ini diambil oleh guru, apakah Kementerian Pelajaran yang mengambil tindakan ke atas guru berkenaan? Hakikat yang tidak dapat ditepis ialah peluang untuk guru dicemuh tetap ada. Ini kerana ibu bapa sekarang banyak yang sudah hilang rasa hormat terhadap profesion guru.

Mereka perlu sedar amat berat tanggungjawab seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan ratusan perangai pelajar. Sedangkan ibu bapa yang hanya melayan kerenah misalnya dua hingga enam orang anak pun sudah ‘angkat tangan’ daripada mendisiplinkan anak sendiri.

Utusan Malaysia 30 September 2006 Guru didakwa rogol bekas murid di hotel KUALA LUMPUR 29 Sept. – Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang bekas muridnya berusia 12 tahun dua bulan di sebuah hotel di sini. Mohd. Saidi Che Tengah, 40, dari Kampung Bukit Merah, Tanah Merah, Kelantan didakwa merogol gadis bawah umur itu di bilik No. 2212, Hotel Heritage, Jalan Hishamuddin di sini antara pukul 11.30 malam dan 12 tengah malam 12 September lalu. Tertuduh turut disiasat oleh polis atas kejadian serupa yang didakwa berlaku di Tanah Merah selepas mangsa membuat laporan. Mohd. Saidi kini mengajar di sebuah sekolah di Tanah Merah manakala mangsa pernah belajar di situ sebelum ke sekolah lain. Hakim Nursinah Adzmi menggunakan budi bicaranya membenarkan jaminan RM15,000 terhadap guru itu serta mengeluarkan arahan supaya tertuduh melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan kediamannya. ‘‘Saya menggunakan budi bicara ini kerana kamu mempunyai pekerjaan tetap dan dikhuatiri akan terjejas jika tidak diberi jaminan. Kamu turut dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai,’’ ujar beliau. Mahkamah menetapkan kes disebut 3 November ini.

Utusan Malaysia 22 Ogos 2003 Guru didakwa tampar 14 pelajar perempuan IPOH 21 Ogos - Beberapa pelajar sekolah menengah SMK Seri Puteri di sini terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ipoh selepas 14 pelajar perempuan sekolah itu ditampar oleh seorang guru lelaki semalam. Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, guru terbabit yang sedang mengajar di kelas yang berhampiran telah pergi ke kelas pelajar terbabit dan memberitahu mereka supaya jangan membuat bising. Menurut seorang daripada pelajar berkenaan, S. Seelaa, semasa guru itu hendak keluar, salah seorang daripada 34 pelajar kelas tersebut telah mengatakan sesuatu yang biadap.

``Dia berpatah balik dan bertanya siapa yang telah menyebut perkataan biadap itu. Apabila tiada yang menjawabnya, dia arahkan 14 orang daripada kami untuk berdiri dan terus menampar kami,'' kata Seelaa yang ditemani oleh ibu bapa kepada pemberita di luar kawasan sekolah itu hari ini. Beberapa ibu bapa para pelajar terbabit telah membawa anak-anak mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk membuat laporan polis dan kemudiannya telah membawa mereka ke hospital untuk pemeriksaan. Pengerusi MIC Perak, Datuk G. Rajoo memberitahu pemberita, beberapa pelajar terbabit mengalami cedera ringan, termasuk seorang yang baru dibenarkan pulang oleh pihak hospital pukul 1 pagi ini. Semua mereka telah diberikan cuti sakit untuk hari ini. Rajoo berkata, ia merupakan satu insiden yang malang dan satu mesyuarat diadakan di sekolah pagi ini membabitkan pihak berkuasa sekolah, pegawai dari pejabat pendidikan negeri dan daerah serta ibu bapa pelajar terbabit. ``Kami diberikan jaminan bahawa pihak berkuasa sekolah akan bertanggungjawab menjaga keselamatan pelajar di sekolah. Mereka juga meminta guru terbabit supaya tidak datang ke sekolah untuk beberapa hari untuk menenangkan keadaan,'' katanya. Rajoo berkata, beliau juga akan membincangkan perkara itu dengan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim untuk mencari penyelesaian. Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt. Che Sab Hanafiah semasa dihubungi mengesahkan bahawa dua laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu dan polis kini sedang menyiasat. - Bernama

Utusan Malaysia 25 Oktober 2007 Dua pelajar cedera kipas siling jatuh KUALA LUMPUR 24 Okt. - Dua murid tahun satu cedera apabila sebuah kipas siling jatuh lalu menghempap meja mereka ketika sedang mengikuti kelas di sebuah sekolah di Kepong, dekat sini kelmarin. Kejadian pada pukul 4 petang itu menyebabkan Low Kai Ken dan Kay Ee Tong, masing-masing berusia 7 tahun cedera di kepala dan mulut akibat terkena kipas tersebut. Kedua-dua pelajar sekolah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (1), Kepong itu dirawat sejak dua hari lalu di Hospital Assunta, Petaling Jaya dan telah dibenarkan pulang hari ini. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim berkata, pihaknya kecewa dengan insiden itu dan mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian. ‘‘Sekiranya kejadian itu berlaku disebabkan oleh kecuaian manusia, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan,’’ katanya selepas melawat salah seorang pelajar berkenaan di Hospital Assunta hari ini.

Beliau memberitahu, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab jika terbukti ia berlaku akibat kecuaian manusia. Jelasnya, ekoran kejadian itu, kementerian sudah mengarahkan semua sekolah memeriksa segala peralatan yang digunakan pelajar supaya berada dalam keadaan selamat. ‘‘Penyelenggaraan itu perlu bagi memastikan peralatan seperti lampu, kipas dan kemudahan lain diselenggara dengan baik dan tidak mendatangkan bahaya kepada pelajar. ‘‘Kejadian ini diharap menjadi iktibar kepada semua pentadbir sekolah untuk memantau perkara ini dengan lebih serius bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang,’’ katanya.

Utusan Malaysia 16 September 2006 12 pelajar cedera dihempap konkrit SUNGAI SIPUT 15 Sept. – Seramai 12 pelajar cedera, tiga daripadanya parah apabila dihempap tembok konkrit penghadang tanah sepanjang 10 meter yang runtuh. Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu sedang menyertai sukaneka di sebuah padang permainan berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist, di sini, hari ini. Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, kesemua murid berkenaan dikejarkan ke Hospital Sungai Siput dan tiga daripada yang cedera parah iaitu Bawani Krishnan, M. Naduvany dan N. Steven, 12, dimasukkan ke wad hospital berkenaan. Mereka yang cedera parah, kebanyakannya patah di bahagian kaki setelah tersepit akibat dihempap tembok konkrit setinggi satu meter itu. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang melawat tempat kejadian berkata, keadaan pelajar tersebut adalah stabil. Katanya, daripada siasatan yang dijalankan, punca penghadang tanah itu runtuh kerana konkritnya yang tidak kukuh ekoran keadaan tanah di kawasan berkenaan. ‘‘Kita akan berusaha untuk membina semula penghadang tanah konkrit itu untuk mengelak kemalangan di sekolah berkenaan. ‘‘Saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membina semula konkrit yang lebih kukuh supaya murid-murid dapat bermain di padang itu,” katanya. Sementara itu seorang saksi, M. Periyanan, 56, berkata, semasa kejadian, beliau melihat beberapa murid yang berusia antara 11 dan 12 tahun menangis kesakitan setelah kaki mereka tersepit di celah-celah konkrit berkenaan. Periyanan yang juga tukang kebun di sekolah itu berkata, beliau kemudiannya meminta pertolongan daripada beberapa orang guru untuk menarik murid-murid berkenaan. ‘‘Saya terpaksa menggunakan batang besi dan peralatan lain untuk memecahkan konkrit berkenaan supaya kaki mereka dapat ditarik keluar daripada runtuhan konkrit,” katanya.

Utusan Malaysia 2 Julai 2004 19 pelajar cedera paip gas makmal sekolah meletup IPOH 1 Julai - Sebanyak 19 pelajar Sekolah Menengah Gunung Rapat dekat sini, cedera selepas satu paip gas di makmal sains sekolah itu meletup, hari ini. Dua daripada mereka dirujuk kepada pakar mata Hospital Ipoh dipercayai terkena serpihan letupan berkenaan manakala yang lainnya mengalami pedih mata dan hidung serta gatal tekak di samping terkejut dengan kejadian berkenaan. Bagaimanapun, semua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tidak lama kemudian selepas menjalani pemeriksaan. Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Adnan Ibrahim ketika ditemui pemberita di sekolah itu petang ini berkata, letupan berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika 44 orang pelajar Tingkatan 1 sedang menjalankan satu uji kaji menggunakan penunu bunsen di makmal berkenaan. Katanya, kejadian itu berpunca daripada kebocoran paip yang menyalurkan gas di salah sebuah meja makmal yang ketika itu dikelilingi tujuh pelajar. Jelasnya, ketika kejadian, pelajar terbabit sedang mengikuti subjek sains dan diawasi oleh seorang guru sains, Khairol Azmi Ariffin. ``Letupan berlaku di bahagian bawah meja makmal tidak lama selepas penunu bunsen dinyalakan dan letupan itu menyebabkan meja yang diperbuat daripada kayu pecah dan roboh,'' katanya yang melakukan lawatan ke makmal sekolah itu. Adnan berkata, letupan itu tiada kaitan dengan bahan kimia yang sedang digunakan sewaktu kejadian tetapi disebabkan kebocoran paip gas di bawah meja makmal yang didapati telah berkarat. Katanya, pihak bomba yang dipanggil ke tempat kejadian mengesahkan paip gas berkenaan telah bocor akibat dimakan usia. ``Paip gas ini pecah dan meletup tanpa mengeluarkan sebarang api dan letupan ini agak kuat sehingga dapat didengari oleh penghuni di bangunan bersebelahan makmal,'' jelas Adnan.

Related Documents

Arkib
May 2020 18
Arkib Adap
May 2020 14
Warta Arkib
May 2020 14

More Documents from ""