MALAYSIA 52 TAHUN MERDEKA Oleh Hafizahril Hamid
TUNKU Abdul Rahman menerima watikah kemerdekaan daripada wakil Ratu Elizabeth II di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.
Tunku Abdul Rahman bersama delegasi ke London untuk membincangkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu.
1
PERARAKAN menentang komunis yang di ketuai oleh Tuanku Abdul Rahman.
Dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, semua negara di dunia mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan. Ada yang berjuang sehingga mengorbankan banyak nyawa, ada yang terpaksa bersekongkol dengan militan dan gerakan bawah tanah. Pada masa yang sama ada juga yang percaya pada perjuangan tanpa keganasan. Dalam konteks kemerdekaan negara ini, ia dicapai melalui cara yang berhemah iaitu melalui rundingan tanpa perlu menumpahkan darah. Inilah perkara paling unik yang membezakan Malaysia dan negara-negara lain dalam perjuangan kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 terus terpahat dalam sejarah sebagai hari negara ini bebas dari cengkaman penjajah yang senantiasa menjadi petualang demi untuk kepentingan mereka. Namun begitu ini tidak bermakna kita memperoleh kemerdekaan dengan mudah. Sejak negara ini dijajah pada 24 Ogos 1511 dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis, telah berlaku banyak peperangan dan pertempuran terhadap penjajah bagi menyatakan kebencian penduduk negara ini terhadap penjajah. Kemudian dengan bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu pada 1874, ini mula menimbulkan kebencian terhadap penjajah, yang akhirnya mendorong orang Melayu untuk bangkit menentang British. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbung dan Mat Salleh di Sabah, hanya menyebut beberapa nama merupakan antara tokoh pejuang awal yang sanggup mengorbankan diri demi memperjuangkan kebebasan dengan menghalau penjajah. Walaupun penentangan yang dilakukan ini tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi semangat perjuangan inilah yang telah memercikkan api nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan. Nasionalisme
2
Gerakan nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan mula timbul berikutan semangat penduduknya yang inginkan sebuah negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir negara sendiri dengan corak kepimpinan sendiri. Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat ialah melalui akhbar yang mana ia telah berjaya meniupkan semangat anti penjajah. Terdapat beberapa golongan yang cerdik pandai yang berjuang dengan menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Antara mereka ialah golongan berpendidikan agama yang mendapat pendidikan di Al Azhar, Mesir. Golongan kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris dan golongan ketiga ialah golongan sekular berpendidikan Melayu. Mereka menggunakan teknik penulisan untuk menentang penjajah dan dalam masa yang sama menanamkan semangat nasionalisme. Namun penjajahan Jepun pada 1942-1945 adalah punca sebenar yang telah membuka mata masyarakat bahawa penjajahan boleh dihapuskan. Keupayaan Jepun menundukkan penjajah British sekali gus membuktikan bahawa penduduk negara ini boleh membebaskan diri dan berdikari. Selepas pendudukan Jepun, orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang di Indonesia yang sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di sini. Namun begitu Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British, dan malangnya penjajah melihat kemerdekaan bukanlah perkara utama bagi mereka malah mengumumkan cadangan penubuhan Malayan Union . Sir Harold MacMichael telah dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu. Beliau telah bertindak memaksa Sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British. Malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal sekurang-kurang 10 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam yang juga dikenali sebagai 'jus soli'. Tergugat dengan keadaan ini orang Melayu yang selama ini dilihat lemah oleh penjajah telah bangkit membantah. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pesara-pesara British dalam Perkhidmatan Awam seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemardt turut membantah rancangan Malayan Union. Dari sudut pandangan orang Melayu, penentangan ini telah disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau Pekembar yang muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union. 3
Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur yang disertai kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan. Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dilantik sebagai presiden pertama. Kongres itu turut mendesak Malayan Union dimansuhkan. Pihak British sangat terkejut dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersamasama, Perubahan Malah Sultan di negeri-negeri Melayu turut bersama berganding bahu menentang Malayan Union dan semua ini berjaya dicapai melalui usaha tersusun yang dilakukan UMNO. Meskipun penentangan orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelaksanaan Malayan Union. Sebaliknya, Malayan Union telah diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent dilantik Gabenor pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union begitu kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasa sepenuhnya. Malah pada majlis pelantikan Edward Gent, majlis tersebut telah dipulau oleh Sultan-sultan Melayu. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan ia telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bermulalah episod untuk mendapatkan kemerdekaan. Percubaan pertama untuk mendapatkan kemerdekaan berlaku pada 1954, di mana Tunku Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal. Pada tahun yang berikut, Pilihan Raya Persekutuan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang ketika itu merupakan gabungan UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama dan MIC yang mewakili kaum India menyertai parti tersebut pada tahun 1955. Pada tahun 1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Laungan "merdeka" yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaung dan dikongsi bersama di seluruh negara. Sejak itu, tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang membanggakan selama 52 tahun untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan. Mingguan Malaysia, Ahad 30 Ogos 2009
APA NASIB KITA 52 TAHUN LAGI?
4
ESOK 31 Ogos 2009 Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan ke-52. Ia bermakna sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah tanah air ini dengan cara kita sendiri. Kita menempuh segala cabaran dengan tabah bersandarkan kekukuhan perpaduan pelbagai kaum yang selama ini dikagumi oleh dunia. Tetapi persoalannya apakah yang akan berlaku 52 tahun lagi? Apakah yang akan menjadi faktor penentu bagi memastikan kemerdekaan negara ini yang dicapai melalui titisan keringat, air mata dan darah berkekalan? Berikut kami paparkan pandangan tiga penulis dari tiga generasi berbeza mengenai perkara itu.
LAHIR GENERASI BERILMU Oleh NIEZAM ABDULLAH Dalam melangkah ke era 50-tahun akan datang, kita seharusnya tidak lupa kepada sejarah silam bagaimana kemerdekaan dicapai hasil titisan darah dan air mata orang terdahulu. Hari ini golongan belia semakin terhakis pengetahuan itu. Mereka lebih tertumpu kepada aspek hiburan. Pemikiran intelektual mereka didedahkan kepada faktor-faktor terhadap keseronokan semata-mata. Maka lahirlah belia yang ingin menjadi penyanyi dan pelakon, mahu mencari kekayaan di pentas Akademi Fantasia daripada mereka yang bercita-cita untuk bergelar saintis ataupun professional lain. Seandainya perkara ini tidak diambil berat, 50 tahun akan datang lahirlah golongan belia yang ketandusan ilmu sehingga boleh menyumbang kepada kemusnahan bangsa dan negara. Jika ia berlaku, kita akan mewarisi satu masyarakat baru yang hilang adab sopan, lebih malang akan lahirlah pemimpin atau golongan intelektual yang akan mencorakkan elemen itu di dalam sistem pendidikan sehingga boleh mengakibatkan pemikiran masyarakat Malaysia kembali dijajah. Dari sudut agama amat merisaukan apabila keruntuhan akhlak dan gejala sosial itu menjadi penyakit yang merebak dengan pantas ke dalam jiwa golongan muda-mudi. Apa akan jadi kepada masyarakat kita jika bilangan samseng jalanan, anak luar nikah dan bohsia itu bertambah? Maka satu formula baru perlu dilakukan bagi memastikan gejala berkenaan tidak terus menyumbang terhadap pembentukan Malaysia dalam mencapai status negara maju berteraskan peradaban yang tinggi. Dalam masa yang sama aspek pendidikan hari ini harus memberi penekanan mendalam untuk menanam ciri-ciri Islam ke dalam jiwa generasi baru supaya masyarakat yang lahir nanti masih mengutamakan kepentingan budaya dan saling hormat menghormati. Ini kerana agama itu sebenarnya menjadi penentu dalam mencorakkan kemajuan terhadap sistem politik, ekonomi dan juga sosial. Sistem pendidikan yang masih berkecamuk dan tidak konsisten dengan apa yang dihasratkan amat berbahaya kerana ia tidak mampu untuk mewujudkan masyarakat yang berdaya maju pada masa akan datang. Aspek-aspek perpaduan dalam pendidikan harus diberi perhatian serius termasuklah soal memartabatkan bahasa Melayu agar suatu hari nanti identiti budaya Malaysia yang terkenal dengan sikap toleransi itu terhapus. Kita juga tidak mahu orang Cina dan India semakin pelat untuk bercakap bahasa Melayu sedangkan kita semua lahir di negara yang mengangkat bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi. Keadaan politik yang tidak stabil jika tidak ditangani dengan berkesan ia akan membuatkan keadaan menjadi bertambah parah 5
dan usaha melahirkan masyarakat berjiwa besar, mengutamakan kasih sayang tidak akan terhasil. Apa yang membimbangkan, jika perkara itu tidak diambil berat maka, kita akan melahirkan masyarakat "kau, kau... aku, aku" suatu hari nanti.
MENYEDIAKAN PEWARIS Oleh Zin Mahmud Generasi yang lahir dari tahun 1957 hingga 1963 adalah anak merdeka ketika Tanah Melayu belum menjadi Malaysia. Tempoh dari 1957 hingga 1963, Tanah Melayu sedang mengukuhkan diri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Tentu bagi generasi ini, mereka dibesarkan dengan suasana negara yang masih kuat dipengaruhi dan dikuasai oleh penjajah. Tentera British masih banyak. Darurat hanya berakhir tahun 1960. Walaupun merdeka, tahun-tahun itu kuasa penjajah masih kental. Tentera dan ekonomi kuat dipegang British. Dasar luar masih dipengaruhi kuat dari London. Lebih tepat Malaya ketika itu adalah dalam bentuk neo-kolonial. Britain mahu memerdekakan Tanah Melayu dengan syarat kepentingan ekonominya tidak terjejas. Justeru generasi yang lahir pada akhir 50-an dan awal 60-an membesar dalam keadaan negara yang belum benar-benar merdeka. Keadaan negara masih susah. Ibu bapa generasi ini menanggung penderitaan Darurat. Masih kelihatan kesusahan di merata-rata tempat. Dalam suasana terancam, London menggesa penubuhan Malaysia merangkumi semua tanah jajahannya di Asia Tenggara. Keadaan tidak stabil terus berlaku. Pemberontakan Brunei membawa negara itu enggan menyertai Malaysia. Konfrontasi dilancarkan Indonesia ekoran penubuhan Malaysia, diikuti terkeluarnya Singapura pada tahun 1965. Hanya selepas peristiwa 13 Mei dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pelajaran Kebangsaan, keadaan menjadi stabil dan mengukuh. Tahun-tahun 1970-an merupakan tempoh di mana generasi awal merdeka diberi tanggungjawab. Setelah mengalami kesusahan dan penderitaan, maka tahun-tahun itu merupakan masa bagi pendidikan dan pembangunan pesat bagi membina Malaysia berjaya. Pada tahun 70-an, Malaysia baru muncul sebagai negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat. Tentera asing diundurkan. Syarikat-syarikat asing milik penjajah berjaya dibeli dan kini merupakan tonggak kepada ekonomi negara. Sementara generasi awal merdeka pula diberi sokongan dan dokongan menjadi anak merdeka yang akhir¬nya pada tahun 80-an memasuki pasaran pekerjaan untuk memberi sumbangan kepada negara merdeka. Antara mereka telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan dibantu oleh kerajaan untuk menuntut ilmu di luar negara. Mereka pulang sebagai pemimpin dalam pelbagai sektor, awam dan swasta, akademik dan korporat yang mencorak Malaysia baru. Mereka ini kemudiannya muncul sebagai pelapis pemimpin politik. Generasi inilah yang membawa dan menerapkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekali gus merupakan pendokong kepada Wawasan 2020. 6
Tahun-tahun 80-an di mana generasi awal merdeka ini memberi sumbangan telah memantapkan Malaysia sebagai negara berjaya yang sedang menghala untuk menjadi negara perindustrian yang maju. Aspirasi generasi awal merdeka jelas. Mereka mahu meninggalkan warisan kepada anak cucu mereka sebuah negara yang mapan dan mantap. Bukan saja dari segi pembangunan tetapi juga jati diri sebagai bangsa merdeka. Maka pada 2009, generasi kelahiran 1957 hingga. 1963, sudah mencapai usia antara 46 hingga 52 tahun dapat berasa bangga bahawa sumbangan mereka kepada negara di bawah pimpinan generasi lepas Perang Dunia Kedua telah menampakkan hasilnya. Generasi ini terus memberi sumbangan untuk beberapa tahun lagi, antara tiga hingga sembilan tahun sebelum bersara. Apa yang hendak ditinggalkan wajar diperkemaskan bagi diserahkan kepada generasi berikutnya, dikenali sebagai generasi X, Y dan Z. Tetapi generasi ini pula sudah mula hendak mencuba model lain untuk negara. Iaitu lebih terbuka, demokratik dan berdaya saing. . Untuk inilah generasi awal merdeka mahu membimbing supaya aspirasi generasi X, Y dan Z ini tidak akan menghancurkan apa yang telah dicapai dan dikecapi selama ini. Kemajuan hendaklah dicapai tetapi janganlah berlaku apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
KESTABILAN POLITIK PENENTU Oleh Zulkiflee Bakar DUA tahun lalu, kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50. Ketika itu rakyat Malaysia begitu bangga kerana kononnya mereka merasai kebebasan sebenar-benarnya. Mereka bebas dalam semua perkara termasuklah dalam penyebaran maklumat tanpa sekatan. Internet digunakan sepenuhnya bagi melahirkan pandangan mereka. Parti-parti politik pembangkang pula semakin lantang dan membangkitkan apa juga isu demi meraih sokongan politik. Akhirnya, pada tahun 2008, Malaysia menyambut kemerdekaan ke51 dalam keadaan yang agak muram. Kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kekuasaan di beberapa buah negeri yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) telah mengubah senario politik negara. Akibat kerapuhan itu, BN yang dilihat tonggak kestabilan politik negara tergugat. Kebebasan yang kononnya diberikan atas nama demokrasi akhirnya memakan diri. Penulis membangkitkan soal kestabilan politik BN kerana parti itulah selama ini menjadi tonggak Malaysia terus mengecap kemerdekaan dan ketenteraman. Tiada siapapun yang dapat menafikan bahawa BN yang bertanggungjawab memerdekakan negara ini. Oleh itu jika BN menjadi lemah, kestabilan politik negara juga akan tergugat dan apabila itu berlaku maka Malaysia berada dalam bahaya. Kita mungkin boleh berhujah bahawa sekarang kononnya sudah ada alternatif berikutan kewujudan apa yang dipanggil Pakatan Rakyat (PR). Pakatan itu yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah berjaya menggugat BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka berjaya bukan kerana mereka kuat tetapi akibat `senjata' yang diberikan oleh pemimpin BN sendiri. 7
Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan BN ketika itu telah membolehkan pembangkang bercakap apa sahaja dan memainkan apa juga sentimen termasuk perkauman bagi meraih populariti politik. Kini BN cuba bangkit semula melalui kepimpinan yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. pelbagai kemelut yang turut melanda pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang mampu memberikan mesej yang jelas kepada rakyat siapa sebenarnya lebih layak mentadbir. Tetapi dalam masa yang sama BN juga berhadapan dengan masalah dalaman di kalangan parti komponennya. termasuk MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP). Semua ini meresahkan kita kerana kemerdekaan yang dikecapi oleh Malaysia yang kini memasuki 52 tahun bergantung sepenuhnya kepada kestabilan politik. Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan menjadi penentu corak politik Malaysia di masa depan. Apakah BN akan terus diberi mandat untuk mentadbir negara ini atau rakyat Malaysia akan merubah pendirian politik mereka bagi memberi peluang kepada pakatan pembangkang membuktikan kewibawaan mereka pula. Tergugat Tetapi apa yang jelas sama ada hendak diakui atau tidak, biarpun selama ini Malaysia menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam semua bidang termasuk krisis politik dan ekonomi, namun kehidupan rakyat tidak pernah tergugat. Mereka masih boleh hidup dengan aman dan damai dalam masyarakat pelbagai kaum. Oleh itu sementara demokrasi membenarkan kita menentukan pendirian politik kita tetapi dalam masa yang sama masa depan negara juga harus difikirkan. Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus membenarkan sebarang corak pendekatan politik yang meniupkan api perkauman kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kestabilan negara. Malah mereka tidak boleh menjadikan pilihan raya sebagai medan untuk menguji keupayaan mana-mana parti. Jika itu dilakukan ia ibarat memperjudikan nasib masa depan negara. Ini kerana apabila kestabilan politik negara tergugat maka tidak mustahil kemerdekaan yang kita kecapi juga akan terjejas. Mingguan Malaysia,Ahad 30 Ogos 2009
8