Apa itu 5r Ramai yang tidak mengetahui apa itu 5r. Adakah rakyat di Malaysia tahu betapa pentingnya 5r itu untuk menyelamatkan alam sekitar. 5R adalah singkatan kepada ‘rethink’ (fikir semula), ‘repair’ (baik pulih), ‘reuse’ (guna semula), ‘recycle’ (kitar semula) dan ‘reduce’ (kurangkan). Tahap kesedaran rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu dalam mengurangkan pembuangan sisa pepejal yang semakin bertambah sejajar dengan pertumbuhan penduduk di negara ini. Oleh itu rakyat Malaysia disarankan agar dapat mengamalkan sikap 5R ini bagi membantu mengurangkan penggunaan sumber asli secara lebih berkesan. Penerapan konsep 5R dalam mempromosikan amalan gaya hidup lestari memberi cabaran yang amat besar sekiranya semua golongan dari pelbagai peringkat tidak digembling. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) pada tahun 2007, lebih 15,000 tan sampah dihasilkan di Malaysia pada setiap hari dan ianya meningkat dari tahun ke tahun. Bagaimana fenomena ini boleh terjadi. Jawapannya mudah, iaitu masyarakat Malaysia tidak mengamalkan konsep 5R dalam kehidupan seharian. Justeru itu diharap dengan mempromosikan amalan gaya hidup lestari yang menekankan konsep 5R dikalangan masyarakat dapat memupuk generasi baru mahupun akan datang tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar demi kelangsungan hidup generasi yang berikutnya. Hidup dikelilingi sampah memang memualkan dan tidak menyenangkan. Tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa hidup ini ‘diwarnai’ oleh beraneka jenis sampah. Pernahkah kita terfikir, dengan jumlah sampah yang dihasilkan pada setiap hari ianya mampu untuk memenuhkan rumah kita. Oleh itu ingatlah konsep yang pertama iaitu ‘rethink’ ataupun fikir semula sebelum buang. Adalah penting bagi setiap individu untuk mengenal pasti bahan-bahan yang bakal dibuang itu mampu untuk dimanfaatkan untuk tujuan lain ataupun tidak. Sama ada ianya dapat dikitar semula, diperbaiki atau digunakan semula. Kebanyakan rakyat Malaysia kurang berfikir apabila membuang sesuatu, adalah lebih baik membuang sahaja sampah ke dalam tong sampah dan biarkan pihak yang memungut sampah itu meguruskan segalagalanya. Mentaliti seperti ini harus diubah bagi menggalakkan rakyat Malaysia khususnya lebih bertanggung jawab dalam memastikan alaman gaya hidup lestari dapat diamalkan secara lebih berkesan dan menyeluruh. Dengan adanya seidkit kesedaran iaitu fikir dulu sebelum buang ianya sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengurangkan sampah yang bakal dibawa ke pusat pelupusan sampah. Munculnya bertimbun-timbun sampah dalam kehidupan adalah disebabkan oleh tindakan dan aktiviti manusia itu sendiri.
Selain itu ‘rethink’ atau fikir semula bukan hanya terhad kepada fikir dulu sebelum buang sahaja, malah kita sebagai pengguna hendaklah bertindak untuk mengetahui dan mengambil kira bungkusan produk yang kita beli itu sama ada boleh dikitar semula, digunakan semula, dibaik pulih jika mengalami kerosakan. Oleh itu kita haruslah bijak dalam meneliti dan harus sedar bahawa memilih bahan pembungkusan yang baik juga dapat membantu kita dalam mengurangkan penghasilan sisa pepajal. Kefahaman dan kesedaran mengenai ini boleh didapati melalui pembacaan seharian daripada majalah-majalah ataupun sumber lain sama ada media cetak atau elektronik. Konsep ‘R’ kedua adalah ‘repair’ ataupun baik pulih di mana ia boleh diertikan sebagai memeriksa dengan teliti untuk tujuan membaiki atau untuk memulihkan keadaan sesuatu alat yang telah rosak. Bagi memastikan mengurangkan penggunaan sumber asli, adalah disarankan pengguna membaik pulih alatan yang rosak dan hanya membuangnya di pusatpusat kitar semula setelah kerosakan tidak dapat dibaiki sepenuhnya. Oleh itu kita sebagai pengguna bukan sahaja berperanan untuk memastikan barangan dapat dilupuskan secara berkesan, malah penggunaan barangan atau alatan secara cermat dan efektif juga dapat membantu mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke persekitaran sekaligus dapat mengurangkan penggunaan sumber asli yang kian berkurang disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terancang. Perabot rumah atau pejabat yang diperbuat daripada sumber asli iaitu kayu adalah salah satu contoh alatan yang perlu digunakan dengan cermat dan sebaik mungkin kerana sumber ini semakain berkurang sepanjang tahun ekoran daripada permintaan yang tinggi dalam sektor pertukangan. Oleh itu kita adalah digalakkan untuk membaik pulih perabot yang rosak yang difikirkan masih boleh diperbaiki dan digunakan semula. Menurut Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), hutan-hutan di seluruh dunia berkurangan sebanyak 12 juta hektar setiap tahun. Laporan FAO yang diterbitkan pada 2005 itu menyatakan bahawa purata kadar kehilangan hutan di Malaysia setiap tahun pada 1990an dianggarkan sebanyak 237,000 hektar atau hanya 1.2% sahaja. Kadar kehilangan ini adalah berdasarkan perubahan pada perancangan guna-tanah, seiring dengan polisi polisi pembangunan Negara. Oleh itu dengan adanya penerapan konsep baik pulih ini di harap dapat mempromosikan lagi amalan gaya hidup lestari secara lebih berkesan dan mantap. Konsep ‘R’ yang seterusnya adalah ‘reduce’ atau dalam bahasa Melayunya adalah mengurangkan. Kurang di sini membawa maksud mengurangkan penggunaan pelbagai sumber terutamanya sumber asli seperti kayu, petroleum serta kapas. Penggunaan sumber asli secara berlebihan dalam aktiviti seharian memaksa sektor industri berkaitan mempertingkatkan
pengeluarannya bagi memenuhi permintaan pengguna di sesuatu tempat. Pernahkah anda terdengar tentang berkongsi kenderaan ke tempat kerja? Semestinya pernah bukan. Kerajaan Malaysia telah lama menyarankan pengguna-pengguna kenderaan di Malaysia berkongsi kenderaan ke tempat kerja atau ke mana sahaja di dalam destinasi yang sama. Cara ini bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan gas beracun ke atmosfera yang dikeluarkan oleh kenderaan bermotor malah ianya dapat membantu mengurangkan jumlah penggunaan petrol dengan berkesan. Ianya bukan sahaja menjimatkan malah dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar-bandar besar terutamya Kuala Lumpur. Selain mengurangkan jumlah penggunaan petroleum, satu lagi bahan yang kita perlu kurangkan penggunaannya adalah kertas. Sebagaimana yang diketahui umum, kertas diperbuat daripada sumber asli iaitu kayu. Terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi kini, antaranya dengan menggunakan emel atau membuat salinan dalam komputer peribadi. Berdasarkan kepada statistik yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sehingga Jun 2007 sahaja rakyat Malaysia yang menggunakan internet adalah sebanyak 14,904,000 orang yang mewakili 59.0% populasi penduduk Malaysia. Oleh itu kita percaya bahawa penggunaan emel menggantikan surat yang menggunakan kertas dalam tugas seharian sepatutnya tidak menjadi masalah kerana rata-rata penduduk Malaysia tahu bagaimana untuk mengendalikan dan menggunakan internet., Amalan gaya hidup lestari dapat dilaksanakan seandainya setiap lapisan masyarakat di Malaysia sedar betapa pentingnya menjaga alam sekitar itu. ‘Reuse’ atau guna semula adalah salah satu daripada konsep yang terkandung dalam 5R di mana ianya bererti menggunakan semula barangan atau alatan yang terbuang untuk dimanfaatkan menjadi barangan lain seperti menjadikan tayar kenderaan yang telah lusuh atau rosak menjadi pasu bunga ataupun menjadikan botol plastik terbuang menjadi bekas meletak alat tulis. Kita sebagai pengguna haruslah meningkatkan daya kreativiti dalam menjadikan sesuatu bahan itu lebih menarik untuk digunakan. Bagi penggemar muzik pula, terdapat barangan yang boleh dijadikan sebagai alat muzik. Baldi lama, tong sampah yang pecah, botol kaca, kuali buruk, bekas hiasan plastik yang kemik dan botol air mineral biasanya dilonggokkan di luar kediaman atau kedai untuk dikutip oleh pengumpul bahan terbuang atau kitar semula. Tetapi percayakah anda bahawa bahan terbuang yang diibaratkan sebagai sampah dan tidak berguna ini mampu mengeluarkan alunan muzik yang indah didengari halwa telinga. Akhbar KOSMO! terbitan bulan Mac 2009 mendedahkan terdapat sebuah kumpulan yang digelar Eco Drum Circle (EDC) yang bernaung di bawah Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) sebuah kumpulan pemain drum yang menggunakan bahan-bahan kitar semula sebagai peralatan
muzik. Ini sejajar dengan misi mereka untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan memulihara alam sekitar yang merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Mereka bukan sahaja memanfaatkan bahan terbuang sebagai alat muzik, malah menerapkan kesedaran di kalangan masyarakat di seluruh dunia di samping dapat menambah pendapatan sampingan secara tidak langsung. Ianya juga boleh mengubah tanggapan orang ramai yang bahan buangan dapat digunakan semula untuk tujuan yang lebih bermanafaat dan boleh dijadikan perhiasan di dalam ataupun diluar kawasan rumah kediaman. Dengan adanya sikap seperti ini, saya percaya bahawa amalan gaya hidup lestari dapat dilaksanakan dengan lebih serius di samping mendapat sambutan daripada pelbagai pihak terutamanya di Malaysia.
Dalam keratan akhbar Berita Harian keluaran Disember 2005 ada menyatakan bahawa Di Kuala Lumpur saja, dengan jumlah penduduk kira-kira 1.5 juta, sisa pepejal yang dihasilkan mencecah 2,000 tan sehari. Persoalannya, mampukah kawasan pembuangan sampah menampung kadar peningkatan kuantiti bahan buangan ini. Walaupun negara kita mempunyai kira-kira 230 tapak pelupusan sampah berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar tetapi keluasan berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung hasil buangan. Bayangkan, setiap kali apabila tapak pelupusan sampah itu tidak mampu menampung kapasiti sisa pepejal, tapak baru akan diwujudkan. Hampir 80 peratus daripada sampah domestik boleh dikitar semula, malah barangan seperti peralatan makmal, bekas styrofom, baju lama, barang elektrik, sisa makanan seperti tulang ikan dan sayur juga boleh dikitar semula untuk dijadikan baja. Mari kita mendalami seba sedikit tentang makna kitar semula. Kitar semula membawa maksud memproses barangan lusuh atau bahan buangan menjadi produk baru. Contohnya surat khabar lama akan menjalani pelbagai peringkat pemprosesan untuk mendapatkan sejumlah kertas putih yang baharu dan sedia untuk digunakan sebagai kertas mahjung, kertas fotokopi dan banyak lagi. Amalan kitar semula ini harus dipraktikkan ke segenap lapisan masyrakat kerana ianya dapat mengurangkan kuantiti bahan buangan, selain menjimatkan kos perbelanjaan untuk membiayai projek pelupusan bahan buangan. Masyarakat di negara ini harus sedar dan melaksanakan kegiatan kitar semula serta membantu kerajaan menjayakan kempen berkenaan agar timbunan sampah itu tidak mencerobohi ruang hidup kita. Dalam memastikan projek kitar semula dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, kerajaan telah membelanjakan jumlah kewangan yang banyak dengan menjalankan pelbagai kempen dan promosi serta menyediakan tong-tong kitar semula bagi memudahkan para pengguna mengamalkan sikap fikir dulu
sebelum buang. Sebagaimana yang telah diketahui umum barangan yang terdiri daripada kaca, tin aluminium dan kertas dapat dikitar semula untuk menjadi produk baru. Jadi sebelum membeli sesuatu, pastikan bahawa anda membeli produk yang boleh dikitar semula. Penglibatan kitar semula produk bukan hanya terletak dibahu kerajaan semata-mata, ianya lebih berkesan jika dimulakan di rumah. Dengan menempatkan bakul kitar semula bagi buangan yang berbeza bagi memudahkan pengasingannya di tempat yang menjadi laluan, seperti dapur, ruang makan dan garaj secara tidak langsung dapat memupuk generasi muda mengamalkan konsep kitar semula dan kemudiannya dapat diaplikasikan di sekolah, Institusi pengajian tinggi seterusnya ke peringkat global. Selain itu juga, kita bolehlah melabelkan bekas kitar semula berdasarkan jenis bahan yang akan dikitar semula (1 tong untuk kaca, 1 tong untuk aluminium dan plastik dan 1 tong untuk kertas). Kita telah sedia maklum bahawa pusat-pusat pengumpulan barangan kitar semula telah menetapkan beberapa kriteria antaranya dengan memasukkan botol-botol plastik serta tin aluminium ke dalam tong berwarna jingga. Manakala tong coklat untuk menempatkan barangan yang berasaskan kaca seperti botol kaca dan cermin sementara tong biru dikhaskan untuk menempatkan barangan lusuh yang berasaskan kertas seperti surat khabar lama dan juga majalah. Dengan adanya pusat-pusat pengumpulan barangan kitar semula ini diharap pda satu hari nanti kerajaan serta rakyat Malaysia dapat manfaat daripadanya bukan sahaja dari segi ekonomi serta kewangan malah mampu untuk mengurangkan penggunaan sumber alam semulajadi sekaligus dapat memelihara alam sekitar daripada kerakusan tangan manusia.
Penerapan nilai-nilai murni seperti 5R ini dapat dijalankan dalam pelbagai bentuk dan aktiviti sama ada diperingkat rumah kediaman, komuniti, warga sekolah mahupun institusi pengajian tinggi agar ianya dapat diamalkan secara lebih bersepadu dan tersusun mengikut peringkat umur dan kategori. Oleh itu marilah kita sama-sama menyumbangkan idea-idea yang bernas semoga ianya dapat dilaksanakan mengikut hala tuju negara Malaysia yang semakin pesat membangun sekaligus membentuk masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi serta sentiasa berwaspada terhadap perubahan yang berlaku di sekelilingnya.