1.0
PENDAHULUAN Sesungguhnya penciptaaan manusia adalah lengkap dan sempurna sebagaima
firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu,sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain..” Surah Al-Imran ,ayat 195. Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa: “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang “. Jelas Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama,bangsa dan jantina seseorang. Di sudut Islam,martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah tetapi tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan. Apa yang penting Isalam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam. Pembangunan berasal dari perkataan ‘bangun’ iaitu bererti bangkit atau berubah kedudukan ataupun berlakunya transformasi. Proses transformasi ini melibatkan individu ataupun masyarakat secara progresif. Perkataan transformasi ini juga merujuk kepada manusia dan perubahan yang dialaminya secara berperingkat-peringkat ke arah kemajuan. Dalam memastikan pembangunan berjalan dengan lancar, maka peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara-negara di dunia begitu dominan sekali. Nama-nama seperti Magaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Sirimavo Bandaranaike, dan lain-lain sudah menjadi sinonim kepada pemimpin-pemimpin dunia. Senario kepimpinan wanita dalam sesebuah negara telah merebak ke dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Kaum wanita telah diberi peluang dalam memegang beberapa portfolio dalam kabinet seperti Datin Paduka Rafidah Aziz, Datin Paduka Zaleha Ismail, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
1
Penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara sememangnya tidak dapat disangkal. Jumlah wanita yang mewakili separuh daripada penduduk Malaysia iaitu sebanyak 13.1 juta dan membentuk hampir 5.0 juta keluarga menjadikan peranan wanita hari ini amat besar. Jika dahulu, wanita sering dikaitkan dengan suri rumah, tetapi segalanya-galanya berubah sesuai dengan 50 tahun kemerdekaan yang dicapai oleh negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), wanita telah memberikan sumbangan yang ketara kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara. Pencapaian pendidikan yang lebih tinggi mendorong penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan pelbagai aktiviti perniagaan. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9),usaha akan diambil untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita yang lebih berkesan dalam pembangunan negara. Wanita akan dilengkapkan dengan pengetahuan yang sesuai menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan. Sama ada dunia ini adil atau tidak, bukan lagi isu yang mencengkam wanita pada hari ini. Justeru, integrasi ekonomi dunia atau globalisasi ekonomi, beriringan dengan kemajuan teknologi yang pesat telah membentuk realiti ekonomi kaum wanita dalam pelbagai cara. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita yang bermula kira-kira dua dekad yang lalu dan kini semakin bertambah dalam hampir-hampir semua bahagian dunia, wanita mula mengorak langkah mengharungi cabarannya untuk memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Semakin bertambahnya penglibatan wanita dalam tenaga kerja dan meningkatnya pendapatan dan kekayaan mereka maka, peranan wanita semakin berpengaruh, baik dalam hal rumah tangga, organisasi, mahupun negara.
2.0
PERANAN DAN FUNGSI WANITA DI MALAYSIA
Dalam masyarakat tradisional, peranan kaum wanita adalah terhad kepada peranan pembantu (supporting role) kepada kaum lelaki. Ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas yang mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah untuk membantu suami mereka seperti menyemai, mengubah dan menuai. Dalam membangunkan keluarga masing-masing, wanita zaman tradisional menjalankan tugas seperti mencucuk atap, membela ayam itik dan lain-lain sebagai membantu peranan lelaki yang lebih besar dan pokok dalam kehidupan keluarga dan masyarakat keseluruhannya.
2
Dalam bidang politik dan pemerintahan status kaum wanita telah bertambah baik dan jika dilihat dalam perkembangan status mereka sama tinggi dengan lelaki. Ini dapat dilihat apabila kaum wanita diberikan hak mengundi seawal-awal usia penubuhan negara kita ini. Dalam bidang ekonomi, adalah bidang yang sudah diterokai oleh kaum wanita dan di mana kaum lelaki agak bersikap liberal dalam membuka pintu kepada kemasukan dan penyertaan wanita. Pada masa dahulu peranan dan fungsi kaum wanita dalam bidang ini amat terbatas. Jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmatan kerajaan maupun swasta semakin bertambah dan begitu juga pembahagian pendapatan. Walaupun jumlah pekerja-pekerja wanita ramai, hampir keseluruhannya termasuk pada peringkat pekerja-pekerja kurang mahir mendapat jumlah gaji yang kecil sahaja. Perubahan pada peranan ekonomi mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosial. Nilai sosial lama masih lagi menganggap wanita sebagai makhluk yang dicipta untuk kesenangan kaum lelaki di mana timbulnya institusi-institusi ekonomi moden yang khusus memperdagangkan wanita seperti pelacuran, teman sosial, kelab-kelab khusus dan lain-lain. Peranan wanita sebagai isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumah dan keluarga dan lebih utama lagi mereka berjaya menentang diskriminasi .
3.0
PERANAN WANITA DARI SUDUT POLITIK Menerusi cetusan ideal Wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju begitu tinggi sekali. Berbagai perubahan telah, sedang dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Ini termasuklah di dalam bidang politik negara supaya sistem perundangan dan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar tanpa wujud sebarang pertelingkahan serta bangkangan yang boleh membantutkan pembangunan negara. Oleh yang demikian penglibatan semua pihak adalah amat diambil berat untuk menguruskan pembangunan negara. Dan ini tidak terkecuali penglibatan kaum wanita di dalam pembangunan negara. Apabila membicarakan politik, Imam Al-Ghazali mendefinasikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Setiap manusia yang berkecimpung dalam bidang politik memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat. Justeru, politik amat berkait rapat di antara individu dengan masyarakat. Oleh yang demikian apabila wanita melibatkan diri di dalam politik menyebabkan penyertaan mereka di dalam bidang-bidang di luar rumah tangga untuk bersama
3
dengan masyarakat untuk turut sama menyumbangkan kepada pembangunan negara. Oleh yang demikian jika diteliti akan peranan yang boleh diberikan oleh wanita dalam membangunkan negara khususnya dari segi politik antaranya ialah wanita itu boleh menjadi penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan. Sebagai contoh mungkin di setengah-setengah negeri tidak membenarkan kaum wanita melibatkan diri mereka secara aktif dalam bidang perniagaan yang bertentangan dengan ajaran agama dan adat sopan. Sebagai isteri mereka boleh memberi pandangan bahawa peraturan yang dilaksanakan itu mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pembangunan masa kini yang mahukan kaum wanita sama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara. Menurut sebahagian ulama, wanita boleh berpolitik termasuk menjadi wakil rakyat sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Malah dalam sejarah sendiri telah tercatit bahawa khalifah Umar ibn Al khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara dari kaum muslimah pada masa zaman pemerintahan khalifah. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pembangunan sesebuah negara adalah tidak boleh disisihkan dan diketepikan. Demikian juga, wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhanpertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai idea dan cadangan dalam usaha untuk membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran. Sesuai dengan perkembangan zaman dan tuntutan semasa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), iaitu kementerian yang khusus dalam menjaga hal-ehwal dan pembangunan wanita turut diberi tempat dalam barisan kabinet kepimpinan negara. Wanita terus diberi kepercayaan oleh kerajaan dalam perkongsian kuasa dan pembuat keputusan sama ada dalam bidang politik atau ekonomi ,suara wanita diambil kira. Sekalipun sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar masih belum mencapai matlamat, keupayaan wanita memberikan kerjasama membangunkan negara amat membanggakan.
4
4.0
PERANAN WANITA DALAM PENDIDIKAN Wanita memainkan peranan yang penting di dalam pelbagai bidang khususnya dalam
bidang pendidikan. Dari perspektif Islam, Islam telah menyebarkan dasarnya dengan jelas mengenai wanita di dalam segala aspek kehidupan terutamanya di dalam bidang pendidikan. Rasullullah s.a.w. bersabda, "mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan". Dasar ini telah ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad ke enam Masihi, dan ianya masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga ke hari ini. Islam bukan sahaja meletakkan wanita di tempat yang paling wajar sebagai manusia dan sebagai teman hidup bagi seorang lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan dan ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki. Sebab itulah dari satu aspek, wanita lebih penting diberi pengajaran atau pendidikan yang secukupnya kerana kaum wanita merupakan pendidik atau guru yang paling layak untuk mendidik anak-anak dan anak bangsa mereka. Wanita berperanan mempersiapkan diri dengan ilmu yang bukan hanya tertumpu kepada ilmu undang-undang dan politik tetapi juga ilmu syariah. Ilmu tersebut akan membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat madani. Justeru bagi alaf abad ke- 21 ini merupakan pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan . Berdasarkan petikan ucapan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,dalam sidang kemuncak yang bertemakan “Wanita Nadi Pembangunan”,pada tahun 1959 golongan wanita yang bergelar siswazah di Universiti Malaya hanya 77 orang atau 10.7 peratus. Namun demikian, kini nisbah menunjukkan jumlah tersebut telah melangkaui jumlah pelajar lelaki dengan 61: 39. Peningkatan tahap pendidikan ini sudah tentu memperlihatkan keupayaan wanita dalam memberikan kerjasama membangunkan masyarakat dan ekonomi negara. Sesuatu bangsa akan berjaya apabila wanitanya mendapat pendidikan yang lengkap dan tinggi harga diri dan akhlaknya kerana kehalusan sifat wanita serta ketajaman perasaan seseorang ibu boleh memindahkan segala kebaikan yang ada padanya untuk diwarisi oleh anak-anaknya. Menurut seorang ahli falsafah Islam, "bila pendidikan telah begitu lengkap bagi wanita, biarlah kaum lelaki tidak begitu dipentingkan pendidikannya, kerana wanita-wanita itulah kelak akan mendidik kaum lelaki". Peranan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia, boleh dilihat dengan kemunculan
5
maktab-maktab perguruan. Untuk merealisasikan peranan wanita sebagai seorang pendidik, maka sebuah maktab telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka. Sejak kebelakangan ini, wanita telah mendominasi sistem pendidikan di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Penerangan dan Penyelidikan, Kementerian Sumber Manusia, terdapat 68% wanita terlibat di dalam sektor pendidikan. Namun demikian, jumlah peratusan kaum wanita yang memegang jawatan penting di dalam sektor pendidikan adalah kecil. Menurut N.Siva Subramaniam, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia, terdapat 5% sahaja kaum wanita yang memegang jawatan penting di dalam bidang pendidikan seperti Pegawai Pendidikan, Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan. Kebanjiran wanita di maktab-maktab perguruan memang tidak dapat dinafikan. Lebih 75% wanita merupakan pelatih-pelatih dikebanyakan maktab perguruan. Sebagai contoh Enrolmen Guru Pelatih dan Peserta Kursus, Maktab Perguruan Batu Pahat sehingga April 1997 menunjukkan bahawa pelatih perempuan lebih ramai dengan jumlah 471 orang berbanding dengan pelatih lelaki hanya 182 orang. Wanita perlu mendapatkan pendidikan tinggi bagi menjamin keberkesanan peranannya sebagai salah satu daripada tunjang pembangunan negara terutamanya dalam bidang pendidikan. Menurut Dr. Nik Safiah Karim (1976), di dalam ceramahnya anjuran Pertiwi di Kolej Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, antara lain berkata; "perbezaan antara wanita berilmu dengan wanita terpelajar amat jauh. Wanita terpelajar dapat bertindak dalam apa jua keadaan; kalau orang berbicara A wanita yang terpelajar boleh menyambung kepada B dan terus kepada Z. sebaliknya bagi wanita berilmu, pelajaran hanya menjadi tiket untuk mendapatkan pekerjaan, bukan sebagai kegunaan untuk hidup sempurna". Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan bahawa ketekunan dan sifat rajin wanita sahaja tidak dapat membantu mereka untuk terus berdaya saing terutama dalam arus globalisasi. Sebaliknya, ilmu pengetahuan serta kepandaian adalah menjadi tunjang bagi memastikan pada akhirnya kejayaan menjadi milik mereka.
5.0
PERANAN WANITA DALAM EKONOMI Ekonomi merupakan sesuatu yang amat penting bagi sesebuah negara. Kekayaan,
status dan jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bergantung kepada kepesatan ekonomi
6
yang dialaminya. Wanita telah memainkan peranan yang besar dalam aktiviti ekonomi dunia dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif. Penglibatan wanita dalam ekonomi telah meningkat tidak hanya pada emansipasi (pembebasan dari prasangka dan kongkongan) malah mengambil berat akan keperluan ekonomi. Perumpamaan “tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia” dapat dilihat sebagai gambaran yang paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya bagi memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi negara yang kukuh. Di negara kita, wanita merangkumi hampir-hampir separuh daripada sumber tenaga kerja. Penglibatan tenaga wanita dalam pasaran kerja telah meningkat daripada 2.7 juta (44.7 peratus ) pada tahun 1995 kepada 3.7 juta ( 46.1 peratus ) pada tahun 2006. Fakta ini membuktikan bahawa wanita telah memperkayakan bidang masing-masing dan memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Penglibatan kaum wanita sebagai pencari rezeki sudah diterima sebagai suatu realiti dalam masyarakat Islam moden. Mungkin kerana kos kehidupan yang semakin meningkat terutamanya di bandar menyebabkan kaum wanita harus sama-sama keluar mencari rezeki untuk keluarga. Oleh itu tidak hairanlah ketika ini, ramai wanita yang mempunyai pekerjaan kerana masing-masing memerlukan sumber pendapatan untuk membantu ekonomi keluarga. Namun begitu, dengan sumber pendapatan yang ada mereka bukan sahaja boleh membantu keluarga, malahan juga berperanan untuk membantu masyarakat Islam yang memerlukan. Menurut bancian Jabatan Statistik 2006,terdapat 518 000 orang usahawan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan pertanian dengan 99.1 peratus terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana. Daripada keseluruhan usahawan itu, lebih daripada 82 000 orang atau 16 peratus dimiliki oleh wanita. Memperoleh pendapatan daripada sumber yang bersih akan lebih berkat sekiranya kewajipan zakat itu dapat ditunaikan. Di sinilah wanita-wanita yang bekerja memainkan peranan untuk turut sama membangunkan ummah terutamanya dari segi pembangunan ekonomi masyarakat yang masih dikekang kemiskinan. Menunaikan zakat bukan hanya memenuhi tuntutan sebagai seorang Islam tetapi perlu difikirkan tentang manfaat dalam menyuburkan dan membersihkan pendapatan dan kehidupan. Pelbagai jenis zakat yang boleh dikaitkan dengan seorang wanita. Antaranya zakat pendapatan, zakat emas, zakat perniagaan, zakat saham dan sebagainya. Tidak ketinggalan bagi wanita-wanita yang berniaga. Dewasa ini, semakin ramai wanita yang menjadi usahawan berjaya. Mereka ini mewarisi bakat wanita-wanita Islam pada zaman dahulu seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Shifa’ binti Abdullah yang merupakan
7
contoh dua orang peniaga dan pengurus perniagaan berjaya dan cekap. Kecenderungan wanita-wanita kini untuk berniaga tidak wajar dipertikaikan dan keupayaan mereka untuk merealisasikan impian menjadi usahawan yang berjaya tidak harus diperlekehkan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada di antara usahawan-usahawan ini mampu untuk mengeluarkan zakat perniagaan untuk ‘dikongsi’ bersama asnaf yang memerlukan. Walaupun, sumbangan mereka kecil, tetapi nilainya tetap besar di sisi Allah s.w.t. Secara dasarnya, penglibatan wanita dalam membangunkan ekonomi memang disedari. Lantas, sebagai tanda terima kasih kerajaan atas usaha yang dijalankan oleh golongan wanita, maka Majlis Penasihat Kebangsaan mengenai Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID) di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan pada 1976. Penubuhan ini bertujuan menterjemahkan pelan tindakan sedunia tentang wanita dalam pembangunan negara. Selain itu, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) pula ditubuhkan pada tahun 1983 yang berfungsi untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan swasta bagi faedah wanita.
6.0
PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN SOSIAL. Pembaharuan yang dicapai oleh negara sekaligus menuntut perubahan dalam apa jua
tindakan yang diambil. Perubahan minda dan gaya hidup masyarakat, turut menuntut kaum wanita agar membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti. Selaras dengan ini, kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baru bagi mendapatkan hak yang sewajarnya dalam masyarakat. Wanita bukan lagi sebagai pendukung dan penyokong kepada setiap keputusan yang diambil oleh kaum lelaki. Akann tetapi wanita perlu juga diberi tempat dalam membuat sesuatu keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial. Jelasnya apabila kita membicarakan soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini, ianya harus diukur dari segi tahap kemampuan warganegara terutama kaum wanita. Memang tidak dapat dipersoalkan lagi bahawa peranan kaum wanita dalam pembangunan yang berperspektif sosial perlu di teliti. Ini kerana ianya akan menentukan ke manakah arah perkembangan anak-anak yang kebanyakkannya dididik oleh kaum wanita yang digelar ibu. Oleh itu peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat jelaslah amat penting dalam membangunkan ummah serta negara. Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan dari orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta
8
pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka. Tugas sebagai ibu dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam erti kata wanita tidak lagi menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir, oleh kerana dengan adanya pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan. Ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita. Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu. Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dalam simposium yang bertemakan "Wanita Alaf Baru Abad ke 21", wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggugjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman. Peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran negara dapat dimajukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak di tangan mereka. Seperti mana yang diulas oleh Dr. Muhammad Nur Munaty, Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), yang mengatakan tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak. Dengan senario sosial yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini, kaum wanita berperanan menangani dengan baik sesuatu perkara yang berbahaya agar masyarakat tidak terlibat dengan arus ekstrim dan akhirnya akan menimbulkan keadaan yang gawat. Kegawatan di sini membawa maksud dengan keadaan pembangunan dan modenisasi yang pantas tetapi menolak beberapa unsur lain yang terdapat dalam zaman tradisional seperti lari daripada prinsip dalam memuliakan agama kerana terlalu bangga dengan kecanggihan yang dicapai. Atas peranan yang besar dalam memberikan bimbingan ini, tidak mustahil mereka mampu membentuk satu generasi yang matang, berwibawa dan berkemampuan dalam membangunkan negara ke arah perkembangan yang padu dan berwawasan. Ini bertepatan dengan pandangan Senator Kamilla Ibrahim dalam menjawab persoalan Bicara Wanita 1 anjuran Biro Perpaduan dan Pembangunan Wanita Umno yang menyatakan bahawa perspektif yang berlandaskan sosial dalam pembangunan wanita adalah penting sebagai kuasa pembentukan ketamadunan.
9
7.0
KESIMPULAN Peranan kaum wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum
lelaki dalam pembangunan negara. Rasanya tidak lengkap sekiranya tugas pembangunan negara hanya disandarkan di bahu kaum Adam kerana maksud pembangunan itu sendiri adalah amat luas. Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan perpaduan ummah. Untuk itu, pembangunan dari unsur-unsur yang melibatkan faktor-faktor sosial memerlukan tindakan dan perjuangan yang lebih berani dari kaum wanita. Sememangnya perbezaan fizikal wanita akan menyebabkan perbezaan tugas dan tanggungjawab dari pandangan umum. Justeru untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu, wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan. Melalui ilmu, seorang wanita mampu mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan ke arah pembangunan negara. Sementara itu ketakwaan menjadikan wanita itu mantap, memiliki ketahanan diri yang kuat dengan erti kata keimanan menjadi benteng menahan arus cabaran yang mendatang. Keimanan menjadikan wanita kebal, umpamanya seekor ikan, jika dicampakkan ke laut masin, ia tetap tidak masin melainkan ia sudah mati dan digaramkan. Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan. Ini adalah kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak lagi hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi sebaliknya memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain. Memang kita akui wanita sendiri kadangkala tidak dapat melakukan sesuatu kerja sepertimana lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita. Justeru kita harus ingat bahawa tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rasional. Kita tidak harus meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Wanita sebagai isteri, ibu dan tidak kurang juga sebagai pemimpin. Peranan mendidik generasi serta kerjasama semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negara.
10
Seterusnya insan inilah yang bakal mewarnai dan menerajui pembangunan tamadun Islam yang cemerlang dan gemilang serta di redhai Allah s.w.t.
11