Ucapan Perbahasan Bajet 2010 (kerajaan Negeri Johor)

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Ucapan Perbahasan Bajet 2010 (kerajaan Negeri Johor) as PDF for free.

More details

  • Words: 4,441
  • Pages: 22
UCAPAN PERBAHASAN BAJET NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM 2010 YB. Hj Rasman Bin Hj Ithnain ADUN KAWASAN SEDILI

1. BismillahirRahmanirRahim. Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. 2. Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan keburukan amalan-amalan kita, barangsiapa yang Allah tunjuki maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah. 3. YB Datuk Speaker, bersyukur kita kepada Allah swt, kerana dengan izinnya dapatlah Kerajaan Negeri Johor, Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh YAB Datuk Hj Abdul Ghani Othman, membentangkan Bajet bagi tahun 2010 pada hari Khamis yang lalu. Alhamdulillah, walaupun terpaksa berhadapan dengan kemuraman ekonomi dunia, Bajet 2010 Negeri Johor masih lagi berupaya meneruskan pendekatan holistik dengan empat strategi utama yang sesungguhnya amat selari dengan konsep 1 Malaysia - “Rakyat Didahulukan – Pencapaian Diutamakan”. Bajet 2010 yang bertemakan “Bersatu Tenaga

Sejahtera Bersama” ini juga merupakan pelengkap kepada Bajet 2010 “1 Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat kira-kira sebulan yang lalu. Kedua-dua Bajet 2010 ini, samada Bajet Kerajaan Persekutuan mahupun Bajet Kerajaan Negeri Johor, sesungguhnya telah meletakkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta keberkesanan jentera perlaksanaan kerajaan bagi mencapai matlamat 'Bidang Keberhasilan Utama Negara' (NKRA) sebagai keutamaan di dalam merancang setiap program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun hadapan. Bajet 2010 ini sekali lagi telah membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah membelakangkan rakyat sebaliknya Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang peka akan kegelisahan dan keperitan, juga hasrat dan harapan rakyat. 4. YB Datuk Speaker, Bajet 2010 Negeri Johor adalah jauh berbeza dengan Bajet 'Selimut Pendek – tutup bawah nampak atas, tutup atas nampak bawah' seperti yang telah dibentangkan oleh sebuah Kerajaan Negeri yang kononnya 'Negeri Berkebajikan', dengan defisit lebih dari RM30 juta. Bajet Negeri Johor juga adalah bajet defisit. Walaupun Bajet 2010 ini masih merupakan Bajet Defisit, namun jumlah defisit ini adalah kecil dan telah pun berjaya dikurangkan berbanding Bajet tahun 2009 iaitu hanya sebanyak RM1.5 juta sahaja. Adalah sesuatu yang wajar, di dalam keadaan ekonomi yang menguncup, kerajaan harus memberikan suntikan tambahan bagi merangsang semula ekonomi agar ekonomi mendapatkan momentumnya untuk terus bergerak dan berkembang.

Walau bagaimana pun, dari Bajet 2010 yang telah dibentangkan ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mengamalkan dasar yang lebih berhemat dan mengutamakan nilai kewangan (value for money) khususnya mulai tahun 2010 dengan menerapkan Kaedah Bajet berdasarkan 'outcome'. Ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited untuk menyusun semula program, proses dan jentera pentadbiran Kerajaan agar lebih cekap dan berkesan serta memenuhi keperluan dan harapan rakyat walaupun dengan sumber yang terhad. 5. YB Datuk Speaker, Namun begitu, usaha penjimatan kerajaan ini tentunya tidak akan berhasil sekiranya ianya tidak disambut dan dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam. Para penjawat awam sebagai pelaksana kepada dasar dan program-program kerajaan haruslah dapat memahami kekangan sumber kewangan yang sedang dihadapi oleh Kerajaan dalam menghadapi keadaan ekonomi yang suram ketika ini. Pada ketika yang mencabar inilah penjawat awam seharusnya dapat membuktikan kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam berbakti kepada rakyat dan Negeri Johor dengan sama-sama 'Bersatu Tenaga' membantu kerajaan dalam menjimatkan perbelanjaan dan pada masa yang sama juga tetap komited untuk meningkatkan kecekapan untuk 'Kesejahteraan Bersama'. 'Bersatu Tenaga – Kesejahteraan Bersama' seperti yang menjadi tema Bajet 2010 Negeri Johor pada kali ini. 6. YB Datuk Speaker, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri khasnya YAB Dato' Menteri Besar kerana

walaupun dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang menguncup sepanjang tahun 2009 ini, Negeri Johor telah berjaya mendapatkan pelaburan yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM2.6 bilion dan yang lebih membanggakan kita, jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM45 juta berbanding tahun sebelumnya. Malah, lebih separuh dari jumlah pelaburan ini adalah merupakan pelaburan terus asing (FDI) sekaligus menjadikan Johor sebagai penerima kedua tertinggi pelaburan asing di Malaysia selepas Sarawak, bukan selepas Selangor, atau Pulau Pinang, jauh sekali Kedah mahupun Kelantan. 7. YB Datuk Speaker, inilah bukti bahawa Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang bijak dan berhemah didalam menguruskan ekonomi, lebih-lebih lagi Kerajaan Barisan Nasional Negeri Johor adalah dipimpin oleh YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, seorang pakar ekonomi yang pernah mengajar ekonomi di Universiti Malaya. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengambil pakar yang benar-benar pakar dalam merangka dan menguruskan ekonomi, tidak seperti di sebuah negeri di bawah pentadbiran kerajaan lain yang telah mengambil bekas Menteri Kewangan yang telah pernah hampir memusnahkan ekonomi negara suatu ketika dahulu. Mungkin kerana dipaksa dan Kerajaan Negeri tersebut sebenarnya tahu bahawa orang ini tidak layak menjadi penasihat ekonomi, maka gaji yang sanggup dibayar oleh Kerajaan Negeri tersebut untuk khidmat nasihat sebagai Penasihat Ekonomi hanya RM1 (satu ringgit sahaja). Seperti kata YAB Tun Dr. Mahathir, “ Jika kita bayar satu

ringgit, maka nilai atau nasihat yang kita dapat juga berkualiti satu ringgit”. Dengan jumlah gaji yang semurah RM1 ini, saya ingin mencadangkan agar rakan-rakan mereka di Dewan Yang Mulia ini, turut mengusulkan kepada kepimpinan mereka supaya semua negeri di bawah pentadbiran Pakatan Pembangkang melantik Bekas Menteri Kewangan ini sebagai Penasihat Ekonomi. Cuma saya ingin memetik sekali lagi kata-kata YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, “Sekiranya ingin melihat kerajaan negeri bankrup, perlantikannya sebagai Penasihat Ekonomi memang sangat sesuai”. 8. YB Datuk Speaker, Keputusan peperiksaan UPSR yang telah diumumkan minggu lalu telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan bagi Negeri Johor. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada warga pendidikan khasnya para guru yang sentiasa berdedikasi dan bermotivasi tinggi di dalam mendidik anak bangsa menjadi warganegara yang berilmu dan berguna kepada negara,pada masa depan, insyaAllah. Rakyat Negeri Johor seharusnya merasa berbangga kerana seperti yang telah diumumkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor, bahawa “jika dinilai daripada prestasi mata pelajaran, hampir keseluruhan peratusan penguasaan pelajar Negeri Johor adalah mengatasi pencapaian peringkat nasional”. Ini sesungguhnya

membuktikan

bahawa

program-program

yang

telah

dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Bajet yang lepas seperti Tuisyen Kampung telah pun mula menunjukkan kejayaannya.

9. YB Datuk Speaker, saya percaya dengan beberapa program dan usaha baru pihak kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2010, yang antaranya penambahan kelas Pra Sekolah dan Tadika Agama Johor serta usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar termasuk meningkatkan elaun guru Tadika Agama Johor (TAJ) dan guru-guru KAFA, Negeri Johor telah berada dilandasan yang tepat dalam usaha murni untuk membentuk masyarakat berilmu yang sesungguhnya begitu kritikal dan menjadi asas pembangunan modal insan yang inovatif, kreatif dan mempunyai kemahiran untuk menerajui abad ke 21. 10.Kenaikkan elaun guru TAJ dan KAFA ini sememangnya membawa implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri. Namun begitu, 'Bayar RM1 kita akan dapat perkhidmatan yang bernilai juga RM1. Saya percaya, dengan peningkatan elaun ini akan meningkatkan lagi motivasi dan komitmen guruguru ini dan yang lebih penting lagi para pelajar tentunya akan pula mendapat tenaga pengajar yang lebih berkualiti juga seperti yang menjadi hasrat Bajet 2010 Kerajaan Negeri Johor. Namun begitu, sebagai tambahan dan untuk memotivasikan lagi para pelajar kita, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada semua pelajar dari negeri Johor yang berjaya mendaftar kursus peringkat ijazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Cadangan ini selain untuk memotivasikan pelajar, ia juga adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa dalam

keadaan kos sara hidup yang telah meningkat kesan kenaikan harga minyak pada tahun lalu. 11.YB Datuk Speaker, Negeri Johor amat beruntung kerana dua dari koridor ekonomi baru yang diwujudkan oleh kerajaan pusat telah melibatkan Negeri Johor iaitu Iskandar Malaysia dan Wilayah Pembangunan Pantai Timur yang melibatkan daerah Mersing. Tanpa menafikan bahawa tumpuan pembangunan Negeri Johor pada ketika ini adalah kepada kedua-dua Wilayah Pembangunan Ekonomi tersebut, dan khususnya Iskandar Malaysia, daerah-daerah yang tidak termasuk didalam wilayah ekonomi ini tidak seharusnya dipinggirkan dari mendapat peluang-peluang pembangunan yang baru. Bagi daerah-daerah yang berdekatan dengan wilayah pembangunan ekonomi ini, sewajarnya kerajaan juga harus mula membuat perancangan sebagai persediaan untuk melimpahkan kemakmuran yang di jana dan terhasil dari wilayah pembangunan ekonomi yang baru ini. Sebagai contoh, apabila siap sepenuhnya Lebuhraya Senai – Desaru, maka perjalanan ke daerah sebelah Pantai Timur Johor akan semakin singkat dan Desaru juga dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan. Lebih-lebih lagi apabila telah ada perancangan untuk membina jalan baru pesisir pantai yang akan menghubungkan Sedili Besar, dalam kawasan DUN Sedili, ke Mersing yang akan dilaksanakan menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Sedili yang secara kebetulan berada ditengah-tengah antara Desaru dan Mersing adalah juga merupakan kawasan yang sangat berpotensi untuk dimajukan. Dengan kedudukannya

sebagai pengeluar hasil laut antara yang terbesar di Malaysia, Sedili sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancungan yang berkaitan dengan nelayan dan pusat makanan laut. 12. YB Datuk Speaker, asas kekuatan ekonomi Negeri Johor yang pada ketika ini

hanya bertumpu kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, pembuatan dan pembinaan seharusnya ditambah menjadi empat dengan memperkasakan sektor pelancongan dan hospitaliti. Kita lihat banyak contoh negara yang telah berjaya dan menjadikan pelancongan sebagai asas kekuatan ekonomi negara berkenaan seperti negara Thailand. Dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Negeri Johor sebagai Destinasi Pelancongan Utama Antarabangsa seperti yang tercatat didalam pembentangan Bajet 2010 ini, saya percaya usaha membangunkan kawasan Sedili sebagai kawasan pelancongan baru berkonsepkan pusat makanan laut akan turut menyumbang kepada mempercepatkan lagi pencapaian matlamat kerajaan untuk menjadikan Negeri Johor sebagai Destinasi Pelancongan Utama Antarabangsa. Untuk itu, saya mencadangkan agar langkah untuk membina pusat-pusat Medan Ikan Bakar di kawasan Sedili harus dirancang dan dimulakan segera. Program Home Stay dan Inap Desa juga sewajarnya diberikan galakan untuk dilaksanakan memandangkan Sedili mempunyai keunikan yang boleh dieksploitasi untuk menjadi daya tarikan semulajadi kepada para pelancong khususnya dari luar negara. Selain itu, jalan pesisir pantai Desaru – Sedili, Mawai – Sedili dan Sungai Mas ke Mawai, yang sempit dan daif dapat segera dinaik taraf dan diperbesarkan. Perkhidmatan Bas

dari Kota Tinggi ke Sedili juga perlu dipertingkatkan dan sebagai permulaan dimasukkan ke dalam kategori Laluan Khidmat Sosial dengan diberikan subsidi. 13. Saya percaya, rakyat di kawasan Sedili yang kebanyakannya bekerja sebagai

nelayan dan petani kampung termasuk dari kumpulan miskin tegar dan miskin, akan mendapat manfaat yang besar dari usaha dan pembangunan ini. Keadaan ekonomi penduduk Sedili juga tentunya akan dapat dipertingkatkan. Sementara Kerajaan sedang memacu usaha transformasi ke arah 'Negeri Maju Berpendapatan Tinggi', pada masa yang sama rakyat di kawasan pedalaman yang mundur seperti di Sedili juga dapat merasakan peningkatan kepada pendapatan mereka melalui pembangunan yang mempunyai rantaian nilai tambah yag tinggi ini. Kaedah ini tentunya juga merupakan suatu usaha yang dapat mengelakkan jurang pendapatan yang terlalu besar di antara wilayah pembangunan baru seperti Iskandar Malaysia dan ECER di Mersing dengan kawasan bersebelahannya seperti di Sedili. Selain itu, cadangan ini juga amat menepati tiga dari NKRA yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu : #

meningkatkan

taraf

hidup

rakyat

berpendapatan

#

memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan

#

menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa

rendah.

sederhana. 14.Justeru itu, rakyat di kawasan Sedili juga memohon dan mencadangkan kepada

Kerajaan Negeri supaya kawasan Sedili juga turut dimasukkan ke dalam Kajian Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Negeri Johor 2010-2020 untuk Kawasan di Luar Koridor Ekonomi bersama-sama dengan Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kluang. 15.YB Datuk Speaker, Kerajaan Barisan Nasional khasnya di Negeri Johor sememangnya adalah Kerajaan yang amat prihatin dan peka dengan masalah perumahan untuk rakyat Negeri Johor. Laporan menunjukkan bahawa melalui Dasar Perumahan Negeri Johor, matlamat untuk menyediakan rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk rakyat Negeri Johor sejak dari tahun 1996 sehingga 2008 telah hampir berjaya sepenuhnya. Di samping itu, bagi generasi kedua FELDA yang berjaya dalam permohonan mendapatkan lot-lot kosong di dalam kawasan Tanah Rancangan FELDA, YAB Perdana Menteri semasa menyampaikan amanat kepada Ahli Yang Berhormat yang mewakili kawasan Tanah Rancangan FELDA telah berjanji untuk mengarahkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membina rumah-rumah bagi generasi kedua FELDA di lot-lot yang kosong tersebut. Sebagai anak peneroka FELDA dan Wakil Rakyat yang mewakili kawasan FELDA, sesungguhnya saya amat bersyukur kerana langkah ini akan membantu menyelesaikan sebahagian dari masalah perumahan bagi generasi kedua FELDA yang pada ketika ini amat meruncing. 16.Bagi Daerah Kota Tinggi, pembinaan Perumahan Generasi Baru FELDA khas untuk generasi kedua FELDA yang sedang giat dibina di pinggir Bandar Kota

Tinggi iaitu di FELDA Pasak juga telah membantu menyelesaikan masalah perumahan generasi kedua FELDA ini. Namun begitu, jumlah rumah yang dapat dibina adalah jauh dari mencukupi. Permohonan yang diterima dari generasi kedua FELDA berjumlah lebih dari 5000 permohonan sedangkan rumah yang akan dibina hanya sekitar 739 unit sahaja. Untuk itu, kaedah penyelesaian yang lebih menyeluruh haruslah direka bagi menyelesaikan permasalahan ini secara tuntas. Bagi tujuan itu, suka saya mencadangkan agar SPNB juga dibenarkan membina rumah di tapak yang sama dengan rumah peneroka sediada. Bagi mengelakkan masalah mengutip bayaran, kaedah potongan bayaran melalui gaji peneroka bolehlah digunakan. Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, saya percaya sebahagian besar masalah perumahan untuk generasi kedua Felda akan dapat diselesaikan. (Masa Wakil Rakyat FELDA juga dapat diperuntukkan untuk permasalahan rakyat yang lain). Selain itu, tindakan ini juga akan mengurangkan masalah penghijrahan generasi kedua keluar dari kawasan FELDA sebaliknya mampu memeriahkan semula dan membangunkan lagi ekonomi di kawasan-kawasan FELDA. 17.YB Datuk Speaker, saya juga amat bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Johor (GLC) sebagai satu dari kaedah untuk mengurangkan kos operasi Kerajaan Negeri. Langkah meningkatkan sumbangan GLC ini sepatutnya dilakukan lebih awal daripada ini. Saya percaya langkah ini akan menyedarkan GLC seperti Johor Corp bahawa ianya ditubuhkan oleh Kerajaan Johor untuk

membantu semula membangunkan negeri dan rakyat Johor. GLC seperti Johor Corp harus sedar bahawa beribu hektar tanah kerajaan telah diberikan kepada mereka. Bermacam-macam bantuan dan jaminan telah diberikan sehingga Johor Corp mencapai kedudukannya seperti yang dinikmati pada hari ini. GLC seperti Johor Corp juga harus sedar akan tanggungjawab sosial untuk membantu rakyat dan negeri Johor sesuai dengan matlamat penubuhannya dan sebaliknya tidak hanya menggunakan keuntungan syarikat sebagai KPInya. Apakah sumbangan Johor Corp yang terkenal dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) kepada rakyat Negeri Johor miskin yang ingin mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar milik KPJ. Apalah salahnya memulangkan semula jasa dan pemberian rakyat dan Kerajaan Negeri Johor selama ini dengan memberikan diskaun istimewa untuk rakyat Johor yang memerlukan rawatan di hospital-hospital pakar KPJ. Apalah maknanya ke sana dan ke mari dengan

melaungkan

mementingkan

dan

slogan

'Bisnes

mengutamakan

Jihad'

tetapi

keuntungan

sebenarnya dari

lebih

melaksanakan

tanggungjawab sosial membantu pesakit yang sedang dalam kesusahan. 'Bisnes Jihad' yang sebenar adalah apabila Johor Corp meletakkan tanggungjawab sosialnya untuk membantu dan meringankan beban rakyat dan Kerajaan Negeri Johor seimbang dengan matlamat untuk membawa keuntungan kepada syarikat. 18.YB Datuk Speaker, Rakyat Negeri Johor tidak merasa apa-apa mahupun rasa bangga ketika makan di KFC, Pizza Hut mahu pun Ayam Mas meskipun

mereka tahu bahawa ianya adalah milik sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Johor. Dalam setiap Laporan Tahunan Perbadanan Johor, mereka menunjukkan bagaimana syarikat begitu prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja mereka. Saya ingin bertanya kepada Johor Corp, berapa gaji sehari pekerja ladang di Kompleks Pasir Panjang dan berapa pula jumlah pendapatan yang digunakan sebagai indeks oleh kerajaan dalam kategori isirumah yang tergolong dalam kumpulan Miskin dan Miskin Tegar. Dapatkah Johor Corp menafikan bahawa gaji pekerja ladang di Kompleks Pasir Panjang adalah tergolong dalam kategori Miskin Tegar. Benar pekerja ladang mendapat perumahan (jauh di tengah ladang) melalui program Bakti Ladang. Tetapi mengapa pula ada halangan daripada Johor Corp yang tidak mengizinkan pekerja menambah, membesar atau membuat ubahsuai terhadap rumah mereka. Di mana keikhlasan Johor Corp terhadap pekerja mereka yang telah berbakti kepada ladang yang telah menguntungkan Perbadanan Johor sejak sekian lama. 19.YB Datuk Speaker, lebih buruk lagi Johor Corp sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Johor pada pilihanraya yang lalu telah mengeluarkan arahan melarang pekerjanya di Kompleks Pasir Panjang untuk menampal mahu pun menaikkan apa-apa poster mahu pun bendera parti politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional sepanjang kempen pilihanraya yang lalu. Johor Corp seolah-olah mahu menyekat hak asasi pekerjanya untuk terlibat dan menunjukkan sokongan mereka kepada mana-mana parti Politik. Justeru itu, sesungguhnya saya menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri

untuk meningkatkan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam operasi dan program-program Kerajaan Negeri. Malah, saya juga ingin mencadangkan supaya Johor Corp dipaksa untuk segera melunaskan hutangnya sebanyak RM66 juta kepada Kerajaan Negeri Johor seperti yang pernah di sebut oleh Yang Berhormat dari Kempas dalam perbahasan Bajet 2009 dahulu. Kalau Johor Corporation dapat membayar separuh dari jumlah hutang tersebut pun tentunya Bajet 2010 kali ini akan menjadi lebih mantap dan seterusnya dapat menyuntik semula ekonomi Negeri Johor untuk berkembang keluar dari zon penguncupan. 20.YB Datuk Speaker, langkah Kerajaan Negeri meningkatkan penggunaan aplikasi teknologi khususnya ICT dalam pentadbiran kerajaan sememangnya amat diperlukan kerana selain dapat menjimatkan masa dan kos, ianya juga akan dapat meningkatkan kecekapan sesuatu urusan di pejabat-pejabat kerajaan. Kita boleh membayangkan apa akan berlaku sekiranya pejabat kerajaan tidak mempunyai komputer dan kemudahan internet. Justeru usaha membangunkan sistem di PBT dan Pejabat Tanah beberapa ketika dahulu amat tepat pada masanya. Sebagai contoh, kini urusan pembayaran cukai tanah sudah boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat Tanah Daerah tanpa mengira di daerah mana tanah tersebut berada. Usaha ini amat mendapat pujian dari rakyat kerana dapat menjimatkan kos dan dipihak kerajaan juga dapat mengurangkan masalah cukai tertunggak. 21.Walau bagaimana pun, sistem di pejabat tanah ini yang dibangunkan dengan

jumlah perbelanjaan yang bukan sedikit, pada persepsi rakyat, masih tidak dapat menjadikan Pejabat Tanah benar-benar cekap seperti yang diharapkan oleh rakyat. Urusan kelulusan sesuatu permohonan tanah masih mengambil masa yang terlalu lama, bertahun-tahun malah ada yang terpaksa menunggu sehingga lebih 30 tahun. Saya mengambil contoh dan ingin menyebut bagi kali yang kedua di dalam Dewan Yang Mulia ini, akan permohonan tanah penduduk kampung di beberapa kampung di kawasan Sedili seperti Kampung Belukar Durian, Kampung Telok, Kampung Seri Paya dan Kampung Bukit Kruing yang sejak sekian lama malah ada yang sudah mengambil masa puluhan tahun tetapi sehingga kini masih tidak dapat diketahui apakah keputusannya. Mengapakah perkara sebegini masih berlaku. YAB Dato' Menteri Besar sendiri pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah ini ketika lawatan ke Sedili lebih sepuluh tahun yang lalu. Perkara ini juga pernah saya bangkitkan dalam Dewan Yang Mulia ini sebelum ini tetapi tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak yang berkenaan. Tetapi mengapakah arahan dari YAB Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan sendiri juga tidak diberikan perhatian. Kalaulah arahan dari YAB Menteri Besar pun tidak dipatuhi, saya tidak tahu arahan siapa lagi yang patut kita turuti. Justeru itu, saya mohon agar perkara ini diberikan perhatian dan tindakan yang segera. Sementara kita masih berjawatan dan mempunyai peluang untuk berkhidmat, inilah masanya untuk kita membantu menyelesaikan masalah dan kesusahan rakyat. Inilah sebahagian dari ibadah yang akan dapat membantu kita di akhirat kelak.

22.YB Datuk Speaker, Daerah Kota Tinggi adalah antara daerah yang paling luas di Negeri johor. Selain dari terkenal sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah, daerah Kota Tinggi juga terkenal sebagai daerah yang sering dilanda bencana banjir khususnya apabila tiba musim tengkujuh seperti sekarang ini. Saya percaya semua ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Yang Mulia ini masih ingat bagaimana hampir seluruh Bandar Kota Tinggi lumpuh kerana telah ditenggelami air pada penghujung tahun 2006 dan kali kedua pada awal tahun 2007 yang lalu. 23.YB Datuk Speaker, sehingga hari ini, rakyat di Kota Tinggi merasa fobia apabila tiba musim tengkujuh. Kesengsaraan ketika menghadapi banjir besar yang lalu tetap menjadi ingatan dan pengajaran kepada kami semua di Kota Tinggi. Lebih memeritkan lagi apabila banjir dan hujan yang lebat telah menyebabkan jalan-jalan perhubungan putus yang menyukarkan bekalan dan bantuan untuk sampai ke daerah kami. Kawasan yang kerap mengalami bencana banjir di daerah Kota Tinggi meliputi juga di : 1) kawasan Sedili dan Bandar Kota Tinggi dalam Parlimen Kota Tinggi, 2) kawasan pekan dan perkampungan Sungai Rengit dan Pengerang di dalam Parlimen Pengerang dan juga 3) di kawasan Batu 25 dan Sungai Berangan dalam Parlimen Tenggara. 24.Dalam menghadapi bencana seperti banjir, peranan anggota keselamatan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) amatlah diperlukan di dalam melakukan kerja-kerja mengawal keadaan dan memberikan bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau

harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut. Namun apa yang berlaku sehingga hari ini, masih belum wujud sebuah pejabat atau Pusat Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di daerah Kota Tinggi yang luas seperti yang saya gambarkan sebentar tadi. Sehingga hari ini, saya difahamkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia hanya menubuhkan sebuah unit JPA Kota Tinggi dan beroperasi dari ibupejabat JPA Negeri Johor yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Keadaan ini tentunya akan menyukarkan JPA Unit Kota Tinggi untuk memainkan peranannya apabila ianya diperlukan. Berdasarkan gambaran yang telah saya berikan ini dan selaras dengan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion dalam BAJET 2010 Kerajaan Persekutuan seperti yang telah diumumkan mempertingkatkan

lagi

oleh YAB Perdana Menteri, iaitu untuk

kecekapan

anggota

keselamatan,

termasuk

menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih, saya memohon dan mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat memanjangkan cadangan untuk membina sebuah pejabat operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia khusus bagi daerah Kota Tinggi. Cadangan ini juga amat bertepatan dengan langkah kedua dalam tajuk Mencegah Jenayah dalam Bajet 2010 Kerajaan Persekutuan iaitu untuk melatih dan meningkatkan kecekapan tiga ribu anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk turut serta melakukan rondaan bersama PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah. Saya percaya hanya apabila pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dapat dibina di Kota Tinggi, maka kesemua enam perkara yang menjadi piagam pelanggan agensi

ini termasuk perkara keempat iaitu : Tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang 10 minit akan dapat di capai. 25.Akhir sekali YB Dato' Speaker, Alhamdulillah ekonomi dunia telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihannya. Dalam keadaan banyak negara yang terjejas teruk dengan kemelesetan ekonomi, ekonomi negara kita Malaysia amnya dan Negeri Johor khasnya tidaklah terjejas terlalu teruk. Dengan asasasas ekonomi yang kukuh juga permintaan dalam negara yang tinggi ditambah dengan kebijaksanaan Kerajaan Barisan Nasional yang memang mempunyai pengalaman yang telah terbukti sejak 50 tahun memerintah negara ini, memperkenalkan pendekatan dan kaedah pengurusan

ekonomi yang unik

termasuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi, telah memacu negara keluar dari krisis ekonomi dunia dalam waktu yang lebih awal berbanding negaranegara lain. Sesuai dengan perubahan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang telah dilakukan oleh Bank Dunia, kerajaan juga telah menningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara dari 3% kepada 5 hingga 6% bagi tahun 2010. Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dan pengikut-pengikutnya sepatutnya tidak membantah unjuran ini memandangkan semua pihak tahu bahawa beliau mempunyai hubungan yang intim dengan Bank Dunia. Bank Dunia tentunya mempunyai alasan yang tersendiri dalam meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2010. 26.Bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih, serta bagi mengiringi

usaha

transformasi

memacu

negara

ke

arah

ekonomi

berpendapatan tinggi, maka asas-asas perpaduan kaum yang menjadi teras utama dalam membangunkan negara kita selama ini perlulah diperkukuh dan diperhebatkan lagi. Konsep dan Gagasan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan Negara Malaysia, amatlah bertepatan dengan masanya. 27.Gagasan 1 Malaysia ini akan menjadi pelengkap kepada Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju sepenuhnya khususnya kepada cabaran yang pertama Wawasan 2020 iaitu mewujudkan sebuah negara yang bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Iaitu sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Gagasan 1 Malaysia juga menjadi pelengkap kepada cabaran ke tujuh Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu satu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat adalah lebih utama daripada diri sendiri, yang mana kebajikan insan tidak akan berkisar kepada orang perseorangan tetapi disekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh. 28.YB Datuk Speaker, Memandangkan isu perpaduan kaum menjadi begitu kritikal sejak akhir-akhir ini, saya mencadangkan agar nilai-nilai murni dalam

Gagasan 1 Malaysia segera dimasyarakatkan agar ianya dapat difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap warganegara khasnya oleh generasi muda kita. Untuk itu, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah segera menggubal kurikulum 1Malaysia dan segera dimasukkan di dalam kurikulum sistem pendidikan kebangsaan di semua peringkat dari sekolah rendah termasuk SRJK Cina dan Tamil, sekolah menengah mahupun di institusi pengajian tinggi. Di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Pengajian 1 Malaysia haruslah menjadi matapelajaran wajib kepada semua pelajar tanpa mengira kaum sebagaimana Pengajian Tamadun Islam diwajibkan ke atas pelajar beragama Islam di IPTA. Pusat-pusat latihan Kerajaan mahupun swasta juga termasuk PLKN dan Pusat Latihan Belia haruslah juga memasukkan kurikulum 1 Malaysia sebagai matapelajaran wajib di pusat-pusat latihan tersebut. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, saya yakin dan penuh percaya usaha untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi mencapai matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 akan mampu tercapai, insyaAllah. 29.YB Datuk Speaker, marilah sama-sama kita berdoa, mudah-mudahan, Allah yang Maha Kuasa dan Maha Pemimpin, yang memimpin dan membimbing semua niat, yang memimpin dan membimbing semua gerak, yang memimpin dan membimbing semua rasa, yang memimpin dan membimbing semua fikir. Memimpin dan membimbing fikiran dan perasaan kita semua di Dewan Yang

Mulia ini, tetap di jalan yang benar, tetap dijalan yang diredhainya, dan terus berusaha untuk mengukuhkan ukhwah dan perpaduan sesama kita. InsyaAllah Negeri dan Rakyat Johor akan terus selamat, aman, makmur dan maju serta segera keluar dari krisis ekonomi yang sedang melanda dunia, InsyaAllah. 30.YB Datuk Speaker, terima kasih sekali lagi kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan ini. Yang baik itu datangnya dari Allah swt. Yang buruk itu datangnya dari kedangkalan ilmu dan pengalaman saya sendiri. YB Datuk Speaker, saya mohon menyokong Bajet Kerajaan Negeri Johor Tahun 2010. Terima kasih.

INTISARI UCAPAN 1. Mengharapkan agar para Penjawat Awam 'Bersatu Tenaga' membantu kerajaan dalam menjimatkan perbelanjaan awam tetapi pada masa yang sama juga tetap komited meningkatkan kecekapan untuk 'Kesejahteraan Bersama'. 2. Mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada semua pelajar dari negeri Johor yang berjaya mendaftar kursus peringkat ijazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Cadangan ini selain untuk memotivasikan pelajar, ia juga adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa. 3. Mencadangkan

agar

Kerajaan

membangunkan

kawasan

Sedili

yang

bersebelahan dengan ECER sebagai destinasi pelancongan berasaskan

kehidupan nelayan dan makanan laut. Bagi tujuan itu, perlu disegerakan pembinaan Medan Ikan Bakar, digalakkan Program Homestay dan Inap Desa serta dinaik taraf dan diperbesarkan beberapa laluan utama ke kawasan Sedili selain menaiktaraf sistem pengangkutan awam dengan memasukkannya dalam Laluan Khidmat Sosial. 4. Mencadangkan supaya SPNB membina rumah-rumah untuk generasi kedua FELDA di tapak rumah Peneroka FELDA sediada. 5. Mencadangkan Johor Corporation meningkatkan tanggungjawab sosialnya, segera membayar hutangnya kepada Kerajaan Negeri selain meningkatkan sumbangan GLC ini untuk membiayai program dan operasi Kerajaan Negeri. 6. Mencadangkan sistem kelulusan permohonan tanah dipercepatkan. 7. Mencadangkan supaya sebuah pejabat operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dibina bagi daerah Kota Tinggi bagi memudahkan JPA menjalankan fungsi dan peranannya. 8. Mencadangkan agar Kerajaan menyegerakan usaha memasyarakatkan Gagasan 1Malaysia melalui penggubalan kurikulum khas untuk diterapkan ke dalam sistem pendidikan di seluruh peringkat termasuk di pusat-pusat latihan kerajaan seperti PLKN, BTN dan Pusat Latihan Belia.

Related Documents