Tugasan 1 - Parenting Style

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tugasan 1 - Parenting Style as PDF for free.

More details

  • Words: 874
  • Pages: 3
Nurul Ain Fathihah Bt Mohd Roshidan D20081032381 AT16 Pendidikan Sains (Biologi) Sila dapatkan journal ini melalui e-Journal upsi. The Influence of Parenting Styles, Achievement Motivation, and Self-Efficacy on Academic Performance in College Students Erlanger A Turner, Megan Chandler, Robert W Heffer. Journal of College Student Development. Washington: May/Jun 2009. Vol. 50, Iss. 3; p. 337 (10 pages) Sila bincang tentang parenting style dan kesan kepada remaja- Dua halaman sahaja. Moderator : Mahani binti Razali

Menurut Baumrind (1966), terdapat tiga variasi gaya keibubapaan yang wujud dalam mendidik anak-anak. Baumrind mengelaskan variasi ini kepada tiga gaya ; berwibawa (authoritative), kuku besi (authoritarian) dan kebebasan (permissive). Selain faktor baka dan persekitaran, kepelbagaian variasi ini bakal membentuk insan yang unik personalitinya. Gaya didikan yang pertama adalah ibubapa yang berwibawa (authoritative) dalam mendidik anak-anak bersikap tegas dan mampu mengawal situasi dua hala antara anak-anak dan ibubapa. Walaupun ibubapa bersikap tegas, namun mereka masih bersedia untuk mendengar pandangan anak-anak. Jika mereka merasakan pandangan anak-anak boleh diterima pakai, ibubapa ini mampu bertolak-ansur dan memenuhi kehendak anak-anak selagi tidak keterlaluan dan melampai batas. Interaksi dua hala kerap berlaku dalam mencari penyelesaian dalam masalah yang berlaku. Ibubapa yang mengamalkan gaya keibubapaan jenis ini mudah dibawa berbincang dan boleh bergurau dengan anak-anak mereka. Ibubapa juga tidak kekok menjadi rakan kepada anak-anak apabila anak mengadu masalah kepada ibubapa. Hubungan mesra dapat diwujudkan antara ibubapa dan anak-anak apabila banyak interaksi dan komunikasi yang berlaku.

Hasil daripada didikan ibubapa yang berwibawa ini, anak-anak akan membesar sebagai individu yang memiliki keyakinan diri yang tinggi serta mempunyai emosi dalaman yang stabil. Seterusnya, remaja ini akan memiliki nilai disiplin yang membanggakan dan bertingkah laku yang baik. Selain itu, pemikiran remaja akan lebih cepat matang dan mampu membezakan antara baik dan buruk dalam membuat keputusan. Apabila remaja berfikiran matang, mereka mampu mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Sikap remaja juga adalah terkawal walaupun tanpa pemantauan yang ketat daripada ibubapa. Remaja ini mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran seterusnya dapat mencapai prestasi akademik yang bagus. Gaya didikan yang kedua adalah gaya keibubapaan yang bersifat kuku besi (authoritarian). Gaya keibubapaan ini lebih berorientasikan kepada ibubapa dalam setiap perkara. Sering terjadi komunikasi yang berlaku adalah secara satu hala sahaja. Ibubapa sering beranggapan mereka selalunya betul kerana ‘aku lebih dahulu makan garam’ dan ‘aku bapa kau, maka aku betul’. Ibubapa jenis ini cenderung mengawal setiap pergerakan anak-anak mereka secara keterlaluan. Anak-anak tidak dapat tidak harus patuh dalam setiap keputusan ibubapa. Mereka sama sekali dilarang membantah atau menyuarakan pendapat. Ibubapa langsung tidak mahu bertolak-ansur dengan anak-anak kerana beranggapan anaknya masih mentah dan tidak tahu apa-apa. Selain itu, ibubapa jenis ini juga mengamalkan cara memberi hukuman demi mendisiplinkan anak-anak tanpa menerangkan sebab mereka melakukan demikian. Ibubapa yang mengamalkan sikap kuku besi ini juga seringkali meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah terhadap anak-anak tanpa memikirkan kemampuan anaknya. Akibat gaya keibubapaan ini, hubungan yang mesra dalam keluarga tidak wujud dan komunikasi dua hala tidak dapat dilakukan. Natijah daripada gaya didikan kuku besi ini, remaja akan membesar sebagai individu yang pasif dalam menyuarakan pendapat dan tidak memiliki keyakinan diri. Mereka juga merasakan mereka tidak memiliki harga diri. Selain itu, remaja yang dibentuk melalui gaya didikan ini akan membesar sebagai individu yang tidak matang pemikirannya dan kurang rasa tanggungjawab dalam diri. Emosi dalaman remaja sangat tidak stabil dan memiliki perasaan ingin memberontak dan memprotes ibubapanya dalam diam. Remaja ini akan mempamerkan emosinya melalui tingkahlaku yang tidak baik serta kasar dalam perbuatan dan percakapannya. Hasilnya, remaja ini tidak akan menumpukan perhatiannya kepada pelajaran dan menunjukkan prestasi akademik yang kurang memberangsangkan.

Seterusnya, gaya didikan yang ketiga adalah ibubapa yang memberikan kebebasan (permissive) kepada anak-anak dalam menentukan hala tuju hidup masing-masing. Wujud ibubapa yang memanjakan (indulgent) anak-anak secara keterlaluan. Ibubapa ini hanya menurut kehendak dan tuntutan anak-anak tanpa menimbangkan perkara baik buruknya kepada anak mereka. Ibubapa ini tidak menetapkan batasan terhadap anak-anak dan beranggapan anak-anak bebas memilih apa yang mereka mahu. Sementara itu, wujud pula sebahagian ibubapa yang mengabaikan dan cuai (neglecting) dalam menjaga anak. Ibubapa jenis ini tidak begitu ambil peduli di mana anak mereka berada, dan apa aktiviti yang sedang dilakukan anaknya. Mereka juga tidak ambil kisah siapa kawan anak mereka dan tidak mengambil tahu hal ehwal pelajaran serta suasana persekitaran sosial anak mereka. Ibubapa ini lebih mementingkan kerjayanya dan beranggapan pemberian wang sudah memadai sebagai menggantikan kasih sayang dan perhatian mereka. Hasil daripada gaya didikan yang memberikan kebebasan mutlak kepada anak-anak ini, mereka akan membesar sebagai individu yang tidak dapat membezakan baik buruk dalam kehidupan. Remaja hasil gaya didikan ini juga kurang matang pemikiran dan tingkahlakunya. Mereka akan berpendapat mereka bebas untuk melakukan apa saja tanpa mahu patuh pada batasan dan peraturan. Selain itu, emosi dalaman remaja ini juga tidak stabil dan mudah mengalah apabila kehendaknya tidak tercapai. Mereka juga akan berputus asa dengan mudah dan tidak mahu berusaha untuk mencapai yang lebih baik. Seterusnya, remaja ini tidak mahu berusaha bangkit semula apabila mendapat kegagalan. Mereka tidak begitu mementingkan pelajaran dan tidak memberi tumpuan pada hal yang sepatutnya. Makanya, prestasi akademik tidak menentu dan merosot jika tidak diberi perhatian. Tuntasnya, gaya keibubapaan yang diamalkan oleh ibubapa pada hari ini sangat memberi impak kepada personaliti individu dewasa pada masa akan datang. Ibubapa seharusnya mempertimbangkan gaya didikan terbaik demi melahirkan individu yang harmonis dan seimbang emosi, rohani, jasmani dan inteleknya.

Related Documents

Parenting
December 2019 44
Parenting...
November 2019 35
Parenting
November 2019 47
Tugasan 1
October 2019 38