TOLERANSI AGAMA DALAM ISLAM HADHARI Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID
Agenda pembangunan insan, pengurusan hidup duniawi yang seimbang antara fardu ain dan fardu kifayah perlu diberi keutamaan kerana kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang akan mencerminkan kemakmuran dan kualiti hidup umat Islam itu sendiri. Kemajuan yang dicapai dalam bidang-bidang seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), angkasa lepas, dan perubatan sudah tentu dapat mengangkat martabat bangsa dan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Tidak dinafikan bahawa dunia Barat telah mendominasi peradaban dunia hari ini sejak enam abad yang lalu, walaupun mereka sebenarnya banyak menimba ilmu dan pengalaman dari kejayaan tamadun Islam. Bertitik tolak dari sinilah, tibalah masanya untuk umat Islam bangun dari tidur dan mengembalikan kegemilangan masa silam. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Hikmah dan kebijaksanaan itu adalah barang hilang umat mukmin yang mesti mereka peroleh kembali. Gagasan Islam Hadhari boleh menjadi pemangkin ke arah ini. Islam Hadhari tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan ciri-ciri keperibadian dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri ini perlu ada pada segenap lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi negara, para pegawai kerajaan, kakitangan awam dan swasta, golongan belia sehinggalah kepada rakyat jelata. Usaha kerajaan membasmi pelbagai permasalahan ummah khususnya isu-isu sosial seperti rasuah dilihat sebagai usaha mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan. Masyarakat Islam Hadhari perlu mempunyai prinsip serta komitmen yang utuh terhadap agama yang dianuti. Mereka harus mematuhi segala ajaran agama yang meliputi perintah dan larangan Allah s.w.t. Dalam Islam, usaha saling berlumba untuk melakukan amalan dengan ikhlas amat disanjung tinggi. Agama adalah amat penting dalam kehidupan seseorang individu kerana ia menjadi panduan hidup dan mendorong mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Dalam ibadah ritual, apa yang tergambar dalam batin bukanlah sebagai beban, tetapi ia sebenarnya dicetuskan oleh kerinduan untuk sering bertemu dengan Allah s.w.t. Manusia yang beradab, luhur budi serta tinggi akhlaknya akan sentiasa bermuhasabah mencari kesilapan dan sentiasa redha sekiranya ditimpa musibah kerana memikirkan hikmah di sebaliknya.
1
Demikian juga prinsip toleransi anjuran Islam yang telah dilaksanakan sepenuhnya oleh pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. masih dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat di Malaysia. Antaranya ialah memberikan kebebasan beragama kepada semua golongan. Kebebasan ini dapat dilihat dalam pembinaan rumah-rumah ibadah mengikut agama masing-masing. Kerajaan sudah tentu tidak membenarkan masjid atau surau didirikan di kawasan yang majoriti penduduknya menganut agama yang lain daripada Islam demi memelihara keharmonian antara kaum. Bahkan dari segi bilangannya, kerajaan sentiasa membenarkan supaya bilangan rumah ibadah yang secukupnya untuk didirikan. Setiap kaum atau golongan dibenarkan untuk mengajar agama di kalangan masyarakat mereka sendiri tanpa sebarang halangan. Bahan-bahan bacaan juga dibenarkan untuk dicetak dan disebar di kalangan mereka untuk memastikan mereka dapat menghayati agama sendiri. Setiap kumpulan masyarakat dibenar menghidupkan budaya masing-masing tanpa sebarang tekanan asalkan ia tidak menggugat keharmonian antara kaum. Kerajaan juga membenarkan pendidikan yang berbeza aliran di peringkat rendah supaya bahasa dan budaya sesuatu kaum dapat terus dikekalkan. Tiada sebarang sekatan kepada mana-mana kaum untuk melaksanakan kegiatan ekonomi. Bahkan kerajaan menggalakkan usaha sama yang erat antara kaum bagi menjayakan usaha masing-masing. - MOHD. Shauki Abdul Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia:: 9 Julai 2004
2