Terrorisme dan Penguasaan Dunia [Malay] by Dr. Chandra Muzaffar
Sejak tragedi 11 September, media arus perdana Amerika Syarikat beranggapan bahawa persoalan utama dalam gelanggang politik antarabangsa adalah terrorisme. Pandangan ini turut dikongsikan oleh beberapa pemimpin politik serta jurubicara Zionis dan mubaligh Kristian di negara tersebut. Dalam tulisan dan ucapan mereka, terrorisme sering dikaitkan dengan orang Islam. Adakalanya individu-individu tertentu di kalangan mereka mengutuk Islam sebagai agama yang menggalakkan terrorisme dan keganasan. Ulama Benar, terdapat segelintir orang Islam yang terlibat dalam terrorisme dan cuba mewajarkan kegiatan mereka atas nama Islam. Akan tetapi tindakan mereka ditolak oleh majoriti warga Islam. Malah, sebahagian besar alim ulama mengecam pembunuhan dan penculikan orang awam terutamanya dalam konteks penentangan rakyat Iraq terhadap penaklukan dan penguasaan negara mereka oleh Washington dan London. Inilah pendirian Persatuan Antarabangsa Ulama yang dipimpin oleh ulama terkenal seperti Sheikh Yusuf Qardawi dan Ayatollah Mohamad al-Taskhiri. Malangnya media arus perdana Amerika Syarikat tidak memberi penekanan yang sepatutnya kepada pandangan mereka tentang terrorisme yang begitu jelas dan jitu. Sebaliknya, setiap aktiviti terroris golongan terpinggir Islam diberi liputan yang meluas dalam media elektronik mahu pun media cetak. Penaklukan Persoalan yang lebih penting ialah, walaupun media AS seperti CNN dan New York Times mengakui bahawa golongan yang disifatkan mereka sebagai `terroris' menentang penguasaan WashingtonLondon ke atas Iraq, mereka segan mendedahkan kepada khalayak ramai latar belakang sejarah terrorisme yang berlaku di negara itu. Sebelum pencerobohan dan penaklukan Washington-London, tidak ada kumpulan-kumpulan militan yang bertopengkan Islam membunuh orang awam sebagai strategi politik mereka di Iraq. Begitu juga di Palestin sebelum komplot oleh pihak Zionis untuk membawa masuk orang Yahudi dari Eropah mulai hujung kurun ke19 yang semakin diperhebatkan selepas Perisytiharan Balfour pada 1917, tidak wujud keganasan politik yang memudaratkan keamanan masyarakat. Sesungguhnya, penawanan wilayah Palestin yang diragut daripada penghuni asalnya demi pembentukan sebuah negara yang bernama Israel pada 1948 merupakan punca keganasan yang berlarutan sehingga ke saat ini. Keadaan ini menjadi bertambah buruk dengan penaklukan Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza pada 1967 yang akhirnya menjadikan rampasan kapal terbang sebagai kaedah perjuangan pejuang pembebasan Palestin yang lebih cenderung kepada keganasan. Harus diberi perhatian juga bahawa sebelum provokasi kunjungan Ariel Sharon yang kini merupakan Perdana Menteri Israel, ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis pada September 2000, tidak wujud apa yang diwarwarkan di dalam media sebagai `suicide bombers'. Jelasnya, penaklukan atau penguasaan oleh sesuatu kuasa yang lain ke atas wilayah sesuatu bangsalah yang pada lazimnya akan mencetuskan tentangan dari mangsa pencerobohan yang kadangkala terpancar dalam bentuk terrorisme iaitu pembunuhan orang awam. Seharusnya, faktor inilah yang membolehkan kita membezakan di antara kaedah yang digunakan dalam penentangan terhadap penaklukan dengan prinsip penentangan itu sendiri.
Penaklukan dan penguasaan ke atas sesuatu bangsa yang mencabar keutuhan dan kedaulatannya sememangnya mengundang reaksi yang kadangkala bertukar menjadi ganas, dan fakta ini terbukti dalam beberapa kes semasa. Selain daripada Iraq dan Palestin, apa yang terjadi di Ireland dan Basque, Croatia dan Bosnia, Chechnya dan Kashmir, Afghanistan dan Sri Lanka memperkukuhkan kenyataan ini. Sebab itulah kita boleh menganggap penaklukan dan penguasaan sebagai punca utama terrorisme kontemporari. Washington Oleh kerana penaklukan dan penguasaan AS terhadap negaranegara lain membawa implikasi kepada umat manusia keseluruhannya -- atas sifat AS sebagai `superpower' yang tunggal-- kita akan menumpukan perhatian terhadap AS. Bagi pengkaji politik tertentu, AS wujud sebagai sebuah negara berteraskan penaklukan, penguasaan dan penghapusan bangsa peribumi AS. Kecenderungan mereka terhadap penguasaan teserlah dalam `Doktrin Monroe' yang diisytiharkan oleh pentadbiran Washington pada pertengahan kurun ke-19. Mengikut doktrin ini, hanya AS yang berhak untuk menguasai Amerika Latin. Kuasa AS bertambah dengan penguasaan beberapa wilayah yang pernah dijajah oleh Sepanyol termasuk Filipina, Cuba, Puerto Rico dan Guam. Ini bermakna bahawa pada awal kurun ke-20, AS telah muncul sebagai sebuah kuasa penjajah. Selepas perang dunia kedua, penjajah Barat yang terakhir ini telah menonjolkan kuasanya melalui pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945 yang mengorbankan hampir-hampir suku juta manusia. Daripada satu segi, peristiwa tragik ini adalah mesej Washington kepada dunia bahawa kuasa dan kedudukannya dalam dunia pasca perang tidak boleh dicabar. Melalui penglibatannya dalam beberapa perang yang paling mengaibkan di Vietnam Washington cuba memperluaskan pengaruhnya. Tetapi, Washington terpaksa berdepan dengan dua jenis halangan iaitu nasionalisme negara-negara yang baru merdeka dan blok komunis yang dikepalai oleh Soviet Union. Pertembungan antara Washington dengan Moscow, sepertimana yang diketahui umum, melahirkan apa yang disifatkan sebagai `perang dingin'. Dengan merosotnya nasionalisme pada awal dasawarsa lapan puluhan dan hancurnya sistem Soviet pada awal dasawarsa sembilan puluhan, AS bermaharajalela sebagai `superpower' tunggal. Sekali lagi, AS mencanangkan kepada warga dunia status barunya melalui kemenangan ketenteraan atas Iraq dalam perang Teluk pada 1991. Pencerobohan terhadap Afghanistan pada 2001 serta penaklukan Iraq pada 2003 merupakan lanjutan politik penguasaan dan dominasi Washington. Kuasa Ketenteraan Kuasa ketenteraan Washington adalah teras dominasi globalnya. `Superpower' dunia ini memiliki 725 pangkalan tentera di luar sempadannya. Bajet tahun ketenteraannya melebihi 400 bilion dollar Amerika. Program ketenteraannya merangkumi lautan dan angkasa lepas. Penguasaan ketenteraan terhadap angkasa lepas adalah sebahagian daripada perancangan strategik `Total Spectrum Dominance' yang bermakna dominasi serba lengkap dan menyeluruh. Apakah faktor-faktor yang mendorong AS menggunakan kehebatan ketenteraannya untuk menguasai dunia? Selain daripada agenda untuk melindungi sistem kapitalis dan kepentingan Washington serta bekalan minyak yang memperkukuhkan sistem ini, kuasa ketenteraannya juga memanfaatkan Israel yang kini mendapat sokongan kuat daripada Evangelis Kristian. Penaklukan Iraq umpamanya, dilancarkan untuk memperkukuhkan kedudukan Israel. Mengikut sumber-sumber tertentu, penaklukan Iraq adalah langkah pertama dalam penyusunan semula peta politik Timur