LATAR BELAKANG KEADAAN JIWA MANUSIA DARIPADA PERSPEKTIF AL QURAN
Manusia secara fitrahnya adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna dan mulia sebagaimana firman Allah di dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud:
Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Justeru, manusia diberikan status yang tinggi sebagai khalifah di muka bumi ini dan seterusnya memikul tanggungjawab moral yang berat (M. Kamal Hasan 1995). Bagaimanapun, manusia juga adalah makhluk yang lemah, gelisah dan mementingkan diri (Al-Maarij: 19-29) serta cinta kepada dunia (Ali Imran: 14). Oleh itu, fitrah jiwa manusia cenderung kepada kebajikan dan kejahatan (As-Syam: 7-10).
Keadaan jiwa seseorang mempengaruhi tindakannya. Jiwa yang bersih dan tenang membolehkan seseorang menumpukan perhatian kepada tugas, mengatasi permasalahan hidup dengan efektif dan mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat (Hasnan Kasan 2000). Sebaliknya jiwa yang gelisah mudah berputus asa dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan (Hasnan Kasan, 2000). Justeru, syariat Islam (segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di atas muka bumi ini merangkumi hukum fardu dan sunat, halal dan haram serta makruh dan harus) dikurniakan oleh Allah bagi menjamin kebersihan dan ketenangan jiwa manusia (Hasnan Kasan 2000).
Keadaan jiwa manusia dijelaskan di dalam Al-Quran dalam beberapa keadaan. Omar Hasan Kasule (2005), menyenaraikan lapan jenis keadaan jiwa manusia iaitu amarah (kecenderungan kepada kejahatan), lawamah (kesedaran terhadap peraturan moral), mulhamah (aspirasi kepada taqwa), qanu’ah (puas dengan apa yang ada), mutmainah (tenang), radhiyah (reda), mardhiyah (diredai) dan kamilah (sempurna). Muhammad Syukri Salleh (2005), pula menyenaraikan tujuh peringkat nafsu iaitu amarah, lawamah, mulhamah, mutmainah, radhiyah, mardhiyah dan nafsu kamilah. Bagaimanapun, dalam kajian ini, keadaan jiwa manusia secara amnya terbahagi kepada tiga iaitu amarah (12:53), lawamah (75:2) dan mutmainah (89:27). Ini kerana, di dalam Al-Quran ketiga-tiga keadaan jiwa ini didahului dengan perkataan nafs yang bermaksud jiwa. Ini turut bertepatan dengan pendapat Imam Al-Ghazali (1998) yang membahagikan personaliti jiwa manusia kepada tiga kategori tersebut.
Jiwa Amarah
Nafsu Amarah dikategorikan sebagai nafsu yang jahat (Muhammad Shukri Salleh, 2005). Amarah disifatkan sebagai jiwa yang didominasi dengan sifat-sifat mazmumah (sifat yang keji) sebagaimana termaktub di dalam Surah Yusuf yang bermaksud:
Sesungguhnya nafsu amarah itu sentiasa menyuruh manusia berbuat keji (Surah Yusuf, 12:50). Amarah adalah jiwa yang cenderung untuk mengingkari perintah Allah dan akhirnya membentuk akhlak yang buruk (Al-Ghazali, 1998). Jiwa yang dikuasai oleh hawa nafsu akan membawa manusia kepada kesesatan dan amalan yang buruk sehingga manusia melupakan hari akhirat dan akhirnya mendapat seksaan di neraka (AlMukminun, 23: 63-65). Nafsu amarah yang tidak dikawal boleh menggugat kesejahteraan manusia dan alam sejagat (Al-Mukminun, 23: 71).
Jiwa Lawamah
Nafsu atau jiwa Lawamah juga dikategorikan oleh Muhammad Shukri Salleh (2005), sebagai nafsu yang jahat. Lawwamah merupakan jiwa yang berjuang di antara kebaikan dan kejahatan (Al-Ghazali 1998). Lawamah adalah jiwa yang menyesali setiap kesilapan yang dilakukan. Keadaan jiwa ini dijelaskan di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Qiyamah ayat kedua yang bermaksud: “Aku bersumpah dengan nafs (jiwa) yang menyesali dirinya sendiri atas perbuatan buruk dan setiap pelanggarannya” (Al-Qiyamah, 75:2) Jiwa Mutmainah Jiwa mutmainah pula dikategorikan sebagai nafsu yang baik (Muhammad Shukri Salleh, 2005). Jiwa mutmainah merupakan jiwa yang tenang. Manusia berjiwa mutmainah sentiasa redha kepada Allah dan Allah juga redha kepadanya. Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan keadaan redha dan diredhai." (Surah Al-Tahrim, 66:12).
Personaliti jiwa mutmainah diperolehi pada titik keseimbangan antara kekuatan marah dan kekuatan syahwat. Mutmainah adalah jiwa yang tenang dan sempurna kerana memiliki sifat terpuji dan bebas daripada sifat yang keji. Personaliti jiwa mutmainah disebut di dalam Surah Al-Fajr yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan yang baik (Surah Al-Fajr, 89: 27). Perkaitan Jiwa dan Iman Nafsu atau keadaan jiwa manusia berkait langsung dengan tahap keimanannnya. Jiwa manusia berada di dalam keadaan amarah dan lawamah apabila iman berada pada tahap taqlid dan ilmu. Sebaliknya, jiwa manusia berada dalam keadaan mutmainah apabila iman berada pada tahap ayan, haq dan hakikat (Muhammad Shukri Salleh, 2005).