SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI (GIS) BAGI PERANCANGAN DAN PEMANTAUAN PEMBANGUNAN WILAYAH: Kearah Pengunaan AGISwlk yang lebih berkesan lagi Ahris Yaakup Siti Zalina Abu Bakar Unit GIS dan Perancangan Biro Inovasi dan Perundingan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor Email :
[email protected] Abstraks Pemantauan pembangunan wilayah antara lain menuntut pengolahan, analisis dan penilaian alternatif tindakan. Pemantauan yang lebih berkesan serta bermakna dalam pembangunan wilayah memerlukan penerapan sistem sokongan perancangan yang dapat membantu dalam mencapai matlamat sebenar pembangunan. Walaupun GIS dilihat menjadi satu alat dalam membantu perancangan strategik sesuatu organisasi, pengurusan dan pengawasan projek, pengintegrasian perisian lain juga penting untuk membentuk satu sistem sokongan perancangan yang lebih berkesan. ‘What if?’ merupakan salah satu perisian yang dapat membantu memperbaiki kelemahan GIS dengan memberi tindakbalas terhadap perkembangan pembangunan di mana dengan menggariskan struktur, hubungkait dan andaian model keputusan menghasilkan alternatif-alternatif senario pembangunan yang dapat membantu pembuat keputusan untuk memilih alternatif tersebut dan mengenalpasti kesan alternatif yang dipilih ke atas sesuatu kawasan. Kertas kerja ini cuba membincangkan pendekatan dan strategi pengurusan pembangunan wilayah, penerapan penggunaan ‘What if?’ dalam menjanakan alternatif senario pembangunan serta isu penggunaan GIS dalam perancangan dan pemantauan wilayah. PENDAHULUAN Pengawalan guna ruang wilayah membentuk sebahagian daripada proses di mana polisi dan perancangan strategik dikaji semula dan dikemaskini. Tindakan dan usaha ini biasanya melibatkan pengemaskinian perubahan-perubahan pola guna tanah yang selalunya dikaitkan dengan perubahanperubahan sosio-ekonomi seperti ciri-ciri kependudukan, pekerjaan dan perumahan. Perkembangan teknologi maklumat memberikan peluang yang luas bagi menguji pendekatan-pendekatan baru kepada pemprosesan data bersifat geografi yang dapat menambah dimensi baru terhadap pengurusan, analisis dan persembahan data yang luas yang diperlukan dalam proses menentukan keputusan perancangan.
Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah menunjukkan peningkatan rasionaliti keputusan dengan membantu memperbaiki ketepatan dan pencapaian data. Ini adalah sebahagian dari tatacara yang mengarah kepada pencapaian keputusan-keputusan yang baik. Maklumat biasanya digunakan bagi melaksanakan dua set tugas dalam satu organisasi. Pertama, maklumat mempunyai peranan dalam proses membuat keputusan mengenai tindakan yang akan diambil, termasuk pengambilan keputusan strategik dan pengendalian. Kedua, proses bagaimana aktiviti-aktiviti di dalam satu organisasi disusun di dalam bentuk kawalan penyelenggaraan. Kertas kerja ini bertujuan menjadi pemangkin kepada percambahan fikiran dan perbincangan penerapan penggunaan GIS dalam perancangan dan pemantauan pembangunan sesuatu agensi khasnya dalam pemantauan pembangunan Wilayah Lembah Klang. Kertas ini juga cuba membincangkan strategi dan pendekatan yang diperlukan bagi meningkatkan keupayaan Aplikasi Sistem Maklumat Geografi Wilayah Lembah Klang (AGISwlk) untuk digunakan dengan lebih berkesan lagi bagi menjawab beberapa persoalan pembangunan serta menjadi mata dan telinga kepada pembangunan di Wilayah Lembah Klang. PENDEKATAN PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH Perancangan bandar dan wilayah atau lebih dikenali sebagai perancangan guna tanah adalah bertujuan untuk memandu pembangunan dan guna tanah untuk keperluan awam (Brown dan Sherard, 1956; Keeble, 1969). Pendekatan perancangan adalah untuk mencapai kecekapan penggunaan tanah, infrastruktur dan kualiti persekitaran bandar dan wilayah. Perancangan dilakukan melalui perundangan, tatacara dan lain-lain kaedah kawalan pembangunan. Tujuan akhir dari sesuatu perancangan adalah untuk mencapai keadaan petempatan yang teratur, selesa dan cekap. Dalam konteks perbincangan ini, perancangan bandar dan wilayah seharusnya menuju dan seterusnya mewujudkan sebuah penempatan dengan persekitan yang mampan. Dalam perkataan lain, perancangan guna tanah yang mampan akan mengambil kira kemampanan dari segi ekologi, sosial, budaya dan ekonomi sesuatu masyarakat – interaksi dan saling membantu antara persekitaran semulajadi, sosial dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh manusia (Royston, 1982). Sistem perancangan guna tanah juga dianggap sebagai satu kaedah yang positif dan inovatif. Proses penyediaan rancangan pembangunan adalah berbentuk kitaran dan berterusan (cyclical and continuous process) yang mana langkah-langkah tertentu seperti pengenalpastian keperluan, pembentukan matlamat, pengenalpastian dan penilaian alternatif tindakan, pengawasan dan penyemakan semula semua rancangan diamalkan. Di samping itu, rancangan pembangunan juga memberi peluang kepada individu dan wakil penduduk atau orang awam terlibat sama dalam proses perancangan. Lembaga Rayuan juga ditubuhkan supaya pihak perancangan yang bertanggungjawab tidak menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya.
Masalah perancangan juga kadang kala terlalu majmuk dan wicked. Para jururancang bertanggungjawab mengurus perubahan persekitaran. Sebagai pengurus perubahan ini, jururancang seharusnya menggunakan pendekatan-pendekatan pengurusan dalam proses perancangan bagi mengatur, mengawal serta meneraju perubahan (Bruton dan Nocolson, 1987). Para jururancang seharusnya menggunakan pendekatan yang meningkat (incremental) dan luar jangka (contingency) bagi menangani isu-isu semasa dan tekanan-tekanan perubahan. Dalam menangani masalah yang rumit ini, jururancang terpaksa mengambil langkah sepersetujuan (consensus) dan tawar-menawar (bargaining) bagi menghadkan suasana di mana terdapat percanggahan kepentingan (conflict of interest). Dalam hal ini, jururancang harus disiapkan dengan sistem maklumat yang dapat digunakan bagi menghadapi masalah yang rumit dalam mengawal pertumbuhan bandar sesebuah wilayah. Memandang skop, proses dan kaedah yang terdapat dalam sistem perancangan guna tanah, sesuatu rancangan pembangunan itu bukan sahaja memerlukan data dan maklumat yang luas tetapi seharusnya mudah diproses dan diubahsuai mengikut keperluan dan keadaan masa yang berlainan. Data dan maklumat yang perlu dianalisis diperolehi dari berbagai sumber, sama ada secara primer atau sekunder. Perkembangan ini memerlukan agensi perancangan mewujudkan satu sistem maklumat perancangan yang bersesuaian dengan fungsi perancangan dan pengawal sesebuah bandar dan wilayah. SISTEM MAKLUMAT PERANCANGAN DAN PENGURUSAN WILAYAH Perancangan dan pengurusan wilayah mempunyai sifat yang dinamik. Oleh itu sistem maklumat yang baik adalah penting untuk dijadikan mata dan telinga kepada proses perancangan dan pemantauan pembangunan wilayah. Ia dapat digunakan untuk mengawas dan memastikan bahawa kawalan perancangan dipatuhi dan ia memberikan amaran awal (early warning) mengenai punca pergeseran, ketidakseimbangan, kelemahan dan kegagalan yang berlaku dalam proses perancangan dan pengurusan (Yaakup, Johar dan Dahlan, 1997). Dalam hal ini, maklumat terkini dan diyakini sangat diperlukan pada peringkat pengurusan wilayah untuk membantu melicinkan tatacara pentadbiran, perancangan dan pelaksanaan polisi serta strategi pembangunan. Ia diperlukan bagi membuat ramalan, model dan penilaian situasi semasa dan perubahan yang mungkin terjadi. Aktiviti perancangan harus dilihat sebagai proses (McLoughlin, 1969; Chadwick, 1971), yang mana tidak dilakukan hanya sekali untuk sesebuah bandar dan wilayah. Proses perancangan ini menunjukkan penyediaan rancangan sebegini mengarah kepada kemampuannya menggunakan sistem maklumat. Filosofi ini berasaskan konsep timbal balik bagi menilai rancangan dan proses penyediaan rancangan. Dalam penyediaan rancangan ini, Calkins (1972) pernah menyarankan yang perancangan yang baik akan dapat dicapai melalui maklumat yang baik yang datangnya dari sistem maklumat yang mantap. Fungsi utama sistem maklumat dalam perancangan dapat dikenalpasti sebagai:
i Fungsi deskriptif – maklumat seharusnya membantu menerangkan atau menganggarkan situasi dan senario semasa; ii Fungsi kognitif – sistem maklumat juga harus dapat menyumbang dan meningkatkan pemahaman terhadap masalah wilayah dengan memberikan faktor-faktor utama dan pembolehubah yang dapat dianalisis menggunakan kaedah pemodelan wilayah dan teknik statistik yang lain; dan iii Fungsi Normatif – sistem maklumat juga sebaik-baiknya dapat memperbaiki tindakan dengan mengurangkan kesan dan akibat sesuatu tindakan melalui jangkaan kesan-akibat atau mengurangkan ketidakpastian terhadap kesan dari tindakan yang diambil atau akan diambil. Bagaimanapun, aktiviti perancangan banyak melibatkan penggunaan tanah dan kajian bagaimana berbagai-bagai jenis guna tanah berkait antara satu sama yang lain. Data-data yang mempunyai rujukan ruang termasuk data lot tanah, bangunan, pemilikan tanah dan lain-lain merupakan sebahagian dari maklumat penting bagi pendekatan perancangan ini. Maklumat-maklumat ini bersama-sama dengan data sosio-ekonomi seperti data-data banci penduduk dan alam sekitar dapat memberikan maklumat yang lebih bermakna untuk jururancang dan penggubal keputusan pembangunan. Pendekatan perancangan ini juga dapat meningkatkan rasionaliti dalam proses membuat keputusan. Oleh kerana maklumat geografi disimpan dan diproses dalam bentuk primer, analisis akan menjadi lebih kuantitatif dan rasional. Peringkat pemodelan yang diperlukan dalam proses perancangan dan pengurusan wilayah memerlukan jururancang menggariskan kriteria yang jelas dalam memilih program alternatif. Ini seterusnya menggalakkan pemilihan kriteria yang objektif berdasarkan data sebenar bagi kawasan yang dikaji. Bagi persoalan data perancangan yang mempunyai rujukan ruang ini, Sistem Maklumat Geografi atau lebih dikenali sebagai GIS adalah sistem berkomputer yang paling sesuai digunakan. GIS memberikan kemudahan menangani keperluan data bagi fungsi-fungsi yang dibincangkan di atas. Keupayaan GIS yang terpenting adalah kebolehannya menangani kedua-dua data kartografi berdigit dan pangkalan data maklumat atribut yang berkaitan bagi sesuatu pelan atau peta. GIS dapat menyimpan koordinat peta bagi lokasi titik, ciri-ciri lelurus dan kawasan. Ciri-ciri ini mempunyai sifat yang harus disimpan dalam pangkalan data. Apabila kesemua data-data ini telah disimpan, kedua-dua maklumat peta berdigit dan pangkalan data atributnya dapat diolah dan dianalisis secara serentak. Kebolehan ini merupakan fungsi penting di kebanyakan penggunaan perancangan ruang yang memerlukan kepelbagaian data fizikal dan persekitarannya.
GIS DAN ANALISIS PERANCANGAN Cabaran utama dalam perancangan dan pengurusan wilayah bandar seperti Wilayah Lembah Klang adalah pertumbuhan bandar yang pesat. Ia termasuklah keperluan terhadap pembangunan tanah, perumahan dan penyediaan kemudahan bandar. Kualiti perancangan dan proses pengambilan keputusan mungkin dapat dipertingkatkan apabila terdapatnya proses pengendalian maklumat yang berkesan. Maklumat dari pangkalan data yang mantap dapat digunakan untuk menjana senario yang berbeza-beza melalui kriteria yang mudah diubahsuai dengan mengambilkira ciri-ciri sosio-ekonomi, halangan pembangunan fizikal, kedapatan tanah dan kesesuaian tapak pembangunan. Kaedah pemodelan ruang GIS dapat digunakan untuk menghasilkan alternatif-alternatif senario pembangunan. Dalam mewujudkan senario pembangunan penggunaan ‘what if?’ iaitu satu perisian yang baru dapat membantu menghasilkan alternatif senario ini dengan mengambilkira analisis perancangan. Senario pembangunan ini dapat dinilai menggunakan kaedah-kaedah penilaian tertentu seperti penilaian kos faedah, pencapaian matlamat pembangunan, pencapaian mengikut polisi dan strategi pembangunan dan lain-lain (Rajah 1). Kaedah ini membolehkan perbandingan beberapa cadangan diambil. Ini dapat mempertingkatkan rasionaliti dalam proses penyediaan rancangan pembangunan dan kajian semula dapat dilakukan bila diperlukan dengan falsafah perancangan yang merupakan proses yang berterusan dan berkesinambungan. Umumnya, GIS merupakan peralatan penting di dalam perancangan dan pengurusan di pelbagai peringkat perancangan, tetapi GIS sendiri tidak dapat melakukan perancangan atau penyelesaian masalah dalam perancangan serta pengurusan. Kaedah untuk menggunapakai GIS dalam menghasilkan senario pembangunan, memperuntukkan pelaburan dan menilai cadangan adalah terbatas. Mengikut Brail (1990), masalah penggunaan GIS sebagai peralatan sokongan perancangan dan pengurusan dibahagikan kepada tiga iaitu kelemahan dalam melakukan unjuran, tiada keupayaan untuk melakukan penilaian dan hubungan antaramuka pengguna (user interfaces) yang terhad. Walaubagaimanapun, dengan kemunculan perisian baru dan fungsi analisis yang lebih baik memberi kemungkinan yang lebih positif di mana kebolehan ini seharusnya diterokai dan disepadukan untuk mewujudkan satu sistem sokongan perancangan (Planning Support System (PSS)) yang lebih berkesan. Satu sistem sokongan perlu diwujudkan bagi memenuhi keperluan perancangan dan pengurusan pada peringkat wilayah. PENJANAAN SENARIO PEMBANGUNAN MELALUI SISTEM SOKONGAN PERANCANGAN Pengguna ‘What-If’ ‘What if?’ merupakan alat sokongan perancangan yang memberi tindak balas secara langsung terhadap tren perkembangan sesebuah kawasan di mana ‘What if?’ dapat digunakan untuk mengenalpasti apakah yang akan terjadi berdasarkan pemilihan polisi
Mengenalpasti AnalisisKesesuaian Guna tanah
Sumber : Rolf A. de By. Principle of GIS