Satu Malaysia Pada era modenisasi dan globalisasi ini, cabaran yang melanda seluruh dunia memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan, agama, budaya dan adat resam perlu bertindak sebagai satu bangsa serta berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih makmur, maju, selamat dan aman serta mampu bersaing dengan dunia lain. Sebagai rakyat Malaysia yang merupakan pendukung tampuk kepimpinan negara pada masa yang akan datang perlu mempunyai semangat setia negara yang kuat sebati dalam jiwa. Pemuda-pemudi merupakan modal negara Malaysia, bak kata pepatah “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara”. Jadi bagaimanakah generasi baru boleh membawa Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020? Bagaimanakah generasi baru boleh menambah kehebatan Malaysia untuk menuju ke peringkat antarabangsa? Seterusnya bagaimanakah generasi baru boleh mengekalkan kedamaian dan kemakmuran serta bersaing dengan negara-negara maju yang lain? Bagaimana pula generasi baru boleh melahirkan Malaysia sebagai satu bangsa? Justeru, apakah pencapaian yang boleh dicapai oleh generasi baru ini? Bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran seperti dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka pada 15 april 2009, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 iaitu Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan konsep ”Satu Malaysia” melalui media massa. Pada mulanya konsep “Satu Malaysia” agak kabur sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan, selepas transkrip Perdana Menteri disiarkan barulah muncul gambaran yang agak jelas. Apakah “Satu Malaysia”? Bagaimanakah “Satu Malaysia” dilaksanakan? Memetik ucapan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakantindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembangan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Prinsip rukun negara juga digariskan dengan konsep “Satu Malaysia” bagi memastikan rakyat Malaysia menjalin perpaduan yang lebih erat. Selain itu prinsip ini juga memelihara cara hidup demoktratik, liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayan dan membina masyarakat yang
progesif dan pandai menggunakan sains dan teknologi moden. Sebenarnya, “Satu Malaysia” adalah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan mencapai satu hala tuju atau citarasa yang sama bagi memajukan Malaysia. Bak kata pepatah “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakitsakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Natijahnya, generasi yang akan datang dapat menikmati hasil usaha yang telah dicapai hari ini seperti dari aspek pendidikan yang lebih berkualiti. Selain itu berupaya meningkatkan kehidupan rakyat, meningkatkan kemudahan asas di luar bandar dan memperbaiki sistem pengangkutan. Konsep “Satu Malaysia” adalah kombinasi panduan, cogan kata, konsep, gagasan dan falsafah pembinaan negara. Tujuan “Satu Malaysia” diperkenalkan adalah bagi perpaduan dan mengharmonikan masyarakat majmuk di negara kita yang mempunyai kepelbagaian ciri dan tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Selain itu ia juga bertujuan meningkatkan stabiliti yang menjadi asas pembangunan dan kemajuan negara. Untuk merealisasikan gagasan ini, Perdana Menteri telah menggariskan lapan nilai iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah diri, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati kelapan-lapan nilai ini. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus ke arah satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai murni ini mesti wujud dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi amalan setiap rakyat malaysia. Setiap kaum perlu menghindarkan perasaan curiga kerana setiap kaum akan mendapat hak dan peluang yang sama rata. Hal ini disebabkan, kerajaan mesti dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan. Budaya berprestasi tinggi memastikan setiap perkara dan tugas yang dilakukan dapat mencapai tahap yang terbaik, bukan sekadar hanya mendengar sesuatu yang dijanjikan atau sesuatu diumumkan dan tidak dilaksanakan. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab daripada pihak kerajaan menjadi asas dalam mencapai sesuatu kejayaan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin. Sikap sambil lewa dan acuh tak acuh seharusnya tidak wujud dalam masyarakat yang berdaya maju. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan terutamanya apabila melaksanakan konsep “Satu Malaysia”. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Di samping itu, rakyat Malaysia juga harus menerima pendapat atau sesuatu perkara positif dengan hati yang ikhlas dan memberi persetujuan secara bersama supaya dapat membina sebuah negara bangsa. Nilai-nilai murni seharusnya dipupuk sejak kecil lagi seperti “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Perpaduan merupakan pra syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Tambahan pula, “Satu Malaysia” adalah penerusan agenda membina negara. Perpaduan yang utuh perlu dicapai terlebih dahulu, jadi mendahulukan rakyat dalam segala perkara adalah konsep “Satu Malaysia” yang diamalkan, manakala pencapaian
diutamakan ialah memastikan negara dihormati di pentas dunia yang menggambarkan Malaysia berdaya maju dengan kemajmukan rakyatnya yang berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Hal ini kerana, konsep “Satu Malaysia” berpaksikan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai keturunan, agama, budaya dan adat resam, jadi setiap kaum mesti diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Prinsip keadilan sosial bukanlah sebagai platform bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan dan membuat tuntutan yang keterlaluan. Namun, kepelbagaian ini juga adalah faktor kekuatan yang membolehkan kita berinteraksi dengan dunia luar. Contohnya masyarakat Cina mengeratkan kekuatan hubungan melalui perdagangan dengan negara Cina, masyarakat India dengan negara India, manakala masyarakat Melayu pula dengan orang lslam di Timur Tengah dan ASEAN. Kepelbagaian budaya rakyat Malaysia juga telah menarik ramai pelancong melawat ke negara kita untuk menikmati pelbagai jenis makanan, alam semulajadi, kebudayaan dan kesenian. “Satu Malaysia” digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu dan memastikan aspirasi negara, iaitu wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Dengan pelaksanaan “Satu Malaysia”, banyak program seperti siri dialog satu malaysia telah dijalankan untuk menyokong “Satu Malaysia”. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai dedikasi, integrti, kebolehan dan kesetiaan. Secara kesimpulannya, gagasan “Satu Malaysia” bukan sahaja harapan generasi muda tetapi rakyat Malaysia seluruhnya. Maka usaha pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Semua pihak mesti bekerjasama seperti kata pepatah “berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan mendukung semangat “Satu Malaysia” supaya dapat memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan maju serta menyiapkan negara dalam mengharungi arus permodenan, pembangunan, persaingan, dan globalisasi dunia. Jangan tanya apa negara boleh beri kepada kamu, tetapi apa yang kamu boleh sumbang kepada negara. Biarlah kita semua rakyat Malaysia bersamasama memajukan konsep “Satu Malaysia”. Satu Malaysia, boleh! Rujukan : http://www.pdfcoke.com/doc/18141258/nilai2-1-msia http://www.1malaysia.com.my/images/1Malaysia/Booklet/1MalaysiaBooklet.pdf http://www.pdfcoke.com/doc/18166274/Satu-Malaysia