Rileks.. Jangan Terlalu Serius! RILEKS .. JANGAN TERLALU SERIUS Oleh: Ahmad Fadzli Yusof Setiausaha Kehormat TAMRIN www.fadzliyusof.com Jangan terlalu bebankan badan anda Apabila badan kita bekerja, otot-otot akan menegang dan menjadi keras. Lihatlah muka orang yang sedang memberi tumpuan kepada sesuatu. Mata dan dahinya akan berkerut, mulutnya akan memuncung sedikit, dan kelihatan begitu tegang sekali. Begitu juga ketika anda menaip; otot-otot bahu, lengan, dada dan jari akan bekerja dan menegang semasa bekerja. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah; anda membiarkan diri anda sentiasa berada dalam keadaan itu! Maksudnya, walaupun dalam keadaan tidak bekerja sekalipun, anda masih lagi ‘menegangkan’ otot-otot badan anda. Tabiat dan kebiasaan ini akan menyebabkan badan anda sentiasa tegang dan stress. Bersantailah; ketika rehat dan bekerja Memang benar semasa bekerja otot tubuh kita akan menegang. Tetapi sebenarnya, anda masih lagi boleh ‘rileks’ semasa bekerja. Elakkan ketegangan yang berlebihan, dan selang-selikan dengan regangan badan yang sistematik. Selain itu, kawal minda anda dengan ‘skrip-skrip’ positif dan santai. Joan Dixon daripada Institut Pembangunan Kepemimpinan Wanita Amerika Syarikat sangat percaya kepada kelebihan tidak terlalu serius dalam sesuatu perkara. Dia berkongsi ‘prinsip’ ini dalam institut tersebut dan menyebutkannya sebagai nilai ‘hidup tanpa kebimbangan’. Rakan-rakan yang mengikuti bengkel anjurannya diajak untuk hidup dengan tenang dan bersantai. Dengan demikian, ia akan dapat ‘membuang’ ancaman dan akan dapat memberikan kebebasan berfikir serta mencari penyelesaian. Mereka selalu berkata, “Jika tiada sesiapa yang akan mati, perkara tersebut tidaklah terlalu serius..” Buat sesuatu yang gila-gila Ada satu petua menarik bagaimana untuk bersantai di tempat kerja tanpa mengambil masa yang banyak. Ia dikongsi oleh Eileen Douse daripada syarikat Human Dynamics. Petua ini dinamakan “Waktu Gila-gila”. Apabila anda sudah lama duduk di hadapan komputer anda akan terasa tegang dan tertekan. Anda tidak ada banyak masa untuk berehat. Dalam keadaan sebegini, “Waktu Gila-gila” mungkin berguna. Bagaimana caranya? Senang sahaja. Berhenti daripada melakukan apa sahaja yang anda sedang buat. Tolak kerusi agar jauh sedikit daripada meja. Kemudian, pusingkan kerusi anda sehingga berpusing laju. Biarkan selama 30 saat. Selepas itu – sambung semula kerja anda! Senang bukan? (Tips ini hanya untuk kerusi yang boleh berpusing. Jika kerusi anda tidak boleh berpusing, tetapi dicuba juga; ia dinamakan “Waktu GILA”)