Hillel
Prinsip
PRINSIP Seorang ayah menghantar anaknya ke sebuah sekolah berasrama penuh di sebuah kota jauh dari rumah mereka. Dia berpesan, “Anakku, ingat jangan kau sakiti sesiapa kalau kau tidak ingin disakiti.” Pesanan itu terpahat diingatan anaknya dan bermulalah kehidupannya sebagai pelajar. Tidak pelajar itu ketahui bahawa itulah yang dinamakan prinsip hidup. Tapi pelajar itu sentiasa sedaya upaya berpegang kepada prinsip itu. Kerana pelajar itu tidak ingin disakiti oleh sesiapa pun. Tapi pada satu hari prinsip hidupnya diuji. Selepas masa persekolahan, pelajar itu dapati kasut dan buku-buku rujukannya yang baru dibeli telah dicuri oleh pelajar lain. Pelajar itu berfikir tidak pernah dia mencuri barang sesiapa mengapa masih ada pula yang mahu menyakitinya. Pelajar itu berfikir panjang tentang perkara itu dan akhirnya mengubah prinsip hidupnya dan menambah “...tapi jika disakiti tanpa kau terlebih dahulu menyakiti, balaslah dengan caramu sendiri.” Pelajar itu melupakan hal kecurian itu kerana dia tidak tahu siapa yang melakukannya. Pelajar itu meneruskan perjalanan hidupnya sehingga menjadi siswazah. Siswazah itu masih berpegang teguh pada prinsip hidupnya yang baru . Tidak ada berlaku peristiwa yang mencabar prinsipnya sehinggalah pada satu hari dapatinya seorang kawan yang malas menyiapkan tugasan meniru sebahagian daripada hasil kajiannya. Akibatnya, pensyarah telah meminta mereka berdua menyiapkan sebuah tugasan lain. Khabar angin tentang perkara itu tersebar di dalam universiti dan siswazah lain bersimpati dengan siswazah itu. Sebagai balasan siswazah itu mengirim surat dengan tandatangan palsu dan menggunakan format rasmi universiti meminta ibu bapa kawannya bertemu pensyarah. Pensyarah menafikan dia yang menulis surat itu tapi memang benar anak mereka meniru tugasan kawannya. Pensyarah memberikan amaran kepada kawan siswazah itu di hadapan ibu bapanya. Ramai yang mengesyaki siswazah itu adalah dalang di sebalik perbuatan tersebut tetapi tidak boleh dibuktikan. Siswazah itu mendapat keputusan yang baik dalam pengajiannya dan mendapat pekerjaan sebagai pegawai audit. Sebagai pegawai audit bekerja di bawahnya beberapa orang kerani dan pada satu hari pegawai audit itu diberikan tugasan yang penting yang perlu diselesaikan dalam masa lima hari. Pegawai audit itu meminta keraninya mengumpul beberapa data penting dan memasukkannya ke dalam komputer. Kerani itu diberikan masa selama tiga hari untuk menyelesaikan tugasan itu sebelum menyerahkan hasil kerjanya untuk disemak. Kerani itu pun bertungkus lumus bekerja manakala pegawai audit itu pula kembali melakukan beberapa tugas harian lain. Setelah tiga hari siaplah tugasan itu tetapi apabila disemak semua data yang dikumpul bukan data yang diinginkan oleh pegawai audit itu. Kerani itu bersumpah itulah arahan yang diterimanya tetapi pegawai audit itu tanpa berfikir panjang meminta pegawai atasannya memindah atau menghentikan kerani tersebut. Kerani itu menjadi alasan kepada ketidakupayaan pegawai audit itu menyiapkan tugasannya tepat pada masanya. Setelah berpegang kepada prinsip hidup ayahnya bermula dari zaman pelajar terus ke zaman siswazah, pegawai audit itu telah mengingkari prinsip hidupnya sendiri dengan menyakiti kerani itu. 1
Hillel
Prinsip
Apakah sebabnya? Kuasa dalam tangan? Keangkuhan? Atau prinsip itu sendiri mempunyai kekurangan? Tapi jika pegawai audit itu meminta pandangan ayahnya tentu ayahnya berkata, “Anakku, ingat jangan kau sakiti sesiapa kalau kau tidak ingin disakiti.” Kerana dalam setiap kesalahan yang dilakukan oleh orang lain pasti ada walau sedikit sumbangan dari diri kita.
2