pnk perlu bantu golongan nelayan di pulau banggi kudat 3 april – persatuan nelayan kawasan (pnk) daerah ini digesa supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu masyarakat nelayan di pulau banggi yang rata-ratanya masih dibelenggu kemiskinan. ahli dewan undangan negeri (adun) banggi, abd. mijul unaini berkata, hampir 80 peratus penduduk di pulau itu masih menggunakan cara tradisional menangkap ikan, menjadikan mereka jauh ketinggalan berbanding nelayan di kawasan lain. “pnk harus menjadi ejen perubahan sikap dan minda kepada golongan nelayan tradisional di sini iaitu dengan membantu mereka agar dapat meningkatkan hasil tangkapan. “kemudahan untuk golongan nelayan pesisir pantai itu adalah bertujuan untuk mengubah mereka daripada nelayan tradisional kepada nelayan moden,” katanya semasa berucap merasmi mesyuarat tahunan pnk kudat di dewan rumah rehat di karakit dekat sini semalam. abd. mijul berkata, dengan adanya peranan pnk, diharapkan nelayan dapat bertukar menggunakan teknologi dan seterusnya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka. “kerajaan barisan nasional (bn) di peringkat pusat dan negeri telah banyak membantu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan. ‘‘bagaimanapun masyarakat nelayan tidak merebut peluang dan kemudahan yang disediakan itu menjadikan masa depan golongan tersebut akan terus terbiar. kemiskinan tegar “kita mahu melihat pada tahun 2010 seperti yang disasarkan kerajaan, bahawa kemiskinan tegar di dun banggi terhapus sama sekali. walaupun begitu, usaha untuk mencapai sifar kemiskinan tegar itu bukan mudah,” katanya. berikutan itu, katanya, usaha membantu golongan nelayan memerlukan komitmen berterusan semua pihak khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam program-program pembasmian kemiskinan. beliau turut meminta kementerian pertanian dan industri makanan negeri khususnya jabatan perikanan supaya menempatkan para pegawai kanannya di pejabat cawangan jabatan itu di banggi. “sekurang-kurangnya ada seorang kakitangan yang jawatannya bertaraf pegawai diletak untuk mengetuai jabatan itu di situ yang pada masa ini hanya diketuai oleh seorang kakitangan berpangkat juruteknik,” katanya. katanya, dengan adanya kakitangan bertaraf pegawai sudah tentu dapat membantu usaha-usaha kerajaan untuk melicinkan lagi tugas-tugas membantu golongan nelayan di kawasan berkenaan.