BANTU PENJAJA DI BANDAR Oleh anuar ahmad
Konvensyen Ekonomi Bumiputera di Johor Bahru telah lama berlalu. Tidak banyak tindakan susulan dihebah dan diketahui
Pasar malam menjadi tumpuan kebanyakan penjaja Melayu untuk berniaga dan mencari rezeki.
masyarakat umum. Entah ada, entah tiada tindakan susulan tersebut. Bagaimanapun, beberapa data hasil pembentangan masih boleh diamati kita. Antaranya ialah data kedudukan pemilikan ekuiti oleh Melayu/bumiputera. Pada tahun 2006, pegangan ekuiti bumiputera hanya pada tahap 19.4 peratus berbanding ekuiti etnik Cina mencecah 42.4 peratus. Pada tahun 2007, pemilikan bangunan oleh bumiputera ialah pada 15.7 peratus jauh ketinggalan berbanding masyarakat Cina pada 75.5 peratus. Bagi pemilikan ruang komplek beli- belah dan kedai perniagaan, pemilikan bumiputera khususnya orang Melayu ialah 29.2 peratus manakala masyarakat Cina menguasai hampir 70 peratus. Data-data ini menjelaskan kepada kita bahawa bumiputera khususnya orang Melayu sangat jauh ketinggalan berbanding masyarakat Cina dalam penguasaan ekonomi di negara ini. Orang Melayu bukannya tidak cuba menambah kekayaan ekonomi dengan berniaga tetapi caranya mungkin agak tidak begitu berkesan. Sebagai contoh, rata-rata penjaja kecil di pasar malam adalah orang Melayu. Pergilah ke pasar-pasar malam atau pekan-pekan sehari di seluruh pelosok negara, kita akan dapat melihat begitu ramainya peniaga dan penjaja Melayu hinggakan dikatakan perniagaan jenis ini dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu. Oleh itu, sepatutnya perniagaan jenis ini diberikan bantuan untuk meningkatkan keupayaan orang Melayu dalam perniagaan oleh pihak kerajaan. Pihak berwajib yang berkaitan dengan pengembangan perniagaan penjaja Melayu mestilah mencari jalan alternatif supaya pengurusan perniagaan penjaja ditambah nilainya menjadi lebih baik dan berkesan untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu. Oleh itu, kenyataan berkaitan kelemahan Majlis Amanah Rakyat (Mara) meluluskan pinjaman di peringkat wilayah dan daerah oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Kemajuan Koperasi sepatutnya diteliti secara serius oleh para pegawai yang terlibat. Rata-rata peminjam yang memohon pinjaman di bawah RM20 ribu merupakan para penjaja kecil yang baru cuba membuka perniagaan. Sikap dan budaya birokrasi yang membebankan peminjam ternyata halangan besar kepada penjaja khususnya orang Melayu untuk berjaya dalam perniagaan mereka.
1
Mereka bukanlah terdiri daripada kalangan bermodal besar dan sememangnya memerlukan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Kajian oleh beberapa ahli akademik di UKM menunjukkan bahawa golongan penjaja merupakan antara ahli masyarakat dalam kumpulan termiskin khususnya di bandarbandar besar. Selain penjaja, kumpulan termiskin di bandar juga meliputi buruh binaan, pekerja kilang, buruh upahan, penarik beca dan pekerja pertukangan kayu. Kumpulan ini juga perlu dibantu sewajarnya oleh pihak kerajaan. Hal ini sememangnya telah lama diketahui pihak kerajaan khususnya para pegawai di kementerian yang terlibat dan institusi di bawahnya seperti Mara. Bagaimanapun, jika kita bandingkan perniagaan penjaja sepuluh tahun lalu dan sekarang, sebenarnya tidak banyak inovasi serta perubahan yang berlaku malah menjadi semakin tidak terurus dan agak terabai di beberapa kawasan khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Perubahan Strategi perniagaan, konsep pembungkusan serta peragaan perniagaan yang ketinggalan, begitu juga dengan kesedaran berkaitan tahap kebersihan yang masih rendah di kalangan penjaja jika tidak diselesaikan akan membantutkan perkembangan perniagaan penjaja pada masa depan. Perniagaan penjaja mempunyai potensi yang besar. Sebagai contoh, hari demi hari jenis barang jualan semakin bertambah banyak. Kalau dahulu, jualan hanya seperti kuih-muih, ikan basah, sayur-sayuran, buah-buahan serta pakaian berkualiti rendah tetapi kini semakin banyak barang yang menjadi bahan jualan. Penjaja Melayu sudah berjaya mempelbagaikan jualan mereka. Saiz pasar malam juga mula berkembang kerana bilangan penjaja Melayu yang semakin bertambah. Keadaan ini menunjukkan perniagaan yang dijalankan oleh penjaja di pasar malam adalah perniagaan yang menguntungkan serta berjaya menarik ramai pengunjung. Oleh itu, pihak berwajib yang menguruskan penjaja di pasar malam semestinya perlu meningkatkan keupayaan mengurus supaya institusi pasar malam memberikan peluang kepada masyarakat Melayu untuk mendapatkan rezeki dan seterusnya mengembangkan perniagaan pada peringkat yang lebih besar. Malangnya, melihat kepada suasana pasar malam, tempat para penjaja Melayu mencari rezeki, keadaannya adalah menyedihkan. Oleh kerana sifat penjaja yang berpindah randah pada setiap malam, maka kawasan pasar malam yang ditinggalkan selepas tamat jualan, biasanya dalam keadaan yang sangat kotor dan busuk. Pengurusan sampah walaupun ada, tidak mampu menguruskan sampah sarap di kawasan pasar malam dengan cekap. Fenomena ini mesti diperbaiki oleh pihak berkuasa tempatan dan segera dicari jalan penyelesaian agar imej kotor dan busuk tidak kekal kepada perniagaan penjaja pasar malam.
2
Selain itu, perancangan pasar malam juga perlu mengambil kira sistem meletak kenderaan para pengunjung yang lebih kemas. Kesesakan lalu lintas akibat kelemahan pengurusan tapak penjaja akan menyebabkan pada masa depan peniagaan di pasar malam tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna lagi. Ini akan merugikan penjaja Melayu. Begitu juga dengan sistem pendawaian elektrik yang digunakan oleh penjaja yang sebenarnya sangat membahayakan bukan sahaja penjaja tetapi juga pengunjung. Malah sesetengah pasar malam penjaja tidak diletak dalam kelompok dengan kemas. Bayangkan seorang peniaga racun tikus dan racun semut menjual barangannya yang berbahaya bersebelahan dengan penjaja yang sedang menjual makanan yang terdedah. Para penjaja khususnya berkaitan penjualan makanan siap juga seharusnya dilatih untuk meningkat tahap kebersihan dalam penyediaan makanan. Harus ada pemantauan yang berterusan agar perniagaan pasar malam dapat berkembang pada masa depan. Kebanjiran pendatang asing berniaga di pasar malam juga mengundang imej yang tidak begitu menyenangkan. Mereka bukan sahaja menjadi pembantu penjaja malah semakin berjaya menguasai tapak-tapak yang disewa daripada penjaja asal. Pihak pengurusan tapak pasar malam sepatutnya bertindak tegas membendung gejala ini dengan menarik kembali hak sewaan tapak-tapak yang telah disalahgunakan dan mengagihkan kepada penjaja Melayu lain yang berminat untuk memulakan perniagaan di pasar malam. Jelas sekali perniagaan penjaja masa kini walaupun mendatangkan pendapatan tetapi jika tidak mendapat bantuan pihak kerajaan, perniagaan para penjaja belum terjamin pada masa depan.
UTUSAN MALAYSIA 22/10/2008
3