Pertahan Integriti Kehakiman

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pertahan Integriti Kehakiman as PDF for free.

More details

  • Words: 2,156
  • Pages: 6
PERTAHAN INTEGRITI KEHAKIMAN PERLEMBAGAAN Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, satu dokumen perundangan yang komprehensif, mengandungi 15 bahagian dan 183 perkara. Menyentuh aspek-aspek negara, tunggak-tunggak utama negara terdiri daripada badan perundangan, badan eksekutif, badan kehakiman serta institusi Raja Berperlembagaan. Terkandung di dalam perlembagaan itu garis panduan kaedah membentuk kerajaan, serta bidang kuasa kerajaan. Perlembagaan Persekutuan, digubal untuk dijadikan landasan mengurus tadbir negara, menentukan parameter pemikiran dan kebebasan rakyat, menggariskan peranan pelbagai institusi, menyediakan mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya urus tadbir negara yang adil lagi saksama. Perlembagaan Persekutuan merangkumkan manifestasi persetujuan yang dicapai bersama di antara penduduk di negara ini. Ia dirangka secara komprehensif dengan menyentuh aspek-aspek agama, negara, kaum, budaya dan bahasa. Semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalannya adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Ia menggariskan jaminan hak seseorang warga di dalam negara, dengan segala perimbangan, dalam semangat memberi dan menerima, dengan persefahaman bahawa ada yang mendapat nikmat serta merta, sementara ada pula yang perlu diberikan jaminan jangka panjang. Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada yang memerintah mahupun yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat. Ia dihasilkan pada Ogos 1957, digubal dengan melihat pelbagai dimensi. Ia adalah dokumen yang unik yang tidak ada persamaan dengannya. Dokumen tersebut mengandungi ciri-ciri penting model Westminster yang dibina di dalam ciri-ciri tradisi masyarakat Melayu. Ia digubal dengan memastikan adanya dacing pengimbang bagi menjamin terlaksananya keadilan. Ia tidak digubal secara terburu-buru, sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi diunjurkan untuk memberi perlindungan yang berterusan, dengan mengambil kira faktorfaktor sejarah dan salasilah kelahiran sebuah negara baru, sebuah negara merdeka, dikenali pada mulanya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, kemudiannya Malaysia pada 1963. Persekutuan Tanah Melayu adalah sebuah negara baru, terdiri dari sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat. Persekutuan dilahirkan setelah mendapat perkenan raja-raja dan penerimaan rakyat Tanah Melayu dan kemudiannya dipersetujui kerajaan Inggeris. Enam tahun selepas itu, pada 16 September 1963, ia berkembang menjadi sebuah negara Malaysia dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura kemudiannya berpisah dengan Malaysia pada 1965.

1

Semasa menerima ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama dan adat resam. Maka seharusnyalah diperingatkan bahawa mesti ada suatu asas untuk ditumpukan perhatian. Dalam konteks ini, Malaysia wujud dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak Kesultanan Melayu Melaka. Perkataan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat ini yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. Tercapai muafakat, bahawa setiap warga terjamin diberi perlindungan secara adil - secara saksama; terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak pribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran. Bahawa kebimbangan pribumi perlu difahami dan untuk itu orang-orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan. Pada masa sama, orang-orang bukan Melayu yang berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada raja dan negara, yang mengamalkan sikap "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung", diberi perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia. Begitulah faktor-faktor yang diberikan pertimbangan ketika Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Ahli-ahli suruhanjaya itu dianggotai oleh pakar-pakar dari luar negara yang memiliki kepakaran dalam common law dan hal ehwal perlembagaan. Lord Reid adalah seorang tokoh perundangan United Kingdom manakala Sir William McKell pula pernah menjadi Governor-General Australia. Hakim B. Malik memiliki pengalaman membuat tafsiran Perlembagaan India dan bertanggungjawab membantu merangka Perlembagaan Pakistan. Begitu juga Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Profesor Sir Ivor Jennings pula adalah dari Universiti Cambridge, seorang tokoh akademik terkemuka dalam bidang perlembagaan. Walaupun Ahli-Ahli Suruhanjaya Reid dianggotai oleh warga negara asing, tetapi mereka memperlihatkan kefahaman mendalam tentang sejarah dan politik Tanah Melayu. Komponen paling penting yang diterima oleh Suruhanjaya Reid adalah aspek "kontrak sosial". Ia digubal dengan bahasa jelas untuk dipertimbangkan oleh Raja-Raja Melayu, wakil-wakil Kerajaan Persekutuan yang mewakili penduduk berbilang kaum serta kerajaan Inggeris. Perlembagaan yang dihasilkan itu mencerminkan kontrak sosial antara rakyat pelbagai kaum. Orang bukan Melayu mendapat status kerakyatan sementara bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan bumiputera diberikan perlindungan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja. Kemasukan komponen kontrak sosial di dalam perlembagaan itu merupakan satu pengakuan dan penerimaan hakikat, bahawa penduduk di bumi ini bukan sahaja pluralistik 2

sifatnya, bukan sahaja berada dalam tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza, tetapi tahap pencapaian sosio ekonomi itu pula ada kaitan dengan identiti kaum. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berserta rakan-rakannya berjaya menyatukan penduduk yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa sebelum dapat meyakinkan Inggeris yang mahu berlengah-lengah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Almarhum berjaya menyemaikan benih kontrak sosial atas sifat tidak rasis atau racial unselfishness yang menjadi prinsip pegangannya iaitu sebuah negara yang bersatu boleh dibina dengan tidak perlu mengorbankan budaya dan adat resam mana-mana komuniti. Antara perkara lain yang perlu ditegaskan turut terkandung di sebalik Perlembagaan itu ialah prinsip untuk menjamin sistem berkerajaan hendaklah diasaskan kepada undang-undang dan tidak berpaksikan individu. Mekanisme 'semak dan imbang' yang terkandung dalam Perlembagaan berperanan penting untuk membina asas sistem kerajaan berlandaskan undang-undang, demi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang memiliki kuasa secara mutlak tanpa sekatan. Di sebalik setiap kuasa, ia tertakluk kepada sempadan perundangan untuk mengelak daripada berlakunya pemerintahan bercorak diktator. Maka itu, perlu dipertahankan peranan kehakiman yang profesional dan berintegriti serta bebas dari pengaruh mana-mana pihak. Para hakim mempunyai tanggungjawab besar memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah. Jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, para hakim terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai, untuk menyemak sesuatu penghakiman. Beta sentiasa merujuk kepada kata-kata Lord Atkinson bahawa "perbicaraan awam itu adalah perlindungan paling penting untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara murni, cekap dan tidak memihak serta merupakan cara terbaik untuk mendapat keyakinan dan penghormatan rakyat". Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang, dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan. Melainkan terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik. Ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau impartial terutama daripada segi emosi dan kecenderungan. Ketika menyampaikan titah perasmian 12th Malaysian Law Conference pada 10 Disember 2003, Beta menzahirkan pandangan bahawa negara ini merintis perjalanan demokrasi berperlembagaan dengan kesedaran bahawa negara ini adalah negara pelbagai kaum dengan pelbagai bahasa, budaya dan agama. Perbezaan tersebut perlu disesuaikan dalam rangka perlembagaan yang mengiktiraf tradisi masyarakat Melayu. Lalu diperkenalkan ciri yang unik, iaitu meletakkan sistem kesultanan berada di puncak sistem pemerintahan Institusi raja mempunyai tradisi yang panjang dalam sejarah bangsa Melayu berkerajaan dan bernegara di bumi ini. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj amat memahami aspek ini dan sama sekali tidak mahu mencetuskan sebarang konfrontasi dengan institusi raja. 3

Raja-Raja Melayu dibawa berunding, wakil Raja-Raja Melayu turut menyertai delegasi merundingkan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris. Komponen Raja sebagai Ketua Negara dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah diperkenalkan, melalui formula lantikan yang sangat bijak dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Pengekalan Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Raja ada peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuhkan institusi demokrasi. Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong demikian juga Raja-Raja Melayu digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan. Ini bermakna Raja-Raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang. Namun Beta pernah mengingatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan. Perbezaan di antaranya, yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan. Tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden, yang tertakluk semata-mata kepada Perlembagaan. Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan. Profesor Vernon Bogdanor dari University Oxford dalam bukunya bertajuk The Monarchy and the Constitution menyatakan: "Concentration upon the constitutional powers of the sovereign is liable to give a misleading picture of the contemporary role of a constitutional monarch, for the prime constitunional role of the sovereign occurs, not when a ministry begins or comes to an end, but during the everday life of a government, and consists in the exercise of influence." Profesor Bogdanor selanjutnya memetik tulisan Walter Bagehot pada pertengahan abad ke19 yang menghuraikan pandangan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak. Ia adalah hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran. Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah. Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, atas semangat persefahaman, atas hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Semangat-semangat tersebut perlu senantiasa dihidupkan. Budaya perundingan dan musyawarah adalah amalan kita. Demi keamanan dan demi kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang dilandaskan kepada semangat Perlembagaan.

4

Semangat yang menghormati undang-undang serta menghormati institusi penguatkuasa undang-undang. Jika prinsip asas ini tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki. Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal dalam sejarah. Semoga negara bangsa Malaysia senantiasa mendapat perlindungan dan rahmat Ilahi. Utusan Malaysia, Rabu 22 Julai 2009

PENEGASAN AZLAN •

Selagi kerajaan dan pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undangundang, dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan.



Melainkan terdapat hakim yang hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik.



Ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak terutama daripada segi emosi dan kecenderungan



Perlu dipertahankan peranan kehakiman yang profesional dan berintegriti serta bebas dari pengaruh mana-mana pihak.

Utusan Malaysia, Rabu 22 Julai 2009

'HAKIM PERLU BERINTEGRITI, TAK MEMIHAK' IPOH: Selagi kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang, telus dan terbuka, tiada mahkamah boleh menyalahkan kerajaan, melainkan ada hakim yang hilang integriti, memilih berpolitik atau bersimpati dengan kumpulan atau pemikiran politik, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Baginda bertitah, ujian utama dan paling berat bagi hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama dari segi emosi dan kecenderungan. Sehubungan itu, baginda mengingatkan peranan badan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu di-pertahankan. "Hakim mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah dan jika mereka gagal memenuhi amanah itu, akan berlakulah ketidakseimbangan. "Kesetiaan hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang dan dalam memenuhi tanggungjawab itu, hakim terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme pada peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih 5

ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dibuat," titah baginda merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan di sini, semalam. Turut berangkat ke majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Dalam ucapan baginda, Sultan Perak juga menegaskan pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan sentimental bangsa, tetapi Raja turut mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang dalam memperkukuhkan institusi demokrasi. Selaku ketua negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa,” titah Raja Azlan. Baginda bertitah, peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan. "Oleh itu, Raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan berlandaskan undang-undang. Namun, Beta pernah mengingatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan. Bezanya, satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan. Tetapi, adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan. Peranan sebenar Raja Pemerintah jauh mengatasi apa yang tersurat dalam perlembagaan," titah baginda. Sultan Azlan bertitah, Profesor Vernon Bogdanor dalam bukunya bertajuk The Monarchy and the Constitution menghuraikan Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak iaitu hak menyampaikan nasihat dan pandangan, hak memberi galakan dan dorongan serta hak memberi peringatan dan teguran. Sehubungan itu, titah baginda, Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak itu berjaya dikendalikan secara bijaksana dan berhemah. Berita Harian, Rabu 22 Julai 2009

6

Related Documents

Integriti
December 2019 19
Kehakiman
December 2019 6
Pengurusan Integriti
May 2020 18
Pertahan Perkara 153
October 2019 21

More Documents from "irwan"