Pertahan Perkara 153
Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan. Satu demi satu perkara yang berkaitan
Tan Sri ABDUL Rahim Tamby Chik, Pengerusi GABEM.
dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini. Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung ke arah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan. Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu. Kononnya atas prinsip untuk menegakkan kesamarataan dan keadilan, peruntukan ini cuba diganggu gugat. Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan Perkara 153, desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catatan sejarah. Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengingatkan, Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Justeru tegas beliau sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ Perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu. Berdasarkan hakikat itu, dalam pertemuan yang sebahagian hujah beliau berkisar kepada rentetan sejarah terhadap cabaran mempertahankan Perkara 153 melalui semangat DEB, bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO tersebut mengingatkan orang Melayu bahawa penghapusan DEB dan Perkara 153 adalah sebahagian usaha untuk menjadikan negara ini sebuah republik. Usaha ini ada kaitannya dengan konsep Malaysian Malaysia. Mingguan: Apa kaitan perjuangan untuk menegakkan DEB dalam hubungannya dengan kewujudan peruntukan 153 dalam Perlembagaan? ABDUL RAHIM: Sebagaimana kita maklum penggubalan DEB dicetuskan di era Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ini adalah satu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka. Melaka pada masa itu merupakan satu tamadun Melayu yang amat cemerlang. Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diiktiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia. Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan
mentransformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara Sungai Melaka menjadi satu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah. Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebagai satu kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin, pengurus dan pekerja yang baik - inilah yang menyusun sesebuah tamadun. Apabila kita kalah kepada Portugis pada 1511, kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif. Oleh kerana ketika itu kita mengamalkan sistem feudal orang Melayu tidak mampu produktif kerana hasil mereka akan diberikan separuh kepada raja dan juga orang-orang besar. Akibatnya orang Melayu hidup dalam keadaan daif, miskin, papa dan kedana. Hanya pada zaman Allahyarham Tun Razak Hussein, penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya Perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu. Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit, biasiswa, agama Islam, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu. Semua itu telah mendorong DEB digubal. Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah. Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia, perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal. Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini. Bagaimana pula kita hendak menegakkan Perkara 153 ini sebagai pengiktirafan kepada hak pribumi bumiputera terhadap negara ini? ABDUL RAHIM: Ia ada kaitan dengan kewujudan Melaka, negeri itu dalam sejarah sebenarnya adalah tamadun yang diperakui oleh dunia dan dalam pembentukan tamadun ini kita mempunyai proses sejarah sebagai pribumi. Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal? Kenapa tidak Orang Asli yang lebih awal tidak diiktiraf sebagai memulakan tamadun? Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan satu tamadun akan menjadi asas pengiktirafan. Dari segi sejarah, pengiktirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal, biarpun ada Orang Asli. Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan. Dalam mewujudkan Perkara 153 dalam Perlembagaan ia bukanlah satu perjuangan yang mudah kita capai. Saya ingin memperbetulkan kesilapan pandangan majoriti mengenai filem Hati Malaya. Filem itu menggambarkan seolah-olah perjuangan menegakkan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalam ada Perkara 153 hanya berlaku apabila wujud UMNO dan Tunku Abdul Rahman.
Tetapi sebenarnya perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung Perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar. Ertinya perjuangan menegakkan Perkara 153 itu lebih awal? ABDUL RAHIM: Ia lebih awal kerana Tunku Abdul Rahman hanya muncul di penghujung. Apa yang saya ingin katakan perjuangan untuk mewujudkan Perkara 153 ini sudah bermula pada zaman komunis lagi. Inilah cabaran pertama. Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik. Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana mengesyaki mereka bersubahat dengan orang Jepun. Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini dengan menjadikan ia sebuah republik. Maknanya, langkah itu akan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada orang Melayu, India dan Cina. Walaupun Bintang Tiga ini ditentang keras namun mereka masih berjaya mempengaruhi orang Melayu. Apa yang perlu difahami seandainya republik diwujudkan maka dengan sendiri Perkara 153 tidak akan wujud. Malang dalam usaha ia cuba menterjemahkan negara ini menjadi sebuah republik, orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak berbeza. Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadi Malaya sebuah republik. Semasa menentang pengganas komunis ini, kita terpaksa mengisytiharkan darurat dari tahun 1946 sehingga 1960. Perbuatan PKM ini adalah satu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana Perlembagaan itu mempunyai satu peruntukan yang memberikan pengiktirafan kepada penduduk-penduduk pribumi. Ribuan warga keselamatan kita gugur dari 1946 hingga 1960 dan mereka ini bukanlah mati katak. Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengiktirafan kepada pribumi. Titisan darah wira-wira yang terkorban harus direalisasikan dengan menegakkan satu Perlembagaan yang memberi pengiktirafan kepada pribumi. Kita mesti hargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap lebih tinggi iaitu merdeka. Siapa mereka tidak pernah dan jarang disebut. Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya, tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi asas dan tonggaknya. Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB yang berkaitan dengan Perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union. Sebenarnya Malayan Union adalah satu konsep republik seperti mana yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan juga PKM. Sebab itulah dalam Malayan Union terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan Jus soli – ertinya siapa sahaja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh British sehingga ia dilihat boleh menggugat Perkara 153 tersebut? ABDUL RAHIM: Gabenor British pada masa itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan
parti UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn itu yang menggabungkan segala kekuatan orang Melayu dapat dibendung melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti boleh menerima bukan Melayu apabila berbuat demikian ia bermakna menerima Malayan Union. British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO. Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan Parti Komunis Malaya (PKM). Gabenor British memberi syarat kalau Datuk Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka, orang lain harus mempunyai hak sama dengan orang Melayu. Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union. Tetapi apabila orang Melayu tahu kedudukan raja tidak dihormati, hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Datuk Onn Jaafar. Semua itu adalah cabaran ketiga dalam kita hendak mempertahankan Perkara 153. Nasib baik orang Melayu membuat keputusan menolak cadangan British tersebut kalau tidak UMNO akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semua itu adalah hasil pengorbanan orang Melayu, orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan Jepun dan Bintang Tiga, orang Melayu dibunuh oleh PKM yang hendak menjadikan Tanah Melayu republik dan orang Melayu cuba diperkudakan oleh British dengan memanipulasikan UMNO. Dalam soal konsep Malaysian Malaysia, tidakkah ia turut menjadi cabaran dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu? ABDUL RAHIM: Itu merupakan cabaran keempat dalam usaha kita mempertahankan Perkara 153. Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan PAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia – konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik. Ertinya, mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153, apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB. PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia. Jika dikaji Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung. Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita. Apa yang dikemukakan oleh Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disambut oleh orang Cina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu akan menjadi kenyataan. Kini kita menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep keadilan dan kesamarataan cuba diperjuangkan oleh PKR dan ia cuba menjadikan perkara itu sebagai asas tonggak kepada sistem kenegaraan, ertinya Melayu tidak lagi menjadi tonggak.
Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok. Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh negara besar. Dalam berhadapan situasi seumpama itu, apa yang seharusnya kita lakukan? ABDUL RAHIM: Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini. Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara. Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan Malaysia. Semua ini didorong oleh saiz ekonomi. Jepun kalau dibandingkan dengan saiz negara China sangat kecil tetapi kenapa Jepun dipandang sangat besar sama dengan Amerika Syarikat (AS)? Semua itu kerana saiz ekonominya. Kita melihat bahawa Anwar dan PKR menganggap dengan adanya DEB dan Perkara 153 ia adalah satu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita. Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari Perkara 153 melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin, daif dan terhina ini. Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat kepada satu tahap yang begitu hebat. Walaupun sama-sama naik tetapi masih terdapat banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara luar bandar dengan bandar. Pada pandangan Tan Sri apa muslihat di sebalik usaha Anwar hendak menggugat DEB itu? ABDUL RAHIM: Anwar yang membawa satu ideologi baru melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada Perkara 153. Selagi DEB yang mentranformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tidak ada parti yang dapat menggantikan UMNO. Maknanya dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila- bila. Strategi PKR ialah mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi satu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan PKR mendominasikannya. Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang gugur yang membolehkan asas Perlembagaan yang mengandungi Perkara 153, generasi muda kita senang dipengaruhi. Sebab itu Anwar berhasrat menghancurkan dan memusnahkan DEB dengan mewujudkan Agenda Ekonomi Malaysia. Jadi apa yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam berhadapan dengan agenda ekonomi seumpama itu? ABDUL RAHIM: Agenda Ekonomi Malaysia yang akan dilancarkan adalah satu pengisytiharan yang mesti ditolak. Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengiktirafan kepada semua kaum dengan kaedah pengagihan yang berlainan dengan DEB. DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum. Kalau bumiputera 65 peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau tujuh peratus. Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan. Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata. Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan yang berbeza dengan DEB.
Pas yang ada dalam Pakatan Rakyat pula meletakkan perjuangan Islam lebih daripada perjuangan kaum. Mereka tidak peduli tentang kedudukan bahasa Melayu atau ketuanan Melayu kerana pendekatan kepada Islamik cara Pas. Jadi dari segi keperluan mikro mungkin perjuangan itu universal pendekatan Islam. Sedangkan perjuangan untuk mengangkat martabat memerlukan pendekatan makro untuk melihat setiap strategi itu disusun. Ini kerana budaya, sejarah dan latar belakang kita berlainan dan memerlukan pendekatan yang lebih efektif untuk mengangkat martabat. Mungkin orang tertanya-tanya kenapa baru sekarang Tan Sri bercakap tentang rentetan sejarah DEB ini? ABDUL RAHIM: Saya perlu sebutkan perkara ini supaya rakyat Malaysia faham tentang laluan sejarah. Dalam memahami cita-cita untuk untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak terkorban dalam menegakkan perlembagaan Malaya ketika itu. Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang citacita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957. Jika kita tahu laluan sejarah, soal kontrak sosial atau DEB tidak menjadi debat. Tetapi kini bukan saja debat tetapi nak menghapuskan kedudukan ini. Jadi 16 September itu bukan hari keramat tetapi “hari kiamat”. DEB bukan menindas kaum lain tetapi sebaliknya untuk membela kaum yang lemah. Kebetulan yang banyak lemah dan papa kedana ialah orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh PKR ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan. Tetapi sokongan kepada PKR ini juga turut diberikan oleh orang Melayu, adakah mereka tidak tahu sejarah ini? ABDUL RAHIM: Mungkin tidak tahu sejarah. Mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada laluan sejarah kita yang jelas. PKR bukan memperjuangkan sesuatu yang baru atau landskap politik yang baru. Ini yang kelima dalam siri untuk menghancurkan kedaulatan dan kedudukan Melayu dalam negara kita. Apakah nasihat Tan Sri kepada orang Melayu? ABDUL RAHIM: Kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka. MINGGUAN MALAYSIA 21 SEPT 2008